Saturday, July 18, 2009

Sambil Menyelam Minum Air


Seronoknya dapat balik Kedah. Bukan jauh pun sekadar 10 minit perjalanan sudah masuk ke Kedah. Destinasi yang dituju hanya sekadar 45 minit ke 1 jam perjalanan. Bergantung kepada kelajuan si pemandu. Namun yang pasti tidak boleh melebihi had yang ditetapkan. Siapa kena saman memang kena bayar sendiri. Tuan punya kereta hanya pinjamkan sahaja. Bila balik Kedah sudah pasti tidak mudah menepis keinginan menghirup kuah laksa Teluk Kechai. Kalau ada rezeki adalah...jika tak..hm...some other times masing-masing menenangkan hati.


Sambil menyudu laksa saya berkongsi cerita -cerita tentang laksa ini dengan kak lang. Ketika bulan puasa laksa ini sering dijadikan moreh di masjid Akar Peluru. Zaman itu plastik tak begitu luas penggunaannya jadi kalau nak bawa pulang kenalah dibawa dengan pinggan sekali. Insyallah kalau tak lupa sudah pasti esuk pagi atau malam pinggan itu akan dipulangkan ke masjid. Siapa berani mengambil barang masjid! Pada satu malam ada seorang makcik ni nak bawa balik laksa , nak ambil 2 pinggan malulah pulak katanya. Jadi dia tuang 2 pinggan laksa ke dalam jug air sirap yang sudah kering isinya. Kak Lang ketawa sampai tersedak-sedak..alahai..nostalgia. Ketika laksa berharga sepinggan 10 sen saya akan menabung setiap hari 5 sen supaya dapat membelinya bila pak cik laksa yang datang menaiki basikal datang ke rumah arwah tok wan. Sekarang laksa sudah sekilo RM10. Beli 2kg baru cukup untuk 4 orang makan. Maksudnya seorang 1/2 kg. Kak lang yang sudah berbulan-bulan tak pekena laksa memang pulun sakan. @ 2 hari 2 malam asyik kerjanya memanas kuah laksa. Ketika kecil mereka sering merebut kuah yang jernih dan hening. Jadi isi ikan yang pekat tu sering diubahsuai pula menjadi serunding ikan. Bila dimakan dengan roti memang sedap.

Bila sudah balik kampong kami mengambil kesempatan mengunjungi tok ngah Cikgu Norma yang sedang dalam tempoh eddahnya. Dia mengisi hari-harinya dengan membanyakkan solat dan membaca qura'an untuk dihadiahkan pahala kepada Pak Jamil yang meninggal 3 minggu lepas.

Sebelum pulang timbul idea memetik buah amra @ kedondong. Pokok yang rendah dan rendang ini sentiasa menjadi tumpuan anak-anak saya bila bertandang ke rumah ini. Ketika kecil selang 2-3 hari mereka pasti akan melencung ke situ mencari mangga, resberi dan amra. Tok ngah Norma yang rajin melayan pasti sibuk mencari plastik dan galah untuk mereka. Bila sudah penuh plastikdatang rancangan membuat jeruk pula. Mengupas dan membelahlah pula. Macam-macamlah kak lang ni!

Bila balik AS kami bagai burung terlepas dari sangkar. Sempat pula mengikut Cik Nad menghantar anaknya ke sebuah homestay untuk kem motivasi UPSR. Rumah yang asalnya dibina untuk diduduki sendiri bertukar menjadi homestay kerana terlalu besar untuk dihuni . Biliknya besar-besar dan lamannya cantik dan luas. Jika ingin kita boleh bersiar-siar menyusuri Sungai Kedah sambil memancing ikan .Jika ingin berbasikal menjelajah kampong pun boleh.
Malam itu kami menginap di rumah Cik Nat sambil berborak dan makan pulut durian. Cuma bila nak tidur barulah teringat ada orang yang menyambut hari jadi sendirian hari ini nun jauh di KM120.0 Sorry!!

No comments: