Wednesday, June 3, 2009

Yang Nampak di Mata


Sekali air bah sekali pantai berubah, itulah gambaran awal pantai Teluk Nipah di mata saya.. Sebaik tiba kami terus turun ke pantai sementara menanti pserta lain tiba. Bila memandang pantai selepas air surut memang sedih sangat, kotor dan bagaikan tidak terjaga. Memang betul apa yang kita buang ke laut melalui longkang , sungai dan akhirnya ke laut akan dipulang balik ke pantai oleh ombak. Suasana sepi membuat hati begitu sayu, mata melihat laut lepas. Di kejauhan nampak perahu nelayan bergerak pulang setelah mendapat hasil tangkapan untuk ditukar menjadi ringgit & sen.. Meski dipuput bayu laut hati tidak senyaman itu kerana saya meninggalkan rumah dengan hati yang berat. Sebagai orang yang telah berjanji kepada diri untuk menginfakkan diri ke jalan Islam, sesekali saya perlu meninggalkan rumah. Ketika anak-anak pulang dari jauh saya sedaya mungkin ingin bersama mereka. Melayan apa yang termampu. Walaupun sudah meningkat dewasa adakala mereka masih bersikap keanakan bila bersama kita. Namun saya hanyalah manusia biasa, saya seorang isteri, seorang ibu, seorang menantu ,seorang mertua dan seorang ahli NGO Islam. Sangat ingin menjadi wonder woman atau super woman agar dapat buat semua benda dengan cemerlang sekali. Tetapi keupayaan diri amat terbatas. Saya tak dapat gembirakan semua orang dalam satu masa. Saya hanyalah manusia biasa. Saya hanyalah hamba Allah.


Jika lagikan pantai dan tebing boleh terhakis apatah lagi kesihatan dan tenaga seorang wanita separuh abad seperti saya. Saya hadir ke sana bukan sebagai fasi cuma sekadar sebagai orang tua yang ingin melihat apa yang boleh dibantu.. Saya ingat lagi jika kita pernah membaca buku hikayat Malim Deman atau Awang Sulung Merah Muda ada menyebut perpatah yang mengatakan yang buta datang bertongkat, yang capek datang berpapah...dalam kekurangan masing-masing masih ada sekelumit hasrat ingin menyumbang selagi daya. Saya tidak berpeluang langsung turut sama ketika perbincangan dan perancangan program Kem Aulad kerana ada urusan keluarga. Jadi saya pergi sekadar memberi sokongan moral kepada sahabat-sahabat dan anak-anak fasi . Insyaallah saya percaya gabungan semangat orang muda dan hikmah orang tua akan menghasilkan natijah yang baik untuk membina generasi muda Islam.

1 comment:

`Ammar Muhd said...

yg tua memberi nasihat tunjuk ajar, yg muda melaksanakan kerja. insyaAllah pelan2 semuanya terbina