Friday, March 23, 2012

Hanya Semalam

Sudah agak lama kami tak kemana-mana. Saban minggu suami pulang menemani mak kerana bibiknya sudah tidak mahu bekerja. Alhamdulillah minggu lepas sudah Allah hantarkan seorang pembantu dari Acheh. Kali ini memang naif sungguh. Tak biasa menggunakan segala peralatan letrik yang ada di rumah.Sampaikan nak buka tingkap nako pun tak pandai. Bila suami saya memberitahu  orang Indon yang membuat rumah jiran saya. Tahu apa komennya," Oh! Itu lebih baik, kalau yang sudah tahu itu ini, nanti kamu lagi susah". Hmmm...bila fikir-fikir semula memang betul jugak. Advance sangat pun susah jugak. Last-last dia yang dictate nak itu dan ini. Last-last kita tertanya pulak siapa yang tuan ,siapa pula yang bibiknya. Dunia sudah terbalik.Bukan macam zaman Labu Labi lagi.Orang gaji takut sangat dengan tuannya..

Okaylah..ni nak cerita tentang Kuala Gula. Tika orang bercuti baru-baru ini, suami kena jaga exam dan saya mengambil kesempatan ke tadika. Bukan full timer pun tapi once dah masuk ke tadika macam tak ada jalan keluar pulak. No u turn. Cuma kali ini saya membantu mengajar dan menegur guru-guru baru. Kot jadi tukang sibuk saja. Itupun kalau cikgu-cikgu mahu menerima dengan hati yang terbuka. Makluimlah hampir 30 tahun secara formal terlibat dalam bidang ni bukan satu tempoh masa yang pendek.Banyak yang ingin dikongsi dan muga digunakan.
muatan sarat hati suka

Ha..hahaa. Bila anak-anak bertanya  "Ummi tak penat ke pergi tadika?". Kali ini saya pergi bukan untuk dapat gaji tapi saya lebih ingin berkongsi ilmu dan pengalaman kerana masa untuk saya di dunia ini semakin singkat. Mudah-mudahan ilmu yang saya kongsi itu akan memberi manfaat dan dapat memberat timbangan al mizan nanti. Bukankah hanya 3 perkara yang akan mengikut kita ke kubur.Harta yang dijariahkan, ilmu manfaat dan doa anak yang soleh. Insyaallah. Mudah-mudahan badan sentiasa sihat dan hati sentiasa ikhlas.

Restoran terapung terkenal dengan ketam lembut


Kami memilih Kuala Gula kerana lokasinya yang agak hampir dengan rumah. Suasana tenang, damai dan jauh dari hiruk pikuk exzos kereta jiran yang sangat menganggu saban hari. Hidup orang di sini sangat mudah. Bangun pagi ke laut. Dapat hasil bawa pulang untuk dijual dan dimakan sendiri. Kami pun cuba-cuba juga memancing. Pancing dibeli di US pada tahun 1999, tapi berapa kali sahaja digunakan. Akhirnya kami gave up seekor ikan pun tak dapat. Barulah tahu betapa sukarnya hidup sebagai seorang nelayan. Belum lagi difikir tentang nyawa yang disabung bila perahu diolak ombak dan badai. 

Datang ke sini kala orang lain sedang bertugas memang seronok. Keadaan tidak sesak dan tentulah ketenangan itu yang dicari. Suami pula siap mengelek bungkusan kertas final studentsnya. Kalau di rumah agak liat nak mula memeriksa. Maklumlah banyak benda lain nak dibuat, tambahan pula bila memeriksa kertas-kertas yang banyak pula salahnya. Mencabar sungguh ya tugas pensyarah ni.  Sabarlah !!!
mencuba nasib !!

Semalam juga result SPM diumumkan. Ada  juga anak-anak saudara saya mendapat 11A.Tahniah..tahniah. Disebalik kejayaan depa sudah pasti ada banyak pengorbanan dan sokongan di situ. Bagi ibu bapa yang pertama kali menunggu keputusan SPM tentu agak stress, maklumlah anak yang periksa kita pulak yang risau. Antara SMS yang saya terima ialah   "Pakat scorer semua. Hebat aih." Sekarang orang dah tak  tanya dapat berapa A? Tapi dapat berapa A+ lah pulak. Zaman dah berubah, orang dah semakin pandai dan bijak-bijak belaka. Tapi yang peliknya kata suami saya. Result SPM sentiasa meningkat tapi bila masuk ke IPT kenapa budak-budak tu serba tak tahu. Dimana silapnya. Puas pensyarah mengajar tetapi benda basic banyak yang tak tahu. Kalau tak mantap yang asas macamana nak belajar yang lagi advance.Peluang mendapat tajaan juga semakin mencabar.

nostalgi menanti dengan debaran
Tahun ini tak ada pulak anak-anak saya yang menunggu SPM jadi saya tak sibuk sangat meneroka mencari peluang belajar dan tajaan. Yang saya simpulkan  ialah bidang pendidikan sudah menjadi mahal. Jika ingin anak-anak mendapat tempat yang baik kita sanggup mengeluar sejumlah wang. Tajaan dan biasiswa sudah tinggal sedikit sedangkan saban tahun budak-budak yang straight A + makin meningkat. Budak-budak makin pandai atau soalan makin mudah ?Tak tahulah. Yang saya tahu jika ingin anak berjaya ibu ayah kena korbankan banyak benda yang tidak perlu. Atau tangguhkan sebarang keinginan untuk membaharui kereta, menambah luas rumah, melengkap perabut rumah atau bercuti ke tempat yang jauh-jauh. Janganlah kita sampai menjadi ayam di kepok mati kelaparan. Ini bumi kita, tanah air kita dan tentu kita yang wajar dan wajib mempertahankannya. Isy..melalut manalah pulak. Tiba-tiba pula rasa patriotik. Mungkin sebab teringatkan  bendera Malaysia berkibar megah di pintu utama resort .
mentari pagi sedang menebarkan cahayanya

Anak-anak selalu bertanya hairan. Apa ada dengan Kola Gula? Bagi yang gemarkan nature inilah tempatnya. Ramai orang asing datang kerana di sini tempat burung-burung lari dari sejuk winter Siberia. Burung pun lari bila winter datang tapi ada pula kawan saya sanggup terbang ke Korea baru-baru ini kerana ingin merasa sejuknya winter. Macam-macam kan manusia ni. Itu pilihan masing-masing dan saya tak berhak komen tentangnya pun. Kami juga berpeluang membuat experiment dengan kamera masing-masing. Meskipun tanpa tripod yang tertinggal di rumah kami mampu merakam banyak shot yang agak baik. Bot-bot yang lalu-lalang membawa muatan, olakan air, belacak dan ketam yang berkejaran di kala air surut semua ini menjadi model yang sangat mengujakan. Perjalanan adalah pengembaraan mengalami perkara-perkara baru. Semua momen dan objek ini dirakam untuk dihayati di kemudian hari. Mengimbau kenangan dan foto yang indah adalah yang mampu  bercerita bagi yang melihatnya. A picture speaks a thousand words lah katakan.
pasang surut air semuanya dalam pengetahuan Allah

Ketika kami datang pada tahun 2008 banyak kerosakan di sana sini. Tapi kini sudah dibaik pulih dan sekitanya terjaga baik. Cuma saya terkilan kerana kawasan di belakang dewan seminar dijadikan tempat buangan sampah. Alangkah baiknya jika bekas  polisterin tidak dibiar berterapungan kerana dirumpun nipah itu kelihatan beberapa jenis burung sedang mencari makan. Kali ini tidak ada seekor pun burung botak kelihatan berbanding Ogos 2008. Mungkin burung-burung itu sudah pulang ke Siberia. Yang kelihatan burung-burung helang sedang berterbangan sambil merendah mengutip ikan di permukaan air. 
Rasa damai di siang hari rupanya tidak berlarut hingga ke malam. Sebaik senja melabuhkan tirai mulalah bunyi dentuman muzik dari pondok  kecil di sebelah restoran. Dibuka pula sekuat yang mungkin hingga menganggu ketenangan malam. Saya tidak pasti apa tanggapan pelancong dari Ireland yang turut menginap di sini. Mungkinkah muzik yang kuat itu diharap mampu menghalau rasa sunyi orang-orang di sini? Sedangkan kami yang datang dari jauh sanggup membayar untuk menghargai  erti sunyi dan damai.Manusia memang begitu, tidak menilai sesuatu yang didapatnya dengan percuma dan ketika benda itu masih ada.
proses 'ketam lembut'
 Restoran terapung  disebelah resort pula menyajikan ketam lembut dan kari sembilang perut kuning . Ini adalah sajian istimewa mereka. Kami sempat melihat nelayan melakukan satu teknik untuk membuatkan ketam mencabut kakinya sendiri. Ketam ini kemudian dibela untuk  menghasilkan kulit lembut. Ketam yang "under stress" ini akan membuang kulit kerasnya dan menyalin kulit dan mengeluarkan kaki baharu yang semuanya lembut. Jadi ketika ini ketam akan diambil untuk dimasak. Ini teknologi dari Vietnam kata pak cik nelayan tersebut. Saya gembira dengan inovatif ini.Semua ini untuk membaiki taraf hidup nelayan dan anak bangsa saya juga. Pertama  kali melalui pekan Kuala Kurau hati saya tiba-tiba teringatkan Pulau Jeju. Kehidupan yang tenang dan mudah. Cuma Jeju sangat bersih dan persekitarannya dijaga dari pencemaran. Jika Naval base diteruskan juga pembinaannya mungkin Jeju juga akan tercemar.Itulah harga pembangunan.
pelayar ke pelabuhan waktu
 Air sungai yang mula pasang di bawah chalet ini menandakan hari sudah berganti. Masa begitu cepat berlalu. Dan kami perlu bersiap untuk pulang. Suami pun sudah menanda 2 soalan dari 3 bundles. Berjaya memecah rekod peribadinya kerana kebelakangan ini prestasi student yang dilahirkan di muka kertas sangat menggusarkan hatinya sebagai pengajar mereka. Semalam saya pun sudah beranjak ke usia baru. Dan selagi hayat dan kesihatan masih ada sudah pasti saya sangat ingin untuk terus datang ke Kuala Gula. Melihat bot datang dan pergi ia turut mengingatkan saya bahawa kita hanyalah pelayar yang singgah di pelabuhan waktu. Cukup masa dan sampai  ketika kita akan belayar ke satu lagi pelabuhan yang tiada penghujungnya. Bila dan ketikanya hanya Dia sahaja yang mengetahui.Terima kasih untuk masa berdua yang mendamaikan.


No comments: