Tuesday, November 23, 2010

Lapangan Perjuangan

"jawab betui-betui jangan dok silap tajuk pulak"
 Perjuangan  SPM bermula hari ini untuk bang cu dan 467970 calon lagi. Ramainya...tahun ini dengar  kata UPSR pun 48 ribu dapat 5A.Budak-budak sekarang makin bijak pandai bukan macam kita dulu-dulu. Satu sekolah nak dapat dapat 5A pun payah. Saya dulu pun cuma dapat 3A saja tu pun bukan main bangga bila nama disebut dalam perhimpunan sekolah. Hajat hati nak juga belajar ke Sekolah Tun Fatimah apa kan daya hajat tak sampai. Lagipun sekolah tu jauh di hujung negeri ibubapa ketika itu berapa orang sangat yang sanggup lepaskan anak belajar jauh-jauh. Tapi bila dapat masuk ke Sekolah Sultanah Asma barulah terbuka luas mata melihat  luasnya dunia ini. Belajar berbahasa Inggeris dan memahami pertuturan guru serta arahan prefects ketika itu.

mohon restu dari wan
 Anak-anak sekarang memang sangat bertuah dan beruntung. Ibubapa akan berusaha sedapat mungkin merestui kemana sahaja anak mahu masuk belajar. Saya baru berbual dengan seorang teman lama .Tentang sikap dan semangat belajar anak bangsa saya.  Bila melihat keliling saya jadi takut. Takut melihat cara anak-anak bangsa saya melihat hidup. Hidup mesti senang ,seronok dan jika boleh tidak mahu susah-susah. Apa ada pada perpatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit dahulu, bersenang kemudian. Itu hanya kata-kata orang lama yang tak membawa erti apa-apa. Saya jadi takut anak-anak kita hanya menang sorak tapi kampong tergadai.
bersiap awal ke dewan peperiksaan
Fikirlah ayuhai anak-anak.Kamulah bakal peneraju negara di masa hadapan. Tidak cukup sekadar berbekal beberapa mata A dalam sijil SPM akan datang untuk bersaing menongkah dunia. Ilmu dunia dikejar, ilmu akhirat digalas. Jangan kita jadi bangsa terbuang di tanahair sendiri.Pandanglah ke belakang sambil menghafal fakta untuk kertas Sejarah  esok lusa apa yang dapat kamu dapat garap dari himpunan peristiwa yang menimpa Bani Umaiyyah, Abasiyyah dan Othmaniyyah. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melain kaum itu yang mengubah nasibnya. Sejarah dipelajari bagi menilai nasib dan kesudahan sesuatu peradaban itu. Dan  Islam boleh kembali gemilang jika kita ummat Muhammad SAW sanggup bangun dari mimpi yang panjang. Jadikanlah kejayaan di dunia sebagai jalan untuk kita berjaya di akhirat juga. Islam akan kembali gemilang jika kita sanggup berjuang bagaikan kita akan hidup selama-lamanya dan beribadat bagaikan  akan mati pada esok hari. Teruskan perjuangan wahai  anak-anak tersayang. Insyaallah ibu ayah tidak akan lupa mendokan, bersolat hajat dan apa saja cara yang mampu memberi ketenangan dan kekuatan berfikir bila berhadapan dengan  kertas demi kertas. Jika sudah berusaha, berdoa sudah pasti bertawakkal dan menyerah kepada Allah akan urusan seterusnya..

2 comments:

sal said...

salam ummi.moga anak akan beroleh kecemerlangan. AMIN.

syamil said...

All the best zaid.... straight A & cemerlang iman :)

Bgcik Leicester