Monday, August 27, 2018

Kenangan di Aidil Adha

Semasa arwah mak masih ada, dia selalu menunggu-nunggu ketibaan Hari Raya Haji. Walaupun persiapan menyambut Hari Raya Haji tidak sehebat menyambut Aidilfitri tetapi mak tetap memasak semua makanan kesukaan arwah bapak.

Bertahun -tahun kemudian baru saya tahu rupa-rupanya setiap kali datang hari raya haji  adalah juga hari mak menyambut hari ulang tahun perkahwinan mak. Patutlah mak beriya-riya memasak rendang, kuah lodeh dan segala masakan yang mak pelajari semasa tinggal di Singapura pada tahun-tahun menjelang kemerdekaan Tanah Melayu.

"Dulu mak pelik juga kenapalah tok ayah kauorang ni, orang sibuk nak beraya  dia sibuk nak nikahkan kami. Tapi fikir-fikir balik masa hari raya haji sajalah orang kampong dapat banyak daging dan memang sesuai sangat buat kenduri masa tu. Zaman tu bukan mewah macam sekarang, nak makan daging pun kena tunggu masa raya terutama hari raya haji Bukan ada catering bagai semuanya gotong royong memasak'

Saya mendengar dengan tekun ketika  mak berkisah bagaimana mak bertemu dengan bapak. Maklumlah bukannya dekat dan mudah orang Kedah nak bertemu orang Perak. Zaman itu banyak yang berkahwin saudara sendiri atau anak anak kenalan.Tapi mak pula bertemu jodohnya  melalui Halaman Sahabat Pena dan pertama kali berjumpa bila bapak datang ke Kampong Tanjung, Simpang Pulai, Ipoh selepas menghadiri  satu pertemuan rakan penulis di Ipoh. Dan perjodohan ini juga yang membawa mak berpindah mengikut bapak ke Singapura. Ketika itu bapak bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu dan namanya tercatat dalam Kumpulan Asas 50.

Bapak pula yang katanya baru  putus tunang membawa diri ke Singapura dan meninggalkan jawatan guru agama selepas tamat belajar di Maktab Mahmud, Alor Setar. Sayangnya tidak ada gambar perkahwinan mereka untuk tatapan anak cucu hanya ada baju dan tudung yang mak pakai ketika berkahwin.Dan semua itu hanya tinggal dalam memori kerana barang barang lama telah dipindahkan ketika proses menyewa rumah 101B selepas mak meninggal dunia.

Tahun ini saya jadi sedikit teruja kerana tahun ini ulang tahun perkahwinan kami yang ke 38 jatuh pada  21hb. Ogos bertepatan dengan Hari Raya Qurban yang disambut di Makkah  atau 9hb Zulhijjah bagi kita di Malaysia. Sudah pasti sedikit sebanyak persiapan dilakukan bagi merai hari yang mulia ini.Dan secara tak sedar membawa saya mengenang saat indah bersama menyiap juadah bersama mak.

Rendang, kuah lodeh bagaikan hidangan wajib bagi kami sejak encik suami kenal kedua makanan ini pada bulan Ogos, 1980. Malah malam raya adalah malam paling sibuk dimana anak menantu sibuk membantu  mak merebus ketupat nasi dan mengacau rendang di rumah 103 B, Jalan Sungai Baru, Kampong Baru, Kuala Lumpur. (Mungkin beberapa tahun lagi rumah ini sudah tidak ujud lagi, tenggelam bersama arus pembangunan )

Mungkin kerana mak sudah berpengalaman berhijrah ke Kota Singa sebaik berkahwin maka itu agaknya mak pasrah bila saya mahu melepaskan tugas di Maybank, Jalan Tuanku  Abdul Rahman  dan mengikut suami yang sedang menamatkan pengajian di Brighton, Sussex pada Januari, 1981.

"Mujur mak dapat kakak-kakak angkat yang mengajar mak menyesuai diri. Ajar mak masak macam-macam dan melihat cara kerja bapa kau orang ,mak memang tak nak anak-anak jadi wartawan macam dia. Pagi raya pun kena keluar cari berita. Nak balik kampong beraya memang tak ada dalam istilah. Bukannya dekat nak balik Ipoh, naik kereta api pun bukan selamat, kadang kena serang dengan komunis. Cuma masa nak bersalin kak long dengan abang ngah kami tawakkal balik Ipoh dan Kedah.  Sebab tu bang lang lahir di Singapura. Dan kau, Yati lahir di Kampong Pandan sebab masa tu bapa dah tukar ke Utusan di Kuala Lumpur"

Saya mengingat baik-baik cerita mak sebab saya tahu saya adalah antara anak-anak yang paling sedikit dapat meluang masa bersama mak. Jadi bila mak bercerita, saya hanya diam, menganggok dan sesekali bertanya apa yang tak jelas.

" Jangan ingat mak tak sayang kau, Yati. Masa kau umur 6 bulan bapa nak bawa kami semua balik jumpa wan dan tok di Alor Setar. Bila nak balik Tok Yah (mertua mak) minta bersungguh-sungguh nak jaga kau. Bapa pula tak sampai hati nak menolak jadi tanpa berbincang bapa dah setuju beri engkau pada Tok Yah. Puas juga mak menangis siang malam, kadang-kadang terpaksa perah buang susu kerana bengkak susu sedang kau di Kedah hanya diberi susu Dumex bertin tin."

Saya melihat mak mengesat air mata yang mula bertakung di tubir mata dan saya turut merasa sebak dan bersalah kerana merasa kecil hati sebab mak tidak menjaga saya sedangkan anak yang lain dapat mak jaga walaupun dalam berbagai keperitan slepas bapa jatuh sakit dan berpanjangan hingga ke akhir hayatnya.

Rupa-rupanya peluang berbual dengan mak pada satu petang itu adalah sangat berharga. Setiap kata-kata mak saya pegang sebagai azimat untuk bekalan dalam kehidupan. Banyak tindak-tanduk saya selama menyandang tugas sebagai anak, isteri, menantu dan mertua bersandar kepada pesan-pesan mak yang diberi secara santai.

Dan saya rasa perlu mencatat untuk tatapan anak cucu bila saya sudah pergi nanti. Kita banyak sejarah dan sayangnya tidak ditulis semula maka bila perlu merujuk perlu pergi jauh hingga ke Eropah sana mencari tentang negara kita.

Sempena Hari Merdeka bakal tiba mari kembali kepada diri. Mari mengenang dan menghargai nikmat merdeka yang Allah beri, pasti bukan tugas mudah membangun negara jika tiada pemimpin yang berwawasan dan sokongan padu dari seluruh rakyat.

Sayangi Malaysiaku




Thursday, August 2, 2018

Hujan Emas Di Negeri Orang

Jauh jauh Seluang Melaut

Jauh berjalan luas pandangan.

 Itu simpulan bahasa yang dipelajari seawal darjah 3 pada tahun 1968. Setiap kali guru membacakan karangan saya di hadapan kelas saya pasti tunduk malu dan hati berdebar kerana pada waktu rehat nanti pasti ada suara nakal kawan-kawan yang sampai ke telinga.
"Perasan..macam dia sorang saja besa (biasa) pi Kuala Lumpur"
Saya pasti merasa sedih dan setiap kali menulis karangan saya cuba menulis biasa-biasa sahaja tetapi guru tetap memilih karanagn saya untuk dibacakan sehingga pernah pelajar darjah lima datang mencari saya di kelas kerana karangan saya dibacakan guru di kelas mereka.

Saya sering menulis pengalaman bercuti ke Kuala Lumpur kerana hampir tiap cuti penggal , arwah wan akan bawakan saya bertemu mak, bapa dan adik beradik yang lain di Kampong Baru ,Kuala Lumpur. Pasti di sana wan akan ambil peluang bawa saya dan sepupu melawat Tugu Negara, Muzium, Stadium Merdeka , Zoo dan paling jauh kami pernah dibawa ke Bandar Hilir melihat Kota A Famosa. Semua itu menjadi kenangan manis dan saya catat kembali bila guru menyuruh menyiap karangan bertajuk " Bagaimana  Saya Mengisi Masa Cuti". Rupanya keseronokan mencurah semula pemerhatian, perasaan dan keterujaan melihat tempat orang itu menjadi saya seorang pemerhati dan merakam kemas dalam ingatan apa yang saya suka dan tidak suka bila berkunjung ke sesuatu destinasi dan akan dipaparkan semula.

 Pergi ke "Negeri atas angin " adalah  sesuatu yang saya tidak pernah jangka dan impikan. Simpulan bahasa itu juga diajar guru di darjah tiga beriring pesanan

"Kalau kamu nak pergi ke negeri atas angin kenalah belajar rajin-rajin sebab negerinya jauh dan bukan semua orang mampu membayar tambang kapal terbang atau kapal laut untuk ke sana ".

Dan guru menambah lagi cerita  tentang pengorbanan rakyat Tanah Melayu yang berjaya mengumpul wang dan ibu-ibu menyerah barang kemas mereka untuk diberi kepada Tunku Abdul Rahman bagi memboleh beliau ke London untuk menuntut kemerdekaan dari Kerajaan British.

 Rezeki Allah juga membolehkan sesuatu yang mustahil itu berlaku. Tiada yang mustahil bagiNya dan jika sudah tercatat rezeki maka ia tetap datang cepat atau lambat. Kunjungan pertama ke negeri atas angin kerana jodoh saya dengan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sana dan kunjungan kedua kerana meneman suami menyambung pengajian. Seterusnya kerana rezeki anak anak yang belajar dan menyaksikan Hari Graduasi mereka. Alhamdullillah.

Setiap perjalanan itu pasti ada ibrah yang dikutip dan menjadi pelajaran hidup yang perlu dikongsi agar ada kebaikan yang boleh dikutip dan ada perkara buruk yang perlu dielakkan. Saya cukup gembira bila ada yang memberi komen keinginan mereka ingin melawat tempat tersebut selepas membaca pengalaman dan melihat gambar yang   dilampirkan.

Tanpa pertolongan Allah tak akan mampu kami berdua lalui perjalanan yang panjang ini. Suami dengan slip disk sdan jantungnya, dan saya pula dengan masalah lutut. Dan bila berjaya redahi semua ini demi untuk berkongsi kegembiraan anak ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai dari Allah. Nikmat kesihatan itu adalah nikmat terbesar yang sering kita alpa tentangnya.

Qatar Air yang memulakan perkhidmatan terus dari P.Pinang adalah pilihan terbaik. Dimana kami tak perlu ke KLIA dan menunggu penerbangan pada tengah malamnya.  Dan memilih tiket melalui Expedia berjaya menjimatkan kos. Kewujudan Airbnb juga memboleh kami memilih penginapan pada harga yang mampu dan berkenalan dengan hos yang berbagai ragam.

Nikmat teknologi yang memudahkan dan sangat sangat membantu membuat perancangan. Dan  terima kasih suami yang menaja tiket dan segala-galanya , juga kepada penghuni Albert Edwards, Liverpool 7  yang menawar penginapan kami, terima kasih Harith jadi tour guide dan porter boy begitu juga Ammar/Aina yang jadi hos selama kami di bumi Belanda.

Perjalanan ini adalah sesuatu yang sangat indah untuk dikenang. Meski ada sedikit kesukaran tapi kegembiraan melihat kalian bahagia sudah mampu membuat kami menarik nafas lega.

Sedar atau tidak kami sudah redahi awan dan jejaki tanah bersama :


Qatar Air : Penang-Doha-Manchester-Doha -Penang.  22,090 km /Total : 28 jam( pergi/balik)

Ryan Air: Manchester- Koln, Germany: 701km ( 1 jam 30 minit)

Amsterdam-Liverpool John Lennon : 520 km (1 jam +)

Perjalanan darat:  Berbagai mode transpot yang digunakan.


Tren:                  Manchester Airport - Liverpool Lime Street Station                                                                                 bertukar di Stesen Victoria mengambil masa 3 jam.

                           Koln /Bonn Airport (Germany)- Koln Centraal !5 minit

                           Koln Hbf - Aachen Hbf -Herzogenrath -Heerlen (Netherlands): 2 jam
                   
                           Heerlen- Maatchritch  15 minit

                           Valkenburg- Heerlen:  10 minit

                            Amsterdam Sloterdijk- Amsterdam Centraal-  Zaanse Schans-Amsterdam                                               Centraal- Schipol Airport   anggaran masa 3 jam
                           
Kereta:
                            Liverpool-Glasgow: 352.91 km melalui M6 mengambil masa 4 jam

                            Glasgow-Edinburg: 67 km mengambil masa 1 jam

                             Edinburh-Newcastle Upon Tyne : 148km mengambil masa 3 jam melalui A15

                             Newcastle-Liverpool: 195 km hampir 3 jam
 
                        
Coach                   Liverpool-Manchester Airport: 50 km: 51 minit

                              Heerlen- Rotterdam:

                              Rotterdam-Amsterdam :

                              Liverpool- Manchester-Liverpool: 50km x2/  2 jam pergi balik

                              Liverpool-Manchester  Airport: 50km : 51 minit

Tram:                     Rotterdam
                               Amsterdam
                               (tak sempat ingat nama stesen sebab bergerak pada kad )

Bus (free  ride /berbayar) :    Manchester
                                               Suluurstraat - Heerlen

Uber                        Di  Liverpool berpeluang menaiki berbagai jenis kereta  seperti Audi, Mercedes,                                  Volksowegen, BMW, Toyota Prius, Citreon, Ford Focus.

Berjalan kaki:         Lebihkurang  200,00 langkah. (Rujukan dalam Health apps.) Minima sehari                                         10,000 langkah (kalau di Malaysia jenuh nak dapat macam ni).
                           
Usia dan kemampuan fizikal juga makin menghambat muga pengalaman selama 25 hari ini sempat  dicatat untuk tatapan anak cucu dan rujukan sesiapa  yang perlukannya.

Persiapan kewangan, fizikal dan mental perlu dilakukan terlebih awal kerana bermacam perkara yang tak dijangka bakal ditempuhi sepanjang perjalanan ini. Dan setiap satunya makin menambah kayanya pengalaman dan mematangkan cara berfikir.

Muga ada yang dapat dimanfaatkan.


Monday, April 23, 2018

Taiping Bandar Warisan

Awal minggu bersiap-siap untuk berkursus ke Taiping. Sejak menjadi Ahli Lembaga Koperasi  Qaryah saya sudah menjadi makin sibuk. Ada beberapa kursus wajib yang perlu dihadiri untuk memahami selok-belok pengurusan sesebuah koperasi.

Saban tahun saya tidak pernah culas menghadiri Mesyuarat Agong Tahunan. Disamping mengikuti perkembangan koperasi adakala saya tertarik dengan 'door gift' yang ditawarkan. Biasalah manusia suka sangat pada yang percuma walau bukan sangat memerlukannya.

Dan kali ini entah bagaimana  terpilih pula menjadi Ahli Lembaga. Memang tak pernah mimpi apatah lagi bercita-cita menjawat sebarang jawatan di koperasi. Tugas yang sedia ada pun rasa tak tertunai dan terpikul. Jawatan yang datang bersama tanggungjawab dan di hujung tahun kewangan pasti akan dipersoalkan anggota jika prestasi tidak memerangsangkan.

Sudah 10 tahun Koperasi Qaryah Masjid Taman Bertam Indah beroperasi. Sudah banyak kejayaan dan pengiktirafan yang diterima dan sering menjadi rujukan pulak. Dan bila terpilih menduduki kerusi ALK sudah pasti banyak yang perlu saya pelajari. Maklumlah kita berurusan dengan wang yang dikutip dari anggota, walaupun tak ramai tetapi sudah pasti setiap sen itu ada pertanggungjawabannya.

Sikap suka mengutip ilmu baru memjadikan saya mudah memahami dan mengikuti perbincangan yang dijalankan. Dan ditambah pula dengan pengalaman mengurus sumber manusia bertahun-tahun lalu membuat saya bersemangat untuk membantu mengujudkan satu SOP untuk pengurusan Taqwa Inn( motel 6 bilik  milik Koperasi ) insyaallah.

Jika tidak dimulakan dengan cara yang teratur dan terurus di peringkat awal ditakuti nanti bertambah payah mengurus bila Koperasi berkembang.




Kami dibawa melawat kilang Spritzer beroperasi

Faizah. staf Kotaqwa yang bersama berkursus.



Thursday, November 27, 2014

Graduasi

Di  tahun 2014 di Mana Bumi yang KuPijak ?

Setengah  kedua tahun 2014 merupakan fasa yang sangat  sibuk. Bermula dengan perjalanan ke United Kingdom bagi  menghadiri graduasi anak ke lima. Kami juga berkesempatan menjejaki tempat lama yang menyimpan sejarah hidup kami ketika memulakan hidup berumahtangga  di  awal tahun 80an.


Begitu lama menunggu untuk melihat bang cik mencapai tahap ini. Alhamdulillah.

Kembali ke tanahair ketika umat Islam sedang bergelut di fasa akhir Ramadan memburu laililatul qadar. Sedang kami pula bergelut melawan rasa mengantuk kerana jet- lag yang masih bersisa.  Syawal  tiba dengan  banyak  undangan majlis keraian juga menjadi kami perlu bijak mengatur jadual untuk berpuasa sunat Syawal yang sangat dituntut itu.

Dalam kekalutan itu kami  dapat meluang masa ke Kelantan untuk bertemu Balqis yang akan pulang bersama ibunya dari Korea. Hari kedua di sana kami perlu melakukan satu perjalanan  yang panjang dan tergesa-gesa.  Dari   Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan pulang semula ke Kepala Batas dalam masa tiga hari. Tidak sempat bertemu Balqis kami memutuskan ke KL untuk menghantar mereka pulang. Di hari yang sama Jamuan Hari Raya Masjid At Taqwa juga akan diadakan. Apakan daya bukan rezeki. 

Diikuti pula bulan Zulhijjah dengan ibadah korbannya. Kami masih mengira-ngira mahu berkoi rban di mana. Tanah air atau di negara luar?
Dan tibalah masa  untuk memberi fokus pada perjalanan  yang akan dilakukan tidak sampai dua minggu  dari tarikh itu.

Suami ke hospital Seberang Jaya mendapatkan bekalan ubat-ubatannya.  Menelefon  bank  untuk memaklumkan tentang penggunaan kad kredit di luar negara. Ketika kami  bersiap-siap ke sana kejadian pemindahan wang berjuta –juta ringgit sedang berlaku.Kami sedikit risau kerana ada sedikit duit simpanan yang tersimpan dan sudah pasti kesibukan nanti membuat kami tak mampu  meneliti  urusniaga akaun setiap hari.

Urusan penukaran ke Korean Won diurus anak di Korea. Kami cuma memasukkan duit ke akaunnya. Ketika itu tukaran  RM3.12=1000Korean won. Nilai barangan di Korea Selatan serendah 500 won= RM1.06 .Harga sebotol air mineral biasanya berharga  KW 1500= RM4. Memang agak tinggi tetapi petua untuk membeli barangan  di luar negara jangan sesekali ditukarkan  ke  nilai wang Malaysia. Pastinya anda  tak sanggup membeli apa-apa kerana jika dibandingkan di negara kita memang agak tinggi dan mahal.

Berpeganglah dengan kata-kata ini :

jika mampu membeli tiket kapalterbang sudah pasti kita juga bersedia untuk membayar apa sahaja yang ditawarkan dan apa yang kita perlukan atau inginkan.Itulah harga sebuah pengembaraan”.


Menjadi tamu Tune Hotel kerana penerbangan di awal pagi.

Tuesday, November 4, 2014

Negeriku Yang Belum Habis Diterokai

Sudah lama kami ingin lakukan ini. Berpergian berdua sambil melihat budaya dan cara hidup orang. Akhirnya hajat itu terlaksana  hujung minggu lalu. Bertemankan Mr Garmin yang ada ketika mengelirukan. Sebaik melerai dakapan dan menghantar anak bongsu kami dengan pandangan mata kami pun bergerak meninggalkan perkarangan Kolej Mara Banting.



Destinasi pertama ialah Kg Batu Belah mencari rumah  abang  kedua saya. Sambil mencari jalan kami turut mencari tempat untuk bersarapan. Namun tiada tempat yang agak sesuaii sehingga kami tiba di Telok Panglima Garang. Saya memilih nasi kerabu telur masin dan suami selesa dengan ansi lemak bungkusnya.

Sudah hampir setahun mereka berpindah dan cuma ini kesempatan yang Allah izinkan untuk kami bertamu. Alhamdulillah setelah mengharungi kesesakan jalan di bandar Klang kami akhirnya tiba di rumah alang. Kami disambut SIL dan sempat bertukar cerita sambil menghirup teh panas dan roti bakar. Saya sungguh gembira dengan pertemuan ini. Namun masa tidak mengizinkan untuk berlama-lama. Masih jauh perjalanan .

Suami meminta Mr Garmin menunjuk jalan. Destinasi seterusnya Kuala Selangor. Saya teruja kerana penggal lepas sahabat kami menjadi MP di situ. Hanya cerita sahaja kami dapat dari jauh dan jika diizinkanNya dapatlah kami sampai hari ini. Perjalanan kami begitu selesa. Tiada kesesakan jalan dan kami boleh berhenti di mana yang kami suka. Saya ternampak kedai makan yang menawarkan kari sembilang. Tetapi kerana masih kenyang kami tidak jadi berhenti.

Tidak jauh dari situ kelihatan di kiri kanan jalan banyak gerai kecil berjualan. Mentarang bakar. Oh! saya baru baca tentang siput ini dari entri Fb minggu lalu. Sekilo RM8. Malangnya kakak penjual tak ada duit tukar pulak. Akhir dia bersuara" Tak apalah bagilah berapa yang ada" Saya bergegas ke kereta mengambil dompet syiling. Setelah dikira cukup dengan harga yang ditawarkan. Dengan penuh gembira kami kembali ke kereta. Dan saya mula google mencari resepi mentarang.Maklumlah sesekali berjumpa makanan eksotik tentu teringin merasanya.



Saya mengimbau kenangan  ketika pulang meminang menantu keempat saya di Setiu. Kami singgah ke Kuala Besut. Dalam perjalanan pulang kami menyusur pantai dari Kuala Besut ke Kota Bharu. Kami singgah membeli sata, tijah dan etok. Mulanya macm pelik juga kenapa banyak sangat gerai mempameikan perkataan 'tijah'. Ingatkan nama tuan punya gerai rupanya nama barangan jualan mereka. Itu yang dikatakan lain laut lain ikannya. Jauh berjalan luas pandangan. Alhamdulillah Allah memang menyedia rezeki yang melimpah ruah bagi yang rajin berusaha.Dan Allah tidak rugi apa-apa jika hambaNya tidak reti bersyukur. Dia tetap dengan sifat RahmahNya.

Saya teringat pula satu ketika sebelum berlaku thunami 2004 . Seorang adik pernah bercerita tentang kehidupan sebagai anak nelayan Kuala Muda. Setiap kali mendapat hasil tangkapan yang banyak , ayahnya akan menyerah duit dan menyuruh emaknya membeli gelang di pekan Kuala Muda. Bila musom ribut dan tidak dapat ke laut emaknya akan menggadai gelang emas tersebut untuk membeli beras dan membayar yuran sekolah serta kelengkapan sekolah di awal tahun. Pengorbanan ibu ayahnya dapat diraih setelah seorang demi seorang adikbeardiknya menamatka pengajian di universiti.

Ketika menunggu tarikh konvokesyen adik tadi bekerja di sebuah kilang di P.Pinang. Jam 4.00 pagi van sudah datang membawa mereka ke Tikam Batu untuk menyambung perjalanan  dengan bas kilang. Saban hari dia akan tiba di rumah hampir tengah malam dan hanya sejam dua merebahkan tubuh terpaksda bangun bersiap untuk hari seterusnya. Semua ini berbaloi bila wang gaji itu mampu membawa mereka tiga beranak terbang ke Sarawak.Melihat senyuman di wajah ayah dan linangan airmata di pipi siibu melenyapkan segala keperitan menjadi seorang anak nelayan miskin di bumi yang mewah ini. Setiap kali pasukan bolasepak Kedah berlawan di Kual Lumpur adik lelakinya akan gigih mengorek siput dan kerang. Hasil jualan akan dikumpul dengan cermat bagi membolehnya pergi dengan selesa dan mewah.

Bagi yang beringat memang cerah masadepan mereka. Jika tidak memang kais pagi makan pagi.Kais petang makan petang. Kehidupan nelayan di mana-mana sama sahaja senarionya. Semua kisah ini membuat hati saya  sangat bersyukur dengan keselesaan hidup yang Allah kurniakan. Setiap manusia tidak dapat lari dari ujian Allah. Yang senang dan mewah lagi berat ujiannya.Ujian kesyukuran dan ujian berpisah dengan harta yang dititipkan. Makin banyak harta manusia akan menjadi semakin tamak.Benarlah kata Nabi SAW diakhir zaman manusia semakin cintakan dunia dan takutkan mati.

Kami menempoh Tanjong Karang. Ketika di bangku sekolah saya cuma tahu Tanjong Karang adalah kawasan padi. Dan kami  melihat sawah padi di kiri kanan jalan. Kami sempat singgah membeli sedikit buah tangan di gerai anika kerepek. Perut sudah mula minta diisi tetapi tiada gerai yang sempurna di mata sehingga kami tiba di Sungai Besar.

Enaknya keli masak lemak kencur dan ikan pari masak asam. Harganya pun murah . Bila perut sudah kenyang mata pun mula berat. Kami singgah solat di sebuah masjid di Hutan Melintang. Kedudukan masjid di tepi jalan dengan senibinanya memukau pandangan. Saya tidak pasti sejarahnya tetapi suami saya tertarik dengan konsep raung solat untuk musafir malam. Atau ruang solat untuk musafir bermalam? Apa-apa lah ya. Walaupun banyak homestay, motel dan hotel tapi bukan semua orang mampu .Masjid selamanya jadi tempat persinggahan umat Islam.Kata suami masjid banyak menerima anugerah. Sebagai ahli qaryah masjid saya selalu cuba membawa balik apa-apa yang baik untuk di laksanakan di masjid kami.



.
Usai solat kami bergerak kembali.Perjalanan ke Sitiawan menempoh rumah-rumah kedai. Saya mengamit memori sejarah British bertapak awal di Tanah Melayu. Saya pernah mendengar satu ceramah.Kata penceramah itu" Orang Indonesia pernah komen orang Malaysia beruntung dapat penjajah yang cerdik. Dia membina semua infrastuktur dan bila negara merdeka kita tidak perlu susah -susah baru mahu bina itu dan ini".Hmm....betul .tapi dengan segala kemudahan yang dibina mereka merampas semua milik pribumi.Meski merdeka berpuloh tahun kita masih dibelenggu dalam segenap segi. Bila sampai ke Lumut hati saya semakin pedih. Melihat Pulau Pangkor dari kejauhan bagai menambah garam ke luka.



Saturday, March 8, 2014

Rumah Pertamaku

 Ini rumah pertama yang kami miliki. Taman Uda sudah ujud ketika saya masih di sekolah rendah. Peluang berulang-alik mengunjungi emak saudara yang menetap di situ menjadikan saya jatuh hati dengannya. Bila adik ipar saya berkahwin dengan orang dari taman ini makin kerap kami ke sana. Pernah satu ketika emak saudara saya menawarkan rumahnya untuk dijual.Setelah kematian suami dia merasakan rumah itu terlalu besar dan sunyi baginya. 

Meskipun hati melonjak suka tetapi suami telah memutuskan mesti ke Makkah dulu sebelum beli rumah. Dan rumah itu kami lepaskan kepada orang lain. Kita merancang tetapi Allah sebaik pelaksana rencana. 

Beberapa bulan selepas pulang dari fardhu haji suami saya dimasukkan ke Hospital Alor Setar kerana kecederaan di kaki. Berminggu juga saya menemaninya di hospital dan anak-anak ditinggalkan di Jitra dijaga ibu mertua dan mak saudara. Pada suatu hari suami menyuruh saya membawa kereta yang berjemur panas hujan di parkir kereta untuk dicuci. Sambil menunggu terlintas difikiran "Alangkah baiknya kalau ada rumah dekat hospital..taklah jauh sangat nak berulang-alik" .

Saya tak pasti mungkin ada malaikat yang mengaminkan doa ini dan semuanya akhirnya menjadi kenyataan yang sangat mengujakan.Hanya sedikit masa sahaja lagi.Bersabarlah ayuhai hati!!
 Pada suatu hari ayah mertua adik ipar saya menziarahi suami yang telah pulang ke rumah. Tanpa merancang saya lalu bertanya 
"Di situ ada rumah dak untuk dijual?" 

Suami pantas meningkah "Ambuih..pandai-pandai dia nak dok sorang-sorang di Alor Setar" (Ketika itu kami menetap di Jitra).Dan cerita itu putus di situ.

Keesokkan harinya, besan mak datang lagi lalu mengkabarkan "Mai lekas pi tengok..ada orang RTM nak jual rumah".

Setelah berbincang dengan suami kami bersetuju untuk pergi melihat-lihat dulu, no harm done. Dengan kaki yang bertongkat kami bersama-sama melawat rumah tersebut yang terletak tidak jauh dari Tol Alor  Setar Utara. Dan saya pula sedang mengandung si bongsu. Kami melihat ruang dalam dan luar rumah. Memang agak tidak terjaga kerana sudah lama tidak disewakan.

Akhirnya setelah sihat suami membawa abah dan emak untuk melihat dan meminta pendapat mereka. (Suami saya memang suka bertanyakan pendapat abah dan emak walaupun keputusan akhir dia yang akan buat. Katanya sebagai merai dan menghargai pandangan dan pengalaman mereka). 

Kata emak. "Rumah ni lama lah sikit..tapi besar dan laman pun luas untuk anak-anak berlari. Anak-anak jangan dok biar main rumah orang.Biar mereka besar depan mata senang kita nak kawal".

Berpegang kata kata  emak kami memaklumkan kepada jiran yang menjaga kunci dan proses jual beli pun bermula.Ketika itu saya sedang menunggu hari untuk melahirkan. Sebaik urusan jualbeli selesai kami membuat sedikit pemulihan supaya dan selesa untuk diduduki. Selepas berpantang kami pun berpindah ke rumah ini pada November 1995.

Dan pada November 2003 kami terpaksa menuggalkan rumah ini kerana dipindahkan ke Pulau Pinang. Rumah yang diberi sewa memang tidak mampu dijaga seperti milik sendiri 

Akhirnya rumah ini dilepas dengan relahati kepada menantu dan anak ketiga kami pada tahun 2013.

Rasa rindu terubat bila dapat pulang bermalam sekali sekala. Meski sebuah rumah lama tapi ia sangat bermakna kerana ia lambang kegigihan suami berjimat cermat dengan satu pendapatan dan di sini juga saya berpeluang membantu mengasuh beberapa anak anak kawan kawan sambil menumpang kasih mereka. Lokasinya juga sangat strategik. Sehingga kini rumah ini tetap mendapat tempat yang istimewa di dalam hati setiap anak.


 November 1995 sehingga November 2003 kami tinggal di sini. Banyak sungguh kenangan yang ada di sini. Anak -anak saya  semua sudah mula bersekolah.


Thursday, March 6, 2014

semalam itu sejarah,dan esok itu harapan

Pada tarikh ini 6 mac 1982 kala bunga  butercup malu-malu menyapa sang mentari saya melahirkan anak sulong  saya. Jauh di negara orang. Hanya bertemankan suami yang setia di sisi sehingga si puteri menangis nyaring di dinihari. 



Tugas baru pun bermula. Maklumlah tiada pengalaman dan jauh pula dari ibubapa  serta orang tua-tua yang mampu menitip sepatah dua nasihat untuk ibubapa muda seperti kami. Rujukan saya hanyalah buku-buku dan majalah-majalah keibubapaan yang banyak di sana. Juga panduan dari senior yang sedang mengambil Phd . Ketika itu  rutin suami menjadi semakin  padat. Bila sudah sampai ke fasa akhir pengajian  pasti ada kuliah yang perlu dihadiri, projek tahun akhir yang perlu diselesaikan sebagai pra syarat untuk layak dianugerah sekeping  ijazah . Namun dia tetap mampu meluangkan masa untuk pulang memasak dan menjenguk saya dan bayi yang didalam hari.

Ketika bayi kami berusia 4 bulan kami kembali ke tanahair. Suami terus  melapor diri untuk kursus perguruan lepasan ijazah.
Setahun kami tinggal  di Taman Abidin, Perak Road,Penang. Rumah flat dua bilik dengan kadar sewa 220rm.  Ketika itu suami sudah  mampu memiliki sebuah motorsikal terpakai untuk berulang-alik ke maktab. Kami banyak bergerak menggunakan bas.Hampir setahun kami juga berulang-alik ke kampong dengan bas Mara atau UTC dari Butterworth.

 Kami tidak mampu melupakan jasa baik seorang bapa saudara suami yang meminjamkan keretanya untuk memudahkan kami bergerak. Ketika ini baru  kami berpeluang membawa anak mandi-mandi di Tanjung Bunga dan Batu Feringgi. Dengan kadar  elaun  650rm  kami berjaya menempuh hidup selama setahun di sana.Sehingga kini Penang tetap  dekat di hati.Di sinilah kami mula membina keluarga dan merasai pahit manisnya hidup berkeluarga.


tempat jatuh lagi dikenang

Ketika  anak ini genap  usia setahun saya kembali hamil. Ketika itu berbagai perasaan yang menghantui. Keperitan   sakit bersalin masih segar dalam ingatan. Ada kalanya  rasa sukarnya membuka mata di pagi hari bila semalamam si puteri tidak tidur kerana demam .Anak semakin lasak dan sudah pandai menunjukkan berbagai perangai Dia juga semakin menuntut perhatian  Suami pula makin sibuk kerana sudah hampir menamatkan kursus. Jika bolehlah..ingin sangat saya menangguh kehamilan ini.Tetapi siapalah  kita untuk menolak takdir dan rezeki yang telah ditulis.

Kami akhirnya berpindah ke Kuantan bila suami ditugaskan ke sana. Di sana juga saya melahirkan anak ke dua juga seorang puteri. Rumah lebih selesa dari yang pertama tetapi saya bukan jenis yang suka merungut. Sabar dan reda serta berpuas hati dengan apa yang mampu suami sediakan.  Rumah kami lapang dan kosong kecuali beberapa  perabut yang asas .  Saya suka kerana anak-anak dapat bergerak bebas dan jika mereka berperangai baik pasti akan diberi ganjaran.Bermandi-manda di pantai Batu Hitam dekat Beserah. atau pusing-pusing ke stesen satelit bumi ditepi rumah kami.Mungkin kerana terlalu kerap dibawa ke pantai maka sehingga kini anak -anak saya bagaikan  ikan pulang ke lubuk bila terjumpa pantai atau airterjun.

setiap tahun kami pasti akan ke Penang untuk bercuti.Dis 2003

Saya terus membaca untuk mencari ilmu membesarkan anak-anak. Bukan mudah dikala rujukan buku pendidikan anak-anak dalam Islam masih amat kurang di pasaran. Jika pulang menziarahi mak dan bapa di Kuala Lumpur kami pasti ke kedai buku mencari bahan bacaan untuk diri dan anak-anak.

Rupanya pendedahan awal terhadap bahan cetak menjadikan anak-anak saya menjadi begitu taksub pada buku. Ketika mengubahsuai rumah baru-baru ini saya bagaikan tersedar rupanya harta yang saya kumpul berpuloh tahun hanyalah buku dan buku. Jika dijual kepada van akhbar terpakai ia hanya mampu meraih 25sen sekilo tetapi  saya bersyukur ilmu yang saya dapat dari pembacaan mampu mencorakkan hidup saya dan keluarga hari ini. Ia lebih mahal melangkaui  nilai kebendaan yang mampu dijana.


menyantuni wan dan mak tok sebelum pulang ke UKM

Anak sulong saya berada di tahun enam bila Allah menjemput kami menjadi tetamuNya. Dia saya pesankan menjaga adik-adik seramai lima orang. Yang paling kecil ketika itu baru berusia 6 bulan. Jika mahu ditangguhkan belum tentu ada hayat umur dan peluang. Dengan penuh reda saya belajar melepaskan susu.Dan dengan izinNya kami dapat menyempurnakan rukun Islam kelima tanpa sebarang masalah besar. 

Tahun demi tahun anak saya ini melangkah.Dari sekolah menengah hingga ke matrikulasi.Bukan mudah membiayai pembelanjaran mereka dengan satu pendapatan. Namun semua itu kami lalui dengan penuh yakin bahawa setiap anak telah Allah tentukan rezeki mereka. Dan berbagai peristiwa besar yang dilalui dalam proses menempah kejayaan.Adakala anak saya menangis kerana beratnya ujian yang dilalui.Sebagai ibubapa kami menasihati dan selebihnya bermunajat meminta bantuan Allah. 
  
Bila dikenangkan kembali  macam tak percaya kami mampu lalui semua itu. Bermacam kisah pahit manis membina keluarga. Dan perjalanan yang panjang itu terus mendewasa dan mematangkan kami berdua .Hari demi hari dengan bantuan doa ibuabapa/mertua dan dengan  izin Allah jua. 
saat pilu melepaskan anak untuk memulakan hidup baru

Sebagai anak sulong tentulah anak saya ini  berada pada satu posisi yang agak sukar. Dia menjadi tulang belakang saya untuk menengokkan adik-adik.Memasak makan sekadar yang mampu dan membantu melihat kerja sekolah bila saya ada usrah atau ke luar daerah kerana mesyuarat atau kursus.
Dia juga menjadi garis pengukur untuk adik-adik menurut dari belakang. Dalam segala kepayahan satu demi satu kejayaan mampu dilakarkan. Kami sebagai ibubapa tidak memaksa mereka dalam membuat sesuatu keputusan.Tetapi kami mengikut dari jauh  dan memberi panduan dan pandangan langkah mana paling baik  untuk diambil. Namun menyerahkan sepenuh untuk mereka membuat keputusan akhir. 
cucu sulong penyejuk hati kami
Bertugasnya di hospital sudah pasti terbuka luas peluang untuk membuat banyak kebaikan. Kempen penyusuan ibu amat dekat di hatinya. Saya gembira melihat dia menyampai ceramah berkongsi ilmu dengan masyarakat.Setiap kita berusahalah menjadi seekor burung kecil yang cuba memadam api yang mahu membakar Nabi Ibrahim.Jika setiap kita berusaha melakukan kebaikan nescaya Islam tidaklah senazak ini. Hidayah itu milik Allah dan kita hanya dituntut terus melakukan kebaikan demi kebaikan .Usah pandang remeh amalan baik yang kecil-kecil .Begitu juga tentang dosa. Dosa -dosa kecil itu diibaratkan bagai ranting kayu kecil yang ditimbunkan. Dan mampu menjadi rumpun api yang marak menyala jika tidak segera dipadamkan. 
bukan mudah menjadi anak sulong..but you made it!
 Bila melihat coretan adik-adiknya  di Fb dan blog saya percaya mereka ada satu hubungan yang indah dan manis dengan kakak sulong ini. Kini bila masing-masing sudah dewasa,sudah mempunyai keluarga sendiri kakak sulong ini juga menjadi tempat merujuk jika mereka inginkan sesuatu pendapat.
Tiada apa yang saya dan suami dambakan  pada saat ini. Satu keluarga yang harmoni.Kekal berkasihsayang dan terus menyiap diri dan keluarga menjadi insan yang diredai Allah . Ringan tangan untuk berkongsi apa jua nikmat yang Allah titipkan serta berkongsi ilmu serta kemahiran demi untuk memartabatkan Islam. 
hai orang beriman!jauhilah dirimu dan keluargamu dari  api neraka 
Keluarga saya bukanlah yang terbaik dan terhebat.Jika menoleh keliling saya akan melihat banyak lagi yang tak mampu saya dan suami lakukan tetapi kami yakin sebagai orang beriman kita tidak akan berhenti di sini. Perjalanan masih panjang sudah pasti kita ingin hari ini lebih baik dari semalam dan selagi mana kita sentiasa menghisab diri insyaallah kita tidak kan lari dan tersasar dari landasan yang telah Islam gariskan.  

saat manis menerima ahli keluarga baru Ogos 2013
To kakak with lot's of love on this special day.

A daughter

A daughter is a daughter
With all past present and future
A daughter has all virtues-
Pretty amiable and intelligent
Adorned with all good traits
A daughter lacks nothing
As she has with her unfailing love
Devoid of merits, free from pride
Unconcerned and free from doubts
A daughter is a daughter
With the qualities of father and mother
Daughter is the best process-server. 

Thursday, January 3, 2013

Tinta Hujung Tahun

Kata orang bila kita banyak menerima jemputan kahwin dari kawan, rakan atau jiran itu tanda kita memang dah masuk golongan veteran. Ya! Memang betul cuti hujung tahun 2012  adalah tempoh masa  yang sungguh sibuk.Terutama di hujung minggu, ada beberapa jemputan yang perlu ditunaikan.Jauh dan dekat. Jika diizin Allah memang kita patut   hadir.  Jika sudah menghadiri beberapa kenduri sudah pasti perut tidak mampu lagi menerima nasi..Tambahan pulak kalau lauknya tidak banyak berbeda dari kenduri terawal. Kalau ada menu sampingan seperti laksa, bihun sup, cendul atau bubur tentu itulah yang dipilih. Jika tak ada pun tidak menjadi masalah. Kita masih boleh hadir berbual mesra sambil meneguk minuman membasah tekak. . Berkunjung untuk meraikan   tuan rumah yang susah payah menjemput dan sudah pasti berharap kehadiran kita sambil mendoakan kebahagiaan dan keberkatan pasangan yang dirai.

dua hati satu rasa
Risiko mengada majlis kahwin pada musim cuti sekolah atau cuti umum yang bersambung hujung minggu  ialah jemputan yang bertindih. Hati kita akan berdub dab dub dab..menanti tetamu tiba. Risau lauk tak cukup, risau hujan turun dan berbagai perasaan yang sukar diungkapkan. Wajah kita tersenyum mesra sedangkan dalam dada Allah sahaja yang tahu. Kata orang berbulan sebelum majlis kita sudah tak lena malam.Berbagai perkara perlu diuruskan sebelum hari berlangsung.Mujur sekarang ini sudah ada berbagai forum,blog,majalah dsbbnya yang membantu kita merancang dan memastikan majlis berjalan lancar. Zaman kita mengharap jiran tetangga atau ipar duai atau saudara mara datang membantu  sudah kian berlalu.  Jika  dulu tuan rumah hanya menyiap hidangan menanti jiran dan saudara mara datang membantu.Sekarang tuan rumah yang perlu terkejar ke sana ke sini mengurus dan membeli apa yang perlu. Kalau tak cukup sihat dan tak cukup nafas memang semput jadinya.Jadi bagi yang bakal jadi mak ayah pengantin belajar-belajar mencari makjun atau vitamin bagi menguat imune sistem agar kekal cergas,sihat sampai hari langsungnya.


lepaskanlah anak-anak dengan hati yang lapang dan kekal bertawakkal kepada Nya

Bakal pengantin pula adakala hanya mampu mencadang  dan merancang itu dan ini.Tenaga memang tak mampu dihulur kerana kekangan kerja dan cuti. Untuk mudah urusan pembelian boleh dibuat secara talian.Jadi rata-rata ramai orang sudah tidak berminat berkenduri di rumah  Menyiap dan mengemas rumah agar selesa dan sedap mata yang memandang bukan calang-calang kerja melainkan ramai kaki dan tangan yang membantu.

Susah dan payah macamna pun kenduri tetap perlu dilakukan.Inilah khidmat terakhir ibubapa sebelum melepas anak gadis atau anak bujang menjalani fasa kehidupan yang baru. Orang dulu-dulu suka menyebut"anak saya yang dah lepas empat orang ada lagi tiga tak lepas lagi".Apa yang dimaksudkan dengan lepas tu? Itu bermaksud bila anak-anak dah dikahwinkan bermakna ibubapa sudah melepaskan tanggungjawab mereka.Dan pasangan itu akan memulakan hidup baru bersama. Kegunung sama di daki dan ke lurah sama dituruni. Ibubapa hanya memantau dari jauh, campurtangan hanya boleh dilakukan jika diminta.Biarlah mereka mengatur kehidupan mereka. Jika kita mengaku sudah melepaskan mereka. Lepaskan dengan hati yang reda dan bertawakkal kepada Allah.Inilah masa untuk kita memikir untung nasib diri kita pulak.
kami  berkongsi hidup selama 32 tahun dan sudah melepaskan 4 orang anak...lagi 3 lagi noo
Bila seseorang anak sudah menanam azam untuk mendirikan rumahtangga sudah pasti dia telah berfikir semasak-masaknya. Berkahwin usia muda atau berkahwin lewat bukan persoalan. Jika mereka sudah mempersiapkan diri, mental dan material untuk berkahwin maka kita sebagai ibubapa hanya perlu menyediakan belanja untuk melangsungkan perkahwinan mereka. Bajet untuk kenduri ikut kemampuan kita. Kita boleh jemput seramai mana yang kita inginkan tetapi alangkah  baiknya jika kita memilih untuk  bersederhana. Ketika saudara-saudara kita di seluruh dunia sedang menderita kerana peperangan, bencana alam dan kita dirayu memberi sumbangan tentulah tidak patut kita berpura-pura tidak mendengar atau mengetahui tentang tabung itu dan ini yang dilancarkan.



 Sabda Nabi saw bukanlah dari kalangan aku mereka yang tidak peduli akan kesengsaraan saudaranya..Dan ketika kita mampu berbelanja kita mengekang nafsu kita itulah namanya zuhud dan tika kita kesempitan wang ketika itulah Allah memberi pahala yang banyak jika kita memberi derma atau sadaqah. Timun di tangan kita, pisau pun ditangan kita.Pandai-pandailah kita memilih. Jangalah niat baik kita menjamu orang tetapi berlaku pula pembaziran sehingga Allah mencela dan menyamakan kita sebagai saudara syaitan.
Berpesan-pesanlah  dengan kebenaran dan kesabaran   untuk diri sendiri dan mereka yang boleh disentuh hatinya. Apalah perkataan yang lebih baik? Sudah pasti perkataan yang mampu mengubah pemikiran, diri dan budaya manusia.Dari buruk kepada yang lebih baik lagi dan lagi baik.










Monday, October 22, 2012

Sayang Sampai Mati



Cucu perempuan pertama yang membuat semua ahli keluarga teruja
Inilah ahli keluarga yang paling baru.Syukur alhamdulillah tahun ini kami menyambut dua menantu dan seorang cucu. Memang sibuklah bila bergelar nenek ni. Sampaikan nak duduk membuka lappy pun tak sempat. Syukur ada HTC yang dihadiahkan semepena  hari ulang tahun lalu dapatlah saya berhubung dengan anak-anak yang jauh melalui Kakao talk.Bila di rumah sendiri begitu cepat masa bergerak. Sedar tak sedar sudah hampir hujung tahun. Empat anak sudah melangkah ke alam pekerjaan dan tinggal tiga orang lagi yang sedang bergelut menyampai cita-cita masing-masing. Beberapa hari sahaja lagi anak bongsu saya akan berdepan dengan SPM. Setiap ibubapa tentu ingin anak-anak berjaya.Dunia dan akhirat. Tiada makna berjaya di dunia jika kita muflis di akhirat.
mestilah penyokong the  red warrior 
 Saya seronok benar ketika menziarahi cucu sulong kami baru -baru ini.  Dia  belajar di  Pasti Anak Soleh,Kubang Kerian. Bila setiap hari dilatih tentu minda yang masih bersih itu senang mengingat dan menangkap. Ketika berbual ibunya tersilap menyebut perkataan aku. Tahu apa reaksinya?
 "Ibu..kenapa  ibu cakap aku..??? Mazmumah tuu".Haaa...saya dan suami nak ketawa pun ada tersentak pun ada. Subhanallah...kalaulah sampai besar dia terus peka dengan apa yang mahmudah dan apa yang mazmumah alangkah cantiknya. Alangkah eluknya pekertinya. 

abang long belajar melayan diri tika mama sibuk dengan adik Safiyyah
Ya.Mendidik anak biarlah dari rebung. Ada ibubapa yang pernah merungut kepada saya satu ketika dahulu. "Cikgu..anak saya sejak masuk tadika ni bukan main lagi perangainya.Dulu tak macam nih"
 Apa yang  patut saya jawab. Tak baik ke tadika saya sampai anak murid jadi begini dan ibubapa merungut. Setelah berfikir saya menjawab."Minta maaf puan kalau anak-anak berubah perangai.Di sini mereka belajar bergaul dan menerima macam-macam budaya. Ada yang baik dan ada yang buruk tapi insyaallah saya ada cikgu-cikgu yang memerhati dan menegur. Lama-lama  mereka dapatlah membeza yang baik dan yang buruk. Kalau kita kurung mereka di rumah tentu takkan selama-lamanya. Satu hari mereka perlu ke sekolah.Di sana nanti lagi ramai kawan lagi luas pergaulan dan waktu tu tak mampu dah cikgu sekolah rendah menegur dan mendidik mereka ".Mujurlah si ibu bersetuju dengan pendapat saya Dan dia terus setia menghantar anak-anaknya seorang demi seorang.
Pada usia 2 bulan. Nuraisyah Safiyyah 
Mendidik anak bukan tugas yang mudah. Ada kala kita perlu berlembut dan ada tika perlu pula berkeras dan bertegas. Perkatan sayang tu perlu dilihat di celah-celah baris. Between the line. Yang tersurat dan yang tersirat. Kita sayang anak dan kita lakukan semua  kerja untuknya. Sayang ke tu? Atau kita benci anakkah jika kita menyuruh dia melakukan semua kerja??  Betapa sayang dan kasihnya kita pada si anak kita perlu sematkan di hati satu hari nanti kita akan pergi meninggalkan mereka. Jika kita tidak mampu mengajar kemahiran untuk hidup ketika mereka kecil  sudah pasti satu hari nanti mereka akan menyalahkan kita kerana tidak mengajar mereka apa yang sepatutnya mereka tahu. Lebih malang lagi jika mereka sudah berkeluarga tetapi masih memerlukan khidmat kita untuk mengatur dan mengurus hidup mereka. Kita sayang mereka hingga ke mati tetapi jangan sampai kita mati kerana sayangkan mereka. Renungkanlah pesanan Allah dalam Al Quran tentang ini Al Anfal:ayat 28.

Friday, March 23, 2012

Hanya Semalam

Sudah agak lama kami tak kemana-mana. Saban minggu suami pulang menemani mak kerana bibiknya sudah tidak mahu bekerja. Alhamdulillah minggu lepas sudah Allah hantarkan seorang pembantu dari Acheh. Kali ini memang naif sungguh. Tak biasa menggunakan segala peralatan letrik yang ada di rumah.Sampaikan nak buka tingkap nako pun tak pandai. Bila suami saya memberitahu  orang Indon yang membuat rumah jiran saya. Tahu apa komennya," Oh! Itu lebih baik, kalau yang sudah tahu itu ini, nanti kamu lagi susah". Hmmm...bila fikir-fikir semula memang betul jugak. Advance sangat pun susah jugak. Last-last dia yang dictate nak itu dan ini. Last-last kita tertanya pulak siapa yang tuan ,siapa pula yang bibiknya. Dunia sudah terbalik.Bukan macam zaman Labu Labi lagi.Orang gaji takut sangat dengan tuannya..

Okaylah..ni nak cerita tentang Kuala Gula. Tika orang bercuti baru-baru ini, suami kena jaga exam dan saya mengambil kesempatan ke tadika. Bukan full timer pun tapi once dah masuk ke tadika macam tak ada jalan keluar pulak. No u turn. Cuma kali ini saya membantu mengajar dan menegur guru-guru baru. Kot jadi tukang sibuk saja. Itupun kalau cikgu-cikgu mahu menerima dengan hati yang terbuka. Makluimlah hampir 30 tahun secara formal terlibat dalam bidang ni bukan satu tempoh masa yang pendek.Banyak yang ingin dikongsi dan muga digunakan.
muatan sarat hati suka

Ha..hahaa. Bila anak-anak bertanya  "Ummi tak penat ke pergi tadika?". Kali ini saya pergi bukan untuk dapat gaji tapi saya lebih ingin berkongsi ilmu dan pengalaman kerana masa untuk saya di dunia ini semakin singkat. Mudah-mudahan ilmu yang saya kongsi itu akan memberi manfaat dan dapat memberat timbangan al mizan nanti. Bukankah hanya 3 perkara yang akan mengikut kita ke kubur.Harta yang dijariahkan, ilmu manfaat dan doa anak yang soleh. Insyaallah. Mudah-mudahan badan sentiasa sihat dan hati sentiasa ikhlas.

Restoran terapung terkenal dengan ketam lembut


Kami memilih Kuala Gula kerana lokasinya yang agak hampir dengan rumah. Suasana tenang, damai dan jauh dari hiruk pikuk exzos kereta jiran yang sangat menganggu saban hari. Hidup orang di sini sangat mudah. Bangun pagi ke laut. Dapat hasil bawa pulang untuk dijual dan dimakan sendiri. Kami pun cuba-cuba juga memancing. Pancing dibeli di US pada tahun 1999, tapi berapa kali sahaja digunakan. Akhirnya kami gave up seekor ikan pun tak dapat. Barulah tahu betapa sukarnya hidup sebagai seorang nelayan. Belum lagi difikir tentang nyawa yang disabung bila perahu diolak ombak dan badai. 

Datang ke sini kala orang lain sedang bertugas memang seronok. Keadaan tidak sesak dan tentulah ketenangan itu yang dicari. Suami pula siap mengelek bungkusan kertas final studentsnya. Kalau di rumah agak liat nak mula memeriksa. Maklumlah banyak benda lain nak dibuat, tambahan pula bila memeriksa kertas-kertas yang banyak pula salahnya. Mencabar sungguh ya tugas pensyarah ni.  Sabarlah !!!
mencuba nasib !!

Semalam juga result SPM diumumkan. Ada  juga anak-anak saudara saya mendapat 11A.Tahniah..tahniah. Disebalik kejayaan depa sudah pasti ada banyak pengorbanan dan sokongan di situ. Bagi ibu bapa yang pertama kali menunggu keputusan SPM tentu agak stress, maklumlah anak yang periksa kita pulak yang risau. Antara SMS yang saya terima ialah   "Pakat scorer semua. Hebat aih." Sekarang orang dah tak  tanya dapat berapa A? Tapi dapat berapa A+ lah pulak. Zaman dah berubah, orang dah semakin pandai dan bijak-bijak belaka. Tapi yang peliknya kata suami saya. Result SPM sentiasa meningkat tapi bila masuk ke IPT kenapa budak-budak tu serba tak tahu. Dimana silapnya. Puas pensyarah mengajar tetapi benda basic banyak yang tak tahu. Kalau tak mantap yang asas macamana nak belajar yang lagi advance.Peluang mendapat tajaan juga semakin mencabar.

nostalgi menanti dengan debaran
Tahun ini tak ada pulak anak-anak saya yang menunggu SPM jadi saya tak sibuk sangat meneroka mencari peluang belajar dan tajaan. Yang saya simpulkan  ialah bidang pendidikan sudah menjadi mahal. Jika ingin anak-anak mendapat tempat yang baik kita sanggup mengeluar sejumlah wang. Tajaan dan biasiswa sudah tinggal sedikit sedangkan saban tahun budak-budak yang straight A + makin meningkat. Budak-budak makin pandai atau soalan makin mudah ?Tak tahulah. Yang saya tahu jika ingin anak berjaya ibu ayah kena korbankan banyak benda yang tidak perlu. Atau tangguhkan sebarang keinginan untuk membaharui kereta, menambah luas rumah, melengkap perabut rumah atau bercuti ke tempat yang jauh-jauh. Janganlah kita sampai menjadi ayam di kepok mati kelaparan. Ini bumi kita, tanah air kita dan tentu kita yang wajar dan wajib mempertahankannya. Isy..melalut manalah pulak. Tiba-tiba pula rasa patriotik. Mungkin sebab teringatkan  bendera Malaysia berkibar megah di pintu utama resort .
mentari pagi sedang menebarkan cahayanya

Anak-anak selalu bertanya hairan. Apa ada dengan Kola Gula? Bagi yang gemarkan nature inilah tempatnya. Ramai orang asing datang kerana di sini tempat burung-burung lari dari sejuk winter Siberia. Burung pun lari bila winter datang tapi ada pula kawan saya sanggup terbang ke Korea baru-baru ini kerana ingin merasa sejuknya winter. Macam-macam kan manusia ni. Itu pilihan masing-masing dan saya tak berhak komen tentangnya pun. Kami juga berpeluang membuat experiment dengan kamera masing-masing. Meskipun tanpa tripod yang tertinggal di rumah kami mampu merakam banyak shot yang agak baik. Bot-bot yang lalu-lalang membawa muatan, olakan air, belacak dan ketam yang berkejaran di kala air surut semua ini menjadi model yang sangat mengujakan. Perjalanan adalah pengembaraan mengalami perkara-perkara baru. Semua momen dan objek ini dirakam untuk dihayati di kemudian hari. Mengimbau kenangan dan foto yang indah adalah yang mampu  bercerita bagi yang melihatnya. A picture speaks a thousand words lah katakan.
pasang surut air semuanya dalam pengetahuan Allah

Ketika kami datang pada tahun 2008 banyak kerosakan di sana sini. Tapi kini sudah dibaik pulih dan sekitanya terjaga baik. Cuma saya terkilan kerana kawasan di belakang dewan seminar dijadikan tempat buangan sampah. Alangkah baiknya jika bekas  polisterin tidak dibiar berterapungan kerana dirumpun nipah itu kelihatan beberapa jenis burung sedang mencari makan. Kali ini tidak ada seekor pun burung botak kelihatan berbanding Ogos 2008. Mungkin burung-burung itu sudah pulang ke Siberia. Yang kelihatan burung-burung helang sedang berterbangan sambil merendah mengutip ikan di permukaan air. 
Rasa damai di siang hari rupanya tidak berlarut hingga ke malam. Sebaik senja melabuhkan tirai mulalah bunyi dentuman muzik dari pondok  kecil di sebelah restoran. Dibuka pula sekuat yang mungkin hingga menganggu ketenangan malam. Saya tidak pasti apa tanggapan pelancong dari Ireland yang turut menginap di sini. Mungkinkah muzik yang kuat itu diharap mampu menghalau rasa sunyi orang-orang di sini? Sedangkan kami yang datang dari jauh sanggup membayar untuk menghargai  erti sunyi dan damai.Manusia memang begitu, tidak menilai sesuatu yang didapatnya dengan percuma dan ketika benda itu masih ada.
proses 'ketam lembut'
 Restoran terapung  disebelah resort pula menyajikan ketam lembut dan kari sembilang perut kuning . Ini adalah sajian istimewa mereka. Kami sempat melihat nelayan melakukan satu teknik untuk membuatkan ketam mencabut kakinya sendiri. Ketam ini kemudian dibela untuk  menghasilkan kulit lembut. Ketam yang "under stress" ini akan membuang kulit kerasnya dan menyalin kulit dan mengeluarkan kaki baharu yang semuanya lembut. Jadi ketika ini ketam akan diambil untuk dimasak. Ini teknologi dari Vietnam kata pak cik nelayan tersebut. Saya gembira dengan inovatif ini.Semua ini untuk membaiki taraf hidup nelayan dan anak bangsa saya juga. Pertama  kali melalui pekan Kuala Kurau hati saya tiba-tiba teringatkan Pulau Jeju. Kehidupan yang tenang dan mudah. Cuma Jeju sangat bersih dan persekitarannya dijaga dari pencemaran. Jika Naval base diteruskan juga pembinaannya mungkin Jeju juga akan tercemar.Itulah harga pembangunan.
pelayar ke pelabuhan waktu
 Air sungai yang mula pasang di bawah chalet ini menandakan hari sudah berganti. Masa begitu cepat berlalu. Dan kami perlu bersiap untuk pulang. Suami pun sudah menanda 2 soalan dari 3 bundles. Berjaya memecah rekod peribadinya kerana kebelakangan ini prestasi student yang dilahirkan di muka kertas sangat menggusarkan hatinya sebagai pengajar mereka. Semalam saya pun sudah beranjak ke usia baru. Dan selagi hayat dan kesihatan masih ada sudah pasti saya sangat ingin untuk terus datang ke Kuala Gula. Melihat bot datang dan pergi ia turut mengingatkan saya bahawa kita hanyalah pelayar yang singgah di pelabuhan waktu. Cukup masa dan sampai  ketika kita akan belayar ke satu lagi pelabuhan yang tiada penghujungnya. Bila dan ketikanya hanya Dia sahaja yang mengetahui.Terima kasih untuk masa berdua yang mendamaikan.