Saya baru bertandang ke Tadika Amal Dahlia. Memang agak lama saya tidak menjenguk. Nama sahaja ahli Lembaga Tadbir, bila ada mesyuarat ada sahaja urusan keluarga yang membuat saya sentiasa terpaksa ponteng. Sebahagian hati saya berkata"Cukup dah masa untuk tadika, rasa nak buat benda lain pulak".Sebahagian hati tak sampai hati pulak menolak bila tenaga dan buah fikiran diperlukan. Memang betul kata suami saya" Once a teacher always a teacher".
Dunia pendidikan sentiasa berkembang. Sebagai ibu bapa sudah pasti kita inginkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Setiap kali perjumpaan waris saya dapati ibu bapa sangat risau jika anak tidak mengenal a,b,c atau 1, 2, 3 sedangkan saya percaya ibu bapa patut risau anak tidak pandai berwudu' dan bersolat. Saya bukan anti pelajaran sekular kerana saya percaya anak-anak kita perlu bersiang untuk berjaya dalam hidup. Saya risaukan trend dimana ibu bapa sudah memaksa anak-anak membesar dan menjadi dewasa sebelum masanya. Bila mereka mencapai usia dewasa mereka menjadi orang dewasa yang berjiwa dan bersikap keanak-anakan pula. Mereka tidak puas berada di dunia kanak-kanak. Dunia penuh ceria dunia
bermain-main.
Seawal tahun satu ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ke tuition. Kita takut sangat anak kita tidak dapat no. 1 dalam ujian. Kita bagaikan sudah menyempurnakan tugas bila anak sudah khatam iqra' 6 sedangkan sebenarnya banyak lagi ruang lingkup tarbiyatul aulad belum kita laksanakan. Laburkanlah wang untuk membeli buku-buku agama dan buku panduan mendidik anak untuk persiapan diri kita . Mudah-mudahan dengan terdidiknya jiwa kita kita mampu mengalas tugas yang sangat berat ini sehingga ke hujungnya. Saya teringat dialog bersama Harith ketika menghantarnya petang semalam. "Saidina Umar r.a berkata jika aku melakukan dosa kecil, aku bagaikan menggalas bukit Uhud di belakangku. " Di manakah diri kita sebenarnya ? Kita menyempurnakan keperluan fizikal anak-anak tetapi kita mengabaikan dan memandang remeh keperluan rohani mereka. Perlukah kita menangis bila mereka menghadapi masalah juvana ? Saya rasa tidak perlu kerana kita tidak mendidik ketika mereka perlukan didikan kita. Marilah menyeka airmata dan mulakan tugas kita sekarang juga.
No comments:
Post a Comment