Semasa arwah mak masih ada, dia selalu menunggu-nunggu ketibaan Hari Raya Haji. Walaupun persiapan menyambut Hari Raya Haji tidak sehebat menyambut Aidilfitri tetapi mak tetap memasak semua makanan kesukaan arwah bapak.
Bertahun -tahun kemudian baru saya tahu rupa-rupanya setiap kali datang hari raya haji adalah juga hari mak menyambut hari ulang tahun perkahwinan mak. Patutlah mak beriya-riya memasak rendang, kuah lodeh dan segala masakan yang mak pelajari semasa tinggal di Singapura pada tahun-tahun menjelang kemerdekaan Tanah Melayu.
"Dulu mak pelik juga kenapalah tok ayah kauorang ni, orang sibuk nak beraya dia sibuk nak nikahkan kami. Tapi fikir-fikir balik masa hari raya haji sajalah orang kampong dapat banyak daging dan memang sesuai sangat buat kenduri masa tu. Zaman tu bukan mewah macam sekarang, nak makan daging pun kena tunggu masa raya terutama hari raya haji Bukan ada catering bagai semuanya gotong royong memasak'
Saya mendengar dengan tekun ketika mak berkisah bagaimana mak bertemu dengan bapak. Maklumlah bukannya dekat dan mudah orang Kedah nak bertemu orang Perak. Zaman itu banyak yang berkahwin saudara sendiri atau anak anak kenalan.Tapi mak pula bertemu jodohnya melalui Halaman Sahabat Pena dan pertama kali berjumpa bila bapak datang ke Kampong Tanjung, Simpang Pulai, Ipoh selepas menghadiri satu pertemuan rakan penulis di Ipoh. Dan perjodohan ini juga yang membawa mak berpindah mengikut bapak ke Singapura. Ketika itu bapak bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu dan namanya tercatat dalam Kumpulan Asas 50.
Bapak pula yang katanya baru putus tunang membawa diri ke Singapura dan meninggalkan jawatan guru agama selepas tamat belajar di Maktab Mahmud, Alor Setar. Sayangnya tidak ada gambar perkahwinan mereka untuk tatapan anak cucu hanya ada baju dan tudung yang mak pakai ketika berkahwin.Dan semua itu hanya tinggal dalam memori kerana barang barang lama telah dipindahkan ketika proses menyewa rumah 101B selepas mak meninggal dunia.
Tahun ini saya jadi sedikit teruja kerana tahun ini ulang tahun perkahwinan kami yang ke 38 jatuh pada 21hb. Ogos bertepatan dengan Hari Raya Qurban yang disambut di Makkah atau 9hb Zulhijjah bagi kita di Malaysia. Sudah pasti sedikit sebanyak persiapan dilakukan bagi merai hari yang mulia ini.Dan secara tak sedar membawa saya mengenang saat indah bersama menyiap juadah bersama mak.
Rendang, kuah lodeh bagaikan hidangan wajib bagi kami sejak encik suami kenal kedua makanan ini pada bulan Ogos, 1980. Malah malam raya adalah malam paling sibuk dimana anak menantu sibuk membantu mak merebus ketupat nasi dan mengacau rendang di rumah 103 B, Jalan Sungai Baru, Kampong Baru, Kuala Lumpur. (Mungkin beberapa tahun lagi rumah ini sudah tidak ujud lagi, tenggelam bersama arus pembangunan )
Mungkin kerana mak sudah berpengalaman berhijrah ke Kota Singa sebaik berkahwin maka itu agaknya mak pasrah bila saya mahu melepaskan tugas di Maybank, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan mengikut suami yang sedang menamatkan pengajian di Brighton, Sussex pada Januari, 1981.
"Mujur mak dapat kakak-kakak angkat yang mengajar mak menyesuai diri. Ajar mak masak macam-macam dan melihat cara kerja bapa kau orang ,mak memang tak nak anak-anak jadi wartawan macam dia. Pagi raya pun kena keluar cari berita. Nak balik kampong beraya memang tak ada dalam istilah. Bukannya dekat nak balik Ipoh, naik kereta api pun bukan selamat, kadang kena serang dengan komunis. Cuma masa nak bersalin kak long dengan abang ngah kami tawakkal balik Ipoh dan Kedah. Sebab tu bang lang lahir di Singapura. Dan kau, Yati lahir di Kampong Pandan sebab masa tu bapa dah tukar ke Utusan di Kuala Lumpur"
Saya mengingat baik-baik cerita mak sebab saya tahu saya adalah antara anak-anak yang paling sedikit dapat meluang masa bersama mak. Jadi bila mak bercerita, saya hanya diam, menganggok dan sesekali bertanya apa yang tak jelas.
" Jangan ingat mak tak sayang kau, Yati. Masa kau umur 6 bulan bapa nak bawa kami semua balik jumpa wan dan tok di Alor Setar. Bila nak balik Tok Yah (mertua mak) minta bersungguh-sungguh nak jaga kau. Bapa pula tak sampai hati nak menolak jadi tanpa berbincang bapa dah setuju beri engkau pada Tok Yah. Puas juga mak menangis siang malam, kadang-kadang terpaksa perah buang susu kerana bengkak susu sedang kau di Kedah hanya diberi susu Dumex bertin tin."
Saya melihat mak mengesat air mata yang mula bertakung di tubir mata dan saya turut merasa sebak dan bersalah kerana merasa kecil hati sebab mak tidak menjaga saya sedangkan anak yang lain dapat mak jaga walaupun dalam berbagai keperitan slepas bapa jatuh sakit dan berpanjangan hingga ke akhir hayatnya.
Rupa-rupanya peluang berbual dengan mak pada satu petang itu adalah sangat berharga. Setiap kata-kata mak saya pegang sebagai azimat untuk bekalan dalam kehidupan. Banyak tindak-tanduk saya selama menyandang tugas sebagai anak, isteri, menantu dan mertua bersandar kepada pesan-pesan mak yang diberi secara santai.
Dan saya rasa perlu mencatat untuk tatapan anak cucu bila saya sudah pergi nanti. Kita banyak sejarah dan sayangnya tidak ditulis semula maka bila perlu merujuk perlu pergi jauh hingga ke Eropah sana mencari tentang negara kita.
Sempena Hari Merdeka bakal tiba mari kembali kepada diri. Mari mengenang dan menghargai nikmat merdeka yang Allah beri, pasti bukan tugas mudah membangun negara jika tiada pemimpin yang berwawasan dan sokongan padu dari seluruh rakyat.
Sayangi Malaysiaku