Tuesday, September 7, 2010

Nostalgia Hari Raya

Hari-hari menjelang akhirnya Ramadan . Ingatan dan kerinduan kepada arwah bapa, mak, wan dan tok. Mereka adalah orang yang sangat hampir dengan saya. Merekalah mencorakkan pemikiran dan gaya hidup saya hari ini. Meskipun orang dulu-dulu tidak menunjuk yang mereka sayangkan kita, tetapi saya tahu jauh di sudut hati mereka sayangkan kita. Berbeda dengan ibubapa sekarang, kita pamirkan supaya anak rasa disayangi dan dihargai. Adakala terlampau sangat menunjuk rasa sayang hingga anak-anak tidak tahu pula menunjuk rasa hormat dan meletak kita di tahap yang lebih atas darinya. Dulu dan sekarang memang berbeda. Itu tak dapat dinafikan.Sekali air bah sudah pasti pantai berubah. Tidak salah kita bergerak maju ke hadapan tetapi kita juga perlu menoleh ke belakang melihat sejarah. Dari sejarah kita mengambil pengajaran dan membaiki kesilapan yang mungkin dilakukan orang terdahulu. Juga dari sejarah kita dapat membuat penilaian apa yang patut kita ambil, apa patut dibuang dan apa yang patut dimurnikan. 
 arwah Tok cik Don yang tak sempat beraya tahun ini
Raya datang dan raya pergi. Yang tetap tinggal sudah pasti kenangan dan nostalgia yang diimbau sekali-sekala. Saya suka juga mengenang zaman ketika kecil-kecil dahulu. Seingat saya apa yang saya suka tentang puasa sudah pasti hidanagan ketika berbuka. Bila datang bulan ramadan ketika itulah arwah tok akan memasak berbagai makanan yang jarang dimasak di waktu lain. Hidangan wajib sudah pasti nasi ulam + sayur keladi, kuih kasidah, buah melaka, , kanji  Kedah , telur masin, papadom dan acar . Mungkin kerana memberi ganjaran kepada ahli keluarga yang berpuasa tok akan cuba memasak apa yang digemari kami semua. Bila hampir raya pula sibuk menjemur  tepung, mengoreng dan menumbuk kacang hijau, menumbuk gula , mengisar tepung. Sabut dan telur pula dikumpul sejak berbulan-bulan untuk membakar bahulu. Menjelang hari raya  putu kacang, biskut arab, kek buah, wajit, halwa maskat, kuih siput, kuih bangkit  siap semuanya menanti untuk dihidangkan. hasil tangan sendiri. Bila di sekolah pula sibuk bertukar cerita kuih apa yang dibuat mak-mak kelmarin. Kalau yang tidak puasa pula akan menayang kuih raya yang dibawanya dari rumah. 

 Tok memang pandai masak...cuma tok tak sempat menurun  semua ilmu masak-memasaknya. Silapnya kerana saya tidak digalak ke dapur kerana arwah wan lebih suka saya di meja studi sepanjang waktu. Tugas memasak adalah tugas amah atau orang  gaji ketika itu. Cuma bila saya berpindah tinggal dengan arwah mak barulah terasa langit itu tinggi atau rendah.
orang yang rajin memasak sudah tak larat semuanya, 
 Arwah mak yang sibuk mengajar mengaji di rumah orang (mencari pendapatan tambahan) di sebelah pagi akan mengarah saya membuat itu dan ini. Baliknya sudah pasti mak mengharap mesti semua sudah siap belaka. Adik bongsu saya pula bersekolah petang dan abang saya yang ketika itu belajar di ITK akan pulang makan tengahari. Dalam keadaan tak tahu hal-hal dapur saya terpaksa memula dari awal. Belajar membeli ikan, menyiang, menyiap bahan dan memasak. Beberapa kali juga ikan hangus atau nampak garing di luar tetapi mentah di dalam. Juga beberapa kali saya terpaksa membuang makanan ke dalam tong sampah kerana tak mahu mak tahu masakan tidak menjadi. Mujur mak banyak buku resepi sekurang-kurangnya saya ada juga sumber rujukan. Walau kadang resepinya untuk orang kaya-kaya sahaja seperti beef stik, ayam golek dsbnya.

Oh...bila dikenang memang lucu dan bila difikir balik memang banyak silapnya. Kemahiran memasak adalah satu kemahiran untuk hidup. Survival skil kata orang sekarang.  Memang rugi dan memang perit bila perut lapar, tekak  pula mengidam itu dan ini.Tentu tekak kita tak larat juga nak telan mee segera, sardin, telur dadar setiap hari. Hari ini memang banyak buku masak di pasaran tetapi jika tak tahu atau tak ada langsung asas memasak susah juga kita nak menganalisa kehendak resepi tersebut. Bahan-bahan pun belum tentu kita kenal semuanya. Kalau malu bertanya lagilah parah.

Saya teringat satu masa  dahulu saya pernah mengikuti seminar anjuran NURY. Antara perkara yang disarankan supaya diajar kepada  anak kecil ialah memperkenalkan benda di sekelilingnya. Antara yang saya ingat ialah rempah ratus, tanaman herba dsbnya. Hari ini saya tak pasti anak-anak di luar sana kenal atau tidak daun kari, daun limau purut. Yang mana halia  dan yang mana lengkuas. Atau ada yang tak berminat langsung untuk tahu kerana tak ada kena mengena dengannya. Nak makan main beli aja. Atau nanti minta bibik yang masakkan. Kan sekarang serba mudah semuanya. Main call aja siap ada orang deliver depan pintu rumah. Ada duit kertas atau duit plastik bayar aja lah.

Tak usahkan orang lain, anak-anak saya sendiri kalau perlu pergi membeli ikan saya akan minta mereka bawa hp sekali. Bila sampai mereka akan tanya "Ni ikan apa?" dan akan bagitau saya pula. Dan saya  pula akan mengarah mereka membeli ikan jenis apa yang saya mahu. Saya rindukan masa lalu, dimana saya dipaksa berbasikal ke pasar Seberang Perak dan tok akan suruh saya beli itu dan ini. Ketika itu saya masih bersekolah rendah. dari tak tahu kita akhirnya jadi tahu.Alah bisa tegal biasa.

Dan hari ini saya hanya  dapat menerap apa yang saya inginkan ke jiwa anak-anak bila mereka pulang bercuti sahaja. Sayangnya masa yang ada  tersangat  padat. kerja kursus, ulangkaji, tuition dan akhirnya mereka sampai ke penghujung alam sekolah menengah.. Bila berpeluang menyambung pengajian ke luar negeri isu ini timbul semula. Ketika itu masa juga dijadikan alasan. Mana nak pergi cari barang, mana nak pergi taklimat penaja, mana nak buat visa...mana itu dan mana ini akhirnya masa untuk belajar masak terus dilupakan. Sedar-sedar masa pergi begitu sahaja dan mujurlah zaman serba mudah ini membantu anak dan saya bertemu di halaman sembang. Dia bertanya dan saya membalas. Mudah-mudahan anak saya tidak  akan kelaparan di tempat orang.

Sebaik-baiknya selepas SPM belajarlah menjengah dapur. Anak yang berminat dan ada kesedaran lebih baik dari ibu yang memaksa. Saya jenis yang tak sabar melihat muka anak bermuncung tajam bila dipanggil  menolong di dapur. atau sambil mengupas bawang atau menggoreng ikan sempat  pula berselang-seli berchatting atau berbalas SMS dengan kenalan. Apa-apa pun kena fokus jika tidak hangus ikan di kuali, berkepala  masak lemak di periuk dan saya selalu berpesan kepada diri sendiri. Jika boleh mengajar orang lain kenapa sukar saya mengajar anak sendiri.Saya perlu banyak lagi membuat muhasabah diri. Saya bimbang anak-anak kita nanti menjadi itik di air mati kehausan, ayam dikepuk mati kelaparan. Makanan penuh peti sejuk tetapi tak pandai ditukar menjadi hidangan  yang boleh diterima tekak. 

Raya hari ini juga sudah hilang serinya. Anak-anak tidak merasa teruja lagi menyambut raya. Setiap hari mereka dapat memakan  apa yang diiginkan asalkan ada duit di tangan.Kuih-kuih yang susah dibuat dan hanya muncul bila menjelang raya berlambak di pasaran sepanjang tahun. Keseronokan membantu membuat kuih raya tidak pernah dikecapi anak-anak. Kuih raya hanya dipilih di katalog atau beli online saja.  Saya bimbang hari raya sudah tidak membawa apa-apa erti lagi . 1 Syawal hanya dinanti kerana kita sudah tidak perlu berlapar di siang hari. Dan ia juga permulaan kepada  pesta makan yang akan berlangsung selama sebulan pula. Berselang-seli dengan kenduri kahwin.
bukan senang nak bakar ayam kalau tak ada pengalaman
Tahun ini anak-anak bercuti awal jadi marilah kita mengajak mereka mengacau rendang, menjaga api lemang dan ketupat atau membantu menyedia semata dua kuih raya. Biar mereka tahu betapa pedihnya mata dimasuk asap atau  bosannya menunggu air ketupat kering atau biskut masak di oven .Barulah mereka ada pengalaman manis atau pahit untuk dinostalgiakan pula kepada anak cucu mereka.Walau nampak remeh tetapi itu yang akan diingat sampai bila-bila. Semua itu kenangan yang akan diceritakan meskipun kita sudah tiada lagi
bersama mereka menyambut raya

"kek ni tentu  lebih sedap kalau  sendiri yang buat"
.
Selamat menyambut hari raya. Semuga tiada kata yang menyinggung perasaan atau menyentuh hati sesiapa. Saya hanya  ingin berkongsi rasa dan pengalaman agar ada yang dapat dimanfaatkan. Berayalah dengan cara yang izinkan Allah. Luanglah sedikit  batas waktu untuk mengenang saudara-saudara kita yang menderita akibat perang dan bencana alam. Gempa bumi di New Zealand membuktikan tiada apa yang dapat menahan bila Allah mengkehendakinya. Dan kita sebagai hambaNya yang mengaku beriman beringat-ingatlah dalam bergembira. Dalam suka adakala ada dukanya. Selamat pulang ke kampong  halaman.Muga selamat semuanya.Ameen.

No comments: