Hujung minggu ini pula kami meredah hujan sepanjang lebuhraya ke BKY. Kali ini kerana ada majlis bacaan Yassin dan solat hajat untuk calon PMR/SPM pula. Pulangnya membawa bang cu bertemu dentist. Kesempatan itu juga kami ambil untuk menziarahi pak ngah yang sedang menjalani kemotaraphi kerana kanser usus. Sehari-harian hujan turun dengan lebatnya. Kedudukan rumah mak-abah di tepi sungai menjadikan hati kami sentiasa risau dan bimbang. Kesihatan abah sangat merosot. Mak yang bersendirian menjaga abah juga sering tidak sihat. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Ketika ini saya sangat ingin tinggal membantu mak namun apakan daya . Dengan berat hati kami mengangkat tangan membalas lambaian tangan mak dan abah di muka pintu. Saya tak upaya menatap wajah sayu mereka hati saya terlalu mudah tersentoh dan air mata sudah bergenang di bibir mata.
Di rumah suasana sudah jauh berubah, Saya tidak perlu lagi berpot-pet. Masak pun sudah tidak perlu banyak-banyak seperti selalu. Mujurlah saya masih punya jiran tetangga yang dapat berkongsi masakan saya, jika tidak sudah pasti peti ais saya pun merajuk kerana asyik disumbat dengan segala macam leftover. Yang terasa sayang nak dibuang tapi akhirnya tetap akan terbuang juga jika tidak diagihkan..Oh! hari ini saya melihat satu peraduan dalam NST. TNB-NST EFFICIENCY CONTEST. Mudah saja contest ni, kita cuma perlu menulis My tip on saving energy is....... (tak lebih 30 patah)...Saya dah dapat idea tapi kena consult engineer saya dulu supaya apa yang saya akan tulis tu ada effect ke tidak untuk mengurangkan bil letrik kami. Hadiahnya boleh kata menariklah juga. Itupun kalau menang hadiah pertama.
Bila saya menoleh ke kiri kanan saya akui hidup kita hari ini memang sangat bergantung kepada letrik, Kalau generasi seusia saya mungkin masih mampu melakukan itu dan ini secara manual tapi anak-anak kita..wallahuaklam. Nak masak nasi tau guna rice cooker aja, basuh baju pakai mesin, komputer dan laptop dihidupkan 24 jam, bila cuti mengaadap TV/CD/PS2 segala, kipas angin/air con dihidupkan sepanjang masa. nak mandi waktu tengahari pun nak pakai shower .10 minit letrik terputus masih okay..tapi kalau sampai 30 minit ke atas barulah nampak mereka benar-benar bagai cacing kepanasan. Adakah kerana kita terlalu memanjakan mereka atau kerana perubahan gaya hidup menjadikan mereka begitu 'lembik' sekali. Tidak cekal, tegal macam orang dulu-dulu. Salah siapa? Satu jari menuding pada orang lain dan empat jari menghala kepada kita. Marilah fikir-fikirkan ke arah mana kita ingin bentuk generasi kita di masa hadapan.
Hari ini juga hari ulang tahun kelahiran bang cik. Saya percaya tentu hari ini sungguh bermakna baginya kerana disambut ketika kaki melangkah ke tempat yang baru. Budaya baru dan banyak cabaran baru yang bakal menanti. Saya dan suami sentiasa menitipkan pesan .Jadilah ikan di laut yang sentiasa tawar isinya walaupun tinggal di air masin. Dan jadilah benih yang baik jika jatuh di laut menjadi pulau dan jika jatuh di tanah akan tumbuh merendang hingga dapat dijadikan teduhan. Tetap mejatuhkan buah walau manusia melontar batu atau kayu. Saya suka memberi perumpamaan kerana saya sangat ingin anak-anak menghargai indahnya bahasa orang dulu-dulu. Supaya mereka juga dapat memikir kembali apa yang diumpamakan itu. Jika bukan kita yang menghargai indahnya bahasa dan budaya kita siapa lagi yang diharapkan..Bahasa kita sudah terlalu banyak dicemar.
Bang cik adalah satu-satunya anak kami yang lahir di Hospital Kangar. Ketika itu kami tinggal di Jitra bila kawan-kawan berebut bersalin di sana saya juga tak ingin ketinggalan. Alhamdulillah, memang layanan dari misi-misi di situ sangat baik. Saya bukan ingin menuntut layanan yang istimewa kerana saya hanyalah orang biasa tapi dalam keadaan kita sedang sakit, bertarung dengan maut pula sudah pasti suara yang lembut dan menyuruh kita banyak bersabar merupakan ubat yang sangat mujarab.
Saya yang biasa bersalin dua kali di UK tentu rindukan layanan yang serupa. Mereka bukanlah orang Islam tetapi mereka menghormati bila saya bertegas ingin memakai tudung ketika di dewan bersalin. Mereka juga menggalakkan suami turut bersama ketika isteri dalam proses melahirkan. Selain memberi sokongan moral suami juga akan mengerti betapa siksa dan sakitnya bila mahu melahirkan seorang zuriat penyambung keturunan. Sekarang mungkin suasana sudah jauh berubah. Mudah-mudahan ke arah yang positif dan lebih baik. Bukan calang orang boleh menjadi nurse dan doktor.Walaupun boleh belajar dan lulus ujian tetapi untuk bekerja dengan orang ramai memerlukan inter personal relationship yang bagus dan kesabaran yang tinggi. Saya faham bekerja dalam suasana yang sentiasa cemas dan perlu segera bertindak sudah pasti stress level juga tinggi. . Walaupun ganjaran material itu juga penting namun janganlah sangat semua benda disandarkan padanya.. Jika kita tahu besar mana pahala yang Allah janjikan pada kita tentu kita akan berlumba-lumba berbuat baik. Senyuman dan berkata-kata baik itu juga sedekah. Sebagai petugas di hospital sudah pasti betapa banyaknya pahala yang diraih jika kita niatkan kerja kita sebagai ibadat kepada Allah.Kalaulah semua orang tahu dan bersungguh-sungguh meraih pahala itu.
Namun dalam saya tak henti-henti berdoa agar dipermudahkan ketika bersalin saya tetap juga diuji. Saya menjadi serik bersalin dan tidak mudah melupakan sehingga kini . Mungkin sudah jauh masa berlalu tetapi kata-kata pedih dan layanan buruk jururawat ketika itu masih segar dalam ingatan. Kita mudah memaafkan tapi mungkin sukar melupakan. Semuga tidak adalah orang lain yang ,menerima nasib yang sama seperti saya
Dan esok insyaallah anak bongsu ini akan mula bertemu dengan PMR yang dinanti-nantikan. Sebagai ibu dan ayah yang ingin melihat anak-anak berjaya dalam bidang akademik kita tak henti-henti menyokong dan berdoa. Antara amalan yang diajar arwah mak ialah banyak bangun malam bertahajud/solat hajat dan berpuasa agar anak-anak dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang , hati yang lapang dan minda yang tajam. Bila malam Jumaat tadahkan air hujan lalu dilarutkan surah Yassin yang ditulis dalam pinggan putih. Airnya diberi minum kepada anak-anak. Amalan ini dulu sering dilakukan arwah wan. Dan dia akan menulis di atas pinggan Dumex yang berwarna putih. Kini amalan ini sudah dikomersialkan dan sudah pasti kesannya sudah tidak seperti yang dilakukan sendiri. Saya sudah melihat contoh terbaik yang ditunjukkan kedua-dua ibu saya..
Jika dulu anak-anak saya akan menelefon mak tok mereka bila akan mula menghadapi peperiksaan. tetapi baru-baru ini bila terdengar mak berpesan kepada anak bongsu saya :
" Ha..belajar rajin-rajin , mak tok dah tak larat nak bangkit semayang hajat dah. Dulu tiap kali sapa nak periksa mak tok dan (sempat ) buat juga dua-dua rakaat. La sejak dok jaga wan mak tok dah tak larat nak buat. La ni kena buat sendiri lah kalau nak dapat bejaya macam orang lain "
Saya hanya melihat anak saya menganggok dan saya terus menyimpan kejap di hati. Yang tersurat dan yang tersirat. Maknanya tugas itu telah dipindah ke bahu calon dan ibu bapa masing-masing. Jika ingin anak-anak cemerlang kita juga perlu kurangkan masa tidur kita. Bangun, melawan sejuk dingin pagi dan bermunajat meminta kepadaNya. Dia yang memberi rezeki dan Dia yang sentiasa mendengar apa jua permintaan kita.Bedanya cepat atau lambat ditunaikan.
"Selamat ulang tahun, bang cik dan selamat menempoh PMR untuk Harith (Irsyad) , Farhah (Labu), Safwan (M.Mahmud), Afifah (Kulim) Farid ( Melawati), Ikmal (Keramat)dan Anas (Skudai) juga semua yang bakal mengambil PMR . Muga ditenangkan hati, disihatkan tubuh, ditajamkan aqal dan bersaing untuk sama-sama berjaya."
No comments:
Post a Comment