Oh! bila difikir-fikir memang gerun. Anak-anak kita sudah tidak rasa kasih apatah lagi sayang pada Islam. Ia mungkin sekadar agama yang diwarisi dari nenek moyang kita sahaja. Amalan hidup tidak jauh berbeda dari orang bukan Islam. Kawan saya terus bercerita tentang pelajar-pelajar sekolahnya. Mereka adalah generasi ke empat. Generasi pertama mungkin dari Indonesia yang datang ke Malaysia sebagai kelasi kapal. Kahwin dengan wanita Cina yang hanya menyebut syahadah pada hari diIslamkan.Amalan hidup sehari-hari selepas itu tak usah katalah. Nak kata Islam pun tidak, Cina pun tidak. Bila anak lahir pun macam tu. Nak sembahyang macamana.? Ayah sendiri pun tak sembahyang, mabuk-mabuk dan kaki perempuan lagi. Jadi lepas satu generasi ke satu generasi mereka hidup tanpa ada arah tuju. Cuma sijil lahir sahaja yang jadi bukti mereka semua beragama Islam.
Dimana mereka berpeluang belajar tentang Islam? Sudah pasti di sekolah dalam kelas pendidikan Islam. ada yang berminat dan bersungguh-sungguh dan ada yang tidak pernah ambil peduli. Memang mencabar tugas para guru agama sekarang. Saya pernah bertemu ustaz dan ustazah yang mengeloh kerana ibu bapa hari ini menyerah sepenuhnya tugas mengajar dan mendidik anak-anak mereka mengenal Islam kepada mereka. Sedangkan setiap amalan itu perlu kepada pengukuhan sebelum berjaya menjadi budaya atau cara hidup. Bagaimana anak-anak mahu bersolat di rumah jika ibu dan bapa tidak pernah bertanya sudah solat atau belum. Dan paling sedih jika ibu bapa juga tidak bersolat. Sekarang mudah sangat anak-anak meninggalkan solat dan tidak rasa bersalah langsung.Jikalah mereka tahu dan takut dengan azab yang telah disediakan Allah untuk orang yang tidak bersolat tentu mereka akan berlumba-lumba mengerjakannya.
Melentur buluh biarlah dari rebung. Beruntunglah anak-anak yang diberi penekanan tentang tanggungjawab sebagai seorang muslim sejak awal usia. Namun sekiranya ada anak-anak yang terpaksa berusaha dan mencari sendiri ilmu untuk mengamal Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah sesungguhnya ganjaran pahala sangat besar sedang menanti. Percayalah janji Allah dalam satu hadis qudsi. Ketika awal-awal usaha ingin mengenal Islam secara serius saya selalu menangis bila membaca hadis ini. Terasa sangat yang Allah sangat sayang pada kita. Dan sentiasa dekat bila kita perlukanNya. Dia sentiasa bersama kita di saat kita lupa atau ingatkanNya. Tidak pernah ada kalimah terlambat dalam usaha kita membaiki amalan.. Semuanya terletak kepada kekuatan hati kita. Ingin terus hidup dalam kejahilan atau ingin membebaskan diri kita dari belenggu itu. Masa tetap ada 24 jam dan kita yang patut berusaha mengaturnya agar tidak kita menyesal bila tiba-tiba kita dipanggil bertemuNya.
Dari Abu Hurairah ra. dari Rasulullah saw, beliau bersabda
Barangsiapa vang mendekatkan diri kepadaKu sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil. (Hadits ditakhrij oleh Muslim)
No comments:
Post a Comment