Alhamdulillah.Itulah kalimah terbaik yang mampu diucapkan. Sudah tiga minggu 'mengerjakan' rumah mak/abah. Hari ini kami pulang ke rumah sendiri. Bermula hari Jumaat pagi dan berakhir magrib hari Sabtu. Cuci, buang dan kemas.Awal pagi saya sudah memasak nasi lemak. Sedikit alas perut untuk team DERU ,IKRAM yang bakal datang membantu. Kami bertolak ke kampong selepas bersarapan. Hujan sejak malam tadi masih turun lagi.
|
Menilai kerosakan yang berlaku! Nak report ke tidak? |
Menghampiri susur keluar AS Utara kelihatan sebuah VIVA putih sudah terperosok di dalam longkang di kiri jalan. Esoknya saya baca di akhbar rupa-rupanya 2 pelajar Uitm, Arau telah terkorban bila kereta itu terbabas dan melanggar sebatang pokok. Malang tidak berbau.Kita tidak boleh pandang remeh tuntutan berdoa ketika menaiki kenderaan dan memulakan perjalanan. Orang tua-tua selalu melarang kita terlalu gembira dan ketawa kerana kata mereka suka lawannya duka. Bila kita terlalu gembira kita jadi lupa dan ketika kita leka dan lalai selalu terjadinya kemalangan. Manakala dalam buku-buku doa juga dicatatkan antara orang yang diterima doanya ialah orang yang musafir atau dalam perjalanan. Sudah pasti bila kita berjalan tiada apa yang dapat membantu kita kecuali Allah. Berdoa juga mampu menolak musibah. Jika ditakdir kita tetap terkena mungkin sedikit atau kecil sahaja. Al fatihah untuk Syazwan dan Azrul Hadi. Semuga Allah memberi kesabaran kepada keluarga yang tinggal dan dicucuri rahmat ke atas roh mereka.
|
Viva yang meragut 2 nyawa. |
Tiba di rumah mak/abah kami segera memulakan tugas. Tidak lama kemudian seorang sahabat menelefon.Bertanyakan jika kami masih perlukan bantuan. Sudah pasti kami menerima dengan tangan terbuka.Kali ini team DERU IKRAM Kedah daerah Kulim pula turun membantu. Tidak lama kemudian mak/abah pula tiba dari Kulim bersama adik ipar saya. Cikgu Mis gembira melihat pelajar-pelajar sekolahnya sedang sibuk mencuci halaman rumah. Sambil menghidangkan makanan saya juga sibuk membantu Kauthar menyiapkan laksa Kedah. Deria rasa seorang ibu. Petang Khamis saya sudah membeli beberapa kilo ikan kembong untuk dibuat laksa. Malamnya Kauthar pula berSMS ' ummi, pak cik Radhi juai ikan dak? esok kita buat laksa" . Saya pula membalas "Sapa nak perisi ikan, semua sibuk cuci rumah?" Dibalasnya pula "Tak apa lang sanggup". Saya segera memesan dia mencari satu dua rencah tambahan untuk laksa .Insyaallah, laksa Kedah untuk makan tengahari esok.
|
dah lama gamaknya pakcik-pakcik ni tak basuh pinggan bertoran-toran |
Bila orang lelaki bersolat Jumaat kami berhenti rehat dan mula menjamu selera dengan laksa Kedah yang sungguh enak. Selepas solat kami mula mengemas pinggan mangkok berselerak di atas rumah. Yang perlu sahaja diturunkan.Manakala yang kurang perlu dibiar dulu di atas rumah. Saya dan Kauthar segera mencari ruang almari yang masih kosong.Jenuh juga memasuk apa yang patut kerana kabinet di bawah masih belum kering sepenuhnya.
|
Mengemas apa yang patut |
|
nasi lemak dan donut pengalas perut IKRAM Kedah |
|
bertahun menanam baru ini dapat merasa enaknya air kelapa pandan |
|
sedapnya....!!!! Zaharan sanggup berlapar menunggu sambal tempenya |
Untuk makan malam kami makan laksa lagi. Zaharan menggeleng kepala melihat isterinya, si 'hantu Laksa' Suami saya pula memberi komen "Depa ni kalau jumpa laksa 3 hari 3 malam pun tak apa!" .Kalau jadi hari Selasa nanti kami bercadang makan laksa lagi. Kali ini istimewa dari Telok Kecai pula.Itupun kalau ada orang sanggup pergi beli. Maklumlah bila keluarga berkumpul untuk menyambut Hari Raya Haji tentulah laksa Telok Kecai jadi pilihan mudah dan pantas bagi mengisi perut ahli keluarga yang ramai. Tambahan pula dapur pula sedang dikemas dan peralatan memasak bertaburan di sana sini. Tukang masak pun sudah kehabisan tenaga dan minda juga sudah letih.
|
Tak pernah-pernah banjir..kali ni naik paras peha. |
Pagi-pagi Sabtu kami berdua segera bertolak ke Taman Uda pula. Dua keluarga sudah berpakat mencuci rumah dan halaman. . Sampah bertimbun-timbun di kiri kanan jalan. Itulah suasana selepas banjir. Perabut dan segala yang rosak dihumban ke tepi jalan sebelum lori MBAS datang membuat kutipan. Dengar kata depa ni tak menang tangan menerima panggilan dari sana-sini. Dalam situasi begini kita perlu bersikap rational. Bersabar bila ditimpa musibah kerana sudah lama Allah memberi kita senang dan nikmat. Susah-susah kita masih ada tempat berteduh, di hujung bulan ada juga duit gaji masuk ke akaun.
|
Mengutip apa yang dibuang orang untuk mengganti apa yang dah rosak |
Menurut kata anak saudara, setiap mangsa boleh membuat laporan kerosakan. Pergi ke mana-mana balai polis daerah yang kena banjir dan bersedialah beratur dan menunggu giliran. Orang datang tak kira waktu.Ambil nombor giliran pagi dan datang semula mengisi borang pada waktu petang. Maklumlah ramai yang terlibat dan ramai juga yang menuntut bantuan seperti yang diwar-warkan. Bagi petani yang musnah tanaman padi pula pihak MADA ada membuka kaunter aduan dan mereka boleh membuat aduan di situ. Bermula banjir melanda tak henti-henti berbagai pihak datang menghulur bantuan. Saya turut terkilan bila ada orang luar senang-senang mengata kerajaan negeri tidak ambil peduli. Nama pun bencana alam. Datangnya pantas macam kilat dan perginya lambat pula macam semut. Begitulah bila Allah hendak menguji kita. Fizikal dan emosi juga turut terkesan.
|
Kerosakan banjir hanya minima tetapi kena juga dibaiki agar selesa bakal penghuninya |
Sehari suntuk kami di Taman Uda. Memunggah .membuang dan mencuci apa yang patut . Di depan pagar dua orang pengutip barang-barang buruk sedang berusaha keras mengutip barang-barang yang kami buang. Betullah kata orang somebody's trash, somebody cash. Mujur juga besan kami datang menolong. Mereka menebas, mencantas dan membakar dahan-dahan kering yang merosakkan pandangan. Ketika berhenti rehat sambil memakan nasi lemak bungkus mereka anak-beranak sudah merancang pokok apa yang patut ditanam bagi mengindahkan laman rumah tersebut. Saya hanya tersenyum kerana sebagai orang lama dalam bidang pertanian sudah pasti mereka lebih arif bab itu. Hasil kebun mereka pun tak henti-henti sampai ke rumah saya. Kauthar dan Zaharan turut teruja mendengar.
|
Mujur besan orang seberang jalan dapat juga mereka menghulur bantuan |
Suami saya pula sibuk menyiapkan kerja-kerja plumbingnya di atas rumah. Segala paip yang rosak dibaiki.Dan akhirnya kami dapat makan tengahari pada masa azan asar sedang berkumandang. Itupun sekadar sebungkus mee goreng mamak dari kedai Mee Abu yang famous di Alor Setar .Bila hari sudah menjelang senja kami memutuskan untuk berhenti dahulu. Meskipun masih banyak kerja yang belum diselesaikan tetapi tubuh kita juga ada hadnya. Ketika kami bertolak keluar dari Taman Uda pakcik dua orang tadi terus dengan kerja mereka.Lori sampah dan para pekerja MBAS masih bertungkus-lumus menghabiskan tugas. 3 tong besar sedang menunggu untuk diangkut ke tempat pembuangan sampah. Dan masih bertimbun-timbun samaph dan perabut berlonggokan di bahu-bahu jalan.
Terdengar-dengar kata besan saya tadi "Kalau tak mai banjir orang perempuan ni kerja kumpul dan simpan. Bila datang banjir yang dok simpan, yang dok sayang tu depa buang macam tu saja." Saya juga terfikir agaknya begitulah juga bila kita mati nanti.Yang sayang yang kasih kita akan tinggal macam tu sahaja. Cuma yang akan mengikut kita hanyalah doa anak yang soleh serta amalan baik bersama harta-harta yang kita gunakan untuk jalan Allah.
|
sayang..sayang..akhirnya tetap terbuang |
Malam itu kami berdua tidak dapat tidur mungkin kerana terlalu letih. Saya risaukan suami saya yang mempunyai komplikasi jantung. Bila bekerja dia sampai lupa yang dia tidak boleh terlalu tekun tetapi bila saya menegur dia membalas "Kalau saya tak buat sapa nak buat lagi..kesian kat mak ". Saya terdiam dan berdoa diam-diam di dalam hati janganlah ada masalah kesihatan pula selepas ini. Besok paginya ketika sedang berkemas untuk pulang saya diserang migrain yang teruk. Sudah lama tidak migrain dan sepanjang jalan saya cuba melelapkan mata. Dalam kesakitan itu otak saya masih sempat berfikir.Apakah kesudahan nasib rumah mak/abah? Ketika nafas sudah makin pendek, tenaga kian kurang dan kesihatan makin tidak memberangsangkan mampukah kami menghadapi bila banjir datang lagi ? Hanya masa sahaja mampu memberi jawapannya. Tiba-tiba saya terasa aimata mengalir di pipi. Terlalu sedih atau terlalu letih segala-galanya bercampur meresap ke segenap saraf dan minda saya sudah tidak mampu lagi berfikir.Saya cuma ingin segera sampai ke rumah sendiri. It is good
everywhere but home is better!!
|
apakah kesudahan rumah ini jika banjir melanda lagi? |
|
tanaman mak pun sudah hidup segan, mati tak mahu |
1 comment:
salam ukhwah, saya bersimpati amat...dengan mangsa banjir baru2 ini..wlupn saya tidak mengalami situasi itu tp trut terasa tempiasnya bila bekalan letrik trputus..malah bekalan air juga menjadikan saya insaf..tahniah kerana menjadi anak yg baik..
Post a Comment