Tuesday, June 30, 2009

UiTM Di Hati

Inilah wajah UiTM,P.Pinang pada tahun 2003. Foto ini diambil ketika kami berpusing mencari rumah untuk disewa bila Mechanical diarah berpindah dari Arau. Pada mulanya bercadang mencari rumah sekitar Permatang Pauh/Seberang Jaya tetapi bila memikirkan ada 4 anak lelaki yang sedang membesar kami akhirnya beralih ke Bertam. Keputusan menetap di Bertam adalah antara keputusan terbaik yang pernah dibuat.

Pada tahun 2004 kak lang ditawarkan tempat di sini. Sebagai kampus baru sudah pasti dapur dan peralatan di fakultinya memang world class. Sempat juga berulang alik melawat dan menghantarnya ke Baiduri dan Mutiara sepanjang 3 tahun dia di sini. Pejabat abunya pula menjadi tempat lepak hujung minggu bersama kawan-kawan untuk menyiapkan tugasan. Begitu cepat masa berlalu . Kini sudah 2 tahun kak lang meninggalkan kampus Permatang Pauh ini.

Hujung minggu lalu kampus kembali ceria dengan kehadiran siswa/i baru. Saya pasti mereka datang dengan berbagai alasan. Mencari ilmu, mencapai cita-cita, keluarga suruh, dah tak dapat tempat lain..belasah aja la apa yang dapat, ikut kawan dsbnya. Walau apa alasan wahai anak-anak usahlah disia-siakan peluang di sini. Pencarian ilmu bermula dari saat pertama anak-anak di sini. Ilmu untuk mencari rezeki dan ilmu untuk belajar menjadi dewasa. Meskipun ibubapa sudah berarak pulang meninggalkan kamu dengan suasana asing dan serba baru, tetapi di sana masih ramai orang yang akan membantu kamu menyesuiakan diri. dampingilah seniors/ kawan yang membawa kamu ke arah kebaikan. Jangan salah pilih teman. Teman baik tidak semestinya teman sebilik tetapi teman yang dapat susah senang bersama. Rajin -rajinlah melawat ke bilik pensyarah sejak awal semester lagi. Ingatlah 5 perkara, masa lapang ingat masa sibuk. Jangan tunggu bila sudah Study week baru nak ketuk bilik pensyarah. Mereka sentiasa bersedia menunjuk ajar jika ada yang masih kurang jelas. Bahagikan 24 jam yang Allah bagi dengan baik. 8 jam untuk ke kuliah, 8 jam rehat dan tidur, 8 jam untuk self study/ assignment/jumpa pesyarah/solat/ dengar kuliah kat PI. Jika kamu gagal merancang sudah pasti kamu sedang merancang untuk gagal.



Sudah hampir 26 tahun saya berteman hidup seorang pensyarah. Bermacam ceritera yang saya dengar tentang sikap dan perangai pelajar. Baik ketika zaman dia bertugas di Politeknik dulu mahupun di sini. Rata- rata anak-anak kita membawa budaya yang sama. Malu tidak bertempat. Malu bertanya, malu jika dianggap bedek pensyarah, malu dikata ulat buku dsbnya. Malangnya anak-anak kita tidak pula malu jika ditangkap meniru ketika exam, ditangkap khalwat, mencuri barang room mate dsbnya. Di bahu kamulah terletak masa depan. Kamu bakal pewaris negara dan agama. Kamu semua bakal pemimpin .Bakal pembuat dasar dan polisi negara .Saya percaya jika kamu membawa budaya baik hari ini sudah pasti budaya itu juga akan dibawa merentas masa. Jadilah anak-anak yang dapat menjaga hati ibu bapa. Bawalah budaya dan akhlak yang baik yang ibu ayah didik semasa di rumah dulu. Kamu tidak perlu menjadi orang lain. Kamu sudah pasti ada matlamat pribadi yang ingin dicapai. Jadikan peluang ini sebagai lonjakan untuk terus meraih kecemerlangan buat diri. Buatlah ibu kamu menangis melihat kamu mendapat Anugerah Dekan setiap semester. Jangan biar dia menangis kerana kamu dibuang dari UiTM akibat gagal atau salahlaku. Seperti mana saya menghantar kak lang ke UiTM dulu saya pasti semua ibubapa meletak sepenuh harapan ketika menghantar kamu ke sini. Berikanlah balasan yang setimpal buat mereka. Saya ada ramai anak. Saya pernah melalui semua saat-saat itu. Jika tersasar rajin-rajinlah berjumpa ustaz/ustazah di Pusat Islam saya percaya mereka dengan rela hati akan membantu kamu. Rajin-rajinlah juga berhubung dengan ibubapa , mintalah mereka berdoa untuk kamu.Selamat berada di UiTM, Pulau Pinang.



Monday, June 29, 2009

Ayuhai Ibu.

Sudah lama tidak bercerita tentang bab masak memasak ini. Saya menjadi tidak pandai memasak kerana ketika zaman sekolah saya dilarang masuk ke dapur. Kata wan "dapur untuk orang yang fikir nak kahwin kalau tak lulus periksa".Bertahun-tahun saya sekadar duduk di meja mengadap hidangan. Bila sudah makan bawa ke sinki dan basuhkan. Berpindah dari rumah ke asrama makin menjauhkan saya dari ruang lingkup dapur. Bila wan dan tok pergi kenduri atau kematian ke tempat yang jauh , saya akan curi-curi memasak. Sejak kecil saya entah kenapa minat sangat mengumpul resepi. Buku rampaian sekolah yang dilekatkan dengan resepi bukan mainlah banyaknya.




Bila dah kerja saban bulan ada mamak akan naik ke bank untuk jual buku. Apatah lagi saya akan beli buku resepi lagi. Sampai sekarang masih ada hobi yang pelik ni. Suami pun dah tak larat nak leterkan. Ini mesti keturun perangai bapa kot..suka beli buku. Tanyalah resepi apa konon-konon macam rajin memasak semua saya tahu. Tapi kalau dah memasak boleh tahan juga kawan-kawan memuji....bukan nak angkat bakul.Betul! Saya pun sangat suka bila ada orang minta nak bawa balik lauk atau makanan yang lebih. Paling suka kalau ada yang meminta resepi. Macam lah terror memasak. Ilmu apa salah dikongsikan. Ia tidak akan beri makna dan pahala jika tidak dikongsikan.


Bila ada Kem Aulad saya yang dah malas nak mengikut kerenah peserta lebih suka duduk di dapur. Ni menu ayam goreng berempah masa di Teluk Nipah. Menu spontan dan dapur yang buat perangai bagai membantut semangat memasak hari itu. Tapi alhamdulillah..bila 48 ketul ayam habis dimasak dan dimakan .Memang berbaloi berdiang di tepi dapur. Masa nak ke UK dulu memang saya sudah bersedia dengan buku resepi Masakan Keluarga dan buku kek sekali. Bila ada walimah saya sumbang juga sebiji kek. Itu pun kena di raptaikan dulu membuatnya..takut tak jadi. Sekarang kerja memasak dah mudah. Segala 3 in 1 la, balik campur telur dan air sahaja dah banyak dipasaran. Cuma saya sering menegur kawan-kawan yang masih muda. Rajin-rajinlah memasak untuk anak-anak. Jika anak-anak jauh apa lagi yang mengingatkan mereka kepada kita. Selain wang sudah pasti air tangan emak,kan? Sebulan sebelum balik anak-anak saya siap mengatur menu. Baik yang dah berkahwin apatah lagi yang masih bujang trang tang tang. Saya selalu beri alasan. Malas, tak dak masa,tak sempat...tapi sebenarnya bahannya dah siap dibeli terlebih dahulu. Saja buat jual mahallah konon. Janganlah biarkan anak-anak kita rindukan mee goreng mamak atau char keow tew telur ayam dibasuh atau mee udang Sg Dua. Biarlah dia rindukan bihun sup mak, laksa mak, cucok udang mak hatta air sejuk dari paip mak. Barulah kita pun akan bersemangat pergi belajar resepi terbaru dari kelas-kelas di Kolej Komuniti dan seumpamanya dengannya. Kalau kita tak berapa rajin pun bila anak-anak balik buat-buatlah rajin demi menambat hati mereka dan suami. Bila lagi nak suami pandang dengan pandangan rahmat,kan?

Anak versus Kita

Saya baru bertandang ke Tadika Amal Dahlia. Memang agak lama saya tidak menjenguk. Nama sahaja ahli Lembaga Tadbir, bila ada mesyuarat ada sahaja urusan keluarga yang membuat saya sentiasa terpaksa ponteng. Sebahagian hati saya berkata"Cukup dah masa untuk tadika, rasa nak buat benda lain pulak".Sebahagian hati tak sampai hati pulak menolak bila tenaga dan buah fikiran diperlukan. Memang betul kata suami saya" Once a teacher always a teacher".


Dunia pendidikan sentiasa berkembang. Sebagai ibu bapa sudah pasti kita inginkan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak kita. Setiap kali perjumpaan waris saya dapati ibu bapa sangat risau jika anak tidak mengenal a,b,c atau 1, 2, 3 sedangkan saya percaya ibu bapa patut risau anak tidak pandai berwudu' dan bersolat. Saya bukan anti pelajaran sekular kerana saya percaya anak-anak kita perlu bersiang untuk berjaya dalam hidup. Saya risaukan trend dimana ibu bapa sudah memaksa anak-anak membesar dan menjadi dewasa sebelum masanya. Bila mereka mencapai usia dewasa mereka menjadi orang dewasa yang berjiwa dan bersikap keanak-anakan pula. Mereka tidak puas berada di dunia kanak-kanak. Dunia penuh ceria dunia
bermain-main.


Seawal tahun satu ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ke tuition. Kita takut sangat anak kita tidak dapat no. 1 dalam ujian. Kita bagaikan sudah menyempurnakan tugas bila anak sudah khatam iqra' 6 sedangkan sebenarnya banyak lagi ruang lingkup tarbiyatul aulad belum kita laksanakan. Laburkanlah wang untuk membeli buku-buku agama dan buku panduan mendidik anak untuk persiapan diri kita . Mudah-mudahan dengan terdidiknya jiwa kita kita mampu mengalas tugas yang sangat berat ini sehingga ke hujungnya. Saya teringat dialog bersama Harith ketika menghantarnya petang semalam. "Saidina Umar r.a berkata jika aku melakukan dosa kecil, aku bagaikan menggalas bukit Uhud di belakangku. " Di manakah diri kita sebenarnya ? Kita menyempurnakan keperluan fizikal anak-anak tetapi kita mengabaikan dan memandang remeh keperluan rohani mereka. Perlukah kita menangis bila mereka menghadapi masalah juvana ? Saya rasa tidak perlu kerana kita tidak mendidik ketika mereka perlukan didikan kita. Marilah menyeka airmata dan mulakan tugas kita sekarang juga.

Rona-rona Hidup





Petang semalam berangkat pulang ke rumah. Kak lang akan balik ke BBB dan Harith pula perlu dihantar ke asrama semula. Setiap kali lalu di depan masjid, kami pasti singgah mendapatkan bekalan udang dan ikan segar. Bila tinggal berdua sudah pasti menu kami akan berubah. Singgang dan asam pedas sudah menjadi pilihan utama.Walaupun mudah dan ringkas tetapi bila dipadankan dengan kembung segar dari Kuala Muda tentu laju sahaja suami menghirup kuah.






Radhi dan anak-anaknya bagaikan sudah menjadi kawan kami. Bila membeli sudah pasti mendapat harga istimewa. Dia yang bersara awal pandai sahaja membuka topik bercerita dengan suami saya. Anak-anaknya dibawa bersama berniaga supaya masa mereka terisi dengann cara yang berfaedah





Petai ini kalau dikawankan dengan udang memang sempoi. Tapi kami berdua sudah jarang memakan petai. Angin nanti penuh satu badan. Walaupun baik untuk kesihatan tetapi untuk orang dan bukan untuk kami. Sedap tu memang tak dapat dinafikan.Tapi kalau asyik tak sedap perut baik elakkan.







Udang-udangnya memang sangat segar dan murah. Bekalannya memang tidak banyak.Prinsipnya ambil untuk jual hari ini juga. Setiap pagi dia akan menunggu bersama peraih lain di Kuala Muda. Jika ada majlis atau kenduri jiran-jiran saya pasti akan memesan ikan segar darinya dan Radhi akan memberi harga sungguh istimewa"Tumpang buat kenduri "katanya.








Di musim durian begini Radhi turut menjual durian yang dipajaknya dari dusun di Balik Pulau. Buah durian yang dijualnya sedap dan murah. Kami membeli tidak banyak. Sekadar 2 ke 4 biji sahaja. Bergantung kepada bilangan isi rumah. Yang baiknya jika buah tidak eluk dia akan gantikan dengan buah yang baru. Hajat hati ingin membawa sebiji dua untuk abah Zaffran. Itupun kalau ibu Zaffran benarkan. Jika tak....tengok gambar sahajalah. Bagi yang jauh tu...ummi dah pesan lempuk dari pak cikRadhi. Kalau ada rezeki dapatlah merasa. Tu pun sekadar ambik bau...no!



































Mari ke Kebun Mimpi

Dokong di belakang pondok membakar ikan emak belum masak. Hati teruja ingin memetik tetapi tak ada pula tangga. Akhirnya dapatlah merasa sebiji dua yang gugur ke bumi. Di tanah banyak kulit-kulit buah.Ini sudah pasti rezeki musang, tupai atau keluang malam tadi. Tahun lepas semasa abah masih sihat dia dan emak bertungkus lumus memasang jala bagi membolehkan anakcucu marasa hasil yang tak seberapa.Nikmat melihat anakcucu merasanya sukar digambar dengan kata-kata.

Kata orang kalau tinggal di kampong kita tak kering rezeki. Awal pagi sudah dapat sebiji buah naga.Pemberian jiran mak @ tok Wa. Saya tak pasti siapa yang akan memakannya. Buah-buah exotic macam tu sudah pasti bukan kegemaran emak. Kalau abah sihat mungkin dia suka mencuba.


Di belakang rumah emak manggis sudah banyak yang gugur. Pokok yang abah tanam beberapa tahun yang lalu sudah lebat berbuah. Anak-anak saya yang dibesarkan di bandar hanya tahu rupanya tetapi tidak mengenali pokoknya. Hai..anak-anak kita sudah hilang satu kemahiran . Saya terfikir khazanah dari hutan hujan kita siapa yang akan mewarisinya. Royal Belum hanya dikenali penyelidik dan pengkaji dari luar negara. Anak-anak dan kita bagaikan selesa menghabis cuti atau hujung minggu di taman tema air dari berpeluh menyusur denai mencari flora dan fauna di rimba milik kita.


Ini pula buah nam nam @ katak puru. Kalau balik TG sebaik turun kereta anak-anak saya segera akan menyusup dicelah daun mencari buahnya. Uniknya buah ini tumbuhnya dibatang. Jika dibiar masak memang manis tetapi bila anakcucu balik memang yang muda pun mereka tibai saja. Pokok yang semakin pupus dan memang patut pun dimasukan ke kategori buah-buahan nadir.

Kesempatan pulang ke TG juga diisi dengan aktiviti mengait rambutan . Cuma yang tak tahan bila terpaksa berlawan dengan kerengga. Kak lang yang bersungguh-sungguh ingin membawa rambutan untuk Alin dan keluarganya. Kalau Alin ada tentu dia suka. Rambutan tidak betul-betul masak . Jika dibiarkan nanti siapa pula akan mengaitnya. Kami anak beranak memang tak ada skil jadi orang kampong. Nak pasang cangkuk galah pun hampir setengah jam. Malunya..


Paling mudah petik aja dengan tangan. Tambahan pula buahnya pula meleret mencecah tanah. Tanah di tepi rumah emak dan abah tidak terlalu besar tetapi cukuplah untuk menampong beberapa pokok rambutan, nangka, cempedak, ciku, jambu, pisang, mangga, manggis, dokong, kelapa, namnam dan salak. Abah yang menanam dan emak yang menyiram hanya merasa sebiji dua. Selera makan sudah semakin menyusut sesuai dengan peningkatan usia dan tahap kesihatan. Jadi usah dibiarkan buah-buah meranum di pokok dan gugur mereput di bumi. Segeralah capai kunci kereta dan memandulah pulang ke desa. Apa salahnya menceria hati-hati tua di sana.

Sunday, June 28, 2009

Di Celah Ruang Waktu


Sementara menunggu suami pulang dari kubur saya berpeluang bertemu jiran lama semasa di Taman Uda. Anak-anak yang dulunya kecil kini rata-rata sudah bersekolah menengah dan ada yang sudah masuk ke IPT .Antaranya ialah Irfina dan keluarganya. Dia memang sangat comel ketika kecilnya. Pada mulanya keluarga ini menyewa di Taman Bayu. Kebetulan Fiza bertugas di Uitm Arau bersama suami saya ketika itu. Dengan bantuan Pak Jamil keluarga ini akhirnya berjaya membeli rumah di hadapan rumah Pak Jamil. Saya pasti mereka sangat terasa kehilangan pak Jamil kerana dia menjadi tempat rujukan dan tidak lokek tenaga bila bantuan diperlukan.

Ini adalah saya bersama mummy Fiza dan cucu-cucunya. Irfina adalah cucunya yang sempat saya asuh sebelum berpindah ke Bertam.Dia pun sudah besar, sudah bersekolah di tahun 2. Cepatnya masa berlalu. Meskipun jarang bersua, tetapi ikatan kasih yang terbina membuatkan dia dan adik beradiknya sangat dekat di hati saya dan keluarga.

Ini pula Adri , anak sulung Fiza & Ahmad. Walaupun saya tidak menjaganya tetapi kerana Irfina dia turut rapat dengan keluarga saya. Saya sangat gembira bertemu keluarga ini. Fiza dan suaminya bagaikan sangat menghargai dengan sedikit bakti yang mampu saya curahkan kepada keluarganya. Rumah lama mereka kini sedang berganti sebuah rumah baru al-al resort gitu. Ahmad yang mengilhamkannya. Mereka adalah jiran dekat Pak Jamil. Maghrib terakhir Ahmad sempat bersolat di sebelah pak Jamil. Bayangkanlah perasaan kita jika hanya beberapa jam selepas itu kita hanya mendengar kematiannya. Sesungguhnya manusia itu diingati kerana 2 perkara. Kebaikan dan keburukannya. Berbahagialah mereka yang sentiasa dikenang kerana kebaikan yang dilakukannya.

Saturday, June 27, 2009

Mati Itu Pasti

Kami sedang bergelak ketawa melihat aksi Jacky Chan dalam Rush Hour 2. Adik ipar menalipon. Ayah mertuanya di hospital kerana sesak nafas..mungkin ada komplikasi jantung. 12.05 pagi dia melapor semula. Pak@ pak Jamil@ tok ngah bagi anak-anak saya telah kembali ke rahmatullah. Ketawa dan senda kami mati tiba-tiba. Suami menghubungi seorang demi seorang adik beradiknya. Cuma emak dan abah akan dimaklum esuk pagi takut emak risau dan menganggu kesihatannya. Ini gambar terakhir tok ngah yang sempat saya rakam. Ketika Cik Nad bersiap untuk bertolak ke HUSM. Rawatan radiotaraphy selama 30 sesi. Gambar tak berapa jelas kerana setting camera baru belum mahir. Sorry!

Tok ngah atau pak Jamil sudah tiada. Saya mengenalinya ketika adik ipar berkahwin dgn anak tunggalnya. Dia juga yang mencadangkan kami membeli rumah di Taman Uda dulu. Seorang pesara kerajaan. Orang yang sangat menjaga kesihatan dan solatnya . Dan paling saya ingat lah dia adalah diantara orang terawal ke masjid saban waktu. Sebagai orang yang menjaga solat, Allah telah memberinya peluang bersolat maghrib berjamaah di masjid malam tadi. Solat terakhir baginya. Isterinya membawa ke klinik Ihsan (tutup), Klinik Mutiara( ramai orang) dan bila tiba di Klinik Mahkota keadaannya sudah agak gawat. Dibawa pula ke bahagian emergency, Hospital Sultanah Bahiyah .Rupanya di sanalah dia akan kembali bertemu Tuhannya. Tepat jam 11.40 malam. Ramai jiran dan sahabat handainya terperanjat dengan berita ini. Sedangkan siangnya dia masih membantu mengira kutipan jumaat di Masjid Rafeah. 2-3 malam sebelumnya dia bergurau" Antara kita sapa nak pi dulu?"

Kami sempat menatap wajahnya sebelum dimandi dan dikafankan. Abah dan emak turut hadir memberi penghormatan kepada besannya. Muga video ini menjadi tazkirah bagi kita yang masih hidup. Yang pergi telah pergi kita yang tinggal berapa banyakkah bekalan yang telah berjaya dikumpul. Marilah menghitung diri sebelum kita dihitungkan. Al fatihah untuk Hj Jamil Che Lat.

Friday, June 26, 2009

Belajar Sepanjang Hayat

Kesempatan ke Amdi, USM untuk mendapatkan brochur bagi program wanita JIM Negeri ahad ini telah membuka peluang untuk saya ke Seri Malaysia Kepala Batas. Hotel yang baru sahaja memulakan operasi beberapa bulan lalu. Seminar Penyakit kronik:Diabetes. Seramai 150 orang peserta telah hadir bagi mendengar dan memahami tentang penyakit ini.


Seawal jam 8 pagi saya bersama peserta yang lain telah beratur di muka pintu bilik pemeriksaan. Masing-masing berdiri penuh sabar menanti jururawat USM menyiapkan alatan mereka. Ada yang tersenyum bila melihat paras gula dalam darah mereka di paras selamat dan ada yang mengeluh panjang bila bacaannnya tetap tinggi. Semalam kami diajar bersenam Wai Tan Kong. Lucu dan penuh gelak tawa melakukan senaman yang nampak mudah tapi memberi kesan kepada kesihatan. Sessi senaman dianjurkan di perkarangan Hospital Kepala Batas setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat jam 8 pagi. Senaman ini diamalkan oleh maharaja Cina beratus tahun yang lalu. Nak cuba.? Jom mai Kepala Batas.


Sesi berakhir hari ini dengan demo masakan sihat oleh Chef Amran dari Hospital KPJ Ipoh. Sambil chef menyiap peralatannya saya sempat berbual bertanyakan pengalaman kerja dsbnya. Maklumlah anak pun ada bidang tu...kata Chef ni di hospitalnya dia akan memasak apa sahaja menu yang diminta pesakit. Tapi dijagalah bahan dan amaun perasa dan perisa untuk menu tersebut. Pesakit ni macam-macam , ada yang boleh terima hakikat dia tu sakit, tapi ada yang nak makan macam masakan di rumah. Selagi daya dia cubalah menunaikan permintaan asalkan mendapat kelulusan dietician.


Sebelum balik dapatlah merasa masakan chef ni. Nampak simple, mudah tapi rasanya sedap. Hai..bila dah pergi seminar ni bukan mainlah menengok dan mengira kalori bila nak ambil makanan. Tapi bila dah tengok semua orang bagaikan lupa yang diri ada penyakit ketika menjamu selera di Delima Cofeehouse, Seri Malaysia. Kita pun tumpang sekaki. Begitulah sifat manusia macam yoyo. Sekejap takut, sekejap berani. Istilah "saya ni pantang jumpa" bagaikan dah sinonim. Tapi bila tengok slaid kaki kena potong masing-masing jadi seriau lah sekejap. Walau apau pun terima kasih kepada Salehuddin kerana memaklumkan seminar ini. Memang sangat berguna walaupun paras gula dalam darah masih di paras selamat. Kalau ada lagi..hello..hello la...

Wednesday, June 24, 2009

Qurratun 'Ain:Penyejuk Mata

Kini Zaffran sudah berusia 11bulan+ .Macam-macam kelakunya yang membuat rumah kami sarat dengan gelaktawa. Bertuahnya dia kerana menjadi cucu sulung ke dua-dua keluarga. Ramainya yang melayannya setiap kali pulang. Malah dia sudah ada sekelompok peminat dari kalangan teman-teman ibunya mahupun teman ibu dan ayah saudaranya. Jika rajin silalah melilau ke blognya

Lahirnya memang dinantikan. Berbagai persiapan mental dilakukan oleh ibunya . Dia telah berazam untuk menyusu dengan susunya sehingga 2 tahun. Alhamdulillah, sehingga kini dia masih belum berhenti menyusu dan belum dicampur susu formula. Bukan satu tugas yang mudah . Berbagai rintangan yang dilalui untuk menyempurnakan tugas ini. Emosi kena stabil jika tidak susu tak mahu keluar. Makan/minum kena cukup jika tidak susu tak cukup untuk menampung keperluan Zaffran se hari. Peralatan kena dicari bagi menjamin kebersihan dan jangkahayatnya. Hai..kalau calang-calang orang mudah lagi beli susu 1 tin dan serahkan pada pengasuh. Cukup masa bancuh dan minumlah sehingga habis. Bertuahnya ibu-ibu zaman sekarang, maklumat di hujung jari. Nak cari info, nak sembang hal penjagaan anak, nak beli barang semuanya online sahaja. Zaman saya bersalin anak sulung di UK dulu, manalah ada semua itu, nak tahu apa-apa kena pergi baca buku atau majalah kat library Sussex U. Nak dapat info pasal penjagaan anak kena tunggu surat dari aruah emak atau abah. Tu pun makan masa berminggu-minggu jugak. Semua main yakin dan tawakkal sahaja. Tapi rupanya setiap kejadian ada hikmahnya yang kita akan sedar lama selepas itu. Sudah biasa bersalin dan berpantang sendiri kami berdua menjadi sangat berdikari. Susah senang diharungi bersama. Masa di Kuantan emak dan arwah emak sempatlah datang membantu seminggu. Lepas itu pandai-pandailah mengurus diri dan anak-anak. Suami akan menyambung tugas sebaik pulang dari Polisas ketika itu. Pernah dia terlena di celah lipatan kain lampin dan baju-baju. Bila saya kejutkan perkatan pertama yang keluar darinya"Rupanya lipat baju ni bosan jugak no!" Haa...tau pun! Siapa kata tugas surirumah tak stress. Kalau kerja pejabat tahunya masuk pukul 8pagi keluar pukul 5ptg. Di rumah mana ada itu semua. Tapi tiap peluh yang meleleh akan dikira Allah sebagai amalan salih sekiranya kita ikhlas. Mulut jangan mengungkit dan hati jangan merungut.Hilang semuanya bagai debu yang berterbangan. Macamana nak dapat hati yang ikhlas? rajin-rajinlah pergi belajar agama dan dengar ceramah agama. Rasa ingin amalkan sesuatu akan timbul di hati kita bila kita kerap mendengarnya.


Masa anak-anak masih kecil, saya sentiasa menjaga lidah agar tidak memarahi mereka dengan perkatan yang tidak baik. Takut malaikat turut mendoakan. Kalau marah sangat masuk bilik air menangis puas-puas. Bila sudah reda baru keluar dan pura-pura sibukkan diri dengan pingganmangkok atau mengemas apa yang patut. Sekali sekala bila suami marahkan anak-anak saya tidak akan masuk campur. Cuma bila dah nampak keterlaluan saya akan tarik anak dan ajak masuk ke bilik. Sambil memeluk saya akan fahamkan mereka kenapa abu marah sangat. Ajar mereka pergi meminta maaf kepada abu.


Hari ini sudah I Rejab . Ini bermakna Muhammad Zaffran Rizqi (MZR) sudah setahun bersama kami semua. Kehadirannya sangat kami nanti-nantikan. Bila dia pulang ke Bertam sudah pasti wannya akan cepat-cepat pulang dari pejabat untuk bersamanya. Senyuman, tangisan, gelaktawa, kerenahnya semua menjadi sketsa yang sangat menyenangkan.
Sejak tapak kaki sebesar dua tapak jari dia dibelai dengan penuh kasihsayang.Dicukupkan segala keperluan tanpa ada yang kurang. Berbahagialah anak-anak yang diberi perhatian dan dilimpahi kasihsayang .Di luar sana betapa ramainya bayi yang dibuang, yang ditinggalkan tanpa sedikit rasa belas kasihan. Anak adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jika kita tidak mampu menjaga mereka kenapa tidak kita serahkan kepada ramai pasangan yang inginkan kehadiran cahayamata. Masyarakat kita selalu takut apa orang kata, tapi kita selalu tidak takut apa yang Allah akan soal nanti. Saya terlibat dengan Raudatus Sakinah. Sedihnya saya melihat pelatih di situ berpantang dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka tertipu dek dunia sehingga melahirkan anak tidak sah taraf. Rata-rata mereka masih sangat muda seawal 14 tahun. Ketika kawan sebaya riuhrendah menggalas beg sekolah mereka sudah terbeban dengan kandungan yang tidak diperlukan. Salah siapa? Sudah pasti masyarakat akan menuding jari kepada ibu dan ayah mereka. Renung-renungkanlah , agar generasi Islam yang kita kasihi tidak terjebak dalam gejala ini. Yang pasti iman mesti mantap agar mereka menjadi seperti ikan yang berenang di laut. Isinya tetap tawar walaupun berada di lautan yang bergaram.

Tuesday, June 23, 2009

Abu's Day: A tribute to my beloved husband


Saya pun tidak tahu macam mana boleh datang panggilan Abu tu. Seingat saya semasa mengandung anak sulung suami saya yang berkata "kalau anak lahir kita suruh dia panggil abu
dan ummi". Itulah sejarahnya..


Masa kat UK dulu kawan-kawan Arab akan panggil AbuRuqayyah sahaja. Bila tengok buku-buku yang beli masa kat UK semua di label Abu Ruqayyah. Saya membaca posting dan SMS anak-anak. Bila membaca air mata mesti merembas keluar. Perjalanan hidup yang panjang kian menghampiri penghujungnya. Hidup ibarat roda. Jika dulu seorang, berdua sehinggalah bersembilan semuanya. Kini kami kembali berdua. Tidak pasti pula bila akan kembali keseorangan.

Namun alhamdulillah, seawal perkahwinan kami sentiasa mengamal komunikasi berkesan dan 2 hala. Ada masalah terus berbincang dan mencari penyelesaiannya. Sedangkan lidah lagi tergigit, bumi mana tak ditimpa hujan. Begitulah adat berumahtangga. Sejak dari kecil lagi kami sering mengadakan halaqah keluarga. Tak faham pun dengar juga. Bila mereka sudah masuk ke asrama kami menjadikan amalan utama halaqah malam sebelum semua pulang ke asrama masing-masing. Suami bercakap, kemudian saya dan seterusnya setiap orang anak di beri peluang bercakap. Yang rajin bercakap pun tak semua. Ada yang tak mampu bercakap langsung kerana melayan tangis..sedih dan sebaknya. Kini halaqah makin mengecil . Ahli-ahlinya sudah bertebaran di merata tempat. Tetapi spiritnya tetap dibawa bersama. Medan yang tidak formal kami menyampaikan harapan, nasihat , teguran dan wawasan kepada semua anak-anak

Berbagai ujian yang Allah datangkan kepada kami berdua. Tebalnya telinga bila jiran mengadu anak-anak nakal, malunya muka bila anak buat hal di asrama. Yang paling sadist bila jiran berkata "Mak bukan main lagi pakai tudung, anak macam apa lagi..." Tak nakal bukan budak-budak namanya. Masyarakat menganggap orang yang pakai tudung perfect , tak ada cacat celanya. Sambil menangis saya akan panggil anak-anak "Tengok kalau buat salah orang akan salahkan ibubapa tak ajar anak, tetapi bila anak pandai dan buat yang baik-baik orang tak akan refer pun kat mak bapa dia" Anak-anak melihat saya menangis dan yang besar-besar akan turut menangis.Lepas itu seorang demi seorang akan datang minta ampun dan kami akan berpelukan dan menangis beramai-ramai. Sebagai ibu bapa tahan sajalah, sabar ajelah ya. Saya berdoa agar budaya yang baik-baik dapat diteruskan oleh anak-anak. Keluarga kami bukanlah contoh terbaik. Banyak cacat dan celanya di sana-sini tetapi dengan izin Allah kami sedang dan terus berusaha membaiki diri. Bila melihat prestasi anak-anak terbalas pengorbanan saya meninggalkan jawatan tetap dulu. Saya tidak ingin mereka sekadar cemerlang di dunia tetapi kecundang di akhirat. Seboleh mungkin kami berusaha mengimbanginya. Setiap yang beriman pasti akan diuji. Adakala tidak semua anak yang mahu mengikut acuan yang kita terapkan. Kalau kita mengalah sudah pasti mereka akan lebih jauh hanyut. Selagi ada hayat kita tak boleh berhenti berdoa untuk mereka. Agar Allah memasukkan hidayah ke hati-hati yang masih gersang.
Bila berpeluang ke asrama mereka dihantar tinggal di sana. Bila pulang bercuti mereka bagai kera sumbang kerana tidak pandai bercampur dengan jiran keliling. Itu lebih baik dari membiar mereka bercampur belajar menghisap rokok, ponteng solat jumaat, bawa mak we dan meronda dengan motor membuang minyak saban hari. Mereka riuhrendah di rumah bergurausenda sesama mereka. Sekali sekala mereka beramai-ramai akan ke pantai atau ke mall mana-mana melapang fikiran. Kini cahaya sudah nampak di hujung terowong. Segala yang tak pernah diimpikan pun sudah Allah berikan satu persatu. Saya mengucap syukur diberi peluang membina kehidupan bersama lelaki ini. Ke bukit sama di daki, ke lurah sama di turuni. Menoleh kembali ke belakang melihat ruang-ruang waktu semasa di Brighton, di Perak road,Penang. Taman Beserah,Kuantan. Liverpool, Jitra, Alor Setar dan kini di Bertam. Jauhnya kami berjalan merentasi ruang waktu sambil menggalas beban tugas sebagai ibu bapa sambil cuba menunai cara yang diajar Ar Rasul. Bukan sikit airmata yang tumpah tetapi langkah tetap diteruskan. Ayuhai ibu ayah yang masih muda biarlah anak-anak menangis kerana kita jangan kita menangis kerana mereka. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kita yang mencorakkan anak bukan media atau masyarakat yang mencorakkan mereka. Memberi pendidikan agama bukan sekadar mendaftar di Qiraati, KAFA, J Qaf sahaja tetapi lebih dari itu. Tuntutan kehidupan sering membuat kita menyerah tugas kepada guru-guru tetapi apa akan kita jawab di hadapan Allah kelak jika kita tidak menunaikan tuagas kita seperti kehendak agama. Perdalami ilmu agama. Kita tidak mampu mencipta alasan bila bertemuNya kelak. Mulakanlah langkah sekarang..undurlah jika tersilap . Kitalah akan mencorak generasi akan datang. Memang anak itu permata dan racun. Allah sering menyebut anak dan isteri adalah fitnah(ujian) bagi kamu. Jangan dibiarkan anak membesar tanpa kita memain peranan yang sewajarnya. Bila mereka besar tanpa bimbingan dan asuhan kita sudah pasti kita yang akan banyak menangis kerana mereka. Sebaik-baik manusia hari ini lebih baik dari semalam. Undurlah jika kita tersilap langkah dan perbaikilah mana yang kurang.Semuga Allah bersama orang-orang yang ikhlas dan sabar.

Tetamu Itu Pembawa Rahmat


Saya tidak pasti siapakah yang menjadi tetamu blog saya ini. Terima kasih kerana sudi bertamu. Saya juga berdoa semuga apa yang saya tuliskan mampu memberi sedikit kebaikan kepada yang membacanya. Agar saya dapat menumpang pahala bila saya sudah tiada di dunia ini. Saya ingin tulisan kerdil ini dapat merubah hati dan mengubah gaya berfikir sesetengah tetamu yang datang bertandang. Segala yang baik itu dari Allah dan saya berlindung dari sifat riya', takbur dan seumpamanya. Blog yang pada asalnya menjadi medan interaksi saya , anak-anak dan iparduai yang ada di merata tempat di dunia ini.. Kini turut dijenguk oleh kawan-kawan anak-anak. Kadang saya terpaksa mengolah sikit persembahan supaya tidak terlalu menonjolkan keluarga saya. Harapan saya catatan, nasihat dan luahan hati saya dapat sampai ke hati-hati yang sedang mencari erti corak kehidupan yang diredhai Allah. Saya manusia biasa, tidak sunyi dari salah dan silap .Terlajak perahu boleh diundur tersalah tulis kadang boleh mengguris perasaan orang lain. Saya minta maaf dan saya sangat gembira anda semua menjadi tetamu saya. Teruskanlah bertamu semuga ada manfaatnya buat anda. Catatan hidup orang biasa-biasa sahaja kerana bukan semua kita mampu menjadi orang yang luar biasa.

Monday, June 22, 2009

IB oh IB

Ini anak bujang saya yang ke dua, bang cik. Saya tumpang gembira bila dia berpeluang belajar di KMB. Setelah setahun membuat IB di sana saya menjadi sangat kasihan kepadanya. Setiap kali cuti rumah kami akan berserakan dengan buku-buku dan assignment dia dan adik-adiknya. Kadangkala dia akan tidur di tengah kertas dan buku-bukunya. Malah sering sangat kami menangguh untuk ke mana-mana kerana memberi peluang dia menyiap kerjanya. Saban hari mulut saya akan bising meminta mereka mengemas buku masing-masing. Saya pasti jika saya kemaskan pasti akan riuh rendah mereka mencari barang-barang bila hendak pulang nanti. Saya hanya dapat membantu memberi idea dan cara untuk menyelesaikan tugasannya. Saya tidak akan menolong mereka menyiapkan tugasan. Saya yakin sistem IB membantu membina insan yang menyeluruh dan seimbang. Ciri inilah yang dicari setiap kali sesebuah organisasi mencari tenaga kerjanya.



Sebagai ibu bapa kami berdua sangat peka dengan pointer yang ditetapkan penaja. Kami juga sering berdoa agar cita-cita bang cik untuk belajar di negara idamannya akan dikabulkan Allah. Namun jalan tidak selalunya lurus, banyak simpang siur dan onak duri yang mengait di jalanan. Selagi daya sudah pasti kami yakin bang cik akan terus membaiki prestasinya. Masih ada setahun lagi masa untuk menentukan ke mana destinasi seterusnya. Pointer universiti dan ketetapan penaja menjadi penentu segalanya. Tambahkan usaha dan teruskanlah berjuang, masa muda hanya datang sekali. Insyaallah ummi dan abu sentiasa ada di belakang bang cik.
*Tahniah kepada pelajar baru KMB ,langkah yang panjang baru bermula....esuk!

Sunday, June 21, 2009

Bahagia itu Berbagai Rupa

Bermula seawal 10 pagi kami sudah membawa abah untuk rutin check up di KMC. Kemudian ke Jalan Pegawai menziarahi kakak emak yang baru keluar hospital. Singgah pula ke rumah sepupu emak menziarah suaminya juga baru keluar wad. Sambil menunggu nasi masak saya dan emak memujuk abah untuk ke Kulim. Pada mulanya abah macam buat tak faham, tapi lama kelamaan dia bersetuju. Emak cepat-cepat memasuk baju ke dalam beg. Takut abah menukar fikiran. Kata emak" Macam loyar dok tekan tanya, tak mau mengaku-ngaku jugak" Kami tersenyum senang. Emak pun sudah berbulan-bulan tidak ke mana-mana. Hatinya bukan main lagi ingin ke rumah anak-anak tetapi bila abah tidak bersetuju tentulah emak terpaksa akur. Kehadiran anak cucu, jiran ,rakan dan saudara sekali-sekala dapatlah menceriakan hati emak. Ketika itu emak bagai wartawan melapur segala perkembangan abah.


Sesudah makan tengahari kami begegas pulang ke Bertam kerana perlu menghantar Harith pulang ke asrama. Sesudah solat asar abah berkata "Kata nak pi Kulim".Hm...abah dah mula menyoal tindakan kami. Jadi saya segera memberitahu abah "Selepas menghantar Harith baru kita pi Kulim na".


Bila kami tiba di muka pagar Darusakinah abah bagai teruja"Hem...."ucapnya panjang. Kami gembira kerana abah sudah mengenali destinasi kali ini. Cikgu Mis sibuk di dapur, maklumlah menyambut tetamu yang tak diduga. Hai hati mana tak dilamun rindu. Setelah hampir setahun tidak bersua muka akhirnya yang ditunggu pun tiba hampir 9.30 malam. Pembesaran jambatan Pulau Pinang telah memendekkan masa perjalanan. Bayan Lepas ke Kulim kini hanya 45 minit sahaja. Jom la mai Pulau Pinang!


Seperti selalu senyuman terukir di wajah abah bila cucu-cucunya menghulur tangan. Kami mengakhiri malam dengan mee rebus istimewa cikgu Mis, strawberry dan cherry ole-ole dari Dublin. Tiba kembali di rumah hampir 11malam. Mata dah berat, badan dah letih tetapi hati bersarat syukur kerana berjaya mengembirakan banyak hati-hati. Mata cepat sahaja tutup sebaik menyentuh bantal, sedangkan orang sebelah masih terkelip-kelip teringatkan laptop dan DSLRnya yang tertinggal kat bilik solat rumah DR A3. Selamat hari abah ya!

Indahnya Desa

Bagi orang-orang di Malaysia, kampong dimaksudkan tempat mereka dibesarkan dan dimana masih ada rumah pusaka yang mereka boleh menumpang tidur selama mana mereka suka. Meskipun Kuala Lumpur ia tetap di sebut "balik kampong". Saya teringat ketika anak-anak masih kecil mereka selalu diejek kawan-kawan kerana bila berhariraya akan pulang ke Kuala Lumpur.Sedangkan orang KL pun akan beramai-ramai meninggalkannya.KL hanyalah tempat mencari rezeki. Alangkah sukanya anak-anak kerana pada malam raya kedua kami akan membawa mereka melihat lampu di Dataran Merdeka. Nak menziarah semua rumah-rumah
kosong kerana tuannya pulang ke kampong. Semenjak arwah bapa dan emak sudah kembali ke rahmatullah, saya sudah tidak pulang lagi berhariraya di sana.
Saban tahun saya bersama keluarga akan menjadi peneman setia emak dan abah di Titi Gajah. Saya perhatikan rumah kampong sentiasa berubah bentuk ,sesuai dengna perubahan sosioekonomi pemiliknya. Rumah abah/emak tidak terkecuali. Jika dibanding 28 tahun yang lalu rumah sekarang amat selesa. Sesuai untuk menampung bilangan ahli keluarga yang makin bertambah saban tahun. Setiap kali raya ada 6 anak, 6 menantu, 30 cucu,2 cucu mennatu dan 2 cicit. Hm...bayangkanlah betapa gamatnya rumah dengan cucu-cucu yang tengah membesar. Mujurlah cucu-cucu emak/abah ramai perempuan di peringkat awalnya, jadi dapatlah mereka membantu urusan dapur dan penyediaan makanan. Sekarang yang dapat diharapkan pun sudah mula bekerja atau sedang belajar, pulang pun bila cuti sahaja. Emak pula sudah tidak sekuat dulu untuk membersih dan mengurus rumah .Dalam dan di luar rumah.


Bantuan tenaga yang lebih muda sangat diperlukan. Tambahan pula bila melihat rambutan mula meranum, manggis pun sudah mula luruh pasti hati tuanya teringatkan anakcucu yang jauh di mata. Kadangkala buah-buahan di kampong sudah tidak ada nilainya. Hendak dipetik siapalah yang nak mengaitnya, hendak dijual siapa pula nak menguruskannya. Hendak di harap anakcucu yang jauh pulang memakannya entah kan bila mereka dapat pulang. Akhirnya memang menjadi rezeki tupai, musang, burung dan segala mergastua yang lain. Lagipun di KL musim buahnya sepanjang tahun. Hendak petik singgahlah saja di tepi jalan atau di pasar malam ataupun pasar tani. Namun memetik buah di kampong sendiri lain pula perasaannaya. Selagi ada kesempatan bawalah anak-anak pulang merasa buah-buah yang ditanam oleh datuk nenek anak-anak kita.Mereka menanam pun untuk habuan anak cucu pun. Bagi mereka keseronokan dan keriangan yang terzahir di wajah anakcucu ketika menggigit kulit rambutan sudah terbayar penatlelah menarik paip getah menyiram pokok-pokok ketika musim kemarau dulu..