Thursday, September 9, 2010

Didiklah Hati

Detik-detik  menuju akhir Ramadan dilalui dengan perasaan yang berbagai-bagai. Bila melihat saf penuh hingga ke belakang saya berdoa dan berharap agar begitu juga bila Syawal nanti . saf penuh hingga melimpah. Tinggal semalam lagi untuk berqiyamulail dan sekali lagi bertarawih. Itupun kalau tak jadi beraya pada hari Khamis. Tahun demi tahun Ramadan datang dan pergi. Hanya kita saja mampu menilai diri kita adakah hati kita makin  bertambah  taqwa, bertambah takut kepada Allah atau sebaliknya. Jika kita mampu berdiri lama sepanjang malam di bulan Ramadan tentu tidak akan sukar kita meneruskan amalan mulia ini di bulan-bulan mendatang.

Banyak hadis-hadis yang menerangkan kelebihan bersolat di waktu dinihari. Ketika itu Allah  turun di langit dunia di sepertiga malam dan Dia menunggu untuk mengampun dosa hambaNya yang meminta ampun. Juga memakbulkan doa yang diminta hamba-hambaNya.Amalan bangun malam bukanlah perkara baru bagi saya. Ketika tinggal bersama arwah wan dia selalu mengejutkan saya supaya bangun bersolat dua rakaat dan mengulangkaji hingga subuh. Ketika itu Tuhan saja yang tahu betapa mata bagai digantung batu saja.. Air kolah pulak sejuk macam air batu. Kerana takutkan wan terpaksa juga diharungi semua itu. Dan memang benar bila  belajar di waktu pagi  hampir 90% yang dibaca melekat di ingatan bagai terpahat di batu.

Kini saya selalu menyarankan anak-anak saya tidur awal dan menyuruh mereka bangun di awal pagi. Tambahan pula pada musim peperiksaan tentu suasana damai, dingin dan sunyi sepi itu memudahkan kita menyerap segala yang dibaca.

Bangun malam juga wajar diamalkan bila mata kita terkebil-kebil tidak mahu lena. Mungkin kerana banyak  perkara bermain di fikiran atau ada perkara yang diserabutkan. pada bulan ramadan tentu mudah kerana tiada syaiatn yang menganggu tapi bulan-bulan lain tentu sukar, Setiap malam syaitan akan membuat 3 simpulan pada tubuh kita. Satu simpulan terbuka bila kita terjaga dan terus mengingati Allah, kedua pula terbuka bila kita berwudu' dan ketiga akan terlerai bila kita mengangkat takbir.


Jika difikirkan memang pelik,kan. Manusia boleh melawan musuh yang bersenjata dan memenangi macam-macam peperangan tetapi kita boleh kalah dengan  tilam dan bantal yang empuk. Perjuangan melawan nafsu akan  bermula tidak lama lagi. Didiklah hati kita agar menjadi kita hamba yang rabbani dan bukan hamba ramadani.

No comments: