Sunday, July 12, 2009

Belajar Erti Gagal 2

Bila tinggal jauh di rantau orang sudah pasti keperluan anak yang baru lahir dan kakak-kakaknya perlu diurus sendiri. Hati terus berdebar kencang. Ketika itu manalah ada handphone untuk dihubungi. Jadi sabar sajalah. Riuh rendah anak-anak bermain sesama sendiri tidak mampu menceriakan hati. Sambil menyiap makan tengahari mata asyik melihat muka jam. Sudah hampir 1 petang. Suami belum pulang dari universiti. Otak saya ligat berfikir. Lulus? Gagal? Itu yang saya bimbangkan.

Setahu saya suami saya seorang yang serius bila bercerita tentang pelajaran . Track cemerlang dari zaman sekolah rendah sampailah ke zaman B. Scnya. Apa yang menggusarkan hati saya ialah keputusan hari ini. Jika lulus alhamdulillah. Jika sebaliknya?Adakah suami saya dapat menerima erti kegagalan? Jika kita biasa gagal dan pernah bangkit dari kegagalan itu sudah pasti kita dapat menilai erti kegagalan. Tapi kalau tak biasa gagal belum pasti kita tak dapat menerima erti kegagalan. Ketika itulah datangnya tawakkal dan percaya pada qada dan qadar Allah . Jika kita telah memberi yang terbaik maka bertawakkallah. Anugerah Allah pada tiap insan bukan sama. Jika semua orang berjaya siapakah yang akan jadi pemungut sampah, pencuci pejabat dll. Itulah yang sering saya terangkan pada anak-anak. Tidak salah untuk gagal kerana harga dari kegagalan itu sangat mahal. Kita gagal dan kita melakukan refleksi diri. Kita bangun kembali untuk meraih kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Yang paling penting kita tidak gagal di akhirat kerana di sana mana ada refer, re-sit dan return.


Loceng di pintu mengejutkan saya yang sedang menyuap makanan ke mulut anak-anak. Kakak berlari ke pintu."Abu balik..abu balik"jeritnya. Kak Ngah dan kak Lang turut bangun menerpa ke pintu. Suami masuk berwajah keruh. Jantung saya berdegup kencang. Saya bagaikan dapat meneka apa yang tersurat dan yang tersirat. Dia memeluk anak-anak dan menarik mereka ke kerusi. Sambil menangis dia memandang ke arah saya. "Saya dah dapat MSc".Saya menarik nafas lega sambil mengucap syukur mata saya berkaca-kaca. Anak-anak menjerit" Yee..boleh balik Malaysia."Selepas solat zohor saya sujud syukur kepada Allah. Saya tahu bukan mudah menjadi seorang post grad setelah berkeluarga. Ketika saya dalam pantang dalam bulan April dia sedang bergelut dengan ujian bertulis dan apparatus juga mesin yang gagal berfungsi. Mujurlah Supervisor di Liverpool U sangat baikhati dan banyak membantu. Jika Allah kehendaki Dia akan mudahkan segalanya. Jagalah Allah dan Allah akan menjaga kita. Itulah prinsip yang selalu saya titipkan kepada anak-anak dan anak-anak remaja yang saya temui. Kita melupai Dia tetapi Dia tetap memberi rahmatNya. Bila kita mendekatinya setapak Dia akan mendekati kita sedepa. Hadis qudsi ini sangat lekat di hati saya dan menjadi pegangan dalam menjalani liku kehidupan. Meskipun sudah 20 tahun berlalu namun putaran peristiwa sepanjang permusafiran itu masih kejap dalam ingatan. Kini giliran suami pula saban hujung semester menghadapi siswa/i yang keluar masuk bilik memohon ditambahkan markah bagi membolehkan mereka lulus. Jikalah kita boleh berkompromi dengan para malaikat ketika amalan kita di timbangan al mizan kelak alangkah gembiranya kita. Tetapi saban hari adakah meluang masa kita yang sangat berharga ini barang sesaat dua berfikir tentang itu?

1 comment:

Ibu Alin said...

Teh setuju dgn pandangan Kak cik. Bukan mudah nak mengurus famili dan tesis sekaligus...Pelbagai cabaran teh telah terima selama ini... Cuma berdoa agar akan selesai jugak..