Thursday, October 14, 2010

Masa Senggang

Dua peperiksaan penting sudah berlalu. Masa yang senggang perlu diisi dengan bijak. Sejak awal tahun  tumpuan diberi untuk meningkat prestasi akademik.Mungkin kerana sistem pendidikan kita yang terlalu menekankan peperiksaan menjadikan semua orang berada dalam keadaan tertekan. Sehinggakan anak-anak pra sekolah juga turut tertekan bila tiba minggu peperiksaan.. Bila hampir hari keputusan dikeluarkan masing-masing akan tertekan lagi. Kemudian bagi yang berjaya akan berusaha pula memohon masuk ke sekolah berasrama penuh atau sekurang-kurangnya sekolah -sekolah yang  terbaik di negeri masing-masing. Menunggu terus-terusan menjadi detik yang menyiksakan. Apatah lagi jika masa senggang tidak dirancang dengan bijak.


Masih ada sebulan lagi sebelum sekolah mula bercuti. Tentu berbagai acara telah diatur pihak sekolah untuk mengisi masa senggang. Jika para guru bersungguh-sungguh merancang janganlah pula anak  murid yang ponteng dan duduk merehatkan diri di rumah.Ketika  para ibu sudah tidak ramai yang bekerja di atau dari rumah sudah pasti anak-anak akan terbiar sendirian. Pandai-pandailah mengurus diri sendiri. Nak bangun tidur pukul berapa tiada siapa yang akan tegurkan. Sudah solat atau tidak itu pun bergantung pada iman dan didikan ibu bapa. Jika dulu ada juga tok atau nenek nak tegurkan.Zaman sudah berubah.Itulah hakikatnya dan kita yang kena bijak mengatur hidup kita.


Ya! dalam hidup ini kita hanya ada dua pilihan. Buat baik atau buat jahat. Hari ini bukan lagi pelik  seorang anak berusia 14 tahun ditangkap polis kerana  mencuri 13 buah motor.  Kata orang bijak pandai. Air yang bertakung itu akan menjadi busuk. Tenaga muda yang aktif bersemangat jika tidak disalurkan pada kebaikan akan beralih kepada kejahatan. Pandang keliling kita banyak teknologi terkini yang boleh mensasarkan hidup kita jika kita tidak bijak mengendalinya. Ketika dapat melupakan sekejap buku-buku, latihan dan peperiksaan  rebutlah peluang ini. Rancanglah jadual harian dengan baik dan bijaksana. Nah! Inilah masanya untuk belajar berbagai kemahiran baru. Sesuai dengan minat dan cita-cita masing-masing. Berbayar mahupun percuma. Tidak rugi jika kita tahu banyak kemahiran. Siapa tahu satu hari nanti kemahiran itu akan mampu 
menjadi punca rezeki kita.


Jika tidak pernah atau malas ke dapur bermulalah hujung minggu ini. Sekurang-kurangnya jika berpeluang belajar ke luar negara kita tidak kekok bila perlu memasak  untuk diri sendiri. Jika tidak pernah mencuci baju dengan tangan, belajarlah dari sekarang. Sekurang-kurangnya tidaklah terkial-kial bila dapat masuk ke asrama kelak. Begitu juga  belajar mengemas bilik tidur dan peralatan pribadi. Semua ini akan memudah dan menjadikan ibu bapa senang hati melepaskan kita belajar ke mana sahaja. Diri kita yang menentukannya. Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kita yang mengubahnya.

No comments: