Di barat bukan mustahil orang tua mati sendirian terutama pada musim sejuk
Saya pernah bertemu seorang anak muda yang sedang mencari jodoh. Dia seorang jurutera . Syaratnya mudah sahaja. Dia mahukan bakal isteri yang tidak bekerja dan sanggup bawa ibunya pergi belajar agama di mana-mana masjid/surau atau tempat yang diingininya. Subhanallah....kata orang dulu-dulu sejuk perut ibu yang mengandong. Bila usia sudah beranjak, badan pun sudah mula sakit di sana sini sudah pasti hati ibunya hanya duduk mengira berapa lama lagi umurnya di dunia ini? Sudah pasti dengan ruang masa yang ada si ibu hanya ingin melakukan segala amalan baik untuk bekalan berjumpa Allah.Semuga Allah menemukan jodoh yang baik untuk anak muda ini.
Dan alangkah beruntungnya jika kita juga mampu meluang masa membawa ibu ayah kita yang telah tua berjamaah dan mendengar pengajian di mana-mana masjid/ surau. Kenapa kita jarang memasukkan ibu/bapa kita dalam agenda hidup kita? Sedangkan mereka sanggup hidup susah ketika muda semata-mata untuk melihat kita hidup bahagia hari ini.Ketika muda mereka mungkin bangga bila anak-anak berjaya dalam akademik dan menjawat jawatan yang tinggi-tinggi di dalam kerajaan atau swasta .Tetapi bila sudah lanjut usia mereka hanya ingin melihat anak cucu mereka orang-orang yang mendirikan solat, orang yang banyak berdoa, melakukan kebaikan dan meninggalkan larangannya.
Kebetulan ada pula orang yang mengutus e mail ini kepada saya.Muga dapat dimanfaatkannya.
Jika anda ingin jadi orang yang rajin mengerjakan Solat, amalkanlah doa ini.
Bacalah selalu Surah Ibrahim: Ayat 40
Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."
Surah Ibrahim: Ayat 40-43
[40] Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
[41] Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.
[42] Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).
[43] (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).
Malang sekali bila berlaku kecil hati dan salah faham di antara ibu dan anak sehingga ibu merajuk hati dan pergi membawa diri.Ini bukan cerita sinetron tetapi realiti hidup masa kini. Semakin tinggi pangkat dan banyaknya harta kita , masa senggang kita menjadi sangat pendek dan sangat berharga. Kita juga yang menentukan agihan masa kita. Kenapa menunggu waktu petang jika kita mampu melakukan kebaikan itu di waktu pagi? Itu adalah kata-kata hikmat yang sering digunakan bagi mengajak kita bersegera melakukan kebaikan. Reda ibu bapa adalah reda Allah. Usah pandang remeh kuasa doa yang ada pada ibu bapa . Mereka mampu mengubah hidup kita hanya dengan menadah dua tangan ke langit. Dan jangan tunggu sehingga pintu rahmah dan kasih sayang mereka sudah tertutup baru kita teresak-esak mencari mereka. Cukuplah kisah Hingga Hujung Nyawa kekal sebagai cerita dalam filem yang tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang telah mati.
No comments:
Post a Comment