Wednesday, November 3, 2010

Banjir Datang Lagi!!!

Bermula tahun 1988 ketika itu kami baru pulang dari UK. Ammar pun masih kecil.Episod banjir bermula dan rumah mak/abah ditengelami banjir. kata emak sejak kecil mak tinggal di situ itulah kali pertama merasa rumah ditenggelami banjir. Anak cucu  memang seronok bermain air banjir. Ada yang berwarna jernih , ada yang berwarna teh susu. Ada yang datang membawa pasir, membawa selut dan juga sampah sarap.

Ni banjir kecil 2008...tapi barang-barang tetap dipindah ke atas rumah. Takut...air naik tinggi!
Oh...! Bermula juga aktiviti hujung minggu yang sungguh panjang. Khamis petang ke Kelantan melawat anak yang sedang menunggu hari. Belum pun sampai ke Kupang, (jalan yang menghubung terus ke Gerik)  kami menempoh hujan yang sangat lebat. Saya berulang kali  bertanya suami jika kami patut singgah bermalam di Baling sahaja. Kebetulan masuk asar jadi kami singgah solat di situ. Lepas solat hujan sudah reda jadi dengan bertawakkal kami teruskan juga. Sepanjang Lebuhraya Timur-Barat beberapa buah kereta terbabas kerana jalan licin. Kabus menyelubungi sepanjang jalan. Bila tiba di Puncak Titiwangsa  udara sejuk macam di Cameron Highland, kabus menyelubungi. Kami meneruskan perjalanan hingga ke Rantau Panjang. Hari sudah maghrib dan jalan yang basah menjadikan suami memandu dengan berhati-hati sambil saya terus berdoa dan berdoa sepanjang jalan.Alhamdulillah, kami selamat tiba di Pasir Tumbuh jam 9.30 malam. Perjalanan paling lama ke Kota Bharu. Biasanya sekadar 4 jam sahaja. Zaffran pun sudah tidur setelah puas menunggu kami .

2 hari di KB tidak banyak aktiviti dilakukan .Sekadar melayan cucu kerana ibunya ada Kem Diet Peringkat Negeri pulak hari itu. Sempat ke pasar mencari barang yang dipesan ipar dan makan di Nasi Ulam Cikgu Taman Orkid. Sejak hari Khamis hujan sepanjang hari. Pagi-pagi Ahad kami pulang Perlu menghantar anak ke Bukit kayu Hitam kali ini kami mencari jalan dari Sik ke Gurun. Hujan juga sepanjang hari. Selepas menghantar anak di sekolahnya kami menyusur jalan mencari rumah emak/abah.( Esoknya jalan ke Bukit Kayu Hitam ditutup kerana banjir) Tiba di rumah mak  mula risau kerana hujan tak berhenti-henti turun. Suami pula mula seram sejuk mungkin kerana asyik kehujanan sahaja.


Di dapur jam 10pagi. Sambil angkat barang sambil ambil gambar. Nak update kat adik beradik yang rajin menelefon. Picture speaks thousand words.



Kereta dilarikan ke tepi jalan utama Alor Setar-Jitra. Petang ramai orang berkemah di situ.

Pagi-pagi Isnin sempat menjenguk rumah lama kami. Dapatlah mengubat rindu. Tapi maklumlah rumah dah diserah untuk disewa sudah pasti atas ikhsan penyewa  nak jaga atau tidak. Selepas mencatat beberapa pembaikan kami pulang kerana mak sudah risau bila air sudah masuk ke longkang belakang rumah. Itu petanda air sungai sudah sampai ke rumah kami. Begitulah adatnya, bila air sungai masuk bererti air sungai sudah tepu dan terpaksa melimpah ke kampong orang.

Isnin malam kami membuat keputusan memindah barang-barang ke tingkat atas. Kerja-kerja selesai hampir jam 1 pagi. Sempat juga kami berborak sambil makan donat segera sebelum air mula masuk ke rumah pada 12.00 malam 2/11/2010. Kami sudah bersiap naik ke atas untuk tidur. Mereka juga perlu pulang kerana esok nak kerja.

Pukul 3 pagi suami bangun  memakir keretanya ke tepi jalan utama.. Paras air terus naik. Sejuk atau tidak solat mesti ditunaikan. Tangan kuat angkat barang mesti kuat juga angkat takbir. Itu pesan ustaz yang mengajar.
Kerja dan terus kerja. Macam-macam benda nak diselamatkan.Paras air makin tinggi. Sampah sarap mula datang  entah dari mana-mana. Mujur rumah mak ada rumah atas. Bila sudah habis barang-barang dipindahkan dari  dalam rumah baru mak teringat nak selamatkan baja sabsidi yang berpuluh kampit di luar rumah. Yang sudah hancur dek air pun banyak juga. Mak menelefon  bang Meh (Khamis) supaya datang  selamatkan baja -baja itu bersama suami saya. Hari pun tidak hujan jadi mudah sikit kerja. Sudah pukul berapa barulah teringat belum bersarapan. Bila dah sibuk nak makan pun tak sempat apatah lagi nak masak. Alhamdulillah...nasi bungkus Azizah dapat juga mengisi perut kami untuk tengahari itu..

Bang Meh datang untuk misi menyelamat baja sabsidi. Padi baru ditanam minggu lepas.

Di bawah sana  riuh-rendah cucu-cucu saudara bermain air.  Di atas rumah sunyi sepi  mak/abah/suami dan anak saudara tidur keletihan,Saya tak berani tidur kerana masih ada beberapa barangan  letrik yang belum dibuka dan dipindahkan. .Paras air terus naik. Mata tangga satu demi satu ditenggelami air. air pun sejuk macam air batu. Air bertakung di dalam rumah macam air dalam kolam. Sejuk..Tuhan yang tahu. Bila bilik mandi tenggelam terasalah sukarnya bila nak buang air. Macam-macam saranan yang timbul dan lucu-lucu
belaka. Semuanya  atas nama darurat...


Abah pun makan atas katilnya. dan saya di belakang sibuk update FB

Lepas zohor  kami bersiap untuk pulang. Kertas peperiksaan semester akhir sedang menunggu untuk diperiksa. Suami pula sudah bercuti tiga hari jadi banyak kerja yang perlu diselesaikan.Adik ipar pun sudah datang menganti dan petang lepas kerja Kauthar dan Zaharan pula akan membantu pak ciknya.

Ketika kami pulang di kiri kanan jalan keadaan masih terkawal. Air belum melintas jalan dari arah sungai ke sawah. Cuma laluan  ke Hutan Kampong tealh ditutup kerana ditengelami air. Kami pulang dengan hati yang bercampur-campur kerana  bekalan air sudah terputus. Ramai jiran-jiran sudah berpindah .Risau juga meninggalkan mak dan abah. Jika dulu abah yang rajin buatkan rakit untuk cucu bermain sekarang dirinya pun  perlu mak uruskan.

Malam  Kauthar beritahu  mereka sedang berusaha  memujuk abah supaya pindah ke rumah mak lang di Kulim. Akhirnya hampir jam 10 malam mereka berjaya bawa  abah ke jalan raya.  Zaharan tanggung di belakangnya.Mujurlah abah kecil sahaja. Abah dan mak tidur di rumah pak cik dan cadangnya esok mak lang pula pulang dan bawa mak/abah  ke Kulim.


 Ini dekat Muzium Alor Setar air sungai sudah melimpahi tebing. Kesesakan jalan raya akibat jalan ditutup  pada jam 11 pagi 3/11/2010.

Ini bendang abah dekat airport dah jadi laut. Padi baru ditanam dan baja pun sudah hancur dek air.


                                    
                       Mak  dengan pembantu setianya. Rumah dia  yang paling dekat dengan  rumah mak.



Pagi ini 3/11/2010 asyik menerima panggilan dan SMS bertanyakan kabar mak/abah. Dari info yang dapat SSK Titi Gajah juga ditutup kerana dinaiki air. Jalan di hadapan rumah mak/abah sudah dilimpahi air. Keadaan banjir kali ini lebih teruk dari tahun 2005. Sungai di belakang muzium sudah melimpahi tebing dan biasanya akan banjir di bandar Alor Setar pula. Begitulah juga bekalan letrik akan ditutup jam 3 petang nanti.
Dari berita TV3 sudah 20 ribu telah dipindahkan. Angka tak resmi ramai lagi sebab ada yang berkampung di tepi-tepi jalan.

Mereka yang kena banjir susah cara kena banjir , yang tak kena banjir pula susah cara lain. Pakat-pakatlah bantu mana yang boleh, paling tidak pun angkatkan tangan sama-sama berdoa. Muga dikurniakan kebijaksanaan kepada para  pengurus negeri. Dari sebesar-besar pangkat  hingga sekecil-kecilnya. Mudah-mudahan banjir yang datang ada pelajaran dan pengajaran yang kita dapat  Mudah-mudahan juga keadaan banjir tidak semakin buruk, dan meragut lebih ramai nyawa dan merosakkan harta benda / tanaman. Sesungguhnya bencana ini mnjadi tazkeerah utk. semua, mengingatkan kita kepada kelemahan diri dan keagungan serta kebesaran Allah SWT.Juga bukan masa menuding jari .Sekarang masa untuk memikir cara dan gerakkerja untuk membantu apa yang kita mampu. Orang Islam itu bersaudara. Cubit peha kiri peha kanan terasa sakitnya. Jangan nanti Persatuan Buddhist datang lebih awal kepada  kita seperti yang berlaku beberapa tahun lalu. Sampai kita pula rasa malu menerima bantuan mereka. Cepatnya mereka bertindak dan ketika kita sangat memerlukan bantuan  pulak.

No comments: