Tuesday, November 23, 2010

Lapangan Perjuangan

"jawab betui-betui jangan dok silap tajuk pulak"
 Perjuangan  SPM bermula hari ini untuk bang cu dan 467970 calon lagi. Ramainya...tahun ini dengar  kata UPSR pun 48 ribu dapat 5A.Budak-budak sekarang makin bijak pandai bukan macam kita dulu-dulu. Satu sekolah nak dapat dapat 5A pun payah. Saya dulu pun cuma dapat 3A saja tu pun bukan main bangga bila nama disebut dalam perhimpunan sekolah. Hajat hati nak juga belajar ke Sekolah Tun Fatimah apa kan daya hajat tak sampai. Lagipun sekolah tu jauh di hujung negeri ibubapa ketika itu berapa orang sangat yang sanggup lepaskan anak belajar jauh-jauh. Tapi bila dapat masuk ke Sekolah Sultanah Asma barulah terbuka luas mata melihat  luasnya dunia ini. Belajar berbahasa Inggeris dan memahami pertuturan guru serta arahan prefects ketika itu.

mohon restu dari wan
 Anak-anak sekarang memang sangat bertuah dan beruntung. Ibubapa akan berusaha sedapat mungkin merestui kemana sahaja anak mahu masuk belajar. Saya baru berbual dengan seorang teman lama .Tentang sikap dan semangat belajar anak bangsa saya.  Bila melihat keliling saya jadi takut. Takut melihat cara anak-anak bangsa saya melihat hidup. Hidup mesti senang ,seronok dan jika boleh tidak mahu susah-susah. Apa ada pada perpatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit dahulu, bersenang kemudian. Itu hanya kata-kata orang lama yang tak membawa erti apa-apa. Saya jadi takut anak-anak kita hanya menang sorak tapi kampong tergadai.
bersiap awal ke dewan peperiksaan
Fikirlah ayuhai anak-anak.Kamulah bakal peneraju negara di masa hadapan. Tidak cukup sekadar berbekal beberapa mata A dalam sijil SPM akan datang untuk bersaing menongkah dunia. Ilmu dunia dikejar, ilmu akhirat digalas. Jangan kita jadi bangsa terbuang di tanahair sendiri.Pandanglah ke belakang sambil menghafal fakta untuk kertas Sejarah  esok lusa apa yang dapat kamu dapat garap dari himpunan peristiwa yang menimpa Bani Umaiyyah, Abasiyyah dan Othmaniyyah. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melain kaum itu yang mengubah nasibnya. Sejarah dipelajari bagi menilai nasib dan kesudahan sesuatu peradaban itu. Dan  Islam boleh kembali gemilang jika kita ummat Muhammad SAW sanggup bangun dari mimpi yang panjang. Jadikanlah kejayaan di dunia sebagai jalan untuk kita berjaya di akhirat juga. Islam akan kembali gemilang jika kita sanggup berjuang bagaikan kita akan hidup selama-lamanya dan beribadat bagaikan  akan mati pada esok hari. Teruskan perjuangan wahai  anak-anak tersayang. Insyaallah ibu ayah tidak akan lupa mendokan, bersolat hajat dan apa saja cara yang mampu memberi ketenangan dan kekuatan berfikir bila berhadapan dengan  kertas demi kertas. Jika sudah berusaha, berdoa sudah pasti bertawakkal dan menyerah kepada Allah akan urusan seterusnya..

Friday, November 19, 2010

Raya Haji 2010-Pasca banjir

Tempat untuk solat sunat hariraya sudah berpindah ke ruaang bawah. 
 Alhamdulillah, kami masih mampu merayakan hari raya haji pada tahun ini dengan sempurna. Walaupun rasa sepi dan sunyi bergayut di tangkai hati tetapi semua tuntutan di hari raya dapat dilaksanakan. Kedatangan bibik baru dari Jawa juga telah membantu meringankan banyak perkara. Pada mulanya hanya kami sekeluarga sahaja yang dijangka beraya dengan mak/abah.Tetapi di saat akhir Cikgu Mis telah membuat keputusan untuk bersama beraya di TTG.

Awal pagi dia  sudah bangun memasak nasi lemak untuk sarapan. Maklumlah kali ini tidak ada siapa yang sanggup membalut ketupat palas. Maklumlah masing-masing belum hilang letih mengemas rumah selepas banjir.  Biasanya  kami akan solat raya di ruang atas tetapi kerana barang-barang masih berkaparan di atas rumah kami memutuskan untuk solat di bawah sahaja.Jammaahnya pun hanya anak beranak sahaja.
Saban tahun Allah beri kemampuan dan peluang untuk berkurban
 Selepas solat baru kami menjamah nasi lemak dan karipap. Sebaik selesai bergegas pula ke Masjid Rafeah untuk ibadah kurban. Kali ini mak hanya mengambil pulang 1 bahagian sahaja. Yang lain diserah kepada pihak masjid untuk diagihkan. Maklumlah tahun ini tenaga pun kurang. Yang tinggal hanyalah anak-anak kecil yang hanya tahu memenuhkan sinki dengan gelas dan pinggan sahaja. Dua orang ahli keluarga  akan mengambil SPM. Mereka  berdua sudah pasti dikuarantinkan dan dikecualikan dari kerja-kerja rumah.
Mujur ada menantu yang rajin membantu jika  tidak teruklah pak mertua, pak lang dan mak lang.
 Hampir jam 12 t/hari suami pulang membawa daging. Saya tidak menolong menghiris daging tetapi sekadar mengambil tulang dan daging untuk dimasak sahaja. Kali ini cikgu Mis menjadi kepala mengganti tugas mak. Ruang kerja juga sudah berpindah ke muka pintu utama. Tempat lama basah dan masih bertakung air.Bau baja yang rosak juga masih menyengat hidung. Saya dan Kauthar segera membasuh dan menaikkan periuk ke api. Maklumlah hari sudah makin lewat perut masing-masing sudah berkoroncong.Kalau hari raya Aidil Fitri ada juga biskut, kerepek dsbnya.
Lepas menakik daging kena pula menjengok dapur, takut hangus
 Anak-anak saudara pula sibuk meminta daging untuk dibakar. Saya pula terlupa membawa  pulang segala perencah dan sos untuk  dicicah. Jadi daging diperapa denagn gula merah dan air asam jawa sahaja.Sebaik siap mereka meratah daging begitu sahaja. Orang-orang tua pun sudah tidak pedulikan mereka. Banyak kerja lain yang belum dibereskan..
Sabn tahun di sinilah spot memasak sup daging n tulang
 Sebaik sup sudah siap diperisa dan dirasa cukup garamnya saya segera menyuruh mereka menghidang. Adat hidup di kampong anak-anak saudara pupu yang berjiran dengan mak tolong mencelur bihun dan memasak kuah cabai. Saya segera ke bilik mandi .Tuntutan pada Allah belum ditunaikan . Usai solat saya turut makan sambil berbual. Tajuk perbincangan  sudah pasti  berkisar tentang soal banjir, borang bantuan yang hendak diisi, isu banjir yang dipolitikkan dll. Membiar mereka terus berbual saya segera ke dapur. Banyak kerja kemas mengemas perlu dibuat sebelum saya bersiap pulang.
Sup yang sungguh enak.Bukan sebab pandai masak tetapi sebab daging/tulang sangat segar.
 Hanya kami berdua. Saya dan cikgu Mis . Yanti pula sudah lesap. Pengsan kata anak-anak saudara. Cikgu Mis membasuh pinggan mangkok dan saya asyik menghulur ke dalam sinki. Bila siap terasa lega dan lapang. Barulah saya mengutip barang-barang pribadi  untuk bersiap pulang. Di Penang cuti raya hanya sehari. Jadi kami tidak mahu lewat di jalanan.Biasanya petang-petang hujan akan turun dan kenderaan juga banyak di jalan. Tiba-tiba satu SMS pula masuk . "Kami on the way!"
Tak bermakna rezeki yang banyak jika tidak berkongsi dengan tetamu
 Saya segera memaklumkan "Besan on the way" Segera kami mengemas bekas-bekas makanan  yang masih  berserakan di ruang tamu. Sambil menambah apa yang kurang saya menunggu kedatangan mereka. Besan saya membawa semua anak-anaknya. Tahun lepas mereka semua datang dan dijamu bihun sup. Tahun ini juga dijamu menu yang sama. Cuma rasa bihun sup tahun ini lebih enak kerana  kami tidak terlalu sibuk dan kalut .Otak juga difokuskan tidak seperti tahun lepas. Macam-macam perkara di dalam fikiran maklumlah orang nak datang meminang anak kita. Seronok kami melihat makanan  yang dijamu dimakan dengan penuh selera. Simple but delicious.
Akhirnya tinggal dua orang sahaja anak di rumah. Tearsa sangat lengang dan sunyi nya.
 Cadangan untuk pulang sebelum maghrib tertunda hingga ke waktu  insyak. Saya cuba menahan mata agar tidak terlelap tetapi bila badan sudah letih memang minta maaf banyak-banyak pada pemandu di sebelah. Tertidur juga beberapa puluh minit..Anak-anak dua orang di belakang memang sudah lama hanyut. Akhirnya kami tiba dengan selamat di rumah hampir jam 10 malam. Mata yang makin malap terbuka luas bila anak yang akan mengambil SPM bertanya " Mana beg buku bang cu?". Aduh..!!!! masalah ni. Nak balik rumah mak tok pun lambat lagi. Ulangkaji dan latihan untuk final touch kena juga dibuat. Mahu tak mahu terpaksalah SOS pada puan Kauthar. Esok kita pi tunggu bas Trans di Bagan. Hari pun dah lewat...pi tidur ajalah...Awat buat macam tu???? Anak oh anak.

Tuesday, November 16, 2010

Kenangan di Aidil Adha

Pusara  ayahanda & bonda  tercinta di Perkuburan Ampang

Ketika arwah mak  masih ada dia selalu menunggu datangnya hari raya haji. Mulanya kami tidak tahu sebabnya tetapi setelah dewasa baru mengerti rupanya hari raya haji adalah hari ulang tahun perkahwinan mak. Pelikkan..tetapi itulah hakikatnya kerana kata mak orang dulu susah jadi bila nak kenduri terpaksa menunggu musim korban.Dan sebahagian daging itu akan digunakan menjamu tetamu di majlis tersebut.

Mak meninggal pada 2001.Sejak itu kami tidak pernah lagi berhari raya di kuala Lumpur. Ini pula  gambar yang diambil pada tahun 2003. Ketika itu kami cuba beraya  qurban di rumah mak di Kampong Baru.Sudah pasti  hari raya  tidak meriah bila ibu bapa sudah tiada. Terasa kosong dan hambar sekali walaupun riuh rendah suasana keliling. Sejak itu kami tidak lagi pernah beraya di tempat lain kecuali di Alor Setar. Memang terasa juga teringin beraya di tengah keluarga sendiri. tetapi suami selalu tidak sampai hati meninggalkan abah dan mak beraya  berdua bila adik beradik yang lain tidak dapat pulang.


Menyambut kepulangan haji dan hajjah  di Bayan Lepas

 Saban tahun pasti ada sanak-saudara , jiran tetangga atau handai taulan yang menerima jemputan menjadi tetamu Allah. Bagi yang sudah berpeluang ke sana sudah pasti masih kekal dalam ingatan segala kenangan ketika beribadat di sana. Sekarang makin sukar untuk mendapatkan tempat. Jika mendaftar sekarang kemungkinan besar tahun 2030 baru sampai   giliran kita. Bagi jemaah haji hari yang paling penting ialah hari Arafah atau hari ukuf pada 9 Zulhijjah. Hari ini adalah dikatakan sebaik-baik hari. Terdapat berbagai kelebihan pada hari tersebut. Bagi yang tidak menunaikan haji disunatkan berpuasa pada hari tersebut. Bagi yang berpuasa Allah  berjanji akan mengampun dosa  pada tahun ini  dan pada  tahun akan datang.

Memotong daging korban untuk diagih dan dimasak
 Selain  menunaikan fardhu haji kita juga dituntut melakukan ibadat qurban. Saya masih  ingat arwah wan selalu menganjurkan jamaah di masjidnya supaya membuat tabungan. Bermula bulan Muharam  sehingga ke bulan Zulhijjah. Setiap bulan seorang demi seorang ahli jemaah datang ke rumah menghantar duit qurban mereka. Pernah pada satu subuh rumah kami dimasuki pencuri. Ketika itu pagi Jumaat dan jemaah masjid agak lama bersolat subuh kerana  imam (arwah wan ) akan membaca surah Sajdah. Sebaik selesai solat kami pulang ke rumah dan melihat  pintu rumah terbuka luas. Soalan pertama yang keluar dari mulut wan "Duit korban dah lesap ka?" Kami semua meluru ke atas rumah, dan wan sudah pasti segera mencari laci dimana wang yang berjumlah hampir seribu ringgit itu tersimpan. Laci sudah dikopak pencuri. Dengan kumut-kamit membaca doa wan menarik isi laci keluar. Alhamdulillah...jatuh satu sampul surat. Wan segera mencapai dan membukanya. Saya terkejut melihat duit  berkeping-keping ditarik keluar."Alhamdulillah...duit berkat.Allah pelihara' itulah ucapan wan sambil menadah tangan mengucap syukur. Saya tertanya di dalam hati "Kenapa pencuri tadi tidak mengambil duit tersebut". Tidak jumpa  atau tidak sampai hati mencuri duit yang tertera perkatan "duit kurban" di muka depan  sampul itu.

 Bukan mudah orang dahulu mengumpul wang. Dimana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka mencari wang dengan bersusah payah dan bila mampu melakukan tuntutan agama hati mereka menjadi gembira tidak terkira. Sekarang zaman sudah  berubah korban boleh dilakukan dengan mudah. Kita tidak perlu bersusahpayah keluar rumah mencari orang yang menganjurkan. Cari sahaja di laman sesawang banyak pihak yang melakukan kurban di merata negara. Keperluan membantu saudara kita di negara yang minoriti Islam. Ada yang benar-benar susah sehinggakan mereka menunggu datangnya bulan haji untuk merasa daging lembu atau kambing. Di negara kita daging mudah diperolehi sepanjang tahun. Berbagai hidangan berasas daging turut dijual di kedai-kedai makan. Tentulah lebih besar pahalanya jika kita memberi makan orang yang benar-benar lapar.
Bertahu- tahun rumah mak/abah jadi tempat solat hariraya
 Di hari raya juga kita dituntut menunaikan solat sunat hari raya dua rakaat.  Antara perkara yang disunatkan ialah makan selepas solat sunat hariraya  dan bukan sebelum bersolat.Sebaik selesai bersolat segeralah menumbangkan binatang ternakan sebagai korban. Ini adalah sebagai memperingati peristiwa Nabi ibrahim as mengorbankan anaknya Nabi ismail as.
abah tetap kuat beribadat

 Biasanya  daging korban akan diagih kepada kaum kerabat, jiran, fakir miskin dan ada juga yang mengambil kesempatan  untuk melakukan akikah. Satu ibadat yang dituntut ke atas ibu bapa selepas kelahiran anak. Khusus pada hari ke tujuh kelahiran atau selewatnya sebelum anak itu baligh. Anak lelaki dianjurkan 2 ekor kambing dan anak perempuan seekor sahaja.
daging untuk akikah sunnat dimasakkan
 Jiika korban disunnatkan diagih daging mentah tetapi akikah pula disunatkan dimasak masakan yang manis-manis. Saya teringat pada hari raya haji tahun lepas kami juga membuat akikah untuk Zaffran. Memang sibuk kerana paginya sembelihan baru dibuat. Selepas  itu  daging perlu pula dilapah, dipotong dan diagihkan. Untuk akikah Zaffran kami memasak kurma dan menghantar ke rumah-rumah bersama daging korban. Petangnya selepas asar kami merebus tulang-tulang untuk bihun sup sempena majlis pertunangan Kauthar-Zaharan. Memang penat tetapi penuh dengan kegembiraan dan kesyukuran  kerana banyak tanggungjawab tertunai pada hari tersebut.Tahun ini insyaallah ibadat korban tetap akan dilaksanakan  pada hari raya pertama. Dan setelah selesai urusan kami perlu bergegas pulang ke rumah kerana  ada anak yang akan menduduki  SPM  tidak berap hari sahaja lagi.
.
Zaffran yang masih bayi

Marilah memperbanyakkan bertalbiah kalimah suci ini bagi menenangkan  hati-hati kita yang kusut dan gundah gulana.Dengan mengingati Allah  hati akan menjadi tenang. Semuga  Allah  membuka peluang untuk kita menjadi tetamunya di tahun-tahun akan datang. Untuk saudara -saudara kita yang sedang bergerak ke Mina untuk melontar jumrah  semuga Allah memberi haji yang mambur kepada mereka. Ameen.


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu, Hambamu datang menyahut panggilanmu


Sesungguhnya segala pujian


Dan nikmat


Dan pemerintahan adalah kepunyaanmu


Tidak ada sekutu bagimu

Monday, November 15, 2010

Sesekali Allah Menguji

 Alhamdulillah.Itulah kalimah terbaik yang mampu diucapkan. Sudah tiga minggu 'mengerjakan' rumah mak/abah. Hari ini kami pulang ke rumah sendiri. Bermula hari Jumaat pagi dan berakhir magrib hari Sabtu. Cuci, buang dan kemas.Awal pagi saya sudah memasak nasi lemak. Sedikit alas perut  untuk team DERU ,IKRAM yang bakal datang membantu. Kami bertolak ke kampong selepas bersarapan. Hujan sejak malam tadi masih turun lagi. 
Menilai kerosakan yang berlaku! Nak report ke tidak?

Menghampiri susur keluar AS Utara kelihatan sebuah VIVA putih sudah terperosok di dalam longkang di kiri jalan. Esoknya saya baca di akhbar rupa-rupanya 2 pelajar Uitm, Arau  telah terkorban bila kereta itu  terbabas dan melanggar sebatang pokok. Malang tidak berbau.Kita tidak boleh pandang remeh tuntutan berdoa ketika menaiki kenderaan dan memulakan perjalanan. Orang tua-tua selalu melarang kita terlalu gembira dan ketawa kerana kata mereka suka lawannya duka. Bila kita terlalu gembira kita jadi lupa dan ketika kita leka dan lalai selalu terjadinya kemalangan. Manakala dalam buku-buku doa juga dicatatkan antara  orang yang diterima doanya ialah orang yang musafir atau dalam perjalanan. Sudah pasti bila kita berjalan tiada apa yang dapat membantu kita kecuali Allah. Berdoa juga mampu menolak musibah. Jika ditakdir kita tetap terkena mungkin sedikit atau kecil sahaja. Al fatihah untuk  Syazwan dan Azrul Hadi. Semuga Allah memberi kesabaran kepada keluarga yang tinggal dan dicucuri rahmat ke atas roh mereka.


Viva yang meragut 2 nyawa.
Tiba di rumah mak/abah kami segera memulakan tugas. Tidak lama kemudian seorang sahabat menelefon.Bertanyakan jika kami masih perlukan bantuan. Sudah pasti kami menerima dengan tangan terbuka.Kali ini team DERU IKRAM  Kedah  daerah  Kulim pula turun membantu. Tidak lama kemudian mak/abah pula tiba dari Kulim bersama adik ipar saya. Cikgu Mis  gembira melihat  pelajar-pelajar sekolahnya sedang sibuk mencuci  halaman rumah.  Sambil menghidangkan makanan saya juga sibuk membantu Kauthar menyiapkan laksa Kedah. Deria rasa seorang ibu. Petang Khamis saya sudah membeli beberapa kilo ikan kembong untuk dibuat laksa. Malamnya Kauthar pula berSMS ' ummi, pak cik Radhi juai ikan dak? esok kita buat laksa" . Saya pula membalas "Sapa nak perisi ikan, semua sibuk cuci rumah?" Dibalasnya pula "Tak apa lang sanggup".  Saya segera memesan dia mencari satu dua rencah tambahan  untuk laksa .Insyaallah, laksa Kedah untuk  makan tengahari esok.


dah lama gamaknya pakcik-pakcik ni tak basuh pinggan bertoran-toran 
 Bila orang lelaki bersolat Jumaat kami berhenti rehat dan mula menjamu selera dengan laksa Kedah yang sungguh enak.  Selepas solat kami mula mengemas pinggan mangkok berselerak di atas rumah. Yang perlu sahaja diturunkan.Manakala yang kurang perlu dibiar dulu  di atas rumah. Saya dan Kauthar segera mencari  ruang almari yang masih kosong.Jenuh juga memasuk apa yang patut kerana kabinet di bawah masih belum kering sepenuhnya.
Mengemas apa yang patut
nasi lemak dan donut pengalas perut IKRAM Kedah

bertahun menanam baru ini dapat merasa enaknya air kelapa pandan

sedapnya....!!!! Zaharan sanggup berlapar menunggu sambal tempenya
 Untuk makan malam kami makan laksa lagi. Zaharan menggeleng kepala melihat isterinya, si 'hantu Laksa' Suami saya pula memberi komen "Depa ni kalau jumpa laksa 3 hari 3 malam pun tak apa!" .Kalau jadi hari Selasa nanti kami bercadang makan laksa lagi. Kali ini istimewa dari Telok Kecai pula.Itupun kalau ada orang sanggup pergi beli. Maklumlah bila keluarga berkumpul untuk menyambut Hari Raya Haji tentulah laksa Telok Kecai jadi pilihan mudah dan pantas bagi mengisi perut ahli keluarga yang ramai. Tambahan  pula  dapur pula sedang dikemas dan peralatan memasak bertaburan di sana sini. Tukang masak pun sudah kehabisan tenaga dan minda juga sudah letih.
Tak pernah-pernah banjir..kali ni naik paras peha.

Pagi-pagi Sabtu kami berdua segera bertolak ke Taman Uda pula. Dua keluarga sudah berpakat mencuci rumah dan halaman. . Sampah bertimbun-timbun di kiri kanan jalan. Itulah suasana  selepas banjir. Perabut dan segala yang rosak dihumban ke tepi jalan sebelum lori MBAS datang membuat kutipan. Dengar kata depa  ni tak menang tangan menerima panggilan dari sana-sini.  Dalam situasi begini kita perlu bersikap rational. Bersabar bila ditimpa musibah kerana sudah lama Allah  memberi kita senang dan nikmat. Susah-susah kita masih ada tempat berteduh, di hujung bulan ada juga duit gaji masuk ke akaun.
Mengutip apa yang dibuang orang untuk mengganti apa yang dah rosak
 Menurut kata anak saudara, setiap mangsa boleh membuat laporan kerosakan. Pergi ke mana-mana balai polis daerah yang kena banjir dan bersedialah beratur dan menunggu giliran. Orang datang tak kira waktu.Ambil  nombor giliran pagi dan datang semula mengisi borang pada waktu petang. Maklumlah ramai yang terlibat dan ramai juga yang menuntut bantuan  seperti yang diwar-warkan. Bagi petani yang musnah tanaman padi pula  pihak MADA ada  membuka kaunter aduan dan mereka boleh membuat aduan di situ. Bermula banjir melanda tak henti-henti berbagai pihak datang menghulur bantuan. Saya turut terkilan bila ada orang luar senang-senang mengata kerajaan negeri tidak ambil peduli. Nama pun bencana alam. Datangnya pantas macam kilat dan perginya lambat pula macam semut. Begitulah bila Allah hendak menguji kita. Fizikal dan emosi juga turut terkesan.
Kerosakan banjir hanya minima tetapi  kena juga dibaiki agar selesa bakal penghuninya

Sehari suntuk kami di Taman  Uda. Memunggah .membuang dan mencuci apa yang patut . Di depan pagar dua orang pengutip barang-barang buruk sedang berusaha keras mengutip barang-barang yang kami buang. Betullah kata orang somebody's trash, somebody cash. Mujur juga besan kami datang menolong. Mereka  menebas, mencantas dan membakar dahan-dahan kering yang merosakkan pandangan. Ketika berhenti rehat sambil memakan nasi lemak bungkus mereka anak-beranak  sudah merancang  pokok apa yang patut ditanam bagi mengindahkan laman rumah tersebut. Saya hanya tersenyum kerana sebagai orang lama dalam bidang pertanian sudah pasti mereka lebih arif bab itu. Hasil kebun mereka pun tak henti-henti sampai  ke rumah saya. Kauthar dan Zaharan turut teruja mendengar.
Mujur besan orang seberang jalan dapat juga mereka menghulur bantuan 

Suami saya pula sibuk menyiapkan kerja-kerja plumbingnya di atas rumah. Segala paip yang rosak dibaiki.Dan akhirnya kami dapat makan tengahari pada masa azan asar sedang berkumandang. Itupun sekadar sebungkus mee goreng mamak dari kedai Mee Abu yang famous di Alor Setar .Bila hari sudah menjelang senja kami memutuskan untuk berhenti dahulu. Meskipun masih banyak kerja yang belum diselesaikan tetapi tubuh kita juga ada hadnya. Ketika kami bertolak keluar dari Taman Uda pakcik dua orang tadi terus dengan kerja mereka.Lori sampah dan para pekerja MBAS masih bertungkus-lumus menghabiskan tugas. 3  tong besar sedang menunggu untuk diangkut ke tempat pembuangan sampah. Dan masih bertimbun-timbun samaph dan perabut berlonggokan di bahu-bahu jalan. 


Terdengar-dengar kata besan  saya  tadi "Kalau tak mai banjir orang perempuan ni kerja kumpul dan simpan. Bila datang banjir yang dok simpan, yang dok sayang tu depa  buang macam tu saja." Saya juga terfikir agaknya  begitulah juga bila kita mati nanti.Yang sayang yang kasih kita akan tinggal macam tu sahaja. Cuma yang akan mengikut kita hanyalah doa anak yang soleh serta amalan baik bersama  harta-harta yang kita gunakan untuk jalan Allah.
sayang..sayang..akhirnya tetap terbuang

Malam itu kami berdua  tidak dapat tidur mungkin kerana terlalu letih. Saya risaukan suami saya yang mempunyai komplikasi jantung. Bila bekerja dia sampai  lupa yang dia tidak boleh terlalu tekun tetapi bila saya menegur dia  membalas "Kalau saya tak buat sapa nak buat lagi..kesian kat mak ". Saya terdiam dan berdoa diam-diam di dalam hati janganlah ada masalah kesihatan pula selepas ini.  Besok paginya ketika  sedang berkemas untuk pulang saya diserang migrain yang teruk. Sudah lama tidak migrain dan sepanjang jalan saya cuba melelapkan mata. Dalam kesakitan itu otak saya masih sempat berfikir.Apakah kesudahan nasib rumah mak/abah? Ketika nafas sudah makin pendek, tenaga kian kurang dan kesihatan makin tidak memberangsangkan mampukah kami menghadapi bila banjir datang lagi ?  Hanya masa sahaja mampu memberi jawapannya. Tiba-tiba saya terasa aimata mengalir di pipi. Terlalu sedih atau  terlalu letih segala-galanya bercampur meresap ke segenap saraf dan minda saya sudah tidak mampu lagi berfikir.Saya cuma ingin segera sampai  ke rumah sendiri. It is good 
everywhere but home is better!!


apakah kesudahan rumah ini jika banjir melanda lagi?
tanaman mak pun sudah hidup  segan, mati tak mahu

Wednesday, November 10, 2010

PENJELASAN ISU BANJIR OLEH YAB MENTERI BESAR KEDAH

PENJELASAN ISU BANJIR OLEH YAB MENTERI BESAR KEDAH

Mulanya Satu Cinta

Saya sangat terkilan kerana terlalu sibuk dan letih hingga lupakan hari ulang tahun perkahwinan anak sulung saya. Mujurlah saya sudah membawakan kek coklat kegemarannya semasa ke KB tempohari. Mudah-mudahan dia tidak terasa yang saya terlupakan tarikh penting itu. Cepatnya masa berlalu, dari seorang  diri, kemudian berdua,  bertiga dan insyaallah seorang lagi akan lahir hujung tahun ini  atau awal tahun hadapan. Sebagai ibu bapa sudah pasti kami berdua sentiasa berdoa agar Allah melimpahkan rahmat kepada mereka berdua . Berdoa agar mereka sentiasa  eluk bermaufakat . Saling maaf memaafkan dan diberi kekuatan untuk mendidik anak-anak di zaman penuh cabaran ini.

Saat aku terima nikahnya 4 tahun lalu!

 Sekarang sudah masuk bulan November. Musim cuti sekolah makin hampir.Kad jemputan kahwin sudah mula tiba ke tangan. minggu lepas ketika kami pulang ke kampong sekeping kad jemputan ada di dalam peti surat. Baca dan puas memikir siapakah yang menjemput kami. Jika ada alamat rumah mungkin tak sukar sangat memikir tetapi  majlis ini akan di langsung di sebuah bistro. Memang trend sekarang majlis kahwin dibuat di dewan, resort, cafe dsbnya. Perubahan gayahidup  dan orang mencari alternatif yang mudah. namun masih ada orang yang tetap berusaha membuat majlis kahwin di rumah.

                                           Sebaik-baik wanita yang ringan maskahwinnya!

Majlis kahwin bukan sesuatu yang payah tetapi kita sendiri yang menjadinya payah. Islam mengjar bahwa Islam itu mudah tetapi kita sendiri menjadinya susah dan payah. Sekarang sampai terpaksa mencari Perancang Perkahwinan, dan kedai pengantin pula tumbuh bagai cendawan di sana sini. Jika buka diinternet tak usah kata macam-macam pakej, door gift dan segala benda boleh dicari dan dibeli online. Pokoknya mesti ada duit. Saya tak terkejut bila ada beberapa kes bakal pengantin membuat pinjaman peribadi sampai 50k. Adakah kerana tuntutan dan kehendak orang keliling memaksa si pengantin terpaksa bertindak demikian?

Muhammad Zaffran Rizqi yang jadi penyeri rumahtangga lahir pada  tahun 2008

Isu ini sudah selalu sangat  diperkatakan. Agama itu nasihat. Selagi termampu nasihat itu mesti disampaikan walaupun satu ayat. Majlis kahwin memanglah sekali seumur hidup . Soalnya  adakah perlu kita sampai mengikat hidup kita sepanjang hayat dengan hutang ? Tepuk dada tanya selera, ukur baju di badan sendiri. Kita tidak perlu membanding majlis kita dengan majlis orang. Betapa rapi kita merancang tetap akan ada cacat celanya. Kita tidak mampu memuas semua pihak dalam satu masa.Islam mengajar bersederhana.


MZR sudah berusia  2 tahun. Penyejuk mata dan pengubat hati ibu, abah, wan, tok ummi, opah dan semua mak/pak saudaranya.

Dalam kesibukan membuat persiapan umenjelang hari bahagia luangkan masa  mendengar ceramah tentang tanggungjawab suami /isteri.Dalam youtube pun banyak. Hanya pilih dan dengar mudah-mudahan kita lebih bersedia melangkah ke alam rumahtangga dengan ilmu penuh di dada. Rumahtangga adalah permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar. Perubahan cara hidup ke arah cara hidup yang dituntut Islam juga bermula dari rumah kita sendiri. Kita yang mencorakkan anak-anak kita, bakal pemimpin di masa hadapan dengan cara hidup yang kita pilih. Semuanya bermula dengan pemilihan suami beriman, isteri solehah dan akhirnya diharap lahir pula anak-anak soleh yang akan menjadikan masyarakat kita beriman dan sentiasa menjadikan al qur'an dan hadis sebagai pegangan dan rujukan.

Tuesday, November 9, 2010

Misi Skuad CUCI

Pengarah Operasi tersenyum lega kerana misi Skuad  terlaksana
Kami bersantai-santai seketika selepas bersarapan pagi. Tiba-tiba mak menelefon. Air makin surut jadi keputusan dibuat untuk pulang bagi memula operasi cuci-cuci. Lepas solat zohor kami bersiap dengan segala peralatan dan segera bertolak. Di Sg. Petani  Selatan hujan lebat mengaburi pandangan . Akhirnya kami sampai di susur keluar Kepala Batas. Satu-satunya  jalan untuk ke utara. Kereta sudah bersesak-sesak dan akhirnya dapat juga melepasi jalan tersebut. Sebaik selesai solat nampak ada sorang pakcik ni jual nasi bungkus. Tak kiralah berapa harganya  beli ajalah. Maklumlah bila penat cuci rumah sambil main air tentu anak-anak saudara kelaparan bagai anak burung selepas hujan.
75 minit menunggu untuk sampai ke simpang ke Kepala Batas.
Sepanjang  jalan masih ramai orang berkampong di situ. Sambil menunggu air surut masing-masing menjaga barang-barang mereka. Pencuri memang tak bermusim. Apa boleh sapu tetap disapu tak kira orang sedang susah atau tidak. Tiba di rumah mak , abah dan adik ipar sedang makan tengahari. Kami yang juga kelaparan tidak bertangguh segera membuka bungkusan nasi yang dibeli tadi. Sebelum kerja stamina mesti ada. Kemudian kami turun dan mula memberus tingkap serta dinding.Air sudah separas lutut. Sampah-sampah yang tersangkut di pokok segera ditolak biar lepas ke belukar di belakang rumah. Jika tidak nanti sakit mata yang memandang.

Orang kampong berkemah di tepi jalan menunggu air surut dan barang-barang mereka
Inilah rupa ruang makan bila air  mulai surut pada jam 4 pagi 7/11/2010
Ketika maghrib air paip masih sebesar batang  pensil. Cukuplah untuk berwuduk dan buat basuh-basuh. Selepas makan malam biskut  kering bercicahkan air teh saya segera menolak perabut-perabut ke tepi.Yang perempuan tidur di bilik dan lelaki semua bergelimpangan di anjung. Saya segera mengantung  kelambu kerana nyamok sangat  banyak. "Tomorrow will be a long day " kata suami sambil cuba melelapkan mata. Sekali sekala batuknya memecah keheningan malam.

Belajar bersusah-susah sementara bekalan air bersih pulih
Saya yang biasa terjaga sekitar jam 4 pagi segera turun ke bawah. Adik ipar sedang menolak lumpur  yang melekat di lantai setelah air surut.kesemuanya. Kami berkerja berdua sehingga azan subuh. Bilik mandi yang telah dibersihkan  memberi peluang saya mandi-manda. Bila orang lelaki mengambil alih kami ke dapur pula menengok apa yang mahu disajikan untuk makan pagi. Selepas makan mee goreng anak-anak dikerah memulakan tugas. Seorang adik ipar saya membawa anak-anaknya pulang ke rumah mereka di Taman Uda kerana air juga mulai surut di sana. Kerja dan terus kerja. Dari bilik ke bilik.Tingkap ke tingkap. Perabut yang rosak dibawa keluar.Mujur juga barang-barang dapat diangkut ke atas sebelum air bah datang jadi kerja cuci-cuci tidak begitu teruk. Ada orang yang terpaksa membuang barang-barang keluar sebelum dapat mencuci. Siap kerja pada jam 12 tengahari.
Tautan ukhuwwah  warga IKRAM P.Pinang  team DERU
Kak ngah menawar diri pergi mencari makanan di luar. Jadi kami dapatlah berehat seketika. Tak banyak  kedai yang dibuka. Kalau buka pun untuk membersih kedai.  Jalan ke Anak Bukit dan bandar Alor Setar sudah dibuka.. Akhirnya dapat juga beberapa jenis lauk dari gerai di depan Stadium Darulaman. Lepas makan dan solat dapatlah kami melelapkan mata sebentar.
Bilik air kena dibersihkan dulu untuk memudahkan segala urusan
Kerja pembersihan terus dilakukan. Mak pula berura-ura membawa abah ke Kulim sementara rumah dan air bersih pulih sepenuhnya. Baja yang diselamatkan hari itu telah musnah semuanya. Bau bahan kimia perit menyucuk hidung. Beratus-ratus kampit baja musnah begitu sahaja. Kata Menteri pihak MADA akan bagi bantuan semula. Benar atau tidak belum dipasti kesahihannya..Zaharan yang bertugas di MADA menggeleng kepala. Mana nak cari benih.. ummi .? Baru saja benih dikeluarkan maklumlah  musim menanam baru bermula. Import lah cik Zaharan oi...Taiwan ka..Jepun ka...atau dari negeri Thai. Eh! Thai pun banjir jugak. Zaharan tentu makin pening kepala.  Bila lepas banjir tentu pejabat MADA jadi tumpuan para petani. Periuk nasi mereka dah musnah tentulah mererka akan mengadu dan memohon bantuan.Sabar dan tahan telinga sahajalah. Bantulah apa yang terdaya dan permudahkan apa yang boleh dipermudahkan .Allah akan melapangkan urusan kita di akhirat jika kita mampu membantu urusan saudara kita semasa di dunia.

YDP JIM P.Pinang yang baru pulang dari misi VIVA Palastina turut turun padang
Petang ketika kami bersiap-siap pulang kami menerima kunjungan  dari ahli IKRAM P.Pinang. Ketika itu kami sedang memujuk mengajak abah pindah ke Kulim. Maklumlah bukan senang tinggal dalam keadaan rumah sedang berantakan. Berkat keikhlasan mereka yang datang membantu mangsa -mangsa banjir di Kedah Allah telah membuka hati abah untuk berpindah. Kami segera mengutip apa yang perlu kerana takut abah mengubah fikiran.
Misi  memujuk abah untuk berpindah sementara rumah dibersihkan.
Kak ngah dan Harith telah bertolak lebih awal.Diikuti mak,abah dan lain-lain. Kami paling akhir keluar kerana maghrib telah masuk. Setelah meninggal pesan kepada anak saudara pupu di situ kami segera bertolak. Jalan Sultanah sudah boleh diguna.Walaupun air masih ada di tepi-tepi jalan. Banyak jugak kenderaan  sedang menuju ke Selatan.Maklumlah cuti umum dan disambung pula dengan huijung minggu .Kami tidak singgah di mana-mana. Mata  sudah berat dan badan sudah letih. Sakit urat dan sengal di sana-sini. Maklumlah sudah lama tidak kerja berat seperti ini. Semuga Allah permudahkan segala urusan.

Sebelum tidur masuk satu SMS" Sila berjumpa di imegresen esok jam 10pagi untuk urusan pasport berkelompok ke Satun"

"Oh! Satun" kata saya
"Bila tu?"
"Hujung minggu ni. Boleh saya pi?"
"Hmm..tak payahlah...Rabu dah nak raya"
"Satun.....saya nak pi nak tengok tempat asal nenek saya" Tapi kata-kata itu hanya  tersimpan di hati. .Rancangan  lawatan ke perkampongan Islam di sana telah lama dirancang oleh JK Muslimat Masjid At Taqwa. Senarai nama pun sudah lama ditulis.
Awal pagi saya SMS semula "Maaf ustazah..nak pi sangat-sangat.  tapi tak sampai  hati nak tinggal rumah berkapar kat mak.  Muga Allah dapat gantikan dengan  orang lain"
Saya segera meletak telefon dan berlalu ke bilik mandi. Azan subuh sedang berkumandang. Masuk ke bilik air terpandang dua beg hitam penuh berisi langsir dan kain-kain basah dari rumah mak. Another long day....sebelum datang hujung minggu lagi.Insyaallah.