Hari -hari yang berlalu ibarat daun-daun kehidupan yang gugur satu demi satu. Maka akhirnya pohon yang megah berdiri sujud rebah ke bumi menunggu perhitungan seterusnya.
Friday, February 5, 2010
Cakap Malam Dengar-Dengar
Minggu ini minggu tidak sihat. Di tadika pun ramai murid tidak hadir kerana demam dan selsema. Jika tidak ada program saya akan berada di rumah sahaja setiap malam. Cuma mungkin kerana kurang sihat dan masa banyak dihabiskan di tempat tidur. Bukan nak tidur sangat tetapi mungkin kerana ubat selsema yang membuat saya rasa macam tak nak buat apa kecuali tidur, maka terpaksalah tidur. Walaupun nyamok sangat menganggu dek penangan ubat memang mata asyik nak tutup sahaja.Buku entah kemana, selimut juga kemana.
Bila sudah tidak sihat sudah pasti deria yang lain menjadi sangat sensitif, sampaikan budak-budak kolej yang menyewa di belakang rumah bising dan ketawa pun hati jadi terganggu.. Bila tengok jam hm.....rupa-rupanya sudah jam 11.00 malam dan mereka masih bergurau senda dan ketawa riuh rendah.Tanpa menyedari waktu tidur jiran keliling tidak sama dengan waktu tidur mereka.
Kasihan Nani, jiran sebelah rumah saya . Dia sedang sarat mengandung, ada anak kecil pula, suami pula ke China ,Setiap hari pukul 6.30 pagi sudah kena keluar rumah kerana mengajar di bahagian Pulau.tentu dia turut geram kerana tidak dapat tidur dan anaknya sudah pasti susah dipujuk bila sudah terbangun. Mahu tidak mahu ayahnya, Mr J terpaksa menalipon polis meminta polis datang bagi amaran kepada anak-anak muda tersebut. Barulah aman sikit.
Saya terfikir adakah orang muda sentiasa berpegang dengan prinsip hidup muda hanya sekali. Jadi mereka merasakan dunia ini bagai mereka yang punya. Pedulikan apa kata jiran, apa kata orang lebih tua dari mereka asalkan mereka dapat melakukan apa yang mereka inginkan sudah cukup bagi mereka.
Saya cuba tidak bersikap prejudis dengan mereka. Saya juga pernah muda tetapi mungkin kerana masa muda saya tidak mempamerkan sikap begitu saya tidak dapat menerima nilai-nilai begitu. Manakah perginya perpatah lama masuk kandang kambing mengembik, cukupkah setakad difahami makna agar dapat menambah markah Bahasa Melayu sahaja?
Hidup muda memang sekali tetapi alangkah indahnya jika anak-anak muda ini belajar hidup bermasyarakat. Belajar menghormati jiran setempat. Bukan sahaja menambah nilai baik kepada diri sendiri tetapi membawa nama baik kolej dan ibubapa. Jika terus-terusan anak-anak muda ini bersikap begini saya tidak pasti masih adakah lagi tuan rumah yang ingin menyewa rumah kepada mereka di masa hadapan. Sendiri dan ibu bapa juga yang susah.
Sebagai orang tua sudah pasti tugas kita menegur dan membimbing mereka. Kembali kepada cara yang Islam ajarkan tetapi mungkin memakan masa yang lama dan panjang kerana dalam diri mereka sendiri kesedaran itu masih belum ada. Manakan tidak ketika waktu solat Jumaat suara mereka masih riuh-rendah bergurau senda manakala di menara serak suara khatib membacakan kutbah dan memberi peringatan. Remaja hari ini adalah pemimpin di masa depan, bagaimanakah mereka akan mencorakkan negara jika mereka belum nampak arah mana mereka mahu mencorakkan diri mereka hari ini. Marilah tidak berputusasa kerana mereka masih muda-muda belaka.Kata orang tua-tua, ubun-ubun masih lembut dan fikiran masih belum cukup matang.Cabaran pula datang dari berbagai penjuru hanya iman dan akal yang sihat sahaja mampu menangkis serangan ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment