Sudah beberapa hari masuk tahun baru. Kami sudah kembali berdua setelah menghantar Harith balik ke asrama dan bang cunya ke Kem PLKN. Cucu yang dinanti belum lagi mahu meninggalkan zon selesanya. (Agaknya kalaulah kita semua tahu betapa hidup ini penuh dengan ujian demi ujian dan diberi pula pilihan sudah pasti kita sendiri tidak mahu keluar dari rahim ibu selama-lamanya.) . Kita merancang Allah juga yang menentukan. Pada minggu terakhir tahun 2010 kami bercadang membawa anak-anak ke Kuala Gula tetapi rupanya Allah telah menyediakan perancangan yang lebih baik untuk kami. Suami saya tiba-tiba mengalami perut memulas yang sangat kronik pada jam 2 pagi 26hb Disember 2010.
29 Disember,2010 jam 3 petang:
Saya di rumah bersama anak-anak. Sambil memaksa mereka melipat pakaian untuk dibawa ke asrama/kem kami menonton 3 Idiots. Saya yang jarang sangat menonton cerita Hindi akhirnya terpaku bersama mereka. Harith komen " Abu patut tengok cerita ni" Bangcu menyampok "At least abu well prepared kalau ada students macam depa tu ".Tiba-tiba suami menelefon dari tempat kerja .Perut memulas lagi. Saya segera mencari minyak angin dan memanaskan heating pad. Suami sedang memandu pulang dan hati saya berdegup kencang. Mata asyik melihat jarum jam yang dilihabergerak terlalu lambat.
Suami selamat tiba dan terus berbaring. Setelah meletak minyak angin dsbnya saya segera ke dapur. Menu petang ini ialah bubur nasi atau moi.untuknya. Untuk anak-anak masih ada lauk lebihan tengahari. saya segera menyiapkan makan malam dan menyuruh mereka makan kerana selepas maghrib ada ceramah isu Palestine oleh bekas Imam Masjid Al Aqsa di Masjid At taqwa. Selesai masak saya berbincang dengan suami. Dia mesti dibawa ke klinik. Mujur klinik berhampiran rumah dibuka hingga jam 11 malam. Menanti doktor tiba suami saya berbaring di kereta kerana di ruang menunggu klinik riuh pelanggan 'pesakit' sibuk menyokong perlawanan bola Malaysia-Indon. Doktor datang dan dia meminta suami saya membuat ujian batu karang dan ECG. Setelah diberi satu suntikan kami pulang. Katanya 'nothing serious...just wind"
Walaupun anak-anak teruja kerana Malaysia menang tetapi kami tidak ceria langsung. Ubat tahan sakit yang dibekal doktor tidak mampu menahan sakit di perutnya. Semalam-malaman dia tidak dapat tidur. Saya membantu menyapu segala bam panas untuk meredakan kesakitan. Pagi-pagi selepas subuh jiran kami datang melawat. Doktor S menyuruh kami bertemu pakar Radiologi di Pusat Diagnostik Anda. Selepas sarapan kami segera ke sana. Bila di scan rupanya ada batu di pundi hempedu. Jadi bila suami saya mengambil makanan berlemak dan berminyak hempedu terpaksa berkerja keras untuk menghadam makanan tersebut. Kami teringat pada cuti Krismas lalu kami telah menghadiri dua kenduri. Malamnya kami keluar makan kerana anak dan menantu saya ingin meraikan kejayaan PMR Harith. Mungkin kerana terlebih makan makanan berlemak menyebabkan perut suami senak dan memulas pada jam 2 pagi (26/12/10). Itu serangan dan petanda pertama bahawa ada penyakit lain yang lebih kronik sedang menanti. Hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja.Banyak sangat silence killer sekarang ni !
Jadi bila ada yang mengadu banyak angin dalam badan eloklah berjaga-jaga. Dapatkanlah pemeriksaan kesihatan untuk mengelak sesuatu yang sudah sampai ke tahap yang tidak dapat diubati. Suami, saya dan anak-anak menyiap minda dengan mencari segala yang berkaitan dengan pembedahan yang mungkin terpaksa dilakukan. Anak-anak dari dalam/luar negara tak henti-henti telefon bertanya kabar. Begitu juga kawan rakan, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan sekerja. Saya bersyukur dikelilingi mereka yang begitu prihatin. Sokongan moral amat diperlukan dalam saat kita ditimpa ujian. Meskipun hati dan pergantungan kita tetap kepada yang memberi ujian tetapi sedikit kata nasihat dan saling bertanya kabar sebenarnya mampu mereda resah dan gundah di jiwa. Sekali sekala sakit adalah cara untuk Allah mengampun dosa -dosa kita.Makin banyak ujian yang datang makin Allah sayangkan kita. Insyaallah, Allah menguji kita dengan apa yang mampu kita tanggung. Dan saya terus-terusan menghitung hari.
1 comment:
InsyaAllah,moga abu umi terus sihat & kuat, bgcik doakan yang terbaek, insyaAllah...
Post a Comment