Sunday, July 5, 2009

Bertamu Ke Kg. Langgar

.




Alhamdulillah, akhirnya selamat tiba di rumah. Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula rumah sendiri. 2 hari di Kota Bharu. Pengalaman pertama melihat orang Kelantan menyambut menantu Saya dan suami yang tidak betah duduk diam turut menyibuk menyambut tetamu sekaligus diperkenalkan sebagai tok bise dari Penang. Meriah juga kenduri tu. Lain padang lain belalang. Lain tempat lain budayanya. Saya belajar 2-3 loghat Kelantan. Mengeler? Bekwah? Lepas Zohor adik beradik besan saya yang datang dari Lenggong riuh ingin berjalan ke Pasar Siti Khadijah. Saya hanya bertemu keluarga Lenggong ini ketika mereka datang meminang anak sulung saya dan ketika majlis perkahwinan pada tahun 2006. Namun kemesraan jelas terjalin. Sementelah saya suka beriuhrendah bersama mereka di dapur. Bahasa mendeling mereka yang terkeluar sekali-sekala membuat saya suka mendengarnya. Laukpauk yang dihidangkan enak belaka. Saya sukakan akaknya yang kurang manis begitu juga kuih lapisnya. Rasanya ini versi yang telah diubahsuaikan. Petangnya saya bersama suami mencuri masa ke KB Mall. Saya melihat Kelantan kini sudah jauh berubah. Ketika itu sedang diadakan pertandingan menari ke apa tah anjuran Maxis. Riuh dan ramai betul yang bertumpu ke stage utama. Saya memang tiada tempat lain bila ke KB Mall. Cari kedai buku Muda Osman dan Popular .Bila sudah masuk kalau ada bajet memang tak sah kalau tidak membeli 1-2 buku. Singgahlah membasah tekak di Secret Recipe. Kat Bertam Kiosk pun ada tapi biasalah bukan nak pergi kalau dah dekat rumah. Bila suami komen" Keknya macam yang awak buat saja".Hm..memang hati kembang sebesar tapak tangan. Malam kami bertamu lagi ke Langgar. Makan malam bersama adikberadik besan saya dan berkongsi kegembiraan melihat pasangan pengantin membuka hadiah. Rupanya orang Kelantan bila kenduri membawa gula, susu pekat dan kain batik ..Lepas ini kalau besan saya nak buka kedai runcit pun boleh kami menggiatnya. Anak saya kehampaan kerana Zaffran tidur jadi cadangan ingin memakan kek yang saya bawa dari Penang tak kesampaian. Orang Lenggung riuh pula ingin berjalan ke Wakaf Che Yeh pula. Kami yang sering datang lebih gemar duduk di rumah dari terperangkap di lampu isyaratnya yang sungguh lama tu. Kami pulang ke Pasir Tumbuh hampir 11 malam. Rumah yang terputus bekalan letrik masih kegelapan. Apa lagi yang boleh dibuat kalau lampu dah padam tentulah tidur saja. Sambil berkipas menghalau nyamuk dan bahang panas kami terlena. Hajat hati ingin balik awal ke Penang kerana Harith sendirian di rumah. Dia tidak mahu ikut sama kerana ingin menumpukan perhatian kepada Pertandingan Saintis Muda Selasa 7hb. Julai. 2009. Selamat tinggal Zaffran!

No comments: