Saya percaya setiap manusia dikurniakan Allah dengan bakat dan kemahiran. Cuma kita sahaja yang perlu menggilap bakat dan anugerah Allah itu menjadi punca rezeki pula. Belakang parang diasah lagikan tajam. Itu kata-kata yang arwah wan selalu sebutkan setiap kali dia mengasah parang. Seronoknya orang dulu-dulu mereka rajin berbual dan bercerita. Sambil bekerja ada sahaja cerita dan kata nasihat yang keluar dari bibir mereka. Ketika itu mungkin masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Cuma bila usia beranjak baru saya tahu kata-kata itu terlekap juga di otak . Tidak semuanya keluar di telinga kanan.
Saya bercerita tentang bakat kerana baru sahaja pulang dari satu bengkel. Bakat jika tidak dipupuk akhirnya akan berkarat macam besi juga. Satu masa dulu jika seseorang yang percaya pada bakat dan potensi dirinya akan berusaha bersungguh-sungguh. hingga hasrat dan cita-citanya tercapai. Anak-anak hari ini sangat beruntung ibubapa (kebanyakannya) akan menyokong . Bakat itu akan dikembangkan hingga anak menjadi terkenal pula. Siapa tidak sayang anak...? tetapi sebagai orang Islam kita wajib pula berpegang kepada beberapa prinsip. Bukankah dunia ini penjara orang beriman. Kenapa penjara..? Kita tidak bebas melaku sesuatu .Setiap tindakan kita akan disoal pula nanti.
Jikapun ingin memupuk bakat anak-anak. Jadikan neraca agama sebagai timbangan. Jika bidang yang akan diceburi sampai memaksa anak mendedah aurat , terpaksa meninggal ibadat atau bercampur bebas lelaki perempuan tanpa had maka fikir-fikirlah kembali. Anak yang sudah aqil baligh memang sudah terpikul di bahunya dosa dan pahala. Ibubapa yang menyuruh, menggalak dan memberi 1001 sokongan pasti ada saham di dalamnya. Usah nanti tempias dosa anak terus terpercik kepada kita meskipun jasad sudah reput dimamah tanah. Bantulah anak mencari jalan yang Allah suka. Bakat yang ada itu masih boleh dikembangkan tetapi mesti kena caranya. Alangkah indahnya jika bakat itu dapat membantu manusia mengenal keindahan Islam. Pandai-pandailah fikirkan bagaimana caranya. Tidak perlu kita meniru apa yang bukan ajaran Islam.
No comments:
Post a Comment