Wednesday, April 6, 2011

Hidup Beradab

Entri ini mungkin agak awal tetapi tak salah,kan? Esok saya mungkin sibuk dan mungkin juga letih kerana sudah berjanji mengambil  tugas menjaga abah di hospital. Kita merancang dan Allah yang menentukan.Setiap hari kami berbincang menentukan tugas siapa yang patut menjaga abah. Seringkali ada-ada sahaja ahli keluarga yang menawarkan diri untuk menjaga abah. Jadi sementara saya masih di AS saya membantu menampong slot-slot yang tidak diambil orang lain. Sudah dua hari abah berpindah ke wad baru. Suasana agak selesa dan diharap abah dapat berehat dengan tenang.  Namun selagi bernama manusia sudah pasti tetap ada kekurangan di sana-sini. Patutlah Rasullah SAW pernah bersabda antara timbangan amal manusia yang paling berat di akhirat ialah akhlaq mulia.

 Bukan susah sebenarnya untuk melakukan kebaikan tetapi segelintir manusia malas ambil pusing untuk memikirkan kepentingan dan kemaslahatan orang lain.  Saya selalu merasa rimas bila perlu menggunakan  lif ke tingkat 7. Bukan saya inginkan layanan istimewa tetapi sekadar inginkan peluang untuk melangkah keluar terlebih dahulu sebelum orang luar masuk ke dalam lif. Bertolak dan berebut masuk perkara biasa belum lagi diambil kira bersentuh tubuh dengan lelaki  /perempuan.  Lif untuk lelaki dan satu lif untuk perempuan  jika kita benar-benar ingin menjaga syariat. Begitu juga ketika membeli makanan di cafetaria. Memotong barisan dan berebut memilih makanan. Bila melihat sikap manusia memang kita diajar berlapang dada, bersangka baik namun saya masih tidak dapat memahami kenapa kita tidak melihat akhlaq Islam di kalangan orang Islam sendiri. Apakah ajaran Islam itu tidak di sampai secara menyeluruh atau kita yang malas untuk mengamalkan apa yang diajarkan.

Mengambil kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat ulang tahun kepada anak keempat saya. Semakin tambah usia sudah sewajarnya bertambah kematangan berfikir, bertindak dan beramal.Semuga hidup yang sebentar ini dimanfaatkan sebaiknya. Hadiah paling bermakna dari ibu dan bapa ialah nama yang baik dan akhlaq mulia. 

Thursday, March 31, 2011

Jangan Salah Pilih

Sehari-harian kami sekeluarga menunggu di lobi hospital. Abah tiba-tiba mendapat acute limb ischemia. Itu istilah yang saya dapat dari seorang anak saudara saya yang sedang mendalami bidang perubatan. Anak-anak mak/abah semuanya duduk jauh-jauh. Paling dekat pun Ustaz Bad/Ustazah Nad tetapi kini bertugas jauh pula dari rumah. Pergi balik 160Km. Bila terjadi kecemasan agak sukar untuk dia segera sampai ke muka pintu rumah mak/abah.  Sedangkan dulu tempat kerjanya hanya  beberpa KM dari rumah mak/abah. Dialah yang paling diharapkan untuk menangani urusan mak/abah. Cuma  dihujung minggu atau cuti sekolah sahaja  kami berdua dan anak-anak yang lain dapat pulang menjengok dan mengurus keperluan mak/abah. Dulu ketika muda-muda saya suka dan menggalakkan anak-anak belajar dan merantau jauh untuk menimba ilmu dan pengalaman hidup tetapi bila melihat apa yang berlaku pada mak/abah saya bagaikan teringin anak-anak berada dekat-dekat dengan rumah. Walaupun khidmat bibik dapat membantu meringankan tugas tetapi tentu tidak sama dengan sentuhan keluarga sendiri.




abah selesai operasi di Hospital Sultanah Bahiyah.
*ihsan FB teh...yang lain x sempat nak upload



Kesempatan masa yang banyak terluang di ruang menuggu itu memberi saya banyak masa untuk berfikir. Saya mencongak sekarang sudah  ada 4 orang ahli keluarga saya mengambil bidang kejuruteraan mekanikal  dan mungkin seorang lagi akan mengikut .Tiba -tiba teringin juga ada seorang yang mengambil bidang perubatan. Bukan saya tidak pernah menyarankan tetapi  masing-masing menolak dengan alasan-alasan mereka tersendiri. Dan bila keputusan SPM diumumkan nampaknya gred Fizik lebih baik pula dari Biologi.Jadi sudah pasti peluang mereka lebih cerah di bidang kejuruteraan. Baru-baru ini ketika usai membantu  anak saya mengisi permohonan  UPU seorang sahabat bertanya. "Minta apa?" Saya jawab "Asasi fizikal...." "Isy....isy...sydahla...sudahlah sains fizikal tu...ambik la bidang lain pula" Saya hanya tersenyum. Masing-masing ada jawapan di atas apa yang direncanakan. Begitu juga anak-anak saudara saya yang kesemuanya memilih bidang perubatan. Saya percaya mereka  ada keupayaan dan azam yang kuat untuk menjadi seorang doktor yang baik satu hari nanti. Jika tidak tentu mereka tidak memilih bidang tersebut.




Mahu? Perlu? Mampu?


hai..cucu saya ni pun nak jadi engineer jugak? Bila  nampak segala crane, dsbnya puas dipujuk jika mahu diajak pulang

 Saya selalu tersenyum bila teringat kata-kata yang sering suami saya ulang-ulang. Mahu. Perlu. Mampu.Mahu jadi engineer? Perlukah ada engineer? Mampukah untuk jadi seorang engineer? Hanya diri sendiri yang mampu menjawabnya dan berusaha untuk merealisasikan impian itu. Kita hanya mampu menarik kuda ke air tetapi kuda itu yang perlu minum untuk terus hidup. Ibubapa  dan pensyarah hanya mampu menyokong dan memudahkan laluan. Apa pun yang kita pilih hari ini  mampu memberi peluang pekerjaan  dalam bidang pengkhususan kita dan kita gembira dengan kerjaya kita. Kerana kerjaya itu adalah corak  hidup kita di masa hadapan dan paling penting kerjaya itu mampu menyumbang untuk Islam dan manusia sejagat amnya.



Tuesday, March 29, 2011

Selagi Bernama Manusia


Sudah hampir seminggu hujan turun berterusan. Dua hari lepas alhamdulillah panas terik hingga ke petang. Dapatlah dikeringkan baju-baju . Selagi nama manusia kita tak pernah berpuas hati. Hujan pun salah, tak hujan pun salah. Cuma bila berbicara kita kenalah belajar menapis apa yang keluar dari lidah kita. Ada kala kita rasa perkara biasa sahaja tetapi bila direnung kembali barulah rasa menyesal dengan apa yang kita lapazkan.  Ada sahabat mengambil pendekatan "Baik kita tutup mulut saja , kot salah cakap" Tapi kalau nak berinteraksi, nak berbaik-baik dengan kawan, jiran tetangga sudah pasti terpaksa juga menggunakan lidah. Memang Allah menjadikan semua pancaindera yang ada pada tubuh kita untuk melakukan perkara yang baik-baik sahaja tetapi sebagai manusia kita tak sunyi dari melakukan kesilapan dan terlanjur. Allah juga mengajar kita jalan keluar dari dosa yang sengaja dan yang tak disengajakan. Kita diajar berdoa dan memohon taubat dari Nya dan dengan manusia yang kita melakukan kesalahan tersebut. Selagi  bernama manusia kita tidak lepas dari salah dan silap .Sebaik -baik manusia mereka yang sentiasa muhasabah diri dan memohon ampun sebanyak-banyaknya. Masa tidak menunggu kita dan kita tidak boleh bertangguh untuk berbuat baik. Jika kita ikhlas ingin mengisi hidup kita dengan  melakukan kebaikan insyaallah Allah akan mudah dan mempermudahkan. Biasalah berbuat baik ketika tubuh masih kuat mudah-mudahan Allah akan membantu bila tubuh kita sudah lemah dan tidak berdaya .



Bertahniq ini perlu dilakukan oleh  orang yang berakhlak baik (solih). Buah kurma (tamar) itu dikunyah dahulu oleh orang melakukan tahniq kemudian dimasukkan ke dalam mulut bayi sehingga menyentuh lelangitnya. Buah kurma tadi elok digaulkan dengan sedikit air zam-zam. Diharapkan bayi akan mewarisi akhlak orang yang melakukan tahniq. Oleh itu kita perlulah memilih orang yang akan melakukan tahniq iaitu  seseorang yang diyakini berakhlak baik (solih).