Tuesday, December 13, 2011


Monday, December 12, 2011

Jarak Bukan Ukuran

Hujan turun lebat sekali.. Beg-beg sudah tersedia di muka pintu sekadar menunggu diangkat ke kereta. Begini rupanya hujan di Pantai Timur. Bukan tak biasa tetapi bila sudah dua dekad lebih meninggalkan Pantai Timur saya jadi lupa musim tengkujuh di sana. Anak saya sudah bergegas meninggalkan rumah kerana bila hujan turun pergerakan menjadi lembab sudah pasti punch kadnya akan merah pulak. Itulah yang ingin dihindari.Takut pula suara bos memetir.  Akhirnya kami melangkah jua meredah deraian hujan sambil mengelek Zariff Rayyan. Abang longnya sudah dibawa ibunya menuju ke rumah opah dan adiknya yang murah dengan  senyuman  ini sudah lali-lali dalam dokongan. Dengan bantuan Mr Garmin kami sampai juga ke Taska E na , di belakang SK Kubang Kerian 3. Suami  saya memandu dengan tenang. Biasalah bila biasa memandu di Penang tentu  akan rasa rimas terpaksa mengekor kereta yang dipandu  penuh santai sambil melepas asap rokok di muka tingkap.

Zariff okay lagi

Sebaik melepasi Pekan Rantau Panjang kami dapat sedikit ruang untuk memecut laju.  Hari masih pagi dan basah pula. Tidak ramai orang yang ingin keluar rumah kecuali yang ada urusan atau terpaksa keluar demi mencari sesuap dua nasi buat makan  anak isteri. Seperti biasa kami akan singgah di Petronas Jeli. Kami suka stesen ini. Stesen mini market. Jika tak sempat membeli keropok dapatkan sahaja di sini. Cukup sekadar buah tangan untuk jiran di tepi rumah. Tanda kita baru pulang dari Kelantan. Tapi saya tak membeli apa-apa kali ini. Sudah tak ada sesiapa untuk dihulurkan.
Abang long tak mampu bercakap/makan  kerana mulutnya penuh ulcer
Ketika merentasi Banjaran Titiwangsa kabus menghadkan pandangan. Kenderaan belum banyak jadi sesekali sahaja kami bertemu lori-lori yang sarat muatan.Penat sungguh melihat lori-lori ini mendaki puncak tertinggi di Semenanjung. Di Titi Wangsa kami tidak singgah. Kabus tebal masih menutup pandangan. Cuaca sejuk dan iringan hujan terus menemani kami sehinggalah kami keluar dari negeri Kelantan. Hampir tiba di sempadan Perak titik hujan makin kurang menimpa cermin kereta. Akhirnya wiper kereta dapat direhatkan sepenuhnya. Alhamdulillah.

Hari sudah rembang. Perut pula sudah minta diisi. Kami singgah di sebuah gerai di Keda Kelebang, Baling. Malangnya nasi masih ada cuma lauknya sahaja yang habis. Saya memilih laksa dan suami serta anak memilih bihun sup..??...eeerrrr...kuahnya macam dibubuh perencah maggi sahaja. Dek kerana lapar terpaksalah disudu juga sehingga habis isinya. Gerai yang selalu dikunjungi tutup.Mungkin kerana musim kenduri. Suami segera memegang stering hati sudah sampai ke rumah. Walaupun kami ada sejam lebih lagi di jalanan.

Hampir jam 3petang kami selamat tiba di rumah. Dalam  kelelahan kami bersyukur dapat mencari ruang menziarahi cucu yang  diserang campak besar. Tak senang hati asyik berhubungan di kakao talk sahaja. Turut dibawa daun melur, daun mertajam, daun delima serta daun asin-asin yang perlu digiling dengan bedak sejuk  dan dioles pada badan selepas semua keruping campak gugur. Kata emak ini untuk menghilangkan parut dan menghilang miang di badan. Mudah-mudahan anak saya sempat membedak  abang longnya kerana bila diuji sedikit kesakitan dia bagaikan tak cukup tangan untuk melayan rengekan anak-anak. Tidur tak usah kata nak duduk makan pun tak sempat. Begitulah harga yang perlu dibayar  seorang ibu. Mereka yang memiliki anak kecil sahaja mampu menilai betapa berharganya sepuluh minit tidur yang betul-betul lena. Ketika kecil merekalah tuan dan ibu hambanya. Mudah-mudahan  janganlah dia terus-terusan menjadi tuan di hari  siibu  sudah tidak mampu menjadi hamba lagi.

Saturday, November 26, 2011

Jiran Itu Saudara Dekatmu!

"Ummi jangan nangis" Harith awal-awal sudah memberi amaran. 
"Eh!!! Mana ada nangis .. " Sambil menyeka airmata yang mula bergenang di hujung mata.
 "Sedih aja..." Kata Jal sambil mengesat matanya. Kami berpelukan sebelum melepasnya dan anak-anak menaiki tangga bas. Bukan jauh pun. Bangi sahaja.Tanpa menunggu bas bergerak kami menghala ke kereta. Ada beberapa urusan lain perlu dibereskan. 
"Tak bestnya...aunty tak ada" tiba-tiba pula Harith bersuara.
 "Emmm...Nabi pernah kata 4 perkara yang membuat manusia rasa bahagia" Saya memutar kunci kereta.
"4 saja...???"
"Yalah...4 tapi bukan semua pun manusia mampu ada"
"Apa tuu??"
"Isteri yang solehah, rumah yang luas...."
"Oh patut pak cik Hasbul dok renovate rumah..."
"May be kita pun..."tambah saya sambil memusat pada pemanduan. Cuaca indah benar, terang dan kami dapat lihat Komtar dari kejauhan.
"Bila tu..?"
"Bila ada duit nanti...insyaallah"
"Okay...lagi dua ?"
"Jiran yang baik.."
"Macam aunty..."
"Hmmm...dan kenderaan  yang baik"
"Patutlah ada orang tu  nak tukar kereta"
"Haa...agaknya lah. Kereta kecik ada lebihnya.Senang parkir,  tapi nak bawa barang tak muat pulak"
"Ummi...kawan-kawan selalu pelik bila ummi tak ada  Harith boleh aja call jiran tolong ambik dari sekolah"
"Apa yang peliknya..????..kita boleh aja minta  tolong jiran kiri, kanan dan belakang. Kita minta tolong bila terpaksa dan bila dah tak ada pilihan lain"
"Tu la...depa kata macam mana  boleh baik dengan jiran.Kami tak pernah pun cakap dengan jiran. Tak pernah kenal pun"
"Tulah lebihnya orang yang rajin pi dengar  ustaz mengajar di masjid"
"Contoh?"
"Yaa...lah...hadis tadi pun ummi tahu dari pengajian dan buku. Bila kita tau hak jiran offcourse kita akan praktikkan dalam hidup."
"Betul kata Nabi. Kalau dapat jiran yang teruk memang siksa hidup kita. Macam Balun Enterprise tuu.(Tu nama gelaran untuk jiran yang asyik bertekak siang malam)
"Hisy....dia bukan bergaduh , dah style dia camtu....cakap  kuat dengar macam bergaduh"
"Tapi still buat kita rasa tak selesa. Bang cik siap menjerit lagi suruh depa diam""
"Haa..haa...nakal bang cik." 
"Ummi..."
"Hemmmm...."

"Aunty bagi duit " Dia menunjuk beberapa keping kertas.Merah ,hijau.
"Kenapa??"
"Sebab tolong angkat barang dia"
"Isy..kenapa ambik.Bukan berat pun"
"Dah tolak tapi dia paksa juga...dia kata memang dia nak bagi  pun"

"Well....lepas ni sapa lah pulak jiran kita.Mudah-mudahan  dapat macam  aunty"
"Aaaa.... minggu depan pak cik Aziz pula pindah. Pastu kak Nani"
"Tahun depan tak tahulah ada tak jiran nak tolong hantar and ambik Harith dari sekolah"
"Harith tumpang Faris...dia pun jiran jugak"
"Jiran sekampong..betui lah tuu.... Kita  dah sampai kat   Bagan Luar. Jom layan hati yang sedih dengan menjamu mata di Kedai Buku Harfa."
"Ummi ada duit???"
"Tak ada....Err..ada sikit"
"Tak pa..Harith ada..duit aunty"
"Kita kan nak window shopping buku..bukan nak beli buku"
"Ya....lah tuu."
Yousoff Lee bersama Khairi  2008
"Tau tak paa..." Pecah tawa.
Kami menutup pintu kereta sambil melangkah laju ke Harfa. Hari masih awal . Pelanggan  Kedai Hailam disebelah Harfa masih belum ramai. Kata Jal orang Bagan semua makan di kedai itu kerana mereka orang Cina Hailam. Tak makan  benda tu. Dan masak pun guna ayam dan daging sembelih. Tengok kedai tu teringat Dia lagi. Dia yang pandai masak terutama masakan Cina. Semuanya dipelajari dari ibu mertuanya  dan suaminya  seorang  Cina Muslim. Kami yang rajin mencuba  teruja bila dapat semangkok mee udang atau sepiring sotong kangkong juga seperiuk steamboat kala Tahun Baru Cina. Juga kek Durian!!!
"Ummi jom.."
"Okay...saja teringat aunty" Kenangan itu bubar satu persatu.
Saya menolak pintu kaca dan mata jatuh pada barisan buku-buku masak. Jal memang suka beli buku masak.Dan suka memasak. Patutlah kami boleh ngam..banyak sangat persamaan kami. Dan seharian saya asyik teringatkannya. Bukan lama pun kami berjiran. Sekitar 8 tahun sahaja.Tapi banyak yang kami kongsi sehingga dia bagaikan saudara saya. Sudah pasti anak-anaknya akan rindukan laksa yang sering saya hulurkan di pagar belakang.Juga cucuq kodok pisang saya. Oh.....pedihnya bila terpaksa berpisah dan melepas pergi semua kenangan itu.


"Betullah kata Nabi jiran yang baik adalah antara nikmat hidup ini. Mudah-mudahan Allah menggantikan dengan yang lebih baik. Dan jika ingin yang baik-baik tentulah kena bermula dengan diri kita dahulu. Ucapkan salam, senyum, saling bertanya kabar, hulurkan bantuan jika mereka memerlukan, jangan menyakiti mereka dengan kerenah kita perbuatan mahupun lisan, bertolak ansur dan tidak  irihati dengan kelebihan dan kekayaan mereka. Dan  yang paling penting kita menerima mereka dan kita menerima mereka tanpa syarat.


Manisnya saat-saat itu untuk dilepas pergi. Insyaallah sudah pasti bila kelapangan pasti kami akan ke Sg.Merab, Bangi mencuba menu di kedai baru mereka. Dengar kata orang-orang dari Putrajaya pun turun mencuba .Mudah-mudahan Jal dan keluarganya gigih mengusahakan apa yang diminatinya.Anak-anaknya pula segera dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Begitulah  adat  sekali air bah sekali pantai berubah.
Kami pasti rindukan staemboat keluarga Lee

Tuesday, October 18, 2011

Nilai Kehidupan

Angka-angka di kalendar menginjak satu-satu. Menghampiri hujung tahun bererti calon-calon  SPM makin kuat menumpukan perhatian di dalam kelas. Kata orang Kedah mungkin tak panggung (angkat ) kepala dari buku.Pulun studi lah tu. Maklumlah sekarang semua orang ingin dapat A yang berderet-deret. Bukan setakad A tapi A+ ya, nak. Peluang cerah kalau dapat 8A+ ke atas. 8 sahaja pencapaian minima. Sikit saja tu.


Oh! Anak saya selalu komplen. Mana boleh dapat A+, ummi. Lainlah kalau asyik tunggu buku saja. Nak juga masuk itu dan ini. Markah koko bukan 10% saja,ka? Soal saya pula. Tapi ummi kalau masuk macam-macam sijil pun banyak..yang penting dapat pengalaman.Buat persiapan, buat perbincangan, bagi tugasan dan paling seronok bila nama sekolah dipuji.Terasa macam terbang di udara.Terangkat gitu.Kuatnya rasa sayang kat sekolah .Tambah pula era sekolah kluster dan sekolah  berprestasi tinggi. Setiap sekolah berlumba-lumba untuk mencapai sasaran itu.


Oh!!! Begitukah rasanya bila dapat jadi wakil sekolah.Tambah-tambah pula kalau dapat jadi wakil negeri tentu lebih seronok perasaan itu. Sebagai ibu saya tidak menyekat asalkan mereka tahu batas-batas kemampuan mereka. Saya juga tidak juga mahu mereka gila nama dan glamour sedangkan akademik terabai. Jadi apa yang saya ulang dan pesankan berkali-kali terutama pada anak bongsu saya ialah pandai-pandai imbangkan. Jangan sampai  keputusan hujung tahun akan beri kesan besar pada awal tahun depan nanti.

Saya rasa dilema ini dihadapi oleh semua orang. Adakala kita ingin anak kita selalu skor, tiap tahun dapat naik pentas mengambil hadiah dan kita terus menekan, berleter dan memaksa mereka menjadi seperti anak orang itu dan anak orang ini. Sedangkan kita lupa anak kita adalah anak kita. Adakah mereka mampu mencapai impian kita ?  Kita juga suka membanding "Tengok sepupu kamu tu...maknya bagi tau dapat jadi top 5 in school" atau "Eh...tau tak macam mana anak pak su  kamu belajar.???..Bukan macam kamu ni asyik main Fifa 24 jam" Saya sendiri pun bila dibanding begitu ketika kecik-kecik dulu memang rasa geram, bengang dan kata hati yang jahat awat tak ambik budak tu jadi anak awat ambik kita yang tak reti ni jadi anak.

Kalaulah kita diberi pilihan tentu kita mahu memilih siapa patut jadi ibu bapa kita atau anak-anak kita. Dan manusia tidak pernah diberi pilihan itu kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Dan jika diberi peluang memilih  manusia tidak akan pernah berpuas hati.Ada-ada sahaja yang tidak puas dan tidak kena. Jadi sebagai ibubapa kita patut bersyukur dengan apa sahaja kurniaan Allah. Kita yang mencorak dan melentur mereka. 

Anak-anak kita tidak perlu dipaksa dengan  apa yang tidak termampu mereka capai. Yang penting kita perlu pantau, beri semangat dan keyakinan untuk mereka terus melangkah dan bersaing secara sihat dengan  rakan pelajar yang lain. Tidak semestinya yang cemerlang di zaman sekolah akan terus cemerlang bila melangkah ke dunia pekerjaan. Ada rakan-rakan yang satu masa dulu asyik kena marah dan denda kerana mencapai markah rendah dalam kelas tetapi hari ini sudah menjadi orang itu dan orang ini dalam masyarakat.Dan kita yang mungkin lebih hebat dari mereka satu masa dulu hanyalah orang biasa-biasa sahaja.

Yang penting sematkan  ke dalam hati anak-anak untuk cemerlang di dunia dan juga di akhirat kerana kehidupan baik di dunia memberi kita banyak peluang untuk menanam  saham buat kehidupan akhirat.Dan jika kehidupan di dunia tidak begitu membahagiakan bersabarlah. Berkat kesabaran dan redanya kita akan memberi peluang kita meraih bahagia yang kekal abadi di alam akhirat. Bukankah itu matlamat utama kita? Ajar anak-anak kita supaya berpeganglah dengan kata-kata ini. Suruhlah mereka  berusaha bersungguh-sungguh seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya di dunia dan beramallah seolah-olah kamu akan mati esok hari. Insyaallah jika hati mereka tertanam tekad ini kita hanya perlu mengingatkan mereka sekali sekala dan mereka berusaha dan kita tolong dengan doa pula.Mudah-mudahan anak-anak kita menjadi orang-orang yang cemerlang demi untuk masa depan Islam itu sendiri.

Thursday, October 6, 2011

Suara Hati

Bila sudah separuh abad meniti hari saya bagaikan terperasan. Patern hidup saya . Ada masa Allah bagi hati ini sangat gembira, sangat sedih dan sangat tenang. Tidak sangat risau walaupun banyak masalah yang berlegar dalam fikiran. Ketika sangat tenang saya bagaikan tertanya-tanya apakah ujian lagi yang bakal menanti untuk muncul.

 Dan kini pertanyaan itu terjawab. Apakah perasaan saya? Saya masih boleh berlaku tenang. Hanya tidur malam yang terganggu. Menghampiri jam 4 pagi mata sudah tidak mahu pejam.Tidur pun sudah rasa sangat puas. Berlama-lama di tempat tidur tidak memberi apa-apa manfaat lagi. Ayuh! Bangun.Hati kecil saya menyeru. Tuhanmu sudah lama menunggu.Menunggu mu tunduk sujud dan menunggu mendengar apa yang kamu resahkan.

Di luar tingkap terdengar titik-titik embun menimpa bumbung. Tap..tap..tap...sudah berkali-kali saya mengira tetapi sekujur tubuh ini masih malas untuk bingkas bangun. Entah apa lagi yang disayangkan. Tilam empuk? Bantal? atau teman tidur disebelah? Tiba-tiba hati yang satu lagi berkata. Apa yang kamu sayangkan hanyalah pinjaman. Satu masa nanti bukan saja semua itu akan meninggalkan kamu tetapi kamu juga akan pergi meninggalkan semuanya. Sudah banyakkah bekalan yang kamu persiapkan? Untuk perjalanan yang jauh, yang tiada u turnnya dan tidak akan kembali lagi ke dunia ini.Walaupun betapa kamu merayu meminta dikembalikan walaupun sedetik waktu.

Bisikan  suara hati ini rupanya mampu membuat saya bingkas bangun. Meleraikan 3 simpulan syaitan pada tubuh. Satu simpulan terbuka bila kita mengingati Allah, simpulan kedua terbuka bila mengangkat wudu' dan mudah-mudahn terbuka yang ketiga bila dahi berjaya  mencecah lantai. Suasana hening pagi memberi rasa yang sungguh syahdu. Dapat berlama-lama berbicara dengan Allah tanpa rasa tergopoh-gapah. Ingin cepat selesai kerana banyak urusan dunia yang menanti. Bebas juga menatap ayat-ayat Allah selama mana yang diingini. Tanpa rasa ingin segera mengatup mushaf.

MengingatiNya dalam senang dan susah

Benarlah kata -kata yang selalu didengar. Bila datang ujian itu tanda Allah sayangkan kita. Memang iya. Bila datang ujian sudah pasti lebih kuat pergantungan kita kepada Allah.Kerana kita tahu Dia yang mendatangkan ujian dan Dia juga yang akan membantu kita melepasi ujian itu. Dan Dia tidak menguji melainkan apa yang termampu kita hadapi. Ya!! Saya berdoa dan meminta Dia menuang sepenuh-penuh kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Dan hayat maut kita adalah milikNya. Dan kepadaNya kita berserah diri. Kita datang sendiri dan kita akan pulang juga sendirian. Permudahkanlah urusan kami di dunia dan di akhirat nanti.Ameen.

Monday, September 26, 2011

Melakar Rindu

Lama sungguh saya tidak berpeluang  bertemu adik-beradik sendiri.  Maklumlah bila emak dan bapa sudah tidak ada di dunia anak-anak bagaikan kehilangan tonggak keluarga. Satu masa dulu ketika emak dan bapa masih ada kami akan berkumpul . Sekurang-kurangnya setahun sekali . Terutama pada hari raya . Ketika itu dapatlah bergurau, bertukar berita  sambil menikmati juadah hariraya yang dibuat atau yang diberi jiran tetangga. Ketika itu juga  anak-anak dapat bermain dengan sepupu-sepupu mereka atau bergaduh dengan anak jiran tetangga. Maklumlah ketika masih kanak-kanak belum pandai berfikir silap sikit semua akan jadi punca pergaduhan dan perselisihan faham.
Seronoknya dapat bertemu semua yang dirindu
Selepas emak meninggal kami tidak berpeluang berkumpul. Walaupun pernah ada usaha sekali dua untuk sama-sama menyambut raya tetapi kami tidak berjaya mengumpulkan semua ahli keluarga. Bila arwah mak dan bapa sudah tidak ada tanggungjawab kami berdua beralih kepada keluarga mertua  pula. Selagi termampu suami saya tetap ingin berbakti kepada mak dan abah .Seboleh mungkin suami saya mahu berada di sisi mereka setiap kali tibanya hari raya. Begitu juga adik beradik saya yang lain. Perhatian dan tanggungjawab beralih ke keluarga mertua masing-masing. Seingat saya selepas pemergian mak kami tidak pernah beraya di tempat lain selain Titi Gajah. Jadi bila datang raya ada yang beraya di Johor, ada yang beraya di Rembau, di Melaka dan di Kedah. Waktu lain memang sukar untuk berkumpul. Jika seorang di Sarawak, sorang di Johor, 4 di Selangor dan saya sendiri di P.Pinang tentu agak sukar untuk bertemu walaupun bukanlah mustahil. Makin meningkat usia makinlah beratlah tanggungjawab dan makinlah singkat masa senggang untuk kita.

Kami empat beradik tanpa ancik Tim.
Panggilan telefon dari kak long membuka ruang untuk kami bertemu. Saya terus menghubungi suami dan segera merangka perjalanan kami. Maklumlah bila hari cuti hujung minggu tidak sama tentu banyak perkara perlu diuruskan. Kebetulan  menantu saya sedang berkursus di Bayan Lepas jadi mudahlah dia ikut serta. Saya memang sangat ingin membawanya  bertemu ahli keluarga saya. Selepas berkahwin tahun lepas mereka ada juga ke sana tetapi maklumlah bukan senang bertemu orang KL. Bila kita lapang mereka pula tidak lapang. Bila kita sudah ada di depan pagar mereka pula sedang tersepit di kesesakan jalan raya. Jadi bila Allah bukakan jalan sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang ini.

Selepas solat Jumaat kami bertolak ke sana. Kami .merancang untuk .tidur di rumah adik menantu saya di Rawang. Jadi tidaklah terlalu lama  Lutfil Haziq terkurung di dalam kereta. Maklumlah baru belajar merangkak tentu rimas bila terperok lama-lama di ruang yang sempit. Kebetulan pula  isterinya anak sepupu suami saya .Mereka berdua  baru diuji Allah kehilangan anak sulung berusia 9 bulan  pertengahan Ramadan lalu. Anak adalah amanah yang dipinjamkan Allah. Tiba masanya akan diambil kembali. Walau betapa kasih dan sayang kita kepada mereka. Dan Allah menguji dengan apa yang kita mampu tanggung. Semuga Allah akan mengantikan dengan  yang lebih baik lagi.Ameen.
Berpuluh tahun tidak bertemu

Selepas sarapan kami singgah sebentar di Taman Melawati. Menziarahi  keluarga adik ipar. Mereka juga sedang bersiap ke satu majlis raya. Selepas  merasa sepotong dua lemang Pak Ajai kami meminta diri. . Destinasi seterusnya sudah pasti ke tempat kenduri. Taman Bukit Mahkota. Kami tiba tepat jam satu. Majlis baru bermula. Pengantin pun belum lagi tiba. Selepas  bersalam  dan bertanya kabar andak ,busu dan  kak long kami segera  mengambil beberapa keping foto  sebelum melangkah ke meja hidangan.

Menantu saya memuji acar buah yang hidangkan manakala suami saya termenung memikir apa yang boleh dimakannya. Kasihan dia  tidak ada pilihan. Semuanya pedas dan berempah. Selepas pembedahan  dulu dia terpaksa menapis  apa yang boleh dimakan. Sambil kami menjamu selera kami memerhati keliling. Ada tetamu yang dikenali dan ada juga yang tidak.Maklumlah bila sudah lama tidak bertemu sudah pasti ada perubahan fizikal yang menyukarkan kita mengecam  mereka yang satu waktu dulu sangat hampir dengan kita. Sekejap-sekejap ada sahaja adik , abang atau kakak mengajak saya bertemu dengan saudara mara yang sudah lama tidak bertemu.  Memang betul kata orang tua-tua. Di tempat kenduri dan kematian sahaja tempat kita bertemu saudara mara.
Perjalanan pertama Lutfil Haziq 

Majlis hampir berakhir ketika kami meminta diri. Lutfil Haziq sudah rimas. Sebaik mendapat kunci rumah dari adik ipar kami meminta diri . Saya melangkah pulang dengan hati yang berbagai-bagai. Wajah-wajah ceria adik beradik dan anak-anak saudara  kuat mengingatkan saya kepada emak. Terbayang di mata betapa gigih dan sabarnya  mak menjaga dan mendidik cucu-cucunya ketika ibuayah mereka keluar bekerja. Walaupun kepoh mulutnya meleterkan budak-budak tu tetapi bila sudah ke dapur bagaikan hilang rasa penatnya memasak itu dan ini untuk anak menantu dan cucu-cucu kesayangannya. Cuma saya berharap dan berdoa agar dalam keceriaan dan kegembiraan hidup hari ini  masing-masing tidak lupa menziarahi  pusaranya dan menitip sepotong dua doa untuk kesejahteraannya di alam sana.Tiada apa lagi yang didambakan sekadar doa-doa yang tidak putus-putus dari anak-anak yang soleh. Tika harta tidak lagi berguna doa-doa itulah yang lebih bernilai dari dunia dan seluruhnya. Meskipun iman itu tidak boleh diwariskan tetapi saya percaya mak dan bapa sudah berusaha sedaya upaya untuk menjadikan iman itu sebagai bekalan hidup kepada anak-anak yang tinggal. Terserahlah kepada anak-anak yang tinggal untuk menyemarakkan lagi iman itu atau membiarnya terkulai layu. Saat ini  mak dan bapa sudah tidak ada lagi di sisi tetapi ajaran dan kata-kata nasihatnya masih terngiang segar di telinga. Mudah-mudahan apa yang kita kerjakan hari ini tidak sampai menjadi beban kepada ibubapa yang sedang menanti kita di alam sana. Permudahkanlah Ya Allah urusan mereka di sana.Ameen Ya RabbalAlameen.Dan anakmu ini tetap akan menyusulmu cuma bila dan ketikanya hanya di dalam ilmu Allah Taala jua.
Bersama busu, kak long dan andak.

Wednesday, September 14, 2011

Hari ini realiti, semalam tetap sejarah

Bila mencari buku saya suka mencari buku yang mengisahkan kehidupan seseorang. Tak kira orang itu terkenal ataupun tidak. Tak pula bermakna saya jenis suka jaga tepi kain orang. Cuma bila mengatup buku saya akan pandai-pandai buat analisa sendiri. Kenapa orang tu jadi begini dan bukan begitu. Dan apa yang boleh saya pelajari dari kisah kehidupan itu. Jadi secara tak langsung saya belajar tentang sejarah. Cuma bila sebut pasal sejarah , perkataan itu sudah jadi satu perkataan yang sensitif lah pulak.

Saya yang lahir selepas merdeka...oopps betulkah perkataan itu? Makin pening dan keliru. Hari in ini orang ini cakap ini dan esok orang lain pula cakap lain. Makin keliru dan kepala yang sering migrain makin kena telan banyak ubat-ubat bagi meredakan rasa pening itu. Saya tidak pasti juga samada mulai tahun ini tarikh 31 Ogos itu perlu diingati atau tidak? Dan sesiapa yang lahir pada tarikh tersebut atau ada perkataan Merdeka pada nama mereka patut terus merasa unik dan bangga. 

Mungkin juga lepas ini kita tidak berpeluang mendengar  suara Sudirman setiap kali tiba bulan lapan. Lagu  Tanggal 31....bulan lapan 57...mungkin  tidak lagi dimainkan di corong radio dan kaca TV kerana secara teknikalnya kita tidak pernah dijajah. Jadi kita tidak perlu merdeka dari siapa yang menjajah kita. 

Dengar kata panel mengkaji buku teks sejarah juga sibuk bekerja. Laporannya dijangka siap hujung tahun ini. Cuma jika ada orang yang sudi menemu bual dan bertanya saya apa yang saya harap dari laporan itu. Saya sekadar ingin berkata. Peradaban manusia menjadi bertambah baik jika kita  belajar dari kesilapan diri sendiri dan orang lain. Tidak ada yang perlu dimalukan jika kita mengaku yang benar tetap benar. Perkara yang paling berat ialah mengaku kebenaran walaupun ia sangat pahit . Lihatlah seerah Nabawiyah. Saidina Omar ra yang hebat itu tidak pernah menafikan sejarah ketika dia menanam  anak perempuannya hidup-hidup. Bertitiktolak dari saat dia melafazkan syahadah dia telah menjadi orang yang hebat dan tinggi imannya. Sejarah tetap sejarah. 

Berilah peluang  anakcucu kita membaca yang benar-benar belaka . Tidak guna membiar mereka rasa bangga tak tentu arah kerana lahir di bumi yang tidak pernah dijajah. Sedangkan pada hakikatnya  setiap keputusan sebelum 31hb Ogos 1957 itu  perlu mendapat kata putus dari Penasihat British kecuali yang berkaitan dengan  agama dan adat istiadat orang Melayu. Apakah yang akan kita labelkan kepada Tok Janggut, Hj  Abd Rahman Limbong, Mat Kilau dsbnya. Apakah gelaran Bapa Kemerdekaan yang dipegang Tunku Abdul Rahman kena ditarik balik dan ditukar dengan gelaran yang lain pulak?

Gambar dalam buku Sejarah

Oh! Masa saya di dunia ini sudah semakin singkat. Saya tidak  boleh menongkat langit untuk bercerita tentang sejarah negara bila anak cucu cicit bertanya nanti. Apa yang akan mereka baca tentulah apa yang ditulis pada hari ini. Setiap kita bertanggungjawab dengan apa yang dipertanggungjawabkan.  Saya makin pening jadi sebelum bertambah kuat peningnya baik saya bangun mencari Dyfenamic Tablet. Sementara saya reda dari pening ini tolong-tolong fikirkan apa yang sebenarnya sedang berlaku ini.Dan bolehkah menyediakan jawapannya sekali.?  Oh! Kepalaku.



Saturday, September 10, 2011

Menyemai Kasih

 Bila ada pembaca komen kenapa tak update blog barulah teringat sudah beberapa hari tak ada entri. Sibuk...(bila tak sibuk  ya!) Alasanlah tuu... Ya! Saya dan semua orang memang sibuk. Siapa kata suri rumah tak pernah sibuk ?  Walaupun rumah saya comel sahaja tetapi tugas mengemas tak pernah selesai. Dulu anak saya selalu komplen. Bila telefon ummi asyik kemas..tak habis-habis kemas. Besar sangat ke rumah kita tuu...???? Tapi..bila dia balik bercuti dan melihat saya tak pernah berhenti bekerja kecuali masa makan, solat dan sedikit nap baru dia tak mengomel lagi. Saya orang KL sebenarnya tapi sudah rasa macam orang Kedah. Saya baru baca satu buku lama yang dah lama dibeli dan ditulis oleh orang lama. Katanya orang Kedah memang kuat bekerja. Ada-ada sahaja yang mahu dilakukannya kalau tidak bekerja badannya akan rasa nak demam dan sebagainya. Bila difikir balik mungkin betul juga sebab alasan ini selalu  diberi ibu-ibu dan nenek-nenek kita. Itu kata penulis yang kebetulan juga orang Kedah. Kalau orang Kedah tak promo orangnya siapalah lagi kan...???
Cartoon of a Woman Tired from House Cleaning clipart
 Masa saya baru beranak dua saya pernah menegur mak kerana dia asyik mengemas dapurnya yang comel. Berehatlah ,mak. Tak penat ke dari tadi asyik kerja. Sebenarnya bukan dia yang penat tapi mata kita yang penat kerana mengikut dia sekejap ke dapur sekejap ke beranda.Ada-ada sahaja yang dilakukannya. Tapi bila sudah ada rumah sendiri dan usia pun makin meningkat  perangai mak dan tok jugak yang diikut. Walau badan letih tapi kalau kerja tak siap walau badan sudah terbaring mata tetap tak mahu pejam. Minda di luar sedar masih berfikir. jadi baik siapkan kerja baru cari sedikit masa untuk rehatkan badan.

Selepas anak-anak pulang saya mulalah mencari kerja. Kerja yang sudah lama dirancang tapi tak berkesempatan. Mengemas dan mengosong segala laci-laci. Entah apa-apalah yang disimpan bertahun-tahun. Hasilnya beberapa beg sampah di luar pagar. Dulu saya memang sayangkan bahan bercetak. Buku, keratan akhbar, majalah hatta buku sekolah anak-anak pun mahu disimpan.Kini bila tahun demi tahun  ahli keluarga makin bertambah  dan kami perlukan lebih ruang maka saya terpaksa 'pejam mata' dan membuang segala harta merdak yang sangat disayang tuu.Kononlaaa...


Bila sudah membongkar memang macam-macam yang ditemui. Semuanya menyimpan kenangan yang bukan sedikit.Dairi -diari lama semuanya bertampal dengan keratan resepi yang dikutip dari akhbar dan majalah. Apa komen suami saya? Hmmmm...buku resepi mengalahkan chef tapi masak asyik tuuu ...tuuu saja....Hai.!..dia mana tahu resepi tu sekadar panduan untuk memasak sesuatu yang baru dan bila dah mahir tentu resepi tu dirujuk bila terlupa bahan atau langkah sahaja. Bila sudah mahir memasak sudah pasti kita perasan bahan dan cara memasak lebihkurang saja cuma nama sahaja diberi nafas baru. Pernah dengar  Sup Gadai Nyawa ??? Haa..kalau nak tau rupa dan rasa cuba cari di kedai makan dekat-dekat Utim, Permatang Pauh. Kenapa dan mengapa nama itu dipilih sila cari sendiri jawapannya.

Ini mee udang Pulau Sayak. 

Sambil mengemas sambil membaca apa yang ditemui. Kad-kad ucapan, surat-surat, kad raya. Walaupun bukan semua yang saya baca tetapi saya tetap akan membaca surat-surat yang pernah saya tulis kepada anak-anak. Sambil membaca airmata pasti turut berjurai. Kata-kata nasihat, pujukan dan semangat ketika mereka sedang dilanda demam peperiksaan, ketika keciwa, ketika mengalami krisis jiwa dsbnya. Maklumlah tengah meniti alam remaja menuju kedewasaan. Kini anak-anak itu sudah  dewasa , ada yang sudah membina hidup sendiri dan sedang belajar membesarkan anak-anak. Dan ada yang masih tercari-cari hala tuju hidup. Saya yang tidak berpeluang membantu  membesarkan anak-anak mereka,  sekadar menitip buku-buku untuk panduan mereka. Dengan harapan mereka membaca dan menimba ilmu keibubapaan. Itu pun jika mereka tidak sibuk mengisi masa dengan Facebook, twitter, dsbnya.

Saya sendiri banyak belajar dari buku maka saya harap mereka pun begitu juga. Maklumlah menjadi ibu ketika jauh di rantauan tiada mak atau tok untuk dirujuk jadi sudah pasti buku yang menjadi teman karib saya. Orang sekarang beruntung maklumat dihujung jari. Jika ada masalah boleh saja dicari atau ditweetkan saja. Dunia makin maju dan jangan sampai kemajuan itu menjarakkan kita dari orang yang kita kasihi.  Ketika masih hidup kita perlu bersilaturrahim dan jika kita mati anak-anak pula diajar Rasulullah SAW berhubung dengan rakan taulan ibubapa. Dalam sisa-sisa Syawal ini masih ada masa untuk kita ziarahi  rakan, jiran dan mungkin teman lama yang sudah dilupakan. Insyaallah, jika diizinkan Allah saya sangat ingin menghadiri jemputan walimah anak perempuan teman sebilik saya semasa bersekolah di T.I Penang pada lewat tahun 70an. Bertemu dengannya pun satu kebetulan. Di sebuah kedai daging menjelang Syawal. Itu yang dikatakan rezeki. Jika sudah tertulis rezeki kita di situ maka ada-ada sahaja cara Allah membolehkan kita.

"Aku terima nikahnya..."
 Begitu juga dengan jodoh .Jika bukan jodoh kita saban waktu bertemu belum tentu jodoh kita dan jika sudah jodoh sekali bertemu sahaja terus Allah buka ruang untuk proses seterusnya. Jadi bagi yang masih menunggu dan mencari jodoh jangan mudah berputus harap. Ada yang jodohnya dilambatkan dan ada yang dicepatkan. Setiap sesuatu ada hikmahnya.  Akhir-akhir ini saya banyak menerima jemputan kahwin anak-anak sahabat yang sedang belajar di luar negara. Sebagai ibubapa tentu banyak faktor difikirkan sebelum mengizinkan anak-anak berkahwin muda. Insyaallah, ibubapa yang normal akan mengizinkan bila sudah ditimbang buruk baiknya . Berkahwin ketika belajar bererti mengambil beberapa tugas dalam satu masa.  Pelajar, isteri/suami  dan mungkin ibu/bapa. Ada yang mampu dan mungkin juga ada yang tidak mampu melakukan multi tasking. Jangan keciwa jika ibubapa menangguhkan permintaan anda kerana di hati dan minda mereka, tiada yang mereka fikirkan kecuali yang terbaik untuk anda semua. Kembalilah ke tempat anda dulu  dan jangan lupa perhatikan diri, perbaiki diri dan persiapkan diri  sehingga  summer depan. Who know's mungkin summer depan  permintaan anda mungkin akan diterima dan tidak lagi pending. Mana tahu mungkin ketika itu anda sudah lulus ujian penilaian ibubapa untuk mereka berkata 'ya' terhadap proposal anda berdua. Selamat belajar!!!
Meniti ruang waktu
Bulan Syawal antara bulan-bulan baik untuk mendirikan rumahtangga. Dan saya bertuah kerana kami mula hidup bersama pada  10 Syawal . Sudah berpuluh kali Syawal disambut bersama tetapi setiap datang Syawal  adalah permulaan tahun baru  buat kami.Banyak ruang dan peluang berkongsi dosa dan pahala. Dosa bila kami saling mengabaikan hak masing-masing dan pahala bila saling menunaikan hak-hak itu. Tiada yang sempurna kecuali Allah Azzawajalla. Maka salinglah menjadi pakaian untuk menutupi segala kelemahan antara satu sama lain jika ingin cinta di dunia ini membawa kita hingga ke syurga. Bertolong-tolongan dalam jalan ketaqwaan.

Debar hati seorang isteri

" Manusia Hawa dijadikan daripada rusuk manusia Adam, bukan
dari kepalanya untuk menjadi atasnya, bukan dari kakinya
untuk menjadi alasnya, malah dari sisinya untuk menjadi teman
hidupnya, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat
di hatinya untuk dicintai





بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِيْ خَيْرٍ.

“Semoga Allah memberi berkah kepadamu dan atasmu serta mengumpulkan kamu berdua (pengantin laki-laki dan perempuan) dalam kebaikan.”  buat pasangan  pengantin sepanjang bulan Syawal ini. 

Wednesday, August 24, 2011

Terimalah Seadanya


Tempat berlindung dan membesarkan anak-anak
Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Berbekalkan kesungguhan hati dan keyakinan pada janji Allah kami bertekad  untuk memulakan kehidupan berumahtangga. Bukan sedikit cabaran yang dihadapi untuk menyakinkan semua orang, yang kami memang bersungguh-sungguh. Ketika umat Islam sedang berpuasa dan menghampiri hari raya kami masih belum mencapai kata sepakat. Kami  tidak berhenti-henti berdoa  mudah-mudahan doa ikhlas di bulan mulia ini akan dikabulkan Allah. Bukan mudah rupanya kita menyakinkan semua pihak. Berbagai kata nasihat diterima. Masing-masing menasihati supaya  kami menangguhkan pernikahan ini  namun tidak sedikitpun melunturkan  hasrat di hati. Menghampiri penghujung Ramadan akhirnya terdengar kabar akan datang  utusan dari pihak sana.

Alhamdulillah arwah mak dan bapak yang sangat faham hal agama tidak memberat-beratkan. Kata mak  ada hadis yang menggesa dikahwinkan anak perempuan bila datang lelaki yang kita percayai agamanya.  Ketika itu saya bertugas di Maybank Jalan Tuanku Abd Rahman.   Hari yang dijanjikan itu  akhirnya tiba jua.  Menyedari mereka masih di rumah saya memutuskan untuk berjalan kaki pulang ke rumah. Bukan jauh benar lebihkurang 2 Km sahaja. Lagipun petang-petang begini bukan senang nak mendapat bas Srijaya atau bas mini . Saya berjalan perlahan-lahan menyusuri Jalan Raja Muda  Abdul Aziz, masuk ke Jalan  Datuk Abdul Malik, menempuh Jalan Raja Uda, masuk ke Jalan Haji Yaakob sebelum sampai ke rumah.


Abah dan mak  kasih ditumpahkan
 Ketika tiba di rumah kelihatan mak, bapa dan kak long sedang berbincang dengan dua tetamu . Mereka memperkenalkan diri sebagai  bang char dan pak ngah . Selepas bertegur sapa  saya segera ke bilik. Usai solat asar saya ke dapur membantu mak dan kak long.  Mak menggesa 'orang sana'  berbuka puasa di rumah. Lagipun waktu berbuka sudah sangat  hampir. Ketika berbuka saya melihat ada agar-agar gudil dan sup bola ikan parang. Itu adalah menu kesukaan kami dan mak selalunya akan memasak agar-agar gudil itu bila ada satu-satu occasion yang istimewa. Terima kasih  mak.

Sama berkongsi minat
Lepas solat maghrib mereka memohon diri kerana akan bertolak pulang ke Alor Setar dengan bas malam itu.  Sebaik mereka keluar mak masuk ke bilik. "Haa...lepas raya kauorang nikah"  Saya diam tidak bersuara. Betulkah saya sudah bersedia?  Saya baru berusia 21 tahun. Dan dia pun masih belajar lagi. Malam itu saya memang tak dapat tidur. Ketika itu memang tak ada talian telefon iuntuk saya hubungi dia meminta kesahihan. Jika  perlu telefon terpaksa menelefon ke rumah mak saudaranya. Dan longnya akan menjerit memanggil kuat-kuat .Kesian dia terpaksa berlari-lari ke rumah  long.  Jadi jika perlu sangat -sangat barulah saya menghubunginya. Tidak mampu melelapkan mata saya bangun ke bilik air. Mengangkat wudu dan terus mencapai telekong. Saya bersolat dan bersujud lama-lama. Saya meminta Allah memberi kekuatan hati untuk saya mengharungi kehidupan baru nanti.
Di perkuburan Ampang jasad bapa dan mak bersemadi
Ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan menyambut Syawal saya lebih banyak menyendiri. Di sana sini  terdengar letupan mercun dan bunga api. Kerlipan lampu-lampu berwarna-warni tidak mampu menceriakan saya. Memandang liuk api pelita menjadi hati saya sangat  sayu. Ini mungkin raya terakhir saya di rumah mak. Tahun depan dan seterusnya besar kemungkinan saya tidak dapat beraya dengan mak lagi. Saya mungkin jauh beribu-ribu batu dari mak. Sudah tertakdir hanya sebentar sangat  Allah bagi kesempatan untuk saya bersama mak. Jika dihitung tak sampai 3 tahun saya betul-betul tinggal dengan mak. Baru sangat belajar kasihkan mak sudah  terpaksa berpisah jauh.
Di  hari  bahagia anak ketiga
1 Syawal tiba jua. Tak henti-henti melayan tetamu kecil mak. Macam-macam juadah yang dibawa mereka. Mak sejak awal sudah menyediakan wang syiling untuk anak muridnya. Tetamu keluar masuk sehinggalah ke malam..Malah  anak muridnya yang telah bekerja pun datang juga menziarahi ustazah mereka. Ketika menunggu keputusan MCE dahulu, saya rajin juga membantu mak mengajar mereka mengaji, jadi ada sesetengahnya saya kenali dengan baik. 

Sehari dua selepas raya kami sudah sibuk mengemas rumah. Mak sibuk menyuruh saya segera keluar mencari barang untuk hantaran.  Mak cik Loyah jiran kami menghulur tangan untuk menggubah hantaran. Mak Zalin pula menawarkan baju songketnya untuk saya pakai di majlis itu. Mak cik Rahmah tawarkan ruamhnya tempat untuk orang lelaki  makan. Oh! Saya sungguh terhutang budi dengan mereka. Jiran-jiran mak yang bagaikan saudara. Patutlah Nabi SAW pernah berpesan antara nikmat dunia ialah jiran yang baik. Mereka yang tahu susah senang kita. Untuk dapat jiran yang baik kita juga perlu baik dan banyak berlapang dada kata mak.. 

31 tahun berkongsi hidup
 Bapa  pula sibuk mengurus pernikahan saya. Malam yang dinanti akhirnya tiba. Usai maghrib hati berdebar kencang. Macam-macam perasaan  yang berkecamok  di dada. Takut orang tak jadi tiba, takut menerima tanggungjawab  bakal dihadapi. Tetamu yang mak jemput tiba seorang demi seorang.Kelihatan pak cik Zam, ayah cik Tajul, Tok long Amah .Masing-masing memeluk dan mengucap tahniah. Saya cuma tersenyum dan sesekali mengerling muka jam. Detik terus berlalu. 

"Dia orang dah datang" bisik adik saya. Saya menarik nafas lega dan meraup tangan ke muka. Tidak lama kemudian  bermulalah perbincangan antara imam dan pihak lelaki. Detik dan debar terus berlagu. Selesai mendapat tandatangan saya majlis pernikahan pun bermula. Alhamdulillah, pada 21hb Ogos, 1980 bersamaan 10 Syawal 1400 bapa selamat menikahkan kami .
Bahagia hati seorang ninda
Sebaik tetamu beredar pulang. Mak berkata  " Ni dah jadi isteri orang  kena jaga tingkah laku , rajin-rajin  masuk ke dapur tu ". Saya yang tidak biasa menjawab hanya terdiam. Bila pihak lelaki meminta diri untuk pulang ke rumah persinggahan mereka di Ulu Kelang saya  turut menghantar ke  muka tangga. Saya merenung suami saya hilang di selekoh tangga. Sebelum  kelibatnya hilang dia sempat menoleh dan tersenyum.  Saya melangkah masuk  dengan hati yang lapang walaupun  nun di kejauhan ada menanti onak diri dan badai  di samudera  perkahwinan.
Cucu sulung penyeri rumahtangga
. "Ummi...happy anniversary!!!" ucap  'Ammar. "Oh! Ya..ka...lupa".  Saya baru pulang dari masjid . Ada majlis pengkisahan manaqib Siti Khadijah. Saya baru saja menangis mendengar betapa tingginya pengorbanan Khadijah sebagai isteri Rasulullah SAW. Berkorban diri harta demi membantu perjuangan suami yang dikasihi. Saya belumlah sampai ke tahap itu anniversary sendiri pun terlupa. Saya  segera mengadap suami. Mencapai tangan dan mencium jari-jemari. Kata Nabi SAW jika suami isteri bersalaman akan gugur dosa-dosa mereka dari celahan jari-jemari. Masyaallah.....banyaknya ruang untuk membuat pahala.
"Minta maaf banyak-banyak...saya memang lupa.Terima kasih untuk 31 tahun bersama "  
" Sama-sama kasih..ingat dah lupa"
"Eh..Hari ni memang lupa tapi kan kita dah plan nak buat iftar sempena anniversary." Saya kembali  ke dapur. Daun pandan perlu dimesin, daging perlu direbus.
"Betulkah nak masak ni..???..larat ka????"
"Hai....31 tahun larat masak...tak kan rini (hari  ini)  tak larat...insyaalllah"
" Daun pandan buat apa?"
"Bingkang "
"Daging?"
"Nasi daging cicah air asam" sampok ' Ammar yang sedang sibuk mengupas bawang.
"hpy anniversary  ke 31 umi, abu mga bkekalan kasih hnga ke syurga" tiba-tiba masuk SMS dari anak sulung saya.
'O..tq.mai makan nasi daging" SMS saya kirimkan kembali.Daging sudah menggelegak.  Bukan selalu kami dapat mengundang rakan taulan berbuka puasa. Di hari yang istimewa ini sudah pasti kami ingin berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan orang lain. Bukan mudah mengharungi 31 tahun bersama. Berbagai peristiwa yang dilalui yang kini tinggal dalam lipatan sejarah. Banyak juga pelajaran hidup yang diperolehi. Semua ini menjadi i'tibar untuk generasi  akan datang.

Susah senang bersama.
Seminggu lagi anak cucu dan menantu akan memenuhi rumah.  Ramadan sudah berkali-kali dilalui namun kenangan dan kerisauan ketika menanti saat dijabkabulkan itu tetap segar dalam ingatan. Daun-daun hari di lalui   dengan bermacam kisah.suka duka silih berganti. Sedangkan lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri. Jika tidak ada badai tentu tak seronok pula pelayaran itu. Jadi sesekali Allah menguji sudah pasti untuk meningkatkan  darjat kita. Dia akan menguji kita dengan apa yang mampu kita tanggung. Percayalah setiap masalah ada jalan keluarnya. Petua hidup bahagia mudah sahaja. Banyak bersabar, bertolak ansur dan berlapang dada. Jika kita amalkan prinsip ini insyaallah apa pun halangan yang tiba akan dapat diharungi walaupun dada bagaikan hendak pecah menahan rasa. Insyaallah, di akhirat sana tersedia ganjaran pahala untuk orang-orang yang sabar. Untuk bersabar juga perlu pergantungan yang kuat dengan Allah. Tika mak bapak jauh di mata hanya Dia tempat saya mengadu. Memohon petunjuk dan kebijaksanaan menyelesai masalah dan memecah kebuntuan. Bila sudah biasa  mengadu dan meminta tolong dari Nya insyaallah kita tidak  akan gentar menghadapi ujian kerana di sana ada Allah yang sedia bila-bila masa sahaja membantu  jika kita meminta kepadaNya. Banyak-banyak beramal dengan doa ini mudah-mudahan rumahtangga  kita dalam  redaNya. 


Ingatkanlah peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".
   
   

        “Ya Tuhan-ku, tunjukilah aku untuk mensyukuri Nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau Ridai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Ahqaf 15) 

Tuesday, August 9, 2011

Resepi Kasih

Hampir seminggu berpuasa hujung minggu  baru dapat pulang berbuka dengan mak. Kasihan mak.Pertama kali berpuasa tanpa abah. Jika dulu mak begitu bersemangat memikir apa menu untuk berbuka, tapi kali ini mak menyerah kepada budibicara anak, menantu dan cucu-cucu. Semalam kami berbuka dengan nasi arab (pak cik Bad).Ditokok tambah dengan cendol Pantai Johor, gulai daging rias pisang Bertam, caramel Taman Uda, peknga mak tok Titi Gajah, jus amra Taman Uda, cincau Taman Uda, Fruit cocktail Taman Rakyat dan teh citrus Korea. Nampak macam  banyak tapi selesai berbuka, maka selesai semuanya. Tinggal muka  pinggan saja.  Bertoran-toran pinggan mangkok mahu dibasuh. Masa untuk bertarawih sudah hampir, terpaksa bertangguh membasuh.  Selesai berdiri di belakang imam kita berdiri di depan sinki pulak. Itulah pesan kepada orang yang tidak ke masjid. Daa...kami pamit dulu!!!
Ruang dapur  mak menjadi medan interaksi
Ini belum berkumpul semua keluarga .Baru dua keluarga termasuk extended family (kak lang ,Zaharan dan baby Haziq). Kalau semua orang balik memang dah tak muat ruang tengah tu. Mak tok suka-suka saja menyuruh 'Ammar dan Syamil mengetuk dinding tempat letak akuarium ikan. Agar lapang dan luas. Tapi kalau tetamu datang dah tak ada privasi nak lepak-lepak, terlentang menonton perlawanan bola. Itu cuma acah mak tok saja. Bila ada yang mencadangkan tambah ruang rumah, apa kata mak tok ."Haa...tak payahlah..rumah besar nak buat apa. mak tok pun dah nak mati dah".Oh...itu betul-betul mengulang kata-kata arwah abah setiap kali mak tok mengajaknya membesarkan rumah.
teguh berdiri menongkah zaman

Ahli rumah makin bertambah. Dulu saban tahun menerima menantu sekarang masa menyambut cucu menantu pulak. Maklumlah cucu-cucu mak tok sudah ramai yang habis belajar dan akan tamat belajar.Jadi sudah pasti sudah mula diusyar orang atau mengusyar orang. Siapa yang bakal menjadi raja sehari sentiasa saja menjadi bahan usikan. Tambah pula jika sudah pandai memasak itu dan ini.Lagi kuat kena sakat. Terkenang dua tahun lepas ketika cucu-cucu membantu mak tok membalut ketupat palas. Siapa yang masih ingat dialog ini :
"Haa..ni dah pandai balut ketupat tahun depan boleh dah pi dok Kola Nerang (Kuala Nerang)
"Isy..tak mau la Kola Nerang , Jauh sangat!"
Masin mulut mak tok sebaik lepas raya ada orang datang merisik cucu mak tok yang dah 'pass' membalut ketupat tu. Cuma tak lah sampai ke Kuala  Nerang . Dekat saja orang seberang jalan   lebih tepat taman sebelah jalan saja.
Cucu -cucu sudah ada yang hampir tamat studi
Sejak dulu dapur mak menjadi tempat yang sungguh istimewa. Dan dapur mak  juga sudah mengalami perubahan yang intensif. Dulu kecil saja dapur mak  Tapi kini sudah besar tapi masih belum cukup menampung semua ahli keluarga duduk makan bersama.  Waktu berbuka semua orang makan serentak jadi kena pandai-pandai cari port masing-masing.Di dapur adalah tempat paling santai untuk berbual. Sambil bekerja sambil bergurau. Jika perkara yang serius dibualkan perlahan sahaja bunyinya, tapi kalau sembang kosong memang gamat .Macam-macam topik yang keluar. Hal keluarga, hal negara , hal teknologi malah hal dunia semua dibicarakan di sini. Di dapur ini juga anak ,menantu dan cucu belajar bekerja. Secara hands on mak tok akan menunjuk ajar memotong, mengupas dan mengadun segala bahan untuk dijadikan menu enak. Bertahun -tahun di negara orang tidak pernah melunturkan rasa rindu masing-masing pada air tangan  mak (mak tok). Beratus  hatta  beribu kilometer sanggup ditempuh untuk sama -sama  merai lebaran jika rezeki mengizinkan.Siapa yang tidak rindukan ketupat palas dan sambal ayam mak tok. Uh....resepi sudah disalin tapi bila membuatnya kenapa tidak sedap macam mak tok buat.Itu komen cucu-cucu. Manakan tidak mak tok memasak dengan sepenuh hati ingin menghasilkan yang terbaik. Anak cucu pula memasak dengan hambatan masa dan kekangan waktu.
Dua minggu lepas kami belajar mengenal perut masam, tangkai nyiru, perut panjang, siar,kelempong, kitab. Apa tu??? Itu bahagian dalam organ lembu. Bila melihat banyak  rebung berlebih timbullah idea menyuruh mak memasak gulai rebung perut masam. Siapa yang biasa memakannya pasti akan ingat dan bagai tercium-cium baunya di tangan.Mujur Zaharan rajin mencari bahan tersebut. dan tengahari itu terhasillah menu eksotik itu. Ditambah pula dengan ikan temenung bakar. Hmmm...memang tak sunnah sungguh makan hari tuuu..Kenyang sampai tak ingat.
Sabar  menunggu waktu berbuka
Seperti biasa mak hanya makan sedikit. Sebagai ibu saya mengerti apa yang mak rasai. Terpamir  di matanya rasa puas  melihat air tangannya dinikmati hingga menjilat jari.Kelebihan hidup di kampong. Mudah saja mencari di belakang atau di tepi rumah. Di belakang rumah mak sudah ada kebun kecil. Jika mahu cili padi petiklah sebanyak  mana yang mahu, begitu juga jika kepingin kerabu mengkudu, jika ingin makan peknga  kait sahaja kelapa di tepi cucur atap. Bila musim mempelam puas anak cucu meratah  kerabu pelam dan jeruk mangga. Bila musim buah pula rambutan gugur ke tanah tak termakan, begitu juga dokong dan manggis.  Keladi juga banyak di belakang cuma tidak ada orang yang rajin mencabutnya. Masing-masing lebih suka mencari sayur keladi Pumpong. Jika ingin nasi ulam petik saja pucuk-pucuk muda di tepi-tepi pagar.Oh..nasi ulam kegemaran arwah abah.
Senarainya makin panjang dan setiap kali raya ingatan-ingatan begini yang menarik anak cucu mak balik beraya di kampong. Sanggup meredah Banjaran Titiwangsa, berpanas bila Lebuhraya PLUS sesak teruk berjam-jam, berbaris panjang untuk ke tandas di R&R. Semua ini diharungi kerana hubungan kekeluargaan itu masih kuat.Dan mak tok masih ada menjadi tonggak keluarga.
Tahun ini saya  tidak pasti pulak siapa yang akan beraya dengan mak. Mak sentiasa membuka pintu rumahnya. Cuma anak-anak yang perlu mengatur jadual siapa yang akan bermalam dengan mak. Ruang rumah masih muat  menampung anak cucu yang balik tetapi kerana masing-masing sudah menginjak dewasa sudah pasti aurat dan batas pergaulan perlu dijaga.
Saya kini sudah belajar menyerah tanggungjawab di dapur kepada anak-anak. Jika dulu menjadi aprentis mak sekarang  giliran mak-mak saudara menjadi sifu pulak. Master chef walaupun sudah jarang memegang sudip dan senduk tetapi tetap dirujuk bila ada kemusykilan bab-bab di dapur.
sebahagian cucu-cucu mak tok
Mak tok:"Kalau  mak tok tak dak hampa pakai tak payah makan ka?"(Kalau mak tok tak ada kau orang tak payah makan sebab tak tau masak). 
Cucu-cucu : "Pasai mak tok ada tu kami tanya, kalau mak tok tak dak..hentam sajaa lah."
Mak tok : "Mak tok masak mana ada sukatan. Agak-agak sahaja."
Cucu-cucu:    " Tapi sebab dah biasa agak, sedap saja jadinya.Maklumlah mak tok kan lebih dulu makan garam. Kami ni kan budak masih belajar, kalau salah maktok tunjukkan.
mak to: "Pandailah hampa nak jek (ampu) mak tok"
Manusia datang dan pergi. Jika dibiarkan segala khazanah lama tidak direkodkan pasti satu hari nanti anak cucu kita sudah tidak kenal  cucuq kodok. Bukan menolak yang baru tapi perlu dipelihara budaya dan jati diri. Bangsa itu bukankah dikenal melalui  bahasa dan makanannya.Dari makanan yang dihasilkan kita melihat keperibadian bangsa yang mengutamakan yang seni dan halus. Kuih muih yang comel dan kecil memperlihatkan kesabaran dan ketekunan.Usah tunggu masa meluputkan segala yang indah-indah ini dari kaca mata kita.
pantun2

Friday, August 5, 2011

Sudah Terantuk

Semalam menemani jiran mencari barang di pasar raya. Kuih raya sudah mula dijual. Alahai...puasa pun belum satu minggu.kata jiran  saya. Hmmm...biasalah kita kat Malaysia ni kalau bab raya memang mengalahkan tempat lain. Sebulan puasa mesti mau raya pun sebulan juga. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu  berita. Mentega Golden Churn tak halal? Oh....nampak gayanya pembuat kek lapis sarawak akan rugi besar. Tentu  mereka sudah  membeli berkilo-kilo mentega tersebut bagi menampong permintaan menjelang lebaran nanti.



mujurlah tak pernah teringin nak beli mentega ini


Betulkah Golden Churn ni bahan utama dalam buatan kek lapis Sarawak? Adakah semua pengusaha kek lapis Sarawak guna Golden Churn Creamery Butter untuk buat kek lapis Sarawak? Jika ya, maknanya, kami sekeluarga  ada pernah termakan juga kek ni. Oh no! Patutlah bila berdoa  lambat dimakbulkan Allah. Kalau ya apa lagi yang dapat dibuat selain berdoa memohon ampunan dari Allah. Kita tidak tahu cuma bila dah tahu tentu ragu-ragu nak makan kek ini bila raya nanti.  Harganya mak ..ai memang mahal. Tapi dah sedappp tak kisahlah berapa harganya. Tapi lepas ini memang kena buang kek ini dari senarai sajian raya. Kecuali pengeluar kek tersebut mampu meyakinkan pelanggan bahawa keknya tidak menggunakan mentega yang tidak halal. 


Dalam situasi ini pengeluar mestilah jujur dan amanah. Benda makan bukan boleh buat main.  Setitis darah dan sejemput daging yang tumbuh dari bahan yang haram akan dibakar api neraka. Nauzubillah. Sia-sia beramal ibadah jika semuanya akan ditolak Allah Taala pada hari penghisaban. Usahlah dikira rugi di dunia. Adat berniaga memang ada jatuh dan bangunnya. Jika anda membuang bahan dan kek yang tidak halal itu demi kemaslahan orang Islam yang lain insyaallah  Allah akan menganti dengan rezeki yang melimpah ruah di ketika yang lain. Jujurlah kerana Allah kerana Dia Maha Melihat dan Mengetahui apa yang tersembunyi di hati kita. 


Oh! kek lapis mak njang halal ke tidak? 

Yang peliknya Malaysia yang satu masa dulu sibuk mempromosi ingin menjadi Halal Hub tetapi tidak mampu memastikan apa yang halal dan apa yang haram. Sepatutnya pihak yang kena buat kerja kenalah betul-betul buat kerja. Dosa ini siapa nak tanggung?  Jika dah tahu tidak halal tentu orang Islam tidak sampai terbeli dan termakan. Kita boleh lari hukuman di dunia tetapi hukuman di akhirat tetap akan menanti. Allah menghukum kita dengan apa yang kita usahakan. 

Thursday, August 4, 2011

Harapan Ramadan

Sudah berbuka hati berperang. Mahu tarawih di rumah saja atau ke masjid. Ketika berbuka tidaklah makan banyak sangat.Sekadar melenyap rasa lapar dan supaya tidak mengantuk bila bertarawih nanti. Usai solat maghrib terpaksa lelapkan mata sekejap.Sekadar mengusir rasa ngantuk yang teramat sangat. Alhamdulillah, hujan turun setelah beberapa lama  panas membahang. Sudah dua malam berkereta ke masjid. Jemaah muslimat sudah memenuhi ruang dalam dan luar masjid. Alhamdulillah, dapat juga satu ruang untuk solat di bahagian dalam. Ketika sedang sujud sunat tahiyatul masjid seorang kanak-kanak  memijak dan melangkah untuk pergi ke ibunya. Mujur tidak patah cermin mata yang terjatuh. Apa nak dikata sabar sajalah. Nama pun kanak-kanak cuma alangkah baiknya jika ibu-ibu yang membawa anak kecil bersolat di ruang luar  yang disediakan. Anak-anak juga boleh berlari dan bermain tanpa menganggu orang yang betul-betul ingin khusyuk.Lumrah manusia, bila tak ada ruang dikecohkan, bila disediakan tak mahu digunakan.


 Seronok juga melihat ruang solat dipenuhi .Cuma terkilan kerana saf tidak dijaga dengan baik. Ada lubang di sana sini dan ada yang bengkang -bengkok. Ada yang berubah bila ditegur dan ada yang buat tidak apa saja. Kemahuan untuk beribadat memang bagus tetapi jika tidak dilengkapi ilmu memang tidak sempurna jadinya. Sedangkan perbuatan kita akan memberi dan mengurang pahala keseluruhan jamaah

Usai solat  insya' saya terpaksa keluar mencari bilik air.Tiba-tiba perut terasa memulas. Selesai berwudu kenalah bersolat di luar kerana ruang  dalam sudah penuh. Diantara rakaat-rakaat yang 20 itu saya asyik bertukar tempat. Untuk menghilang rasa mengantuk yang begitu menganggu. Akhirnya selesailah sudah tarawih malam ini. Dan seruan untuk witir pula. Sebenarnya saya  suka berwitir di masjid kerana suka mengaminkan doa-doa yang dibacakan. Mudah-mudahan makin banyak tangan yang menadah meminta , makin kuat pula  Allah memakbulkanya. Mendengar suara imam mengalun ayat-ayat Allah saya tidak jadi melangkah keluar. Lagipun dalam menahan ngantuk tadi saya tidak ingat langsung janji dengan suami. Solat witir di masjid atau di rumah. Apa yang dalam fikiran hanyalah doa agar Allah izinkan saya menyempurnakan 20 rakaat itu. Inilah azam saya sejak akhir Syaaban.

Dalam dilema  saya masuk ke saf dan ketika itu imam hampir menghabiskan bacaan suroh untuk rakaat pertama. Alhamdulillah. dapat juga mengaminkan doa dengan linangan airmata. Meminta Allah sudi menerima sedikit amalan yang termampu dibuat.  Rupanya perbuatan baik ini akan membuat hati kita gembira kerana berjaya melakukannya.Walaupun berbagai halangan yang menganggu. Di Ramadan ini saya hanya berperang dengan nafsu bukan seperti Ar Rasul dan para sahabat yang berperang di Badar di bulan Ramadan. Tetapi ada kalanya kita kalah juga dengan  nafsu dan adakalanya kita berjaya memeranginya. Memang bukan seratus peratus kemampuan kita melaku semua itu.Semuanya  dengan pertolongan dan ikhsan Allah jua. 


Alangkah indahnya jika madrasah Ramadan ini mampu menjadi medan untuk kita mendidik diri.  Kata orang rasa  lapar atau panas akan  menjadi kita mudah marah. Tetapi berbalik kepada tujuan kita berpuasa. Bukankah Allah ingin mendidik diri kita supaya banyak-banyak bersabar. Sabar melawan nafsu. Sabar untuk ketaatan .Sabar dan terus sabar,. Walaupun mudah untuk dikatakan tapi  berat untuk dilakukan.Hanya orang  pernah  bersabar sahaja memahami betapa manisnya buahnya. Dan  yakinlah  dengan janji Allah .Manusia itu teruji dengan apa yang mampu ditanggungnya. Setiap ujian kesabaran itu akan meninggikan lagi darjat kita di sisiNya .Walaupun hati bagaikan pecah menahan rasa. telinga bagaikan ditusuk panah menerima kata pedih. Muga Ramadan ini mampu menjadi Ramadan terbaik buat diri ini dan kita semua. Dan kita keluar dari madarasahnya dengan  rasa puas kerana berjaya mendidik diri menjadi Muslim yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Ameen.

Sunday, July 31, 2011

Marhaban Ya Ramadan

Ramadan datang dan pergi saban tahun. Ada yang gembira menanti datangnya  Ramadan dan tidak kurang pulak yang merasa 'terganggu' bila Ramadan datang. Masing-masing ada alasan dan sebab musababnya. Tetapi sebagai hamba Allah sudah pasti semuanya mesti disandarkan kepada reda Allah. Usahlah kita menyandarkan kepada reda  nafsu dan mengenepikan reda Allah.Pasti kelak kita yang menyesal kerana tidak hidup menurut acuan yang ditentukan Allah.

Berbagai peristiwa besar terjadi di bulan Ramadan. Bulan turunnya qur'an dari  Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan diturunkan kepada baginda Nabi SAW pada 17 Ramadan. Setiap kali Ramadan baginda akan bertadarus bersama Jibrail dan kerana itulah kita dituntut sangat-sangat membaca al qur'an. Tahun lepas ada yang sudah khatam sebelum tamat Ramadan dan mungkin juga ada yang tidak sempat khatam. Khatam dimaksudkan bermula al fatihah  dan tamat dengan suroh an naas.

Ada orang yang merasa pelik kenapa mesti baca qur'an .Tidak cukupkah sekali khatam masa zaman kanak-kanak dulu. Jika kita sudah berusia 40an sudah pasti tidak wajar ibadah kita, amal kita masih ditakok zaman kanak-kanak. Jika tidak pernah langsung membaca qur'an  apa kata jika kita mulakan sekarang. kita tidak rasa janggal kerana dimana-mana orang membaca al qur'an. Waktu rehat boleh diisi dengan menambah solat sunat sebelum dan selepas zohor. dan jika ingin berehat atau tidur sekejap apa salahnya jika kita baca selembar dua muka al qur'an. Jika hati terasa kusut dengan  masalah dunia bacalah al qura'an. Di dalamnya ada petunjuk dan hati yang mendekati Allah pasti akan merasa tenang.

Belum  ada qur'an sendiri ? Di kedai buku banyak   terjual naskah kecil RM40 bersama terjemahannya.anggaplah ini pelkaburan untuk akhirat kita.  Atau bagi yang baru berkahwin mungkin pasangan anda ada menghadiahkan al qur'an. Jika sebelum ini qur'an itu hanya disimpan sekadar hiasan inilah masa untuk membuka dan memberi pahala kepada pemberinya. Sudah pasti di hati kecil pasangan anda terbit rasa gembira kerana hadiahnya dimanfaatkan.Muga-muga rumahtangga anda berdua akan bersinar terang kerana cahaya al qur'an kerana rumahtangga yang gelap bagai lubang kubur itu kerana al qur'an tidak pernah dibaca di dalamnya.

 Masih belum terlewat untuk bermula kerana Ramadan baru sahaja tiba. Bulan dimana ibadah dan amal yang baik menjadi prioritis kita. Siangnya kita berpuasa, bercakap yang baik-baik,menghulur sadaqah,berzikir, berdoa dan malamnya kita hidupkan dengan solat tarawih, tahajud dan banyak berdoa kerana Allah sentiasa menunggu untuk menerima doa-doa kita. Banyaklah berdoa kala menunggu  berbuka , meminta apa sahaja kebaikan dunia mahupun akhirat kerana  doa orang yang berpuasa sangat dimakbulkan Allah. Usah pula kita cemari puasa kita dengan mengunjungi tempat-tempat hiburan atau tempat-tempat yang mengajak kita bersukaria menjelang Syawal. Bulan ini bulan Allah.Bulan kita perlu 'pause'kan sekejap hidup kita, bulan untuk kita buat refleksi diri dan membaiki mana yang kurang..Mana tahu mungkin ini Ramadan terakhir kita.Jangan sampai kita menangis menyesal dalam kehinaan meminta dikembalikan ke dunia semula kerana kita tidak sempat beribadah.Allah telah berikan kita peluang dan kesempatan dan kita yang sengaja mensia-siakan peluang yang ada itu. Ayuh mulakan langkah  bermula detik ini.Selamat menjalani ibadah.