Kata orang kalau tinggal di kampong kita tak kering rezeki. Awal pagi sudah dapat sebiji buah naga.Pemberian jiran mak @ tok Wa. Saya tak pasti siapa yang akan memakannya. Buah-buah exotic macam tu sudah pasti bukan kegemaran emak. Kalau abah sihat mungkin dia suka mencuba.
Di belakang rumah emak manggis sudah banyak yang gugur. Pokok yang abah tanam beberapa tahun yang lalu sudah lebat berbuah. Anak-anak saya yang dibesarkan di bandar hanya tahu rupanya tetapi tidak mengenali pokoknya. Hai..anak-anak kita sudah hilang satu kemahiran . Saya terfikir khazanah dari hutan hujan kita siapa yang akan mewarisinya. Royal Belum hanya dikenali penyelidik dan pengkaji dari luar negara. Anak-anak dan kita bagaikan selesa menghabis cuti atau hujung minggu di taman tema air dari berpeluh menyusur denai mencari flora dan fauna di rimba milik kita.
Ini pula buah nam nam @ katak puru. Kalau balik TG sebaik turun kereta anak-anak saya segera akan menyusup dicelah daun mencari buahnya. Uniknya buah ini tumbuhnya dibatang. Jika dibiar masak memang manis tetapi bila anakcucu balik memang yang muda pun mereka tibai saja. Pokok yang semakin pupus dan memang patut pun dimasukan ke kategori buah-buahan nadir.
Kesempatan pulang ke TG juga diisi dengan aktiviti mengait rambutan . Cuma yang tak tahan bila terpaksa berlawan dengan kerengga. Kak lang yang bersungguh-sungguh ingin membawa rambutan untuk Alin dan keluarganya. Kalau Alin ada tentu dia suka. Rambutan tidak betul-betul masak . Jika dibiarkan nanti siapa pula akan mengaitnya. Kami anak beranak memang tak ada skil jadi orang kampong. Nak pasang cangkuk galah pun hampir setengah jam. Malunya..
Paling mudah petik aja dengan tangan. Tambahan pula buahnya pula meleret mencecah tanah. Tanah di tepi rumah emak dan abah tidak terlalu besar tetapi cukuplah untuk menampong beberapa pokok rambutan, nangka, cempedak, ciku, jambu, pisang, mangga, manggis, dokong, kelapa, namnam dan salak. Abah yang menanam dan emak yang menyiram hanya merasa sebiji dua. Selera makan sudah semakin menyusut sesuai dengan peningkatan usia dan tahap kesihatan. Jadi usah dibiarkan buah-buah meranum di pokok dan gugur mereput di bumi. Segeralah capai kunci kereta dan memandulah pulang ke desa. Apa salahnya menceria hati-hati tua di sana.
1 comment:
Ptg ni nak p amik moktan kat lang. Alin tentu suka. dah dua tiga hari asyik nyebut nak makan moktan ja.. dia dah dapat ilham kot...
Post a Comment