Memang diakui manusia tidak dapat hidup sendiri. Kita perlukan sahabat, teman dan seterusnya pasangan . Hidup ini ada hari naik dan ada hari turun begitu juga dengan mood kita. Ada hari kita rasa gembira, kita rasa suka, ada pula masa kita rasa sedih, sayu dan ingin bersendirian. Ketika ini seorang sahabat yang baik akan menghulur bahu untuk kita sandarkan. Dia akan membiar kita menangis mencurah rasa hati dan seterusnya menasihati dan memujuk kita. Namun bukan semua orang suka bercerita. Jadi jika ingin menjadi sahabat yang baik kita yang perlu bijak mendekati. Jika menasihati nasihatlah dengan perkataan yang baik dan mengingatkan dia bahawa semua ini adalah ujian dari Allah. Jika lama tidak bertemu cuba-cubalah hubungi dan bertanya kabar. Mungkin sahabat kita dalam kesulitan atau dalam masa yang sukar. Bukan semua orang suka menceritakan masalah dan kesukarannya.
Perubahan masa juga telah mengubah cara kita berfikir. Cara bersahabat juga turut berubah. Kita sekadar bertemu kawan di laman sembang, di facebook dan jika ada apa-apa lebih mudah berSMS sahaja. Sentuhan pribadi itu sudah tiada lagi. Kita sudah tidak sensitif bila diberitahu melalui SMS ada teman yang sakit, kematian ahli keluarga dan kita sudah tidak kisah ingin mengucap tahniah di atas satu-satu peristiwa manis yang dialaminya. Zaman berubah tetapi manusia tetap manusia. Jika kita ingin dipandang Allah sebagai orang yang menghubungkan silaturrahim maka kita mestilah selalu proaktif. Jika orang tidak menghubungi kita , maka kita yang menghubungi orang. Namun adab bersahabat mesti ada timbal -baliknya.
Untuk mendapat sebuah ikatan persahabatan yang akrab, kedua-dua pihak haruslah memain peranan sama penting. Ada kalanya hanya disebabakan aktiviti hidup yang terlalu padat, kita jadi lupa persahabatan juga memerlukan perhatian.Sehari kita menerima , esok pula kita memberi. Jika kita asyik menerima lama-lama orang yang rajin memberi pun menjadi malas dan bosan dengan sikap kita, Jadi marilah kita merenung ke dalam diri sejauh mana kita telah menunaikan tuntutan dan adab-adab bersahabat. Muga kita diganjari Allah di atas sebarang usaha baik yang kita ingin dan sedang lakukan.
No comments:
Post a Comment