Thursday, June 18, 2009

Anak Bapa



Semalam saya telah diminta menyiapkan segera "Sebening kasih Ayah". Saya hanya mampu tersenyum tanpa memberi sebarang alasan. Payah rupanya untuk menulis tentang bapa. Saya hanya kenal bapa dari jauh, perpisahan yang panjang membuatkan hubungan kami sangat renggang. Rasa kecil hati kerana ditinggalkan seawal 6 bulan kuat mencengkam jiwa. Saya sentiasa memujuk diri dengan menerima semua ini sebagai taqdir yang telah Allah tuliskan . Bapa pun telah lama pergi dan sesekali saya akan menziarahinya di perkuburan Ampang bila berpeluang ke sana. Ketika kecil saya bertemu bapa bila dia pulang menziarahi wan dan tok di Alor Setar, ketika itu saya sangat gembira bila bapa datang. Dia pasti akan membawa beberapa buah buku baru untuk saya. Saya akan berpeluang membaca buku-buku tersebut setelah ditapis terlebih dahulu oleh wan. Setelah saya dewasa, bapa pula ditimpa stroke. Kesihatan bapa makin merosot. Kehadiran anak-anak dan cucu-cucu tidak membantu menceriakan bapa. Strok telah menjadikan bapa hidup di dalam dunianya sendiri. Syawal terakhir bapa, saya sekeluarga berpeluang beraya dengannya. Terima kasih kepada suami yang beriya-iya mengajak saya beraya di Kg.Baru, seminggu lepas itu kami menerima panggilan bapa telah pergi dipanggil Ilahi. Jenazah bapa dibawa untuk disolatkan selepas solat jumaat. Harimau mati meninggalkan belang, dan manusia mati meninggalkan nama. Untuk menulis tentang bapa saya perlu mencari info di internet, rupanya saya sekadar seorang anak bapa. Info yang saya temui menjadikan saya sangat sedih kerana tidak mampu memahaminya semasa hayatnya. Bapa seorang yang sangat kuat berpegang dengan prinsipnya meskipun dicemuh orang keliling. Saya berdoa koleksi buku-buku dan majalah bapa yang kami hadiahkan kepada Perpustakaan UKM akan menjadi sahanm akhirat buatnya. Kawan-kawannya ASAS 50 telah ramai pergi . Kini saya cuba menggarap apa yang saya dapat dan menulis dengan ikhlas untuk bapa. Saya tersangat ingin menghadiahkan penulisan ini kepada cucucicit bapa agar mereka lebih mengenali dan sentiasa mengingati arwah atuk mereka .Al fatihah untuk bapa (pengenalan). Warisan yang hilang.

1 comment:

My Heart Draws A Dream said...

dr kecil smp atok meninggal tak sempat langsung nak mengenal diri atok..yg kami tau kalo blk ke kg baru suma takut pada atok..sbb atok hanya diamkan diri di dlm blk gelap itu..tp sekarang baru lang rasa ruginya tak dpt knl atok masa dlu