Wednesday, April 28, 2010

Bahasa Hati

Pernahkah  hati terasa terlalu sunyi meskipun berada di tengah riuh tawa orang keliling? Emosi yang berubah-ubah ini mempamerkan berbagai gejala. Cuma mohon dijauhkan Allah dari penyakit kemurungan yang akan hinggap tanpa mengira usia dan status hidup seseorang. Ketika ini pasti terasa ingin bersendirian melayan perasaan, berseorangan melayan hati yang rasa sayu dan hiba . Bila melihat wajah jernih anak-anak asuhan saya, terbayang kembali betapa indahnya zaman kanak-kanak.Zaman tanpa masalah dan tanpa perlu memikir apa-apa. Masa yang berlalu sudah pasti tidak akan berulang kembali. Detik masa yang pergi tetap meninggalkan memori suka dan duka sebuah kehidupan. Putaran roda kehidupan tidak pernah berhenti, hanya kita yang selalu alpa dan leka dengan berbagai perkara yang di akhir masa tidak memberi satu natijah yang baik untuk hidup yang abadi.

Sunday, April 25, 2010

Pergi Tak Kembali


Sudah seminggu rupanya nyang /tok cik Dun @Arfiah (yang bertudung putih) kembali ke rahmatullah.  Ini adalah gambar yang diambil ketika tok cik sama-sama beramai di rumah mak pada majlis kenduri maulud Nabi SAW pada 26hb Februari 2010. Nyang meninggal pada 14hb April . Tarikh ini memang mudah diingat kerana ianya bersamaan dengan hari lahir kak lang. Seorang demi seorang ahli keluarga berangkat meninggalkan kita. Dia hanya demam sebagai penyebab sebelum nyawa bercerai dari badan. Saya sempat menziarahinya di KMC seminggu sebelum dia pergi. Sebagai bakti terakhir saya berusaha membantu  ketika memandi dan menyempurnakan jenazah. Sedikit ilmu yang dapat ketika mengikuti kursus pengurusan  jenazah begitu banyak membantu ketika  berhadapan dengan tanggungjawab fardhu kifayah yang perlu disegerakan.

Apakah yang patut dilakukan bila ada kematian di rumah:

1.  Segera hubungi AJK masjid atau surau .Ringan-ringankan mulut bertanya .
2. Segera berbincang di mana jenazah akan disemadikan.
3. Tentukan waktu mandi dan waktu solat jenazah. Hubungi tukang mandi jenazah.
4. Beri tugas kepada seseorang ahli keluarga atau jiran terdekat untuk menyedia alatan dan tempat untuk mandi jenazah .Kalau rumah teres pastikan ruang ditabirkan.

Alatan yang perlu disiapkan awal:

1. air daun bidara, dikisar dan ditapiskan
2. air kapur barus, dihancur sebelum dicampur air.
3. sintuk direndam dan diramas supaya lembut
4. cendana yang dicampur air mawar
5. kain-kain batik yang lama supaya air mudah menyerap.
6. tuala untuk mengelap jenazah
7. sabun & putik kapas.
8  takung mandi dan paip biasanya disediakan oleh pihak surau.

(bersambung, insyaallah)

Posted by Picasa

Tuesday, April 20, 2010

Spring Clean


Isy.!!..bersepahnya bilik. Hm..kalau dapat masuk Casa Impian dan dapat dimake over rumah oleh Eric Leong memang bertuahnya rasanya. Impian memanglah begitu....tetapi realitinya belum tentu. Kata orang waktu nak membuang barang bila berpindah ke rumah baru. Padanlah orang tua-tua selalu berkata tujuh kali pindah papa. Manakan tidak setiap kali pindah sudah pasti barang yang rosak dan patut dibuang akan dibuang tetapi bila pindah ke rumah baru terpaksa dibeli pulak untuk kegunaan harian.Batu yang selalu bergolek susah mengumpul lumut.

Saya memang sedang mengemas. Cuma semakin dikemas macam tak luak-luak juga isi rumah ini. Stor semakin sempit sampaikan nak melangkah masuk pun dah tak muat. Puas sudah membaca segala macam tips dari buku, majalah dan internet cara-cara mengemas. Namun tips tetap tinggal tips. Sediakan tiga kotak. satu untuk dibuang, satu disimpan dan satu didermakan. Malangnya bila di hujung hari isi kotak berlabel  untuk disimpan lebih banyak dari yang hendak dibuang.

Saban tahun anak-anak yang tamat pengajian akan membawa balik segala macam buku, nota dsbnya.Maka rumah ini akan jadi tempat transit sebelum mereka ada rumah sendiri. Bila sudah berumahtangga saya akan sarankan mereka membawa barang-barang pribadi mereka bersama. Sekurang-kurangnya dapat memberi ruang untuk ahli keluarga yang semakin bertambah.

Suami selalu saja berkata"Pejam mata dan buang sahaja". Malangnya saya tidak dapat berkerja dengan mata tertutup jadi akhirnya walhasal balik hasillah jawabnya. Batas waktu makin mendekat sedangkan saya masih begini begini jugak. Bila langkah mahu bermula? Soalan yang susah dicari jawapannya kerana bila hujung minggu ada-ada sahaja agenda yang tidak dirancang. Nampak gayanya saya kena banyak menonton Nanny 911 untuk belajar mencari jawapan.

Wednesday, April 14, 2010

Buatmu, Putriku

Hari ini hari lahir kak lang. salah seorang dari dua orang anak yang lahir di Kuantan. Tapi bila berpeluang ke Liverpool, maka kami keluar dari Pahang forever and ever lah agaknya. Sejak itu memang tak kesampaian langsung nak jenguk Taman Beserah yang terletak dekat dengan Satelite Negeri Pahang yang masyur itu. Memang banyak kenangan manis semasa di Kuantan. Walaupun tidaklah lama mana tinggal di situ tetapi yang sekejap dan yang pendek itulah yang sentiasa diingat dan dikenang. Mujurlah ketika kak lang lahir bukan musim tengkujuh jika tidak jenuh juga mencari ruang menyidai lampin di dalam rumah. Bila lembab cepat-cepatlah diseterika  supaya kak lang tidak menangis kebasahan dan kesejukan. Sekarang dah ada Huggies, Drypers dan segala macam nama dipasaran. Zaman dulu lampin pakai buang hanya diguna ketika berjalan jauh...balik kampong umpamanya. Kisah kelahiran  kak lang agak unik. Sebenarnya saya sudah pulang untuk bersalin di Alor Setar, kerana ketika itu dik ipar saya juga sedang menunggu hari. Namun setelah hampir 2 minggu menunggu belum juga bersalin, saya pulang semula ke Kuantan. Memang sudah tersurat kak lang akan jadi rakyat   Sultan Ahmad Shah maka lahirlah dia berselang bulan dengan sepupunya, Raihan.




Kenapa pilih nama, Kauthar? Sebab kak ngahnya dah ada nama 'Fountain of paradise' maka kita cari pula yang irap-irap tema itu. Nama Raihan pula mak lang dah chup..so terpilihlah nama yang ini.. Bila menamakan anak sudah pasti kita akan cari nama yang sedap dan makna yang indah juga. Cuma bila dah mula sekolah dah lain pulak jadinya. Nasiblah  nama kak lang ni susah juga nak dipendekkan. Tak macam kakak dan kak ngahnya. Entah kenapa  kalau kat Uitm ramai pula memanggilnya kak chaq. Mungkin masin atau serasi memang dah macam nak kekal  panggilan  kak chaq  atau kakak sulung untuk keluarga lagi satu itu.

Since birthday kali ini duit keluaq macam empangan pecah nampak gayanya tak adalah hadiah yang best-best atau makan-makan macam selalu. Namun yang paling mahal dan yang sangat kak lang dambakan hari ini sudah pasti doa dan redha dari abu dan ummi untuk kak lang menempuh hidup di usia baru ini. Hari mendatang  sudah pasti menjanjikan kejutan yang banyak. Adat hidup memang begitu, kecil-kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang. Insyaallah, jika kita mengamalkan  sikap ular menyusur akar tidak kan hilang bisanya  ummi percaya hidup akan disenangi orang di bumi dan didoakan makhluk di langit. Pandai-pandailah membawa diri kerana  tidak lama lagi ummi dan abu cuma mampu melihat dan mendengar dari jauh sahaja.Ketaatanmu kian  berpaling arah.  Masa untuk melepas lang pergi sudah tersangat hampir. Kita saling menghitung hari dan yang terbaik sudah pasti meningkatkan hubungan dengan Allah kerana Dia yang akan kekal dan akan sentiasa menemani kita di mana sahaja. Waktu suka dan duka, susah mahupun senang.Carilah Dia ketika kita senang agar Dia tidak meninggalkan kita ketika kita susah dan sangat perlukan kasih sayang Nya. Biasalah mengadu kepadaNya ketika manusia lena diulit mimpi agar Dia mudah meredakan kegusaran hati ketika kepala kita sarat dengan masalah.Biasa-biasakanlah dirimu.Bermulalah dari hari ini, hari umurnya beranjak.

Detik Ke Detik


Selang sehari pasti hati terdetik menghubungi bnag cik. Kalau dekat mungkin setiap hujung minggu akan berkunjung ke KMB. Sudah pasti kami tidak ingin memberi tekanan kepadanya. Dalam hati secara diam-diam saya terus menghitung hari bagi pihaknya. Penat lelah diri dan guru yang mengajar akan ditentukan dalam tempoh saat yang genting itu. Sudah pasti tiada siapa yang ingin panas  setahun terhapus dek hujan sehari. Berusaha, berdoa dan bertawakkal itu adalah kata kunci bagi semua yang akan menduduki peperiksaan  besar. Ini adalah lanjutan dari perjalanan yang telah dimula seawal usia 6 tahun lagi. . Insyaallah, jika kita benar-benar berusaha dan tidak menipu diri sendiri sudah pasti bertawakkal dan berserah ketentuan nasib kepada Allah adalah sebaik-baik cara untuk mereda ketegangan dan tekanan. Banyaklah mengingati Allah nescaya hatimu akan menjadi tenang, nak.

Thursday, April 1, 2010

Di Luar Dinding Kelas


Wah! sekali sekala membawa kanak-kanak tadika melawat taman burung memang seronok. Mereka yang biasa ke sana ke sini dengan kereta, MPV dan naik kapal terbang bersama keluarga sudah pasti merasa sangat seronok dapat menaiki bas sekolah yang panjang dan besar. Sepanjang jalan mulut mereka berkicau menunjuk itu dan ini walaupun taman burung itu hanya terletak di Seberang Jaya.


Sudah berhari-hari guru mempromo agar anak-anak tdiak ketinggalan mendaftar diri untuk ikut serta dalam lawatan ini. Berbagai pengalama menarik akan dirasai bila bersama kawan-kawan dan guru-guru. Persiapan makan minum telah dibuat dua hari lepas.Belajar tidak semestinya dalam lingkungan kelas sahaja. Mata , telinga dan segala pancaindera perlu dibuka luas baru kita dapat menikmati alam ciptaan Allah.

Kita banyak berbicara sehingga kita jarang memberi peluang untuk pancaincera yang lain berfungsi sepenuhnya. Bunyi kicauan burung bersahut-sahutan bagaikan menyapa kami datang. Burung yang beranika warna menambah meriah dan cerianya suasana pagi yang redup dan nyaman. Alhamdulillah, hujan tidak turun pagi ini.Jika tidak sudah pasti burung-burung akan bersembunyi dan leka di sarang masing-masing.

Taman yang memiliki 300 species burung-burung terletak di antara kilang dan bangunan  tinggi. Mungkin satu masa dulu tempat itu begitu tenang dan nyaman tetapi kini pencemaran bunyi ,bau  dan udara sudah menganggu habitat di sini.. Peluang memegang dan melihat burung dari dekat sudah pasti akan menjadi kenangan ynag kekal diingatan untuk satu tempoh masa yang lama. Guru-guru pula sudah pasti riuh melarang mereka yang terlalu adventurous. Maklumlah burung-burung itu nampaknya macam jinak tetapi bila diganggu ia boleh juga bertindak ganas.

 Sayangnya burung merak yang diharap dapat mengembangkan ekornya hanya akan berbuat demikian pada bulan 6 dan 7 sahaja. Sekali sekala keluar dari bilik darjah mampu membuka deria anak-anak. Mereka yang hanya kenal burung dari kaca TV hari ini dapat melihat dan mengenal berbagai 
sepecies burung yang ada di Malaysia dan yang diimpot dari luar negara juga. 



Setiba di rumah saya terpukau melihat bunga saya sudah kembang menyala. Pokok ini saya perhatikan hanya berbunga setahun sekali sahaja. Benihnya saya pungut dari rumah emak ketika banjir 2-3 tahun lalu. Meskipun tidak berbau tetapi warnanya yang merah menyala berjaya menceriakan hari yang panas terik dan kaki yang sudah penat berjalan.