Friday, March 2, 2012

Dunia si kecil

Saban hari kita dikejutkan dengan berbagai berita yang melibatkan kanak-kanak. Dunia ini  bukan lagi tempat yang selamat untuk membesarkan mereka. Ibu bapa juga menjadi over protective. Siapa yang patut disalahkan? Saya  hanya terfikir generasi awal anak-anak yang pernah saya didik mengenal a, b, c berpuluh tahun lalu sudah ramai   yang bekerja , berkahwin dan mempunyai anak. Bila mereka keluar  bekerja sepenuh masa sudah pasti mereka terpaksa menyerah anak-anak untuk dididik dan diasuh oleh orang lain. Ada ibu ayah yang tidak kisah siapa yang menjaga mereka dan ada juga yang sangat kisah.

Pusat penjagaan  kanak- kanak tumbuh bagai cendawan. Yang berdaftar dan tidak berdaftar. Kadang-kadang proses pendaftaran itu terlalu lama.dan melibatkan kos yang tinggi .Jadi tidak mustahil jika ada pusat-pusat yang telah lama beroperasi tetapi masih belum mempunyai  lesen. Bila berlaku sesuatu insiden barulah masing-masing saling menuding jari. Yang jadi mangsa pastilah anak. Yang trauma adalah anak yang tidak mengerti apa-apa.

Anak-anak hari ini matang lebih awal. Media elektronik turut membantu perkembangan mereka. Yang baik dan yang buruk ditonton dengan bebas tanpa kawalan. Jadi tidak mustahil dalam usia 5 ke 6 tahun mereka sudah pandai menyebut  beberapa perkataan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Sudah berpuluh tahun saya  berinteraksi dengan kanak-kanak  pra sekolah. Saya rajin melayan mereka berbual dan mereka akan bercerita apa yang dilakukan di rumah. Sendiri atau bersama ahli keluarga mereka. Kanak-kanak kecil yang putih bagai kain putih ini tidak pandai menipu.Mereka akan bercerita apa yang mereka lihat atau dengar. Adakala apa yang diceritakan amat mengejutkan dan mengaibkan.

Mungkin ada ibu bapa yang merasa anak mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Tetapi mereka juga ada minda yang merakamkan. Mata yang melihat  dan mulut yang boleh bertanya itu dan ini. Jika  orang yang ditanya mampu membentuk dan mendidik mereka  supaya berakhlaq mulia  beruntunglah ibu bapa itu. Jika sebaliknya akan memberi satu gangguan emosi yang hanya akan terpamer bila anak-anak ini dewasa kelak.

Kajian menunjukkan gejala sosial remaja hari ini adalah kesan gangguan emosi masa kecil mereka. Siapakah yang dulu  mendidik mereka  ? Memberi perhatian bila mereka bertanya.? Memeluk bila mereka merasa tidak selamat ? Pendidik dan pengasuh hanya beberapa jam sahaja bersama mereka dan  selebihnya mereka bersama ibu ayah . Mereka hanya membantu menyediakan ruang untuk ibu-ibu keluar bekerja. Sebaik tamat waktu kerja tanggungjawab mendidik, mengasuh segala yang baik-baik itu kembali ke bahu ibu ayah.

Jika ingin anak jadi baik.Ibu ayah perlu menunjuk contoh yang baik. Tentulah tidak adil jika ibu ayah mahu anak-anak menjadi baik sedangkan mereka sendiri tidak mahu mendidik diri mereka menjadi baik. Semuanya bermula dalam diri sendiri dan dari dalam keluarga  itu sendiri. Setiap kita akan disoal di atas apa yang dipertanggungjawabkan. Wang seratus dua yang dibayar kepada pengasuh bukan bererti tanggungjawab  itu beralih ke bahu mereka. Ia sekadar bayaran perkhidmatan sementara menanti dijemput pulang oleh ibu ayah kanak-kanak ini.Jadi di pemilihan orang yang mengasuh dan mendidik mereka sangat dipandang berat oleh Islam. Bukan mahal atau murahnya bayaran.Jangan terpukau dengan keadaan fizikal sesuatu pusat. Adakala  ia sekadar menarik minat kanak-kanak untuk berada di situ sedangkan apa yang diterap di situ akan mencorak pemikiran dan pribadi anak-anak . Luangkan sedikit masa untuk menyiasat tempat asuhan. Jangan sampai salah pilih.Ini adalah masa depan anak-anak kita.


No comments: