dan ummi". Itulah sejarahnya..
Masa kat UK dulu kawan-kawan Arab akan panggil AbuRuqayyah sahaja. Bila tengok buku-buku yang beli masa kat UK semua di label Abu Ruqayyah. Saya membaca posting dan SMS anak-anak. Bila membaca air mata mesti merembas keluar. Perjalanan hidup yang panjang kian menghampiri penghujungnya. Hidup ibarat roda. Jika dulu seorang, berdua sehinggalah bersembilan semuanya. Kini kami kembali berdua. Tidak pasti pula bila akan kembali keseorangan.
Namun alhamdulillah, seawal perkahwinan kami sentiasa mengamal komunikasi berkesan dan 2 hala. Ada masalah terus berbincang dan mencari penyelesaiannya. Sedangkan lidah lagi tergigit, bumi mana tak ditimpa hujan. Begitulah adat berumahtangga. Sejak dari kecil lagi kami sering mengadakan halaqah keluarga. Tak faham pun dengar juga. Bila mereka sudah masuk ke asrama kami menjadikan amalan utama halaqah malam sebelum semua pulang ke asrama masing-masing. Suami bercakap, kemudian saya dan seterusnya setiap orang anak di beri peluang bercakap. Yang rajin bercakap pun tak semua. Ada yang tak mampu bercakap langsung kerana melayan tangis..sedih dan sebaknya. Kini halaqah makin mengecil . Ahli-ahlinya sudah bertebaran di merata tempat. Tetapi spiritnya tetap dibawa bersama. Medan yang tidak formal kami menyampaikan harapan, nasihat , teguran dan wawasan kepada semua anak-anak
Berbagai ujian yang Allah datangkan kepada kami berdua. Tebalnya telinga bila jiran mengadu anak-anak nakal, malunya muka bila anak buat hal di asrama. Yang paling sadist bila jiran berkata "Mak bukan main lagi pakai tudung, anak macam apa lagi..." Tak nakal bukan budak-budak namanya. Masyarakat menganggap orang yang pakai tudung perfect , tak ada cacat celanya. Sambil menangis saya akan panggil anak-anak "Tengok kalau buat salah orang akan salahkan ibubapa tak ajar anak, tetapi bila anak pandai dan buat yang baik-baik orang tak akan refer pun kat mak bapa dia" Anak-anak melihat saya menangis dan yang besar-besar akan turut menangis.Lepas itu seorang demi seorang akan datang minta ampun dan kami akan berpelukan dan menangis beramai-ramai. Sebagai ibu bapa tahan sajalah, sabar ajelah ya. Saya berdoa agar budaya yang baik-baik dapat diteruskan oleh anak-anak. Keluarga kami bukanlah contoh terbaik. Banyak cacat dan celanya di sana-sini tetapi dengan izin Allah kami sedang dan terus berusaha membaiki diri. Bila melihat prestasi anak-anak terbalas pengorbanan saya meninggalkan jawatan tetap dulu. Saya tidak ingin mereka sekadar cemerlang di dunia tetapi kecundang di akhirat. Seboleh mungkin kami berusaha mengimbanginya. Setiap yang beriman pasti akan diuji. Adakala tidak semua anak yang mahu mengikut acuan yang kita terapkan. Kalau kita mengalah sudah pasti mereka akan lebih jauh hanyut. Selagi ada hayat kita tak boleh berhenti berdoa untuk mereka. Agar Allah memasukkan hidayah ke hati-hati yang masih gersang.
Bila berpeluang ke asrama mereka dihantar tinggal di sana. Bila pulang bercuti mereka bagai kera sumbang kerana tidak pandai bercampur dengan jiran keliling. Itu lebih baik dari membiar mereka bercampur belajar menghisap rokok, ponteng solat jumaat, bawa mak we dan meronda dengan motor membuang minyak saban hari. Mereka riuhrendah di rumah bergurausenda sesama mereka. Sekali sekala mereka beramai-ramai akan ke pantai atau ke mall mana-mana melapang fikiran. Kini cahaya sudah nampak di hujung terowong. Segala yang tak pernah diimpikan pun sudah Allah berikan satu persatu. Saya mengucap syukur diberi peluang membina kehidupan bersama lelaki ini. Ke bukit sama di daki, ke lurah sama di turuni. Menoleh kembali ke belakang melihat ruang-ruang waktu semasa di Brighton, di Perak road,Penang. Taman Beserah,Kuantan. Liverpool, Jitra, Alor Setar dan kini di Bertam. Jauhnya kami berjalan merentasi ruang waktu sambil menggalas beban tugas sebagai ibu bapa sambil cuba menunai cara yang diajar Ar Rasul. Bukan sikit airmata yang tumpah tetapi langkah tetap diteruskan. Ayuhai ibu ayah yang masih muda biarlah anak-anak menangis kerana kita jangan kita menangis kerana mereka. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita yang mencorakkan anak bukan media atau masyarakat yang mencorakkan mereka. Memberi pendidikan agama bukan sekadar mendaftar di Qiraati, KAFA, J Qaf sahaja tetapi lebih dari itu. Tuntutan kehidupan sering membuat kita menyerah tugas kepada guru-guru tetapi apa akan kita jawab di hadapan Allah kelak jika kita tidak menunaikan tuagas kita seperti kehendak agama. Perdalami ilmu agama. Kita tidak mampu mencipta alasan bila bertemuNya kelak. Mulakanlah langkah sekarang..undurlah jika tersilap . Kitalah akan mencorak generasi akan datang. Memang anak itu permata dan racun. Allah sering menyebut anak dan isteri adalah fitnah(ujian) bagi kamu. Jangan dibiarkan anak membesar tanpa kita memain peranan yang sewajarnya. Bila mereka besar tanpa bimbingan dan asuhan kita sudah pasti kita yang akan banyak menangis kerana mereka. Sebaik-baik manusia hari ini lebih baik dari semalam. Undurlah jika kita tersilap langkah dan perbaikilah mana yang kurang.Semuga Allah bersama orang-orang yang ikhlas dan sabar.
No comments:
Post a Comment