Sunday, July 31, 2011

Marhaban Ya Ramadan

Ramadan datang dan pergi saban tahun. Ada yang gembira menanti datangnya  Ramadan dan tidak kurang pulak yang merasa 'terganggu' bila Ramadan datang. Masing-masing ada alasan dan sebab musababnya. Tetapi sebagai hamba Allah sudah pasti semuanya mesti disandarkan kepada reda Allah. Usahlah kita menyandarkan kepada reda  nafsu dan mengenepikan reda Allah.Pasti kelak kita yang menyesal kerana tidak hidup menurut acuan yang ditentukan Allah.

Berbagai peristiwa besar terjadi di bulan Ramadan. Bulan turunnya qur'an dari  Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan diturunkan kepada baginda Nabi SAW pada 17 Ramadan. Setiap kali Ramadan baginda akan bertadarus bersama Jibrail dan kerana itulah kita dituntut sangat-sangat membaca al qur'an. Tahun lepas ada yang sudah khatam sebelum tamat Ramadan dan mungkin juga ada yang tidak sempat khatam. Khatam dimaksudkan bermula al fatihah  dan tamat dengan suroh an naas.

Ada orang yang merasa pelik kenapa mesti baca qur'an .Tidak cukupkah sekali khatam masa zaman kanak-kanak dulu. Jika kita sudah berusia 40an sudah pasti tidak wajar ibadah kita, amal kita masih ditakok zaman kanak-kanak. Jika tidak pernah langsung membaca qur'an  apa kata jika kita mulakan sekarang. kita tidak rasa janggal kerana dimana-mana orang membaca al qur'an. Waktu rehat boleh diisi dengan menambah solat sunat sebelum dan selepas zohor. dan jika ingin berehat atau tidur sekejap apa salahnya jika kita baca selembar dua muka al qur'an. Jika hati terasa kusut dengan  masalah dunia bacalah al qura'an. Di dalamnya ada petunjuk dan hati yang mendekati Allah pasti akan merasa tenang.

Belum  ada qur'an sendiri ? Di kedai buku banyak   terjual naskah kecil RM40 bersama terjemahannya.anggaplah ini pelkaburan untuk akhirat kita.  Atau bagi yang baru berkahwin mungkin pasangan anda ada menghadiahkan al qur'an. Jika sebelum ini qur'an itu hanya disimpan sekadar hiasan inilah masa untuk membuka dan memberi pahala kepada pemberinya. Sudah pasti di hati kecil pasangan anda terbit rasa gembira kerana hadiahnya dimanfaatkan.Muga-muga rumahtangga anda berdua akan bersinar terang kerana cahaya al qur'an kerana rumahtangga yang gelap bagai lubang kubur itu kerana al qur'an tidak pernah dibaca di dalamnya.

 Masih belum terlewat untuk bermula kerana Ramadan baru sahaja tiba. Bulan dimana ibadah dan amal yang baik menjadi prioritis kita. Siangnya kita berpuasa, bercakap yang baik-baik,menghulur sadaqah,berzikir, berdoa dan malamnya kita hidupkan dengan solat tarawih, tahajud dan banyak berdoa kerana Allah sentiasa menunggu untuk menerima doa-doa kita. Banyaklah berdoa kala menunggu  berbuka , meminta apa sahaja kebaikan dunia mahupun akhirat kerana  doa orang yang berpuasa sangat dimakbulkan Allah. Usah pula kita cemari puasa kita dengan mengunjungi tempat-tempat hiburan atau tempat-tempat yang mengajak kita bersukaria menjelang Syawal. Bulan ini bulan Allah.Bulan kita perlu 'pause'kan sekejap hidup kita, bulan untuk kita buat refleksi diri dan membaiki mana yang kurang..Mana tahu mungkin ini Ramadan terakhir kita.Jangan sampai kita menangis menyesal dalam kehinaan meminta dikembalikan ke dunia semula kerana kita tidak sempat beribadah.Allah telah berikan kita peluang dan kesempatan dan kita yang sengaja mensia-siakan peluang yang ada itu. Ayuh mulakan langkah  bermula detik ini.Selamat menjalani ibadah.


Saturday, July 16, 2011

Menuju Jalan Cahaya-Mu

Rejab sudah berlalu, sekarang sudah pertengahan  Syaaban dan insyaalllah tidak lama lagi akan datang pula bulan Ramadhan. Kebanyakan ibu-ibu dan . nenek-nenek kita akan  mula menyiapkan diri  mereka seawal bulan Rejab. Bukan memikir baju raya berapa pasang, langsir tahun ini merah atau biji remia tetapi dengan menunaikan puasa sunat berselang hari atau hampir setiap hari. Ketika arwah abah masih ada dia adalah orang yang paling rajin berpuasa. Sahurnya cukup sekadar sedikit nasi dan sebutir telur mata lembu serta secangkir air. Sayangnya amalan orang dulu-dulu kian ditinggalkan. Alasan kesibukan dengan tugas seharian membuat kita sering mengabaikan amalan sunat ini. Meskipun amalan ini sangat dituntut.



Hari ini di sana sini  kita memang bersiap awal menanti Ramadan tetapi cara kita mungkin  berbeda. Sejak awal tahun mungkin kita telah menetapkan tema baju raya keluarga kita , kita mungkin sudah keluar masuk kedai kain memilih  kain untuk dibuat baju melayu atau baju kurung untuk kita beraya sakan tahun ini. Usahawan kuih raya sejak bulan Mac sudah menganjur bengkel membuat kuih raya terkini. Contoh-contoh kuih raya juga sudah beredar dipasaran. Untuk dirasa dan ditempah. Kenapa kita melaku ini semua? Alasan kita : kalau lambat hantar tukang jahit sudah tidak mahu menerima tempahan kita, jika kuih muih diedar ketika bulan puasa bakal pembeli tidak dapat merasa kerana berpuasa. Salah atau tidak bukanlah kita yang mampu menentukannya. Masing-masing ada jawapan yang rasional. Apa pun tindakan kita janganlah sampai kita lupa menyiapkan jiwa kita untuk  menghadapi Ramadan tahun ini. 

Masih ada berapa Ramadan lagi untuk kita ? Kenapa kita tidak jadikanlah Ramadan ini Ramadan terakhir kita. ?Bulan dimana  Allah telah menjanjikan keampunan, rahmat dan dijauhi diri kita dari api neraka. Lihatlah disekeliling kita, siapakah ahli keluarga atau kawan rapat kita yang masih bersama kita. Foto raya tahun-tahun lepas sudah pasti banyak menyimpan seribu kenangan. . Jika dulu abah duduk tenang menanti anak cucu berkumpul untuk mengambil gambar bersama.Tetapi tahun ini abah sudah tidak bersama kami lagi. Pak ngah Hj Mahmud yang sering datang di hari raya pertama juga sudah pergi menemui Allah beberapa hari yang lalu. Giliran kita entah bila. Sempatkah kita  bertemu Ramadan tahun ini dan tahun-tahun  depan ? Semua ini  belum tahu lagi. Jadi kenapa kita tidak  siapkan minda kita agar   Ramadan terakhir ini terisi dengan sebaik-baik amalan yang termampu.


Kita boleh mula  membaca  buku-buku dan rencana yang menerangkan kelebihan beribadah di bulan Ramadan. Boleh juga mula  menanam azam untuk kurang berbelanja  agar kita dapat melebihkan sedekah di bulan Ramadan . Boleh juga mengintai-intai mana-mana  keluarga miskin yang boleh kita hantar sajian untuk berbuka. Jika kita boleh membuat  perancangan kewangan untuk kehidupan di dunia sudah pasti kita mampu juga membuat perancangan  kewangan untuk hidup akhirat kita. Berjualbeli dengan Allah adalah satu perniagaan yang tidak akan rugi. Dan jika kita tahu kelebihan Ramadan sudah pasti kita mahu Ramadan  bersama kita sepanjang tahun. Ada segelintar manusia  yang menangis bila Ramadan bakal berlalu meskipun ramai manusia bersukaria kerana Syawal bakal menjelma. Sesungguhnya Baginda Rasulullah SAW apabila tiba bulan Rejab akan banyak berdoa :

     "Ya Allah! Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban  dan sampaikanlah kami ke bulan                Ramadan"


Dan kita ummat yang disayanginya pasti ingin berusaha menurut langkah Baginda.