Sunday, July 19, 2009

Langkah Bermula

Sambil menyelam sambil minum air. Menyelusuri maya membawa saya ke laman yang mempamirkan nama kedai ini. Begitu mudah Allah mengatur rezeki untuk hambaNya. Dengan satu panggilan talipon dan satu pertemuan minggu lepas. Hari ini anak saya akan mula melangkah menjadi keluarga Arisya Home Bakery. Kedai yang sering saya kunjungi ketika melawat kak lang dan bang cik semasa di SMKAK dulu kini bakal jadi tempat kak lang mencari rezeki. Saya dan suami pesankan bukalah mata untuk memerhati dan menimba pengalaman kerja. Bukakan telinga bagi mendengar nasihat dan teguran dari majikan dan teman sekerja. Kurangkan bercakap kerana bila banyak bercakap banyak kesilapan yang bakal dilakukan.

Selamat menjalankan tugas. Ucapan tulus ikhlas dari ummi dan abu untuk kak lang. Terasa belum beberapa lama kak lang menduduki SPM. Begitu pantas masa berlalu. Kita ini bagaikan pelabuhan sepi menunggu kapal datang dan pergi saban waktu. Dari kejauhan pasti dititipkan rindu di angin lalu dan dipanjatkan doa di hening pagi semuga langkah hari ini adalah permulaan dunia kerjaya yang panjang. Untuk membina budaya kerja cemerlang perkara paling asas ialah mengenal potensi diri. Tahu apa yang boleh kita lakukan dan tahu apa yang kita tak tahu. Tidak malu bertanya jika tidak tahu dan tidak malu belajar walaupun perkara yang paling asas dari orang yang lebih dulu bekerja dari kita.


Saling berkongsi ilmu dan kemahiran. Apalah yang dikedekutkan. Ilmu dan tenaga itu hak Allah semuaNya. Bukankah ilmu yang bermanfaat boleh membantu menambah bekalan akhirat kita?
Ringan-ringankan tulang menolong mudah-mudahan Allah akan menolong kita di hari yang tiada pertolongan nanti. Banyakkan bercakap hal-hal yang positif sahaja. Setiap detik dan ketika sentiasa tanamkan semangat ingin meningkatkan kemahiran kerja dan prestasi diri. Orang yang berwawasan akan sentiasa bersikap cemerlang. Jika kita gagal memupuk wawasan diri sudah pasti kita akan mudah mengalah bila bertemu rintangan. Pekerja yang amanah akan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi halangan dan tidak menganggap tempat ini sekadar tempat makan gaji sahaja.Sikap perlu sentiasa positif agar kerja itu menjadi ibadah.

Sebagai satu pasukan sudah pasti kita ada matlamat yang kena dicapai. Jadi banyaklah berbincang dan mencari kata sepakat dalam meningkatkan kualiti kerja. Rakan sekerja adalah orang yang paling hampir dengan kita. Mereka boleh menaik dan menjatuhkan kita. Jadilah individu yang disenangi. Banyaklah meniru akhlaq Rasulullah SAW dalam membina hubungan yang baik sesama rakan. Mukmin itu bersaudara.90% rezeki ada dalam bidang perniagaan.

Eh..macam bagi ceramah motivasi lah pulak! Apa-apa pun kak lang di sini langkah baru bermula. Sematkan di hati titipan pesanan ini jika ingin berjaya dalam bidang yang diceburi. Jika kita minat dengan kerjaya kita sudah pasti biar apa pun halangan kita akan teruskan perjalanan. Muslim yang berjaya itu sangat disukai Allah. Anggaplah ini sumbangan kecil kak lang untuk umat Islam mendapat produk halal. Menyedia makanan yang halal lagi bersih itu wajib. Apatah lagi makanan itu yang akan menjadi darah yang akan mengalir di tubuh manusia. Sumber yang halal menjadikan kita rajin dan gemar melakukan yang baik dan meninggalkan apa yang ditegah. Besar tanggungjawab tu, lang.

No comments: