Monday, August 30, 2010

Bila Musang Berbulu Ayam

Sebaik pulang bertarawih malam tadi saya tertanya-tanya di dalam hati. Adakah kita terlalu mengamalkan pendekatan psikologi maka anak-anak yang ada di hadapan kita hari ini sudah hilang adab dan tatasusila. Saya suka melihat ramai kanak-kanak memenuhi ruang solat saban malam. Tetapi saya menjadi tidak suka bila ibu ayah yang membawa mereka tidak pula menegur atau mengajar anak-anak adab-adab bila berada di dalam surau/masjid. 

Dua malam  lepas saya melihat anak-anak dibiarkan ( lingkungan 5-6 tahun)  dibiar berjalan-jalan di hadapan jamaah yang sedang mendengar tazkirah. Saya tidak nampak pun seorang bapa bangun mendapatkan anak itu atau memanggil anak itu duduk di tepinya. Bayangkan betapa terganggunya ahli jamaah lain. Bila imam mula mengangkat takbir mereka mengejek-ngejek mengikut bacaan iman. Kalau zaman saya kecik-kecik hm...maunya berbirat belakang kena pukul dengan arwah wan kalau buat perangai  macam tu.Sudah pasti lepas tu terus kena ban dari pergi ke masjid.





Saya tidak faham tujuan sebenarnya anak-anak dibawa. Bukankah kalau anak-anak kita menganggu orang solat kita yang akan menumpang  'dosa'nya (anak masih kecil tak faham dosa atau tidak ). Memanglah semua orang nak pahala lebih tapi kalau kehadiran anak-anak kita sampai menganggu kosentrasi makmum lain, tak taulah banyak mana ganjaran yang kita dapat. Takut dinegetif-negetifkan pulak. Bersolat kan boleh dilakukan di rumah. Kitalah kena pandai-pandai mengatur agar anak tidur awal  atau ada anak yang lebih besar menjaganya sementara kita solat.

Saya dah tak tahan dengan perangai anak-anak tu bangun menegur walaupun ada mata-mata yang memandang dengan pandangan yang pelik. Hai....saya tiba-tiba rasa macam bersalahlah  pulak....tapi bila fikir balik saya buat kerana Allah..supaya  orang lain dapat solat dengan tenang saya buat-buat tak tahu saja. Walaupun mungkin lepas ni saya jadi tidak popular di mata anak-anak dan makcik-makcik.

Oh...sukar rupanya berhasrat berbuat baik. Kita selalu mendapat tentangan. Jika bukan dari orang lain ia datang dari dalam diri kita sendiri. Kita selalu takut apa orang fikir, apa orang kata dan berbaga apa-apa lagi.
Anak-anak kita tanggungjawab kita. Wah...macam tema hari Merdeka lah pulak. Mereka cuma buat apa yang mereka suka dan kita yang kena menegur dan mengajar mereka.

Contohnya mematuhi perintah agama. Bersolat , menutup aurat. Bolehkah kita  membiarkan orang keliling kita tidak menutup aurat kerana kita menghormati hak asasinya sebagai sebagai seorang manusia. Tiada siapa berhak memaksa orang menutup aurat jika dia sendiri tidak mahu, tidak suka dan tidak rela. Mau jadi huru-hara dunia ini kalau semua orang boleh buat ikut suka aku dalam sebarang tindakannya.Apalah erti kita mengambil cuti Nuzul Qur'an jika sekadar memperingati malam turunya Al qur'an. sedangkan qur'an hanya sekadar kitab yang kita buka bila datang Ramadhan dan tidak pula kita ambil pengajaran dan titah perintah Allah kepada kita.

Bila memandang keliling saya selalu berdoa semuga anakcucu saya dijauhi Allah dari melakukan segala kesilapan tersebut. Tidak bermakna anak-anak saya baik-baik semuanya tetapi sedaya mungkin kami berdua berusaha menerapkan adab susila, amalan agama dan segala yang baik-baik sedari kecil. Jika mereka berubah kerana berbagai faktor yang melilit hidup mereka hari ini. Cuma  dalam usaha melakukan pembaikan  banyak pula cabaran dan cacat cela di sana-sini. Kita tidak sempurna dan Allah tidak melihat hasilnya tetapi yang dilihatNya ialah usaha dan kesungguhan kita.

Setelah melalui berbagai fasa melawan mata yang mengantuk, badan yang letih, riuh-rendah suara anak-anak bermain, dentuman mercun di sana sini  alhamdulillah selesailah juga 23 rakaat. Ingatkan berlalulah sudah satu malam sementara menanti cabaran-cabaran pada malam-malam berikutnya. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan dialog berikut dari ruang solat muslimin.

" Handphone tok imam kena  curi"
"Bila?"
"Masa dok sujud rokaat 20"
"Kan kita sujud lama sikit"
"Ni mesti budak-budak yang mai solat jugak"
"Aah...kalau tidak mana dia tau hp tok imam letak  di mana"
"Kalau anak saya..dah teruk kena tibai ni"
"Haa.....tu lah kalau dok biar semua hal.Mulalah depa melampau ni"

Doa saya biarlah ini insiden terakhir di surau  kami.Sudah terlalu sering tabung bergerak hilang, kereta jamaah dipecahkan , kipas -kipas dicuri orang.  Malu rasanya nak  tatap muka ustaz yang kami import saban tahun tu. Suaranya yang mendayu-dayu ketika megimamkan solat mampu membantu kita khusuk ketika solat dan cuba memahami ayat-ayat Allah. Tambahan  pula bila doa qunut dibacakan, walau tak faham bahasa Arab tapi hati kita boleh sebak  dan airmata turun bagai kita mengerti apa yang didoakannya. 

Handphone hilang  kan boleh aja dicari ganti, yang hilang dan kian hilang sudah pasti maruah diri sebagai  anak-anak dan ibubapa Islam. Sambil datang bersolat sempat pula mengatur strategi . Musang kan sudah berbulu ayam di mana-mana. Anak-anak tanggungjawab kita dan kita juga bertanggungjawab terhadap anak-anak orang lain juga. Inilah kesilapan kita kerana tidak menganggap mereka sebagai tanggungjawab kita. Atau mungkinkah kerana kita terlalu mengambil sikap berhikmah maka anak-anak mengambil kesempatan di atas sikap kita. Mampukah kita melaung Merdeka..Merdeka...Merdeka...sedangkan kita masih terjajah dengan berbagai sifat-sifat  mazmumah Wallahhuaklam.


Sunday, August 29, 2010

Sisa Waktu

Ada ramai orang bertanya kenapa tak update blog? Kalau nak bagi alasan memang sangat banyak tetapi sudah pasti bukan alasan malas atau segan kata orang Uthara. Bila masuk sahaja Ramdhan tiba-tiba rasa diri sangat-sangat  sibuk. Banyak perkara yang perlu dibereskan. Pada agama, pada diri, pada keluarga dan pada masyarakat. Mungkin kerana sudah terbiasa mengikut arwah mak dan bapa mendekati masyarakat, secara tak langsung saya jadi terikut acuan yang mereka tunjukkan. Bukan semua orang faham, kenapa kita yang tak berkerja sepenuh masa ni sibuk memanjang. Tugas pada masyarakat memang tak mengira masa dan tempat. Di bulan mulia ini tugas kita makin bertambah kerana ramai orang yang terpanggil memberi sumbangan. Jadi sumbangan -sumbangan  itu perlu segera diagihkan sebagai merebut  ganajaran pahala berganda yang Allah janjikan. Ramadhan kian menghujung. Banyak lagi tugas belum dapat diselesaikan walaupun kita merancang awal agar tidak kalut dan suntuk. Memang manusia merancang dan Allah sebaik-baik perencana..

Tahun ini juga ramai  kerabat terdekat ditimpa penyakit yang serius. Sebagai  memenuhi tuntutan agama sudah pasti tak dapat tidak kita mesti menguntuk masa untuk menziarahi mereka dan membantu apa yang terdaya.. Walaupun tidak dapat berbuat apa-apa tetapi sekurang-kurangnya dapatlah kita mendoakan dan menunjuk rasa kepedulian kita.

Jika tahun lalu saya ada anak yang dapat menbantu membuat  kuih-kuih raya. Tahun ini yang tinggal di rumah hanyalah anak bujang yang sibuk dengan urusan visa dan tempat tinggal barunya. Oh! Jadi ibu ni memang kena tahu serba -serbi, sambil memasak untuk berbuka sempat pula menjadi pengajar tak bertauliah. takut anak kelaparan bila di tempat orang. Dunia di hujung jari, belum pun sampai sudah dapat melihat kat mana rumah nak diduduki. Apa fasiliti yang ada dan paling penting di mana boleh dapat makanan yang halal. Cuma yang sering saya bisingkan ialah kemahiran memasak yang masih belum hinggap itu. Kalau asyik nak beli aja memang pokailah.Jadi mau tak mau , suka atau tidak dia saya paksa masuk ke dapur. Itupun kalau masa masih ada dan saya tidak sibuk ke sana ke mari menyampaikan sumbangan orang.

Malam esuk, malam Merdeka. Juga malam 21 Ramadhan atau malam 10 terakhir . Janganlah dalam kegairahan menyambut malam Merdeka kita sampai lupa kesucian Ramadhan. Jika dulu tujuan diadakan sambutan merdeka bagi memperingati sejarah negara kita Merdeka tetapi hari ini ia tidak lebih sekadar melihat perbarisan, dentuman bunga api, konsert ambang Merdeka dan sekadar sehari lagi cuti umum. Paling malang berlakunya berbagi aktiviti yang sangat  ditegah agama.Percampuran lelaki-perempuan, mabuk, sex
bebas Nauzubillah



Marilah kita kembali meneliti ke dalam diri. Jika dulu para sahabat dan generasi awal Islam ramai yang mati kerana takutkan azab yang Allah ceritakan dalam ayat-ayat qur'an yang mereka baca.tetapi kita hari ini  mati kerana terlebih makan atau  mati kerana terlalu gembira . Marilah kembali penuhi rumah-rumah Allah.sementara Allah masih belum menurunkan bala. Ketika ini di seluruh dunia orang-orang  yang beriman memenuhi ruang-ruang solat untuk meraih rahmah, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Janganlah sampai kita termasuk 3 golongan yang dikecam malaikat Jibrail.

1. Mereka yang masih punya ibubapa tetapi tidak dapat berbakti kepada keduanya.
2. Manusia yang tidak memuji Nabi SAW bila nama Baginda disebut.
3. Mereka yang masuk dan keluar dari bulan Ramadhan tanpa mendapat keampunan dari Allah.

Bersegeralah mencari jalan pulang kerana terlalu banyak nikmat Allah yang kita kecapi sedangkan terlalu sedikit atau tidak langsung kita bersyukur. Marilah menghidup malam dengan  mendirikan solat tarawih berjamaah. Solat ini insyaallah akan dapat menampong kekurangan pahala puasa kita di siang hari.Apalah sangat  kita berdiri beberapa minit setahun sekali jika dibandingkan entah berapa ratus ribu hari kita perlu berdiri di padang mahsyar ketika mmenunggu nasib kita dihitung kelak.

Ramadhan  ibarat tetamu yang kita tunggu sekian lama. Pada mulanya kita sambut kedatangannya dan perlahan-lahan kita buat-buat lupa yang dia masih bersama kita.Kita makin pinggirkan dia kerana kita menunggu pula tetamu baru yang bakal tiba yang bernama Syawal Adakah  mungkin kerana minda kita sentiasa diasak  bahawa Syawal membawa segala yang indah-indah  dan seronok belaka. Sedangkan Rasulullah SAW hanya mengajar kita supaya memberi satu hari sahaja untuk meraya kemenangan kita melawan nafsu . Kita bagaikan nak seri 1-1. Kalau sebulan puasa mesti raya juga mesti 1 bulan jugak. Oh! terlalu jauh kita dari apa yang dituntut Islam. Janganlah nanti puasa hanya menjadi adat dan bukan lagi ibadat.

 Jika ingin berubah, berubahlah sekarang kerana ketika ini syaitan yang sering mengasut kita sedang diikat dan Allah sedang membuka seluas-luas pintu syurga untuk orang yang meminta keampunan dari Nya. Selamat mengisi malam-malam yang sejuk dan sepi dengan rintihan dan rayuan agar Allah akan menerima ibadah kita sepanjang Ramadhan ini. Tahun depan belum tentu lagi !!!

Wednesday, August 18, 2010

Ibadat atau Adat?

Oh..sudah seminggu kita berpuasa. Masa untuk muhasabah diri. Bagaimana  kita mengisi bulan Ramadan kali ini. Setiap pagi dalam Tanyalah Ustaz sedang dibincangkan kesilapan kita ketika berpuasa. Bila mendengar segala pertanyaan yang diajukan , terasa sangat betapa bersyukurnya diri. Walaupun bukan bersekolah agama, tetapi alhamdulillah berkat didikan arwah wan yang sangat  menekankan hal-hal agama maka banyak perkara-perkara yang asas dalam hal agama  dapat difahami. Alfatihah untuk  Haji Mohd. Fadzil.Hj Abu Bakar.

Ibadat perlu dilakukan dengan ilmu. Jika kita sekadar mengikut-ngikut sudah pasti banyak yang tidak sempurana . Takut-takut penat beribadah tetapi tak diterima Allah. Ketika waktu solat insya, memaang seronok melihat ruang solat muslimin dan muslimat dipenuhi hingga sesak. Namun yang akan menyedihkan kerana para jemaah tidak melakukan perkara yang asas contohnya:

Tidak membetulkan saf. Bahu dan bahu mesti bertemu
Tidak merapatkan saf dan  memberi ruang syaitan menyusup di antara kita.
Saf pula berselang-seli dengan anak-anak kecil. Maka saf akan terputus. Biarlah anak-anak di belakang. Atau takut anak hilang kita kenalah bersolat di hujung saf supaya anak kita duduk ditepi kita. 

Muslimah pula bila bersujud tidak memastikan dahi terbuka. Telekung terlalu sempit hingga menutup dahi.
Dagu juga mesti ditutup. Tarikkan kain kecil atau kikik hingga menutupi dagu.

Anak-anak yang masih memakai lampin juga dibiar berlari dan bermain dicelah orang bersolat. Bukan menahan para ibu dari bersolat jamaah tetapi jika kita tidak mampu mengawal anak-anak kita dan menjejaskan solat orang lain  rasanya bersolat di rumah lebih baik lagi.

Bertahun-tahun juga saya solat tarawih bersendirian di rumah kerana suami tidak membenarkan anak-anak kami yang belum mengerti atau tidak faham tidak boleh ganggu orang solat ke masjid. Dimana kita bersolat bukan soalnya kerana  sudah pasti sempena bulan barakah ini kita pasti ingin mengutip sebanyak  mungkin pahala. Jadi untuk menjadikan ibadat kita sempurna dan diterima Allah rajin-rajinlah mencari masa untuk  belajar ilmu-ilmu agama. Biarlah   apa yang kita lakukan menjadi ibadat dan jika setakat ikut-ikutan maka jadilah adat semata-mata. Orang buat kita pun nak buat. Masa tetap 24 jam dan kita yang harus pandai mengendali dan mengagihkannya. Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.

Sunday, August 8, 2010

Sekalung Budi



Tiada ucapan paling manis dapat digambarkan ketika berada di PICC  semalam. Wajah-wajah ceria pelajar, ibubapa dan guru-guru serta seluruh warga KMB cukup menggambarkan. .Akhirnya saat dinantikan  sudah tiba. Bersengkang mata menyiap segala macam assignments, bermandi peluh ketika CAS, berpeluh sejuk ketika menghadapi peperiksaan akhir semuanya kini tinggal kenangan dan sejarah. Bagi yang berjaya ini adalah permulaan untuk menempuh berbagai pengalaman dan cabaran yang lebih getir di negara orang. Bagi yang akan belajar di dalam negara anda juga pasti akan terus berjuang demi untuk mendapat ijazah yang dicita-citakan. Walau di mana kamu berada sudah pasti segala  yang telah dilalui tetap akan menjadi pelajaran untuk hidup. Sesekali jangan dilupakan mereka yang telah membantu, menyokong dan mendoakan kejayaan kalian. Sudah pasti kata bijak pandai bila memandang bintang di langit, usah dilupa rumput di bumi. tetap akan dipegang sebagai azimat.

Bersyukurlah kepada  Allah yang telah memberi begitu banyak rezeki kepada   kamu. Dia pasti akan menambah jika kita sentiasa mengingatiNya dan terus bersujud kepadaNya. Walau di bumi mana kamu berada , Dialah Tuhan Yang Esa yang disembah manusia dan seluruh makhluk di langit dan di bumi, Jika ingin melakukan kemungkaran pergilah ke tempat yang tiada dalam pengetahuanNya.

Terima kasih dan tahniah kepada penaja, para guru KMB,kakitangan dan kepada pelajar ambilan 2008/10. Kepada yang bakal berangkat dalam sedikit masa lagi, semuga Allah akan melindungi dan memudahkan  segala urusan. Kepada yang masih menanti bersabarlah sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar. Ada hambaNya yang dipercepatkan nikmat dan ada yang ditangguhkan. Janganlah berputus asa dan setiap yang berlaku ada hikmatnya.