Monday, November 8, 2010

Bila Hujan Turun

Cuti umum jatuh pada hari Jumaat . Hari Khamis anak-anak sudah mula pulang. Yang pertama tiba sudah pasti kak ngah dari JB.Kebetulan kami berdua keluar survey water jet di Chai Leng Park jadi dalam perjalanan pulang singgah ambil Harith di asrama. Petangnya saya ikut kak ngah melawat kawannya bersalin di SP. Ketika sedang pulang suami menelefon adik ipar akan sampai dari Alor Setar. Sebaik tiba saya segera masuk menyiapkan bilik-bilik/tilam bantal/selimut dsbnya  untuk mereka.
Sawah yang dulu menghijau dan....

mampu menzahirkan rasa bahagia di wajah....kini
                                  .. 

melaut luas hingga sejuknya menyucuk hati petani

Saya tidak sempat memasak kerana sudah beberapa hari asyik berjalan. Jadi stok makanan di dalam peti ais juga sudah hampir  habis  Kalau ada pun keras membeku.. Tengaharinya kami makan di Penaga dan sebelum ke SP saya sekadar menyiap keow tew goreng untuk makan malam.Itupun sudah dihabiskan kerana kebiasaan kami makan sebelum maghrib. Mujur juga mertua adik ipar membawa nasi goreng . Sambil melayan mereka makan kami berbual kisah banjir di Taman Uda.Rumah lama kami. Letrik sudah dipotong dan air paip juga sudah berhenti mengalir. Air banyak tetapi air bersih tak ada. Saya mengusik " Ni yang orang tua-tua dok kata itik di air mati kehausan". Air mineral laris macam goreng pisang panas. Orang datang membeli berkotak-kotak. Untuk kegunaan sendiri dan yang bijakbertindak sudah pasti untuk dijual pula.
kak ngah  meronda mengambil foto  banjir di Taman Uda  petang 6 Nov 2010

Taman Uda adalah antara taman perumahan terawal di bandar Alor Setar. Tiada siapa menduga air akan naik sehingga ke paras pinggang. Ia tidak datang dari hujan lebat atau dari sungai yang tepu tetapi datang dari sawah padi di belakang taman tersebut. Jika datang menaiki kapalterbang  sawah-sawah itulah  yang dilihat ketika kapalterbang hampir tiba di lapangan terbang Sultan Abd.Halim. Jika musim menanam sungguh cantik pemandangannya. Menghijau atau menguning.Kini batas-batas sawah telah bersatu menjadi lautan yang sangat luas. 

Sawah-sawah itu letaknya di hadapan kampong mertua di Titi Gajah. Menganjur hingga ke belakang Taman Uda. Bila air  sungai   sudah tepu ia akan melimpah ke kampong kemudian air itu akan melintas jalan sebelum masuk ke sawah-sawah. Air terus bergerak dan bergerak hingga sampai ke Taman Uda dan kawasan sekitarnya. Air mulai naik di situ seawal jam 6 petang. Jam 3 pagi air sudah sampai ke paras lutut di lorong rumah lama saya. Air juga melintas Jalan Sultanah untuk sampai  ke Taman Rakyat dimana Kauthar/Zaharan tinggal. Penduduk yang tidak pernah mengalami banjir tidak begitu bersedia. Mengemas dan mengangkat barang-barang letrik dan mudah rosak. Bila melihat paras air semakin naik baru mereka bagaikan tersedar bahawa ini bukan sekadar air biasa. Atau air longkang sebak semasa hujan lebat tetapi ini air banjir. Ya banjir terburuk setiap 100 tahun.


Stesen Esso dan Shell yang selalu jadi landmark untuk ke Taman Uda

Jam 7 pagi  keadaan menjadi bertambah kalut kerana ada beberapa buah sekolah di kawasan ini. Stesen Shell dan Esso sudah tidak boleh dilalui kenderaan ringan.  Ibubapa yang menghantar anak-anak  ke sekolah dan orang-orang yang berusaha memindah kereta-kereta ke tempat yang tinggi. terpaksa bersesak-sesak .Jalan Sultananh sudah menjadi terusan. Di mana mahu parkir kereta ?  Tempat yang paling selamat sudah pasti di atas flyover di Jalan Tun Razak. berhadapan SK Taman Rakyat.Mungkin kerana Jalan Tun Razak agak tinggi air tidak mudah sampai ke Taman PKNK. Namun orang-orang di situ tetap berwaspada dan mula berjaga-jaga.


kak ngah di sawah di belakang Taman Uda 2003 sejurus sebelum berpindah.

Pagi-pagi Jumaat  dalam  hujan renyai-renyai usai  solat subuh saya sudah bersiap dengan  bekas-bekas. Mencari gerai nasi lemak untuk sarapan. Alhamdulillah gerai pilihan kami tetap dibuka walaupun cuti umum. Siap bersarapan adik ipar berkira-kira ke Kulim. Suami menahan dan mereka  memutuskan untuk makan tengahari dan solat  Jumaat di sini sahaja. Saya memasak apa-apa sahaja yang dapat saya temui dalam peti ais. Kemudian Kauthar/Zaharan pula tiba. Mereka  membawa bersama banyak bahan mentah dari peti ais  emak mereka, kak Sakinah . Peti ais terpaksa dikosongkan kerana pencawang TNB sudah ditengelami air. Mereka pula sudah bertolak ke rumah adik Zaharan di Rawang.Saya segera merangka menambah menu.


Menu  mudah tetap  enak bila dimakan beramai-ramai begini

Ketika orang lelaki   bersolat Jumaat kami sibuk di dapur. Kauthar mengopek kerang, kak ngah mengupas ciku. Saya pula menyiap bingka ubi. Ubi pula dicabut dari rumah di Taman Uda ketika kami ke situ Isnin lepas.   Akhirnya dapatlah kami menjamu selera dengan berbagai hidangan. Yang paling istimewa sudah  pasti kerabu pegaga. Pegaganya dipetik di belakang rumah +  serai dari aunty Jalilah + kelapa/kerisik/kerang  dari stok kak Sakinah . Bukan susah sangat nak buat kerabu tetapi bila memikir segala ketete/gelambirnya hm..tu yang jadi payahnya. Tapi bila dah dapat dibuat dan melihat  betapa cepatnya ia lenyap memang rasa berbaloi.

Harith yang tak biasa melihat saya mengoreng kerisik siap memberi komen "Hm..bau apa ni macam sedapp... sangat"  Salah saya juga. Asyik beli kerisik siap di dalam paket sampai anak tak kenal bau harum kelapa sedang digoreng. Sekurang-kurangnya dapatlah juga dikongsi satu lagi pelajaran hidup sambil memberi makan orang yang kelaparan dan terpaksa melarikan diri dari rumah kediaman masing-masing. Setiap yang berlaku ada hikmahnya dan bukan semua manusia tabah dan reda dengan ujian dariNya. Sesekali bila Allah menguji. Bila merasa  kita yang paling derita sudah pasti ada orang lain lagi yang lebih menderita dari kita. Pujuklah hati kita dengan mengingati balasan baik yang Allah sediakan untuk hambaNya yang bersabar dan  tidak pernah berburuk sangka dengan Nya.

Friday, November 5, 2010

Bila Kita Diuji Allah

"Apakah kamu mengira kamu beriman sedangkan kamu belum diuji?" Itulah soalan yang perlu kita sendiri yang menjawabnya. Bagi mereka yang berkali-kali dilanda banjir sudah pasti mereka sudah bersedia. Menerima ini sebagai ujian Allah dan bersedia menerima apa sahaja kerosakan dan kerugian yang bakal dialami. Bagi yang pertama kali rumah mereka dilanda banjir sudah pasti ini satu pengalaman yang pahit dan trauma sekali. Dari laporan di akhbar utama banjir kali ini adalah lebih buruk dari tahun 2005

4 Nov: - Banjir yang melanda negeri ini tidak menampakkan tanda-tanda akan pulih malah
 jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada 28,569 orang berbanding 25,000 semalam.Keadaan banjir menjadi semakin buruk di daerah Kota Setar apabila air mula melimpah memasuki kawasan bandar dan taman-taman perumahan yang sebelum ini tidak pernah dilanda bencana alam itu.Jumlah penduduk yang dipindahkan di daerah berkenaan melonjak kepada 8,184 orang berbanding 1,788 semalam.

Beberapa jalan utama masih ditutup kepada lalu lintas antaranya Jalan Alor Setar-Kangar, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Jalan Kuala Sungai-Sungai Baru, Jalan Alor Setar-Kepala Batas, Jalan Hutan Kampung-Kepala Batas dan Jalan Pantai Johor-Gunung Keriang.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Qahar Osman, berkata pihaknya menjangka banjir di negeri ini bertambah buruk hari ini, berikutan air dari kawasan tinggi termasuk Padang Terap dan Jitra melimpah ke kawasan rendah khususnya di daerah Kota Star.Beliau berkata, keadaan air laut pasang juga akan memperlahankan aliran air sungai di sepanjang Lembangan Sungai Bata di Jitra dan lembangan Sungai Padang Terap.
Semalam adik ipar membawa keluarganya  pindah ke rumah kami. Bekalan letrik dan air telah terputus. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Air semakin naik . Bila berlaku air pasang di laut bererti air dari darat akan lambat turun ke laut. Ini bererti banjir akan menempoh tempoh bertenang selama beberapa hari lagi. Memang berlaku havoc di Alor Setar bila taman perumahan yang tidak pernah banjir mula banjir. Mereka yang tidak bersedia di segi fizikal dan mental menjadi panik dan tidak tahu berfikir secara  rational lagi.


Ketika ini mereka sangat memerlukan sokongan moral dan material . Bekalan makanan dan air minum  sangat diperlukan. Saya sangat  bimbang dan tidak henti-henti berdoa kerana Kauthar dan keluarga mertuanya belum berpindah dari rumah mereka. Saya bimbang kerana paras air kian meningkat dan kereta yang diparkir di tempat tinggi belum tentu mampu membawa mereka keluar apabila air memenuhi jalan-jalan di Alor Setar.



Pengalaman meredah air banjir memang tidak dapat dilupakan. Air yang sejuk, dalam dan entah apa bahaya yang ada di dalamnya air itu. Maklumlah air itu datang dari berbagai punca. Jadi sementara punya peluang segeralah berpindah ke tempat yang lebih selamat. Siapa  yang tak sayangkan harta benda. Bertahun-tahun kita mengumpulnya tetapi bila kita diuji Allah sudah pasti kita tidak mampu menahannya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Itu semua orang tahu tetapi menghayati falsafahnya tentu tidak semudah dituturkan.


Bagi yang belum  ditimpa musibah ini marilah sama-sama kita tunduk sujud.Bermunajat kepada Allah memohon diampunkan dosa dosa kita dan mohon segera diangkat musibah ini.Ringankanlah tangan untuk menyumbang di tabung bencana yang diujudkan oleh Pertubuhan Ikram Pulau Pinang dan JIM Negeri Pualu Pinang . Insyaallah sahabat-sahabat saya ini sedang berusaha mengumpul dana dan tenaga untuk membantu saudara-saudara kita di Kedah. Bagi yang ingin menyumbang sila masukkan sumbangan anda segera. Bila kita masukkan duit tiada siapa yang tahu identiti kita. Tangan kanan menyumbang, tangan kiri pun tidak tahu. Mereka bersama Pertubuhan IKRAM Pusat sedang mengatur gerakkerja untuk membantu  orang-orang di Kedah.


Sila menyumbang ke tabung tersebut di akaun ini.Bersegeralah melakukan kebaikan. 


BIMB JIM Seberang Prai Utara  07043011009274.
atau jika ingin menyumbang tenaga dan apa sahaja sila hubungi
Kompleks JIM 03-40153766. 

  

Jazakallahukhairan...hanya Allah  jua yang membalasnya.
  

Wednesday, November 3, 2010

Banjir Datang Lagi!!!

Bermula tahun 1988 ketika itu kami baru pulang dari UK. Ammar pun masih kecil.Episod banjir bermula dan rumah mak/abah ditengelami banjir. kata emak sejak kecil mak tinggal di situ itulah kali pertama merasa rumah ditenggelami banjir. Anak cucu  memang seronok bermain air banjir. Ada yang berwarna jernih , ada yang berwarna teh susu. Ada yang datang membawa pasir, membawa selut dan juga sampah sarap.

Ni banjir kecil 2008...tapi barang-barang tetap dipindah ke atas rumah. Takut...air naik tinggi!
Oh...! Bermula juga aktiviti hujung minggu yang sungguh panjang. Khamis petang ke Kelantan melawat anak yang sedang menunggu hari. Belum pun sampai ke Kupang, (jalan yang menghubung terus ke Gerik)  kami menempoh hujan yang sangat lebat. Saya berulang kali  bertanya suami jika kami patut singgah bermalam di Baling sahaja. Kebetulan masuk asar jadi kami singgah solat di situ. Lepas solat hujan sudah reda jadi dengan bertawakkal kami teruskan juga. Sepanjang Lebuhraya Timur-Barat beberapa buah kereta terbabas kerana jalan licin. Kabus menyelubungi sepanjang jalan. Bila tiba di Puncak Titiwangsa  udara sejuk macam di Cameron Highland, kabus menyelubungi. Kami meneruskan perjalanan hingga ke Rantau Panjang. Hari sudah maghrib dan jalan yang basah menjadikan suami memandu dengan berhati-hati sambil saya terus berdoa dan berdoa sepanjang jalan.Alhamdulillah, kami selamat tiba di Pasir Tumbuh jam 9.30 malam. Perjalanan paling lama ke Kota Bharu. Biasanya sekadar 4 jam sahaja. Zaffran pun sudah tidur setelah puas menunggu kami .

2 hari di KB tidak banyak aktiviti dilakukan .Sekadar melayan cucu kerana ibunya ada Kem Diet Peringkat Negeri pulak hari itu. Sempat ke pasar mencari barang yang dipesan ipar dan makan di Nasi Ulam Cikgu Taman Orkid. Sejak hari Khamis hujan sepanjang hari. Pagi-pagi Ahad kami pulang Perlu menghantar anak ke Bukit kayu Hitam kali ini kami mencari jalan dari Sik ke Gurun. Hujan juga sepanjang hari. Selepas menghantar anak di sekolahnya kami menyusur jalan mencari rumah emak/abah.( Esoknya jalan ke Bukit Kayu Hitam ditutup kerana banjir) Tiba di rumah mak  mula risau kerana hujan tak berhenti-henti turun. Suami pula mula seram sejuk mungkin kerana asyik kehujanan sahaja.


Di dapur jam 10pagi. Sambil angkat barang sambil ambil gambar. Nak update kat adik beradik yang rajin menelefon. Picture speaks thousand words.



Kereta dilarikan ke tepi jalan utama Alor Setar-Jitra. Petang ramai orang berkemah di situ.

Pagi-pagi Isnin sempat menjenguk rumah lama kami. Dapatlah mengubat rindu. Tapi maklumlah rumah dah diserah untuk disewa sudah pasti atas ikhsan penyewa  nak jaga atau tidak. Selepas mencatat beberapa pembaikan kami pulang kerana mak sudah risau bila air sudah masuk ke longkang belakang rumah. Itu petanda air sungai sudah sampai ke rumah kami. Begitulah adatnya, bila air sungai masuk bererti air sungai sudah tepu dan terpaksa melimpah ke kampong orang.

Isnin malam kami membuat keputusan memindah barang-barang ke tingkat atas. Kerja-kerja selesai hampir jam 1 pagi. Sempat juga kami berborak sambil makan donat segera sebelum air mula masuk ke rumah pada 12.00 malam 2/11/2010. Kami sudah bersiap naik ke atas untuk tidur. Mereka juga perlu pulang kerana esok nak kerja.

Pukul 3 pagi suami bangun  memakir keretanya ke tepi jalan utama.. Paras air terus naik. Sejuk atau tidak solat mesti ditunaikan. Tangan kuat angkat barang mesti kuat juga angkat takbir. Itu pesan ustaz yang mengajar.
Kerja dan terus kerja. Macam-macam benda nak diselamatkan.Paras air makin tinggi. Sampah sarap mula datang  entah dari mana-mana. Mujur rumah mak ada rumah atas. Bila sudah habis barang-barang dipindahkan dari  dalam rumah baru mak teringat nak selamatkan baja sabsidi yang berpuluh kampit di luar rumah. Yang sudah hancur dek air pun banyak juga. Mak menelefon  bang Meh (Khamis) supaya datang  selamatkan baja -baja itu bersama suami saya. Hari pun tidak hujan jadi mudah sikit kerja. Sudah pukul berapa barulah teringat belum bersarapan. Bila dah sibuk nak makan pun tak sempat apatah lagi nak masak. Alhamdulillah...nasi bungkus Azizah dapat juga mengisi perut kami untuk tengahari itu..

Bang Meh datang untuk misi menyelamat baja sabsidi. Padi baru ditanam minggu lepas.

Di bawah sana  riuh-rendah cucu-cucu saudara bermain air.  Di atas rumah sunyi sepi  mak/abah/suami dan anak saudara tidur keletihan,Saya tak berani tidur kerana masih ada beberapa barangan  letrik yang belum dibuka dan dipindahkan. .Paras air terus naik. Mata tangga satu demi satu ditenggelami air. air pun sejuk macam air batu. Air bertakung di dalam rumah macam air dalam kolam. Sejuk..Tuhan yang tahu. Bila bilik mandi tenggelam terasalah sukarnya bila nak buang air. Macam-macam saranan yang timbul dan lucu-lucu
belaka. Semuanya  atas nama darurat...


Abah pun makan atas katilnya. dan saya di belakang sibuk update FB

Lepas zohor  kami bersiap untuk pulang. Kertas peperiksaan semester akhir sedang menunggu untuk diperiksa. Suami pula sudah bercuti tiga hari jadi banyak kerja yang perlu diselesaikan.Adik ipar pun sudah datang menganti dan petang lepas kerja Kauthar dan Zaharan pula akan membantu pak ciknya.

Ketika kami pulang di kiri kanan jalan keadaan masih terkawal. Air belum melintas jalan dari arah sungai ke sawah. Cuma laluan  ke Hutan Kampong tealh ditutup kerana ditengelami air. Kami pulang dengan hati yang bercampur-campur kerana  bekalan air sudah terputus. Ramai jiran-jiran sudah berpindah .Risau juga meninggalkan mak dan abah. Jika dulu abah yang rajin buatkan rakit untuk cucu bermain sekarang dirinya pun  perlu mak uruskan.

Malam  Kauthar beritahu  mereka sedang berusaha  memujuk abah supaya pindah ke rumah mak lang di Kulim. Akhirnya hampir jam 10 malam mereka berjaya bawa  abah ke jalan raya.  Zaharan tanggung di belakangnya.Mujurlah abah kecil sahaja. Abah dan mak tidur di rumah pak cik dan cadangnya esok mak lang pula pulang dan bawa mak/abah  ke Kulim.


 Ini dekat Muzium Alor Setar air sungai sudah melimpahi tebing. Kesesakan jalan raya akibat jalan ditutup  pada jam 11 pagi 3/11/2010.

Ini bendang abah dekat airport dah jadi laut. Padi baru ditanam dan baja pun sudah hancur dek air.


                                    
                       Mak  dengan pembantu setianya. Rumah dia  yang paling dekat dengan  rumah mak.



Pagi ini 3/11/2010 asyik menerima panggilan dan SMS bertanyakan kabar mak/abah. Dari info yang dapat SSK Titi Gajah juga ditutup kerana dinaiki air. Jalan di hadapan rumah mak/abah sudah dilimpahi air. Keadaan banjir kali ini lebih teruk dari tahun 2005. Sungai di belakang muzium sudah melimpahi tebing dan biasanya akan banjir di bandar Alor Setar pula. Begitulah juga bekalan letrik akan ditutup jam 3 petang nanti.
Dari berita TV3 sudah 20 ribu telah dipindahkan. Angka tak resmi ramai lagi sebab ada yang berkampung di tepi-tepi jalan.

Mereka yang kena banjir susah cara kena banjir , yang tak kena banjir pula susah cara lain. Pakat-pakatlah bantu mana yang boleh, paling tidak pun angkatkan tangan sama-sama berdoa. Muga dikurniakan kebijaksanaan kepada para  pengurus negeri. Dari sebesar-besar pangkat  hingga sekecil-kecilnya. Mudah-mudahan banjir yang datang ada pelajaran dan pengajaran yang kita dapat  Mudah-mudahan juga keadaan banjir tidak semakin buruk, dan meragut lebih ramai nyawa dan merosakkan harta benda / tanaman. Sesungguhnya bencana ini mnjadi tazkeerah utk. semua, mengingatkan kita kepada kelemahan diri dan keagungan serta kebesaran Allah SWT.Juga bukan masa menuding jari .Sekarang masa untuk memikir cara dan gerakkerja untuk membantu apa yang kita mampu. Orang Islam itu bersaudara. Cubit peha kiri peha kanan terasa sakitnya. Jangan nanti Persatuan Buddhist datang lebih awal kepada  kita seperti yang berlaku beberapa tahun lalu. Sampai kita pula rasa malu menerima bantuan mereka. Cepatnya mereka bertindak dan ketika kita sangat memerlukan bantuan  pulak.