Friday, March 2, 2012

Dunia si kecil

Saban hari kita dikejutkan dengan berbagai berita yang melibatkan kanak-kanak. Dunia ini  bukan lagi tempat yang selamat untuk membesarkan mereka. Ibu bapa juga menjadi over protective. Siapa yang patut disalahkan? Saya  hanya terfikir generasi awal anak-anak yang pernah saya didik mengenal a, b, c berpuluh tahun lalu sudah ramai   yang bekerja , berkahwin dan mempunyai anak. Bila mereka keluar  bekerja sepenuh masa sudah pasti mereka terpaksa menyerah anak-anak untuk dididik dan diasuh oleh orang lain. Ada ibu ayah yang tidak kisah siapa yang menjaga mereka dan ada juga yang sangat kisah.

Pusat penjagaan  kanak- kanak tumbuh bagai cendawan. Yang berdaftar dan tidak berdaftar. Kadang-kadang proses pendaftaran itu terlalu lama.dan melibatkan kos yang tinggi .Jadi tidak mustahil jika ada pusat-pusat yang telah lama beroperasi tetapi masih belum mempunyai  lesen. Bila berlaku sesuatu insiden barulah masing-masing saling menuding jari. Yang jadi mangsa pastilah anak. Yang trauma adalah anak yang tidak mengerti apa-apa.

Anak-anak hari ini matang lebih awal. Media elektronik turut membantu perkembangan mereka. Yang baik dan yang buruk ditonton dengan bebas tanpa kawalan. Jadi tidak mustahil dalam usia 5 ke 6 tahun mereka sudah pandai menyebut  beberapa perkataan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Sudah berpuluh tahun saya  berinteraksi dengan kanak-kanak  pra sekolah. Saya rajin melayan mereka berbual dan mereka akan bercerita apa yang dilakukan di rumah. Sendiri atau bersama ahli keluarga mereka. Kanak-kanak kecil yang putih bagai kain putih ini tidak pandai menipu.Mereka akan bercerita apa yang mereka lihat atau dengar. Adakala apa yang diceritakan amat mengejutkan dan mengaibkan.

Mungkin ada ibu bapa yang merasa anak mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Tetapi mereka juga ada minda yang merakamkan. Mata yang melihat  dan mulut yang boleh bertanya itu dan ini. Jika  orang yang ditanya mampu membentuk dan mendidik mereka  supaya berakhlaq mulia  beruntunglah ibu bapa itu. Jika sebaliknya akan memberi satu gangguan emosi yang hanya akan terpamer bila anak-anak ini dewasa kelak.

Kajian menunjukkan gejala sosial remaja hari ini adalah kesan gangguan emosi masa kecil mereka. Siapakah yang dulu  mendidik mereka  ? Memberi perhatian bila mereka bertanya.? Memeluk bila mereka merasa tidak selamat ? Pendidik dan pengasuh hanya beberapa jam sahaja bersama mereka dan  selebihnya mereka bersama ibu ayah . Mereka hanya membantu menyediakan ruang untuk ibu-ibu keluar bekerja. Sebaik tamat waktu kerja tanggungjawab mendidik, mengasuh segala yang baik-baik itu kembali ke bahu ibu ayah.

Jika ingin anak jadi baik.Ibu ayah perlu menunjuk contoh yang baik. Tentulah tidak adil jika ibu ayah mahu anak-anak menjadi baik sedangkan mereka sendiri tidak mahu mendidik diri mereka menjadi baik. Semuanya bermula dalam diri sendiri dan dari dalam keluarga  itu sendiri. Setiap kita akan disoal di atas apa yang dipertanggungjawabkan. Wang seratus dua yang dibayar kepada pengasuh bukan bererti tanggungjawab  itu beralih ke bahu mereka. Ia sekadar bayaran perkhidmatan sementara menanti dijemput pulang oleh ibu ayah kanak-kanak ini.Jadi di pemilihan orang yang mengasuh dan mendidik mereka sangat dipandang berat oleh Islam. Bukan mahal atau murahnya bayaran.Jangan terpukau dengan keadaan fizikal sesuatu pusat. Adakala  ia sekadar menarik minat kanak-kanak untuk berada di situ sedangkan apa yang diterap di situ akan mencorak pemikiran dan pribadi anak-anak . Luangkan sedikit masa untuk menyiasat tempat asuhan. Jangan sampai salah pilih.Ini adalah masa depan anak-anak kita.


Friday, February 10, 2012

Namamu Terukir Di Hatiku

Bila datang bulan Februari, sana-sini sibuk menjaja lagu dan movie  bertema cinta. Kedai-kedai bukan main lagi menjual bunga mawar merah menyala. Yang berduit tentu sudah mengangan-angan hadiah terbaik ,termahal untuk sijantung hati. Yang kurang berduit pun tentu tidak kurang juga persiapan. Maklumlah bukan setiap hari ada sambutan Hari Kekasih. Saya teringat satu artikel saya yang pernah tersiar pada tahun 2003 dalam Berita Harian .Usah terperangkap jerat cinta Valentine. Masa dulu-dulu tak pernah dengar pun Valentine. Cuma bila pertama kali ke UK barulah saya belajar apa kah benda Valentine tu.Tentulah tertanya-tanya bila merata kedai menjual belon merah berbentuk hati. Nak jugak tahu,kan.  Tapi hari ini anak-anak kecil pun dah pandai menyebut Valentine. Kalau dah hari-hari dia lihat dan dengar tentulah itu yang terasak dalam minda mereka.


Sempena sambutan yang dah mula dirai pasangan kekasih di Malaysia  saya diberi kesempatan oleh Allah untuk terlibat dalam satu kempen yang akan dilancarkan secara resmi pada 14 februari nanti. Kempen Menutup Aurat Antarabangsa. Bermula  sabtu ini kami telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk bertemu dan memberi kesedaran kepada remaja/wanita muslim yang belum bertudung. Sumbangan  tudung telah diterima. Berkotak-kotak. Begitu juga kain rentang semua telah   dicetak dan direntang di berpuluh lokasi seluruh negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Insyaallah, satu sidang akhbar akan diadakan pada petang 14 Februari itu .Dan sebuah stesyen TV sudah bersetuju untuk hadir.Usaha kerdil ini adalah gabungan beberapa NGO yang prihatin dengan gejala sosial yang berlaku sempena tarikh ini. Apa yang saya harapkan ialah doa dan penerusan usaha di lokaliti masing-masing. Kempen ini sudah berjalan selama 4 tahun dan dipelopori Pak Herdi dari teacher working grup , Indonesia. Pernah dijalankan di London, Macau, Hongkong dan Malaysia turut sama secara aktif tahun ini.

Untuk membantu meneruskan usaha ini tidak payah. Sikit gabungan tenaga, masa dan rasa prihatin. Kita tentu tidak mahu rasa cinta sesama manusia itu sampai mendatang murka Allah. Sedangkan allah telah menyediakan cara untuk manusia menyalur rasa cinta itu dengan cara yang diredaiNya.  Tahun lepas sekelompok manusia sanggup melancar No Pants Day. Tiada apa yang didambakan  sekadar rasa suka yang sekejap dan sementara. Dan kitalah  yang bertanggungjawab melindungi anak-anak muslim .Usah  terjebak jerat cinta Valentine.
moimoisam:  (via paulamvd, betsyyrawr)

Tuesday, December 13, 2011