Thursday, July 29, 2010

Nikmat Hidup

Bila hampir bulan Ramadhan dan menjelang Syawal rata-rata orang asyik berbicara tentang warga tua. Agaknya hati orang tua terlebih sayu dan sensitif bila menjelang hari raya.Atau bila hari raya kita yang terlebih ingatkan ibu dan ayah kita. Yang hidup mahupun yang telah mati. Kita selalu tidak menghargai sesuatu nikmat sehinggalah kita hilang nikmat tersebut. Bila bercakap tentang warga tua selalu kita kaitkan mereka dengan berbagai masalah kesihatan. Tidur sudah tidak lena, makan sudah tidak lalu.Walaupun makanan penuh peti ais tetapi apa yang boleh dimakan kena ditapis setiap kali pintu peti ais dibuka. Senario hari ini rata-rata anak-anak sudah bertebaran merata dunia mencari ilmu dan rezeki. Ibubapa yang sudah tua kini kembali tinggal berdua. Makan atau tidak pandai-pandailah diuruskan.Kalau ada jiran atau sanak saudara yang baik hati menghulur semangkuk sup dapatlah makan tengahari cepat sikit. Jika tidak tentu pukul 3 belum tentu selesai memasak. Kudrat dah tak kuat, mata sudah kelabu, ingatan pun sudah ingat-ingat lupa. Kadang kita memasak air gula kita ingatkan jiran kita yang memasak. Kalau hangus periuk masih nasib baik, kalau terbakar rumah?

Oh...bila difikir-fikirkan apa yang terjadi hari ini, saya selalu berfikir.Bagimana pula nasib kami bila sudah tua nanti. Setakad ini ketiga-tiga anak  bekerja jauh. Sorang di timur, sorang di selatan dan seorang di utara.Muga-muga nanti adalah seorang dua anak lelaki kami yang akan mencari rezeki dekat-dekat dengan rumah.Insyaallah. Bila masing-masing sudah jauh bila berlaku satu-satu kecemasan berjam-jam juga baru dapat sampai ke rumah. Jadi memang sangat wajar kita berbuat baik dengan jiran. Walaupun tiada pertalian darah tetapi jika kita berbudi insyaallah orang pun akan berbahasa.Bila memasak Nabi SAW mengajar kita lebih-lebihkan kuah supaya dapat kita hulur semangkok ke sebelah pagar pula. Kata Nabi juga antara nikmat hidup ialah jiran yang baik. Memang betul pun, kalau kita tak baik dengan jiran tentu kita segan atau malu nak minta tolong bila kita perlukan pertolongan mereka. Yang baik itu perlu kerap-kerap diminta dan didoakan. Bila berdoa jangan lupa mendoakan supaya jiran yang tak baik dengan kita akan dibuka pintu hatinya untuk berbaik dengan kita. Kadang kita okay orang pula tak okay.Kadang orang okay kita pulak yang tak okay. Jadi marilah sempena bulan Syaaban ini kita pujuk hati kita banyak bersedekah.Walaupun sedekah kita sekadar sebuah senyuman ikhlas kepada jiran yang sering memaling muka bila bertembung dengan kita. Mudah-mudahan hatinya akan cair dengan senyuman ikhlas yang terbit dari hati kita yang ikhlas.Kita hanya ingin menyambung sillaturrahim dengannya.Dan kita hanya ingin hidup tenang-tenang dan tidak serabut-serabut.Bila mati nanti sudah pasti semua orang mahu nama kita dikenang kerana kebaikan dan bukan kerana keburukan kita.

Tuesday, July 27, 2010

Titian Hayat



Lama juga saya tak bercerita tentang abah. Sudah setahun lebih abah kena stroke. Sejak abah kena stroke kehidupan abah dadn mak abah sudah berputar 180 darjah. Sudah tiada lagi masa kami dapat bercerita, berkongsi masalah, bertanya hukum hakam agama dan meminta pendapat dari abah. Cuma yang tidak lekang dari abah ialah senyumannya. Saya masih ingat pertama kali menjejak kaki ke rumah abah.Hari sambut menantu. Maklumlah kami tidak pernah bertemu muka walaupun namanya saya kenal melalui hujung nama anaknya.Tetapi teguran dan senyuman abah ketika pertama kali berbual menjadikan rasa gugup dan risau saya bertemu mertua terbang begitu saja.

Sejak abah stroke jarang benar abah dan mak ke mana-mana. Dunia mereka berdua banyak berlegar sekitar rumah dan KMC sahaja . Walaupun mak ingin juga sekali-sekala ke mana-mana tapi bila abah dah geleng kepala memang tak boleh buat dan kata apa-apa. Puas juga anak dan cucu memujuk tapi abah tetap sayang nak tinggalkan rumahnya.

Hari ini abah di KMC sekali lagi. Dia memang sudah lama menghadapi masalah hernia atau kata bahasa kampong angin pasang surut. Minggu lepas abah sakit hernia tu tengah malam. Bayangkanlah betapa panik dan risaunya mak. Namun berkat pergantungan mereka kpd Allah, maka  dapatlah mereka berdua dilalui saat kritikal itu.

Hujung minggu lepas, kami berbincang adik beradik samada nak go on ke tidak dgn operation ni. Walaupun kecil dan sedikit tapi risikonya tinggi. Jantung abah lemah, ada pula darah tinggi dan sebelah buah pinggang abah dah rosak.Yang peliknya semua org tak tahu termasuk mak, mungkin kerana dia tak mahu semua orang risau atau dia sendiri pun tak tahu.

Pagi tadi abah dah disorong masuk  ke bilik bedah.Hampir   jam  dua petang abah dah ditolak keluar dan kini sedang diberi rawatan rapi di ICU. Rutin biasa dan saya bersyukur anak-anak emak berada di sisi mak.Walaupun mak mungkin berkata "Buatlah apalah  balik...hampa kan kerja" tapi sebagai mak saya tahu apa yang tersurat dan tersirat tentu mak bangga anak-anak mak sanggup bersama mak dan memberi sokongan moral dalam saat mak menghadapi kemelut ini. Saya berdoa semuga saya dan suami juga diberi peluang oleh Allah untuk menikmati rasa kasih, prihatin dan empati anak-anak bila kami tua dan sakit satu hari nanti. Saya sering mengulang-ulangkan pada anak-anak. Setiap kejayaan kita selalu ingat ada ramai orang yang telah membantu kita berada di tempat sekarang. Janganlah lupa diri kerana redha ibu bapa itu adalah redha Allah. Tak ada maknanya pangkat, gelaran dan harta jika kita seolah lupa masih ada ibu dan ayah kita yang sedang mengharap kasih kita . Kita juga ada anak dan cucu tak mustahil satu hari nanti kita juga menerima nasib yang sama .Hidup ini kan bagaikan roda. Sehari di atas sehari di bawah. Namun saya percaya jika kita ada pegangan agam yang kuat insyaallah kita kan sentiasa meraikan ibubapa kita walaupun mereka bukan sesiapa kerana mereka adalah wira yang tidak bernobat.

Sunday, July 25, 2010

Insyaallah, abah

Banyak benar nak dikongsikan tetapi hati yang libang -libu dengan persoalan abah membuatkan segalanya tak mampu dilakukan jadi marilah  luang sikit masa dengar menonton video ni. Muga Allah memberi jalan keluar bila kita dipersimpanngan.

Friday, July 23, 2010

Berbicara

"Kalau tak pandai cari masa memang jarang benar kita dapat kesempatan berbual panjang dengan anak-anak.Kita kalut dan mereka juga kalut. Sedar tak sedar mereka dah besar-besar belaka.Tiba-tiba baru kita tersedar rupanya kita tak sempat nak didik mereka, tak sempat nak tegur perangai dan kelaku mereka. Akhirnya kita main telan saja apa yang tak bekenan di mata dan yang sakit di hati kerana rebung sudah menjadi buluh. Masa mereka kecik mungkin kerana kita sayang sangat kat depa , kita selalu main ikut saja apa yang depa nak.Kita tak berani tegur kerana kita takut depa tak sayang kat kita,konon. Bila depa dah besar baru kita nampak rentak depa yang dah sumbang .Baru kalut kita nak tegur. Dan masa ni depa dah besar, dah tak mau dengar dah cakap kita. Telinga depa baik depa sumbat dengar MP3 ka apa ka kerana benda  tu lagi sedap dari hingar kita dan leter kita."

"Oh! bahasa apa ni dok hingar sorang-sorang buat ramai saja?" Macam tension ja! Tak dak apa aih...saja buat ramai ...besa lah naa....

Entah tiba-tiba rasa nak cakap  Uthara la pulak. Bukan apa -apa anak-anak saya selalu komplen banyak bahasa Kedah yang depa tak berapa tau. Nak buat macamana dah mak tok sorang utara, sorang selatan.Jadilah bertembung dua budaya.Sorang rajin buat gulai ikan ,sorang rajin buat sup bola ikan. Jadi nak bagi mudah kenalah guna banyak bahasa baku dan surat bila mereka mula belajar bercakap. Isu ni timbul bila menantu baru saya bercakap patah-patah bahasa Kedah yang mereka tak pernah dengar . Mujurlah menantu saya tu saya dah siap warning. Janganlah kecik ati na cek noo...depa ni memang macam tu. Kalau tak gamat dan riuh memang tak sahlah. Mujurlah dia pun jenis open minded nampak tu macam okaylah kot.Boleh masuk gu.

Sekarang ni cucu saya pula.Bila dah belajar bercakap macam-macam istilah yang dia dan mungkin ibu abah dia saja yang faham. Mujurlah walaupuan abah dia orang Kelantan tapi sebab dah lama dok Penang masa belajar sampai kerja jadi kat rumah sudah pasti depa suami isteri akan cakap loghat Utara. Cuma bila di taska    sudah pasti dia akan bawa segala macam loghat Kelantan. Maklumlah pengasuh dia orang Kelantan dan rakan sebayanya pun anak-anak orang Kelantan belaka.Bila tak nak apa-apa dia akan cakap "Oce" (Tak sei)

Saya dan suami bersikap terbuka. Lain padang lain belalang, lain tempat lain budaya. Cuma adakala kat tempat kita kita maksud lain, dan orang faham lain. Cuba tengok contoh di bawah:

Emak:  Depa mai mak jamu nasi. Rendang telur.Tuang toyu dah boleh makan.

Menantu: Benda apa makan dengan toyu mak?

Emak:   Telurlah.

Menantu: Tak tau lah pulak saya telur boleh makan dengan toyu. Kat kelantan toyu tu kiwi kasut.

Emak: o..mak silap di sini toyu tu kicap. tok yu.

Jadi nak harmoni kenalah berhati-hati bila berbahasa. Kadangkala betullah kata orang tua-tua bahasa menunjukkan bangsa. Kadang bila kita asyik cakap ikut sedap mulut. orang pun naik meluat kat kita.Dan sekali terlajak cakap memang buruk padahnya. Patutlah sangat Imam Ghazali menyusun satu bab dalam bukunya bahaya lisan. Bercakaplah yang baik-baik kerana bahasa yang baik itu sangat indah dan kadang sampai  meresap ke jiwa hingga mampu mengubah persepsi hidup orang.Saya bimbang anak-anak muda kita selalu sangat bercakap tak reti berlapik. Main keluar saja apa yang dirasa. Adakala kemaafan tak mampu mengubah hati yang sudah luka. Jadi berhati-hatilah kerana kita akan disoal dengan apa yang kita lakukan semasa di dunia. Anggota badan kita hanyalah  dipinjamkan Allah. Jadi gunalah dengan cara yang Allah benarkan. Berfikirlah sebelum berkata-kata sebab itu ada perpatah Arab yang berkata lidah nitu lebih tajam dari mata pedang.

Thursday, July 22, 2010

Bersediakah Kita?

dunia ini pinjam-pinjaman begitu juga dengan kesihatan. Orang akan berbuat  apa sahaja untuk menjadi sihat   namun bukan semua wang dapat membeli kesihatan. Saya pernah bertemu dengann orang yang tersangat bses dengan kesihatan. Sanggup berhabis berapa pun harga iuntuk membeli segala produk kesihatan. Dan ada juga orang yang tidak ambil peduli tentang kesihatan. Betullah pesan Nabi SAW masa sihat ingat masa sakit. Bila sihat macam-macam boleh kita buat dan bila sakit pula macam-macam yang kita angan-angankan. Itu nak buat ini nak buat tapi jangan janji tinggal janji sahaja. Sementara masih berpeluang segeralah kerjakan perkara baik yang kita cita-citakan.Jangan nanti kita mengeluh sesal kerana tidak diberi lebih masa .Kita mampu beli jam tetapi sudah pasti kita tak mampu beli masa. Detik yang pergi tidak akan kembali dan jangan kita asyik merintih meyesali sejarah dan hari yang dah berlalu sia-sia.Sambil menanti datangnya Ramadhan marilah sama-sama kita hisabkan diri.Menilai amalan kita di Ramadhan lalu.Mudah-mudahan Allah bagi  peluang untuk terus berada di bulan Ramadan tahun ini. Bulan Alalh  berjanji mengampun dan melepaskan kita dari api neraka jika kita benar-benar berusaha dan meminta dariNya.

Wednesday, July 14, 2010

Arti Di Ulang Tahun

Hampir sejam lagi akan masuk hari baru. Insyaallah esuk adalah hari ulang tahun suami saya. Kami bukanlah rajin sangat menyambut hari jadi.Cuma anak-anak selalunya akan mengajak kami makan di mana-mana sambil bercerita kisah-kisah lama. Sesekali berkumpul sudah pasti sangat mengembirakan.

Namun esuk juga sudah tidak seperti tahun-tahun lalu. Jika dulu suami saya boleh makan apa sahaja makanan yang dihidang atau dipesan tapi kali ini tidak ini. Petang tadi saya dan  'Ammar telah menghantar suami saya ke wad C8 di Hospital P.Pinang. Dan pagi esuk dia akan menjalani angiogram. Sudah pasti saya berdoa agar dia mampu menjalani satu lagi fasa yang besar dalam hidup ini. Berat mata memandang, sudah pasti berat lagi bahu yang memikul.


Minggu lepas saya sudah menemani dia ke situ. Insyaallah saya sudah agak mahir jalan-jalan yang perlu diambil. Mujur juga 'Ammar ada di sisi dialah akan menjadi pengiring saya berulang-alik ke sana.Bukan tak biasa memandu di pulau tetapi dalam keadaan emosi yang kurang stabil saya lebih suka orang lain yang memandu.  Alhamdulillah, anak-anak saya jauh dan dekat hampir semua sudah  pulang untuk bersama kami.Merekalah sumber kekuatan kami. Meskipun ini hanya prosuder biasa bagi mengesan masalah jantunng tetapi ia juga yang akan menjelaskan berbagai kemusykilan yang bermain di fikiran .Mudah-mudahan masalah suami saya tidaklah kronik .



Saya juga berdoa agar dia  akan pulih seperti dulu. Jika diizinkan Allah  sudah pasti saya ingin terus bersamanya melalui hari-hari yang mendatang. Meskipun esuk dan esuk tidak akan sama seperti hari-hari semalam namun sebagai orang yang beriman kami tetap redha dengan apa yang telah ditakdirkan.

Di hari  ulang tahun kelahirannya saya sangat ingin kita para suami dan isteri  turut  menghayati  puisi ini. Saya minta maaf tak ingat pula petik dari mana. Namun saya percaya si penyair tentu sangat ingin mengetuk hati-hati kita dengan  kata-kata yang indah ini.

Buat Suami Tercinta


Pernikahan ataupun perkahwinan,
Menyingkap tabir rahsia,
Isteri yang kamu nikahi,
Tidaklah semulia Khadijah,
Tidaklah setakwa Aisyah,
Pun tidak setabah Fatimah,
Justeru Isteri hanyalah wanita akhir zaman,
Yang punya cita-cita,
Menjadi solehah …….
Pernikahan ataupun Perkahwinan,
Mengajar kita kewajiban bersama,
Isteri menjadi tanah, Kamu langit penaungnya,
Isteri ladang tanaman, Kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan, Kamu gembalanya,
Isteri adalah murid, Kamu mursyidnya,
Isteri bagaikan anak kecil,
Kamu tempat bermanjanya,
Saat Isteri menjadi madu,
Kamu teguklah sepuasnya,
Seketika Isteri menjadi racun,
Kamulah penawar bisanya,
Seandainya Isteri tulang yang bengkok, berhatilah meluruskannya…
Pernikahan ataupun Perkahwinan,
Menginsafkan kita perlunya iman dan takwa,
Untuk belajar meniti sabar dan redha,
Kerana miliki isteri yang tak sehebat mana,
Justeru Kamu akan tersentak dari alpa,
Kamu bukanlah Rasulullah,
Pun bukanlah Saidina Ali Karamaullahhuwajah,
Cuma suami akhir zaman,
Yang berusaha menjadi soleh…..
~Author Unknown

Tuesday, July 13, 2010

Ujian Itu Dari Allah Jua


Benarlah kata pujangga hidup ini ibarat roda. Sehari di atas ,sehari di bawah. Adakala kita berduka, ada masa kita gembira, ada masa bertemu, dan ada masa berpisah .Begitu juga masa kita sihat dan jangan terperanjat bila tiba-tiba kita jatuh sakit. Ketika sihat kita bersyukur dan berterima kasih di atas kurniaan dan nikmat yang Allah berikan kepada kita. Bila sakit juga kita bersyukur kerana diberi ruang untuk kita menginsafi diri, mengakui kelemahan dan bergantung penuh bukan pada para doktor dan rawatan termoden tetapi kepada Dia yang menguji kita.  Kita perlu belajar menjaga hati supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah. Keluhan dan rungutan tidak akan mampu mengangkat rasa sakit itu tetapi dengan berzikir dan mengingati Nya  hati dan jiwa kita akan menjadi tenang.Janganlah  sekali-kali lidah menyebut" Kenapa Allah menimpa musibah ini , kenapa bukan si polan, si polan?"Itu hanyalah jalan syaitan masuk ke dalam dada kita.


.
Allah juga memberi kita senjata yang sangat digeruni orang kafir. Keupayaan berdoa dan meminta tolong kepada Allah. Berdoa dan bertawakkal adalah sebaik-baik bekalan yang boleh kita bawa ketika tubuh disorong ke bilik pembedahan. Berdoa dan berdoa agar kita selamat dan tidak menghadapi  masalah kesihatan yang lebih kronik. Ketika itu walaupun ramai doktor dan jururawat dikeliling kita. Mereka hanya ingin membantu tetapi mereka tidak kenal kita.Tapi  Dia...Dia yang kenal kita dan sentiasa bersama kita walau di mana kita berada. Jadi mengapa kita tidak menepis rasa gusar kita dengan bersolat hajat, berzikir dan berdoa agar Allah memudahkan urusan kita di dunia ini.Selagi ada ruang marilah meminta agar Allah meminimakan rasa sakit kita, menyembuh yang sakit ,diberi rasa tenang dan redha di atas ujian-uijianNya.

Firman Allah:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 155-157)

Thursday, July 8, 2010

2 Tahun Yang Mendebarkan


Hampir 2 tahun saya dan suami tidak jemu-jemu memberi sokongan dalam apa jua bentuk  kepada bang cik. Seperti yang saya pernah tulis dalam beberapa entry lalu  program International Baccalaurate (IB)  pada pengamatan saya amatlah mencabar. Yang belajar dan yang melihat. Saya selalu rimas ketika  mengejutkan bang cik di pagi hari.Rimas kerana dia tidur dengan kertas dan segala sumber rujukan di kelilingnya. Puas saya bisingkan namun akhirnya saya pun sudah lali dan dia pun sudah mangli. Inilah yang berlaku sepanjang 2 tahun dia di KMB. Walaupun dia selalu menampakkan keresahannya setiap kali akan masuk ke semester baru, kami berdua sedaya upaya terus meyakinkannya. Usaha dan doa mesti berjalan seiring. Belum lagi segala kismis minda, Jus Tok Guru, air Yassin dan seumpamanya.

 Meniti hari dan detik ke jam 13:15:00 GMT pada 6/7/10 lalu adalah satu jangkamasa yang sangat meresahkan. Petang itu saya masuk ke dapur lebih awal. Supaya kami dapat makan malam lebih cepat dan bang cik dapat segera solat maghrib sambil menunggu jam terus berdetik. Orang yang menunggu result sudah tertidur ketika saya mengajaknya makan. Maklumlah sudah beberapa hari pelajar baru masuk ke Uitm, sudah pasti tugasnya di kedai buku itu sangat meletihkan. Kebolehan mengguna calculator canggih juga menjadikan dia salesman tidak bertauliah di situ. Pengalaman mencari sedikit wang saku sambil mengisi masa yang terluang sudah pasti akan menjadi satu pelajaran hidup yang saya sendiri tak mampu ajarkan.



Ketika bang cik menunggu di depan Dellnya, saya sudah ke Seri Malaysia untuk satu pertemuan yang saya tidak upaya elakkan. Namun saya berterima kasih kerana  suami sudah bersetuju menguzurkan diri dari  kuliah Hadis malam itu semata-mata  untuk menemani bang cik. Sudah menjadi budaya kami akan cuba untuk bersama-sama anak-anak ketika mereka mengetahui keputusan peperiksaan penting mereka.

9.19 malam saya segera menghubungi suami.  Alhamdulillah....itulah kalimah yang diajar Ar Rasul bila kita menerima apa yang kita hajati.  Di sebelah sana saya mendengar suara sebak bang cik. Saya tahu dia sendiri tidak percaya dengan beberapa mata yang diperolehinya. Tinta sudah diangakat .Sebelum mematikan phone  saya mengingatkan dia supaya tidak lupa sujud syukur bila solat insya nanti.

Hampir jam 12 malam, baru saya sampai ke rumah. "Tahniah bang cik..." ucap saya dan dia membalas dengan pelukan dan airmata sudah bergenang  di mata saya dan dia. Jauh di dasar hati saya sudah mula menyediakan  diri saya supaya terus tabah untuk menghadapi satu lagi perpisahan. Alhamdulillah....itu sahaja kalimah yang terus bergetar di hati. Setelah sekian lama menunggu apa yang dinanti-nantikan kini telah diketahui. Tahniah untuk anak-anak KMB yang mampu mencapai  mata penaja masing-masing. Saya tumpang bersedih dengan kawan-kawannya yang tidak dapat mencapai mata yang mereka impikan.Namun saya pasti dunia masih belum kiamat buat mereka. Insyaallah akan ada peluang dan kesempatan untuk mereka terus melangkah .Saya rasa belajar di dalam  atau luar negara sudah pasti bukan lagi perkiraan.Yang penting pencarian ilmu itu perlu diteruskan.




Mulai minggu depan hari-hari saya akan mulai sibuk kembali. Tempuh bertenang hanyalah  3 minggu Suami saya sedang menghampiri tarikh temujanjinya di Hospital P.Pinang dan  urusan -urusan bang cik juga akan bermula dan dalam kekalutan ini Allah telah mengizinkan 'Ammar berada di sisi kami. Jika dulu kak lang yang sering menemani saya  insyaallah  sehingga  hujung Ogos saya boleh bergantung harap kepada  anak keempat saya ini pula menggantikan kakaknya yang telah bertukar status.

Hari ini cuaca cerah dan bang cik bersama kawan-kawannya akan bertolak ke Langkawi untuk menyelesaikan tugas terakhir CAS mereka. Sebagai sokongan moral saya dan suami telah meminjamkan Charade kami untuk  memudahkan anak-anak muda itu bergerak ke Kuala Perlis. Semuga sedikit bakti yang dicurahkan untuk anak-anak nelayan nun jauh di pulau itu  mampu menyuntik sedikit semangat dan melonjakkan  keinginan untuk berjaya seperti abang-abang dan kakak-kakak dari KMB.



Bagi pihak suami dan saya ,  ingin dirakamkan rasa terima kasih kepada penaja,  bekas Pengarah KMB Dr Syed Anwar Aly, guru-guru, kakitangan ,rakan sebilik anak saya, kawan-kawan seperjuangan , x-KMBian dan sudah pasti tidak lupa kepada adik-adik ipar saya yang telah sudi membuka pintu rumah mereka untuk anak saya mencari tempat untuk 'lari' sekejap dari  dunia akedemik  yang adakala begitu melelahkan. Semuga Allah jua yang akan membalasnya. Tanpa sokongan semua pihak tentu agak sukar untuk anak saya mencapai apa yang diidamkan. Muga bertemu di PICC nanti.

Tuesday, July 6, 2010

Meniti Kehidupan

Setelah berbulan-bulan berulangalik untuk  memotong rambut akhirnya saya  singgah ke sebuah kedai yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini. Sambil menunggu giliran saya mencapai salah sebuah majalah yang terdapat di situ. Konon-konon nak cari fesyen yang sesuai agar  saya tidak perlu kerap berulang-alik ke kedai gunting.Tiba-tiba mata saya terhenti pada satu laman yang bertajuk " Selera saya suami orang". Hmm....sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betinanya.Isinya memuat temubual dengan seorang bohsia di ibu kota.

Bila membaca sesuatu berita sensasi begini  apa yang terlayang di fikiran saya. "Depa ni tak takut siksa Tuhan ka...tak kesian kat mak pak ka depa ni" Saya meletak semula majalah tadi dan terus membongkar  timbunan majalah untuk mencari bahan bacaan yang lebih selesa. Malangnya hanya majalah yang saya pun lupa nak tengok tajuknya yang banyak  bersusun di situ.Inikah jenis bacaan yang disukai orang muda sekarang?

Bayangkanlah  minda jenis manakah yang terbina dengan membaca bacaan demikian. Majalah yang  hanya   sekadar menjadi bacaan ringan dan tiidak membantu membina minda apatah lagi iman dan taqwa. Saya juga mengikuti perbincangan hebat di media akhir-akhir ini. Pelajaran seks di sekolah. Pada pandangan saya, gejala zina dan seks bebas yang membarah dalam masyarakat kita bukan kerana kurang ilmu atau tiada pengetahuan  tetapi semua ini terjadi kerana sudah hilang rasa malu pada  manusia lain dan rasa takut kepada Tuhan.

Jika dinilai semula, pelajaran seks sudah lama diajar di Barat tetapi adakah mereka mampu menyelesaikan masalah zina dan anak tidak sah taraf.? Islam tidak bertindak bila telah berlaku sesuatu perkara, tetapi ia mencegah dari awal. Jika kita benar-benar ingin menyelesaikan masalah ini tidak ada cara lain melainkan menanamkan aqidah ke jiwa anak-anak kita. Kita semua mesti berani kembali mengambil panduan yang telah diajar oleh Allah. Dia yang mencipta manusia sudah pasti Dia tidak membiar kita tercari-cari sendiri manual untuk kita menerajui hidup. Kita hanya perlu kembali kepada ajaran Al qur'an dan hadis. udah pasti kita tidak boleh lupa yang kita akan disoal dengan apa yang kita dipertanggungjawabkan.

Sunday, July 4, 2010

Selamat Ulang Tahun, Zaffran



Hari ini hari ulang tahun cucu sulung kami berdua. Kata orang bila dapat sudah bercucu bererti kita sudah semakin tua. Mata makin kabur, tenaga makin lemah,pendengaran makin kurang tetapi yang pasti kasih sayang tidak pernah susut atau berkurang. Setiap anak lahir dengan rezeki masing-masing. Baik lelaki mahupun perempuan masing-masing  ada habuan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.  Asuhan bermula dari alam rahim. Makan minum siibu, perlakuan siayah dan faktor kestabilan emosi ibu juga mencorakkan tingkah laku anak bila lahir ke dunia nanti. 

Kita selalu merungut bila anak remaja tidak mendengar kata. Kita memanjakan mereka ketika kecil dan tidak berani menegur tingkahlakunya ketika kecil kerana kasih dan sayang kita kepada mereka. Malangnya kasih sayang begini memang tidak berbaloi pun, mereka hanya menjadi penyejuk mata kita ketika kecil tetapi kita menjadi radang dan geram bila melihat tingkah laku mereka bila mulai menjejak usia remaja.

Kata orang melentur buluh biar dari rebung. kata-kata orang lama yang masih relevan lagi. Sayang macamana pun yang buruk tetap dikata buruk dan yang eluk dipuji dan digalakkan. Kita tidak perlu menurut semua kehendak mereka kerana bukan semua yang dituntut mereka baik untuk mereka. Sebagai ibubapa kita yang mencorakkan mereka dan bukan mereka yang mengajar kita.

Hai... bukan mudah rupanya menjadi ibubapa  yang mampu memenuhi apa yang dituntut Islam. Kita tidak pernah belajar menjadi ibubapa tetapi proses pembelajaran itu terus berjalan seiring dengan pembesaran anak itu. Hari ini banyak sumber rujukan, support group dsbnya yang banyak membantu ibubapa muda menunaikan tanggungjawab mereka. Jadilah orang yang sentiasa belajar dan menambah ilmu keran mendidik anak di zaman ini tidakkan sama dengan cara ibubapa kita dahulu mendidik kita. Namun seperkara yang saya ingin sarankan ambillah yang moden dan terkini tetapi jangan diabaikan pengalaman, nasihat dan cara orang dahulu mendepani masalah ini. Pandai-pandailah mengadaptasi apa jua pendekatan keran dihujung sana kita hanya ingin melihat anak-anak kita besar sebagai individu yang beriman, berilmu, beradab dan beramal denagn segala didikan serta ajaran yang kita terapkan selama ini.


free myspace layouts