Monday, October 22, 2012

Sayang Sampai Mati



Cucu perempuan pertama yang membuat semua ahli keluarga teruja
Inilah ahli keluarga yang paling baru.Syukur alhamdulillah tahun ini kami menyambut dua menantu dan seorang cucu. Memang sibuklah bila bergelar nenek ni. Sampaikan nak duduk membuka lappy pun tak sempat. Syukur ada HTC yang dihadiahkan semepena  hari ulang tahun lalu dapatlah saya berhubung dengan anak-anak yang jauh melalui Kakao talk.Bila di rumah sendiri begitu cepat masa bergerak. Sedar tak sedar sudah hampir hujung tahun. Empat anak sudah melangkah ke alam pekerjaan dan tinggal tiga orang lagi yang sedang bergelut menyampai cita-cita masing-masing. Beberapa hari sahaja lagi anak bongsu saya akan berdepan dengan SPM. Setiap ibubapa tentu ingin anak-anak berjaya.Dunia dan akhirat. Tiada makna berjaya di dunia jika kita muflis di akhirat.
mestilah penyokong the  red warrior 
 Saya seronok benar ketika menziarahi cucu sulong kami baru -baru ini.  Dia  belajar di  Pasti Anak Soleh,Kubang Kerian. Bila setiap hari dilatih tentu minda yang masih bersih itu senang mengingat dan menangkap. Ketika berbual ibunya tersilap menyebut perkataan aku. Tahu apa reaksinya?
 "Ibu..kenapa  ibu cakap aku..??? Mazmumah tuu".Haaa...saya dan suami nak ketawa pun ada tersentak pun ada. Subhanallah...kalaulah sampai besar dia terus peka dengan apa yang mahmudah dan apa yang mazmumah alangkah cantiknya. Alangkah eluknya pekertinya. 

abang long belajar melayan diri tika mama sibuk dengan adik Safiyyah
Ya.Mendidik anak biarlah dari rebung. Ada ibubapa yang pernah merungut kepada saya satu ketika dahulu. "Cikgu..anak saya sejak masuk tadika ni bukan main lagi perangainya.Dulu tak macam nih"
 Apa yang  patut saya jawab. Tak baik ke tadika saya sampai anak murid jadi begini dan ibubapa merungut. Setelah berfikir saya menjawab."Minta maaf puan kalau anak-anak berubah perangai.Di sini mereka belajar bergaul dan menerima macam-macam budaya. Ada yang baik dan ada yang buruk tapi insyaallah saya ada cikgu-cikgu yang memerhati dan menegur. Lama-lama  mereka dapatlah membeza yang baik dan yang buruk. Kalau kita kurung mereka di rumah tentu takkan selama-lamanya. Satu hari mereka perlu ke sekolah.Di sana nanti lagi ramai kawan lagi luas pergaulan dan waktu tu tak mampu dah cikgu sekolah rendah menegur dan mendidik mereka ".Mujurlah si ibu bersetuju dengan pendapat saya Dan dia terus setia menghantar anak-anaknya seorang demi seorang.
Pada usia 2 bulan. Nuraisyah Safiyyah 
Mendidik anak bukan tugas yang mudah. Ada kala kita perlu berlembut dan ada tika perlu pula berkeras dan bertegas. Perkatan sayang tu perlu dilihat di celah-celah baris. Between the line. Yang tersurat dan yang tersirat. Kita sayang anak dan kita lakukan semua  kerja untuknya. Sayang ke tu? Atau kita benci anakkah jika kita menyuruh dia melakukan semua kerja??  Betapa sayang dan kasihnya kita pada si anak kita perlu sematkan di hati satu hari nanti kita akan pergi meninggalkan mereka. Jika kita tidak mampu mengajar kemahiran untuk hidup ketika mereka kecil  sudah pasti satu hari nanti mereka akan menyalahkan kita kerana tidak mengajar mereka apa yang sepatutnya mereka tahu. Lebih malang lagi jika mereka sudah berkeluarga tetapi masih memerlukan khidmat kita untuk mengatur dan mengurus hidup mereka. Kita sayang mereka hingga ke mati tetapi jangan sampai kita mati kerana sayangkan mereka. Renungkanlah pesanan Allah dalam Al Quran tentang ini Al Anfal:ayat 28.

Friday, March 23, 2012

Hanya Semalam

Sudah agak lama kami tak kemana-mana. Saban minggu suami pulang menemani mak kerana bibiknya sudah tidak mahu bekerja. Alhamdulillah minggu lepas sudah Allah hantarkan seorang pembantu dari Acheh. Kali ini memang naif sungguh. Tak biasa menggunakan segala peralatan letrik yang ada di rumah.Sampaikan nak buka tingkap nako pun tak pandai. Bila suami saya memberitahu  orang Indon yang membuat rumah jiran saya. Tahu apa komennya," Oh! Itu lebih baik, kalau yang sudah tahu itu ini, nanti kamu lagi susah". Hmmm...bila fikir-fikir semula memang betul jugak. Advance sangat pun susah jugak. Last-last dia yang dictate nak itu dan ini. Last-last kita tertanya pulak siapa yang tuan ,siapa pula yang bibiknya. Dunia sudah terbalik.Bukan macam zaman Labu Labi lagi.Orang gaji takut sangat dengan tuannya..

Okaylah..ni nak cerita tentang Kuala Gula. Tika orang bercuti baru-baru ini, suami kena jaga exam dan saya mengambil kesempatan ke tadika. Bukan full timer pun tapi once dah masuk ke tadika macam tak ada jalan keluar pulak. No u turn. Cuma kali ini saya membantu mengajar dan menegur guru-guru baru. Kot jadi tukang sibuk saja. Itupun kalau cikgu-cikgu mahu menerima dengan hati yang terbuka. Makluimlah hampir 30 tahun secara formal terlibat dalam bidang ni bukan satu tempoh masa yang pendek.Banyak yang ingin dikongsi dan muga digunakan.
muatan sarat hati suka

Ha..hahaa. Bila anak-anak bertanya  "Ummi tak penat ke pergi tadika?". Kali ini saya pergi bukan untuk dapat gaji tapi saya lebih ingin berkongsi ilmu dan pengalaman kerana masa untuk saya di dunia ini semakin singkat. Mudah-mudahan ilmu yang saya kongsi itu akan memberi manfaat dan dapat memberat timbangan al mizan nanti. Bukankah hanya 3 perkara yang akan mengikut kita ke kubur.Harta yang dijariahkan, ilmu manfaat dan doa anak yang soleh. Insyaallah. Mudah-mudahan badan sentiasa sihat dan hati sentiasa ikhlas.

Restoran terapung terkenal dengan ketam lembut


Kami memilih Kuala Gula kerana lokasinya yang agak hampir dengan rumah. Suasana tenang, damai dan jauh dari hiruk pikuk exzos kereta jiran yang sangat menganggu saban hari. Hidup orang di sini sangat mudah. Bangun pagi ke laut. Dapat hasil bawa pulang untuk dijual dan dimakan sendiri. Kami pun cuba-cuba juga memancing. Pancing dibeli di US pada tahun 1999, tapi berapa kali sahaja digunakan. Akhirnya kami gave up seekor ikan pun tak dapat. Barulah tahu betapa sukarnya hidup sebagai seorang nelayan. Belum lagi difikir tentang nyawa yang disabung bila perahu diolak ombak dan badai. 

Datang ke sini kala orang lain sedang bertugas memang seronok. Keadaan tidak sesak dan tentulah ketenangan itu yang dicari. Suami pula siap mengelek bungkusan kertas final studentsnya. Kalau di rumah agak liat nak mula memeriksa. Maklumlah banyak benda lain nak dibuat, tambahan pula bila memeriksa kertas-kertas yang banyak pula salahnya. Mencabar sungguh ya tugas pensyarah ni.  Sabarlah !!!
mencuba nasib !!

Semalam juga result SPM diumumkan. Ada  juga anak-anak saudara saya mendapat 11A.Tahniah..tahniah. Disebalik kejayaan depa sudah pasti ada banyak pengorbanan dan sokongan di situ. Bagi ibu bapa yang pertama kali menunggu keputusan SPM tentu agak stress, maklumlah anak yang periksa kita pulak yang risau. Antara SMS yang saya terima ialah   "Pakat scorer semua. Hebat aih." Sekarang orang dah tak  tanya dapat berapa A? Tapi dapat berapa A+ lah pulak. Zaman dah berubah, orang dah semakin pandai dan bijak-bijak belaka. Tapi yang peliknya kata suami saya. Result SPM sentiasa meningkat tapi bila masuk ke IPT kenapa budak-budak tu serba tak tahu. Dimana silapnya. Puas pensyarah mengajar tetapi benda basic banyak yang tak tahu. Kalau tak mantap yang asas macamana nak belajar yang lagi advance.Peluang mendapat tajaan juga semakin mencabar.

nostalgi menanti dengan debaran
Tahun ini tak ada pulak anak-anak saya yang menunggu SPM jadi saya tak sibuk sangat meneroka mencari peluang belajar dan tajaan. Yang saya simpulkan  ialah bidang pendidikan sudah menjadi mahal. Jika ingin anak-anak mendapat tempat yang baik kita sanggup mengeluar sejumlah wang. Tajaan dan biasiswa sudah tinggal sedikit sedangkan saban tahun budak-budak yang straight A + makin meningkat. Budak-budak makin pandai atau soalan makin mudah ?Tak tahulah. Yang saya tahu jika ingin anak berjaya ibu ayah kena korbankan banyak benda yang tidak perlu. Atau tangguhkan sebarang keinginan untuk membaharui kereta, menambah luas rumah, melengkap perabut rumah atau bercuti ke tempat yang jauh-jauh. Janganlah kita sampai menjadi ayam di kepok mati kelaparan. Ini bumi kita, tanah air kita dan tentu kita yang wajar dan wajib mempertahankannya. Isy..melalut manalah pulak. Tiba-tiba pula rasa patriotik. Mungkin sebab teringatkan  bendera Malaysia berkibar megah di pintu utama resort .
mentari pagi sedang menebarkan cahayanya

Anak-anak selalu bertanya hairan. Apa ada dengan Kola Gula? Bagi yang gemarkan nature inilah tempatnya. Ramai orang asing datang kerana di sini tempat burung-burung lari dari sejuk winter Siberia. Burung pun lari bila winter datang tapi ada pula kawan saya sanggup terbang ke Korea baru-baru ini kerana ingin merasa sejuknya winter. Macam-macam kan manusia ni. Itu pilihan masing-masing dan saya tak berhak komen tentangnya pun. Kami juga berpeluang membuat experiment dengan kamera masing-masing. Meskipun tanpa tripod yang tertinggal di rumah kami mampu merakam banyak shot yang agak baik. Bot-bot yang lalu-lalang membawa muatan, olakan air, belacak dan ketam yang berkejaran di kala air surut semua ini menjadi model yang sangat mengujakan. Perjalanan adalah pengembaraan mengalami perkara-perkara baru. Semua momen dan objek ini dirakam untuk dihayati di kemudian hari. Mengimbau kenangan dan foto yang indah adalah yang mampu  bercerita bagi yang melihatnya. A picture speaks a thousand words lah katakan.
pasang surut air semuanya dalam pengetahuan Allah

Ketika kami datang pada tahun 2008 banyak kerosakan di sana sini. Tapi kini sudah dibaik pulih dan sekitanya terjaga baik. Cuma saya terkilan kerana kawasan di belakang dewan seminar dijadikan tempat buangan sampah. Alangkah baiknya jika bekas  polisterin tidak dibiar berterapungan kerana dirumpun nipah itu kelihatan beberapa jenis burung sedang mencari makan. Kali ini tidak ada seekor pun burung botak kelihatan berbanding Ogos 2008. Mungkin burung-burung itu sudah pulang ke Siberia. Yang kelihatan burung-burung helang sedang berterbangan sambil merendah mengutip ikan di permukaan air. 
Rasa damai di siang hari rupanya tidak berlarut hingga ke malam. Sebaik senja melabuhkan tirai mulalah bunyi dentuman muzik dari pondok  kecil di sebelah restoran. Dibuka pula sekuat yang mungkin hingga menganggu ketenangan malam. Saya tidak pasti apa tanggapan pelancong dari Ireland yang turut menginap di sini. Mungkinkah muzik yang kuat itu diharap mampu menghalau rasa sunyi orang-orang di sini? Sedangkan kami yang datang dari jauh sanggup membayar untuk menghargai  erti sunyi dan damai.Manusia memang begitu, tidak menilai sesuatu yang didapatnya dengan percuma dan ketika benda itu masih ada.
proses 'ketam lembut'
 Restoran terapung  disebelah resort pula menyajikan ketam lembut dan kari sembilang perut kuning . Ini adalah sajian istimewa mereka. Kami sempat melihat nelayan melakukan satu teknik untuk membuatkan ketam mencabut kakinya sendiri. Ketam ini kemudian dibela untuk  menghasilkan kulit lembut. Ketam yang "under stress" ini akan membuang kulit kerasnya dan menyalin kulit dan mengeluarkan kaki baharu yang semuanya lembut. Jadi ketika ini ketam akan diambil untuk dimasak. Ini teknologi dari Vietnam kata pak cik nelayan tersebut. Saya gembira dengan inovatif ini.Semua ini untuk membaiki taraf hidup nelayan dan anak bangsa saya juga. Pertama  kali melalui pekan Kuala Kurau hati saya tiba-tiba teringatkan Pulau Jeju. Kehidupan yang tenang dan mudah. Cuma Jeju sangat bersih dan persekitarannya dijaga dari pencemaran. Jika Naval base diteruskan juga pembinaannya mungkin Jeju juga akan tercemar.Itulah harga pembangunan.
pelayar ke pelabuhan waktu
 Air sungai yang mula pasang di bawah chalet ini menandakan hari sudah berganti. Masa begitu cepat berlalu. Dan kami perlu bersiap untuk pulang. Suami pun sudah menanda 2 soalan dari 3 bundles. Berjaya memecah rekod peribadinya kerana kebelakangan ini prestasi student yang dilahirkan di muka kertas sangat menggusarkan hatinya sebagai pengajar mereka. Semalam saya pun sudah beranjak ke usia baru. Dan selagi hayat dan kesihatan masih ada sudah pasti saya sangat ingin untuk terus datang ke Kuala Gula. Melihat bot datang dan pergi ia turut mengingatkan saya bahawa kita hanyalah pelayar yang singgah di pelabuhan waktu. Cukup masa dan sampai  ketika kita akan belayar ke satu lagi pelabuhan yang tiada penghujungnya. Bila dan ketikanya hanya Dia sahaja yang mengetahui.Terima kasih untuk masa berdua yang mendamaikan.


Friday, March 2, 2012

Dunia si kecil

Saban hari kita dikejutkan dengan berbagai berita yang melibatkan kanak-kanak. Dunia ini  bukan lagi tempat yang selamat untuk membesarkan mereka. Ibu bapa juga menjadi over protective. Siapa yang patut disalahkan? Saya  hanya terfikir generasi awal anak-anak yang pernah saya didik mengenal a, b, c berpuluh tahun lalu sudah ramai   yang bekerja , berkahwin dan mempunyai anak. Bila mereka keluar  bekerja sepenuh masa sudah pasti mereka terpaksa menyerah anak-anak untuk dididik dan diasuh oleh orang lain. Ada ibu ayah yang tidak kisah siapa yang menjaga mereka dan ada juga yang sangat kisah.

Pusat penjagaan  kanak- kanak tumbuh bagai cendawan. Yang berdaftar dan tidak berdaftar. Kadang-kadang proses pendaftaran itu terlalu lama.dan melibatkan kos yang tinggi .Jadi tidak mustahil jika ada pusat-pusat yang telah lama beroperasi tetapi masih belum mempunyai  lesen. Bila berlaku sesuatu insiden barulah masing-masing saling menuding jari. Yang jadi mangsa pastilah anak. Yang trauma adalah anak yang tidak mengerti apa-apa.

Anak-anak hari ini matang lebih awal. Media elektronik turut membantu perkembangan mereka. Yang baik dan yang buruk ditonton dengan bebas tanpa kawalan. Jadi tidak mustahil dalam usia 5 ke 6 tahun mereka sudah pandai menyebut  beberapa perkataan yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Sudah berpuluh tahun saya  berinteraksi dengan kanak-kanak  pra sekolah. Saya rajin melayan mereka berbual dan mereka akan bercerita apa yang dilakukan di rumah. Sendiri atau bersama ahli keluarga mereka. Kanak-kanak kecil yang putih bagai kain putih ini tidak pandai menipu.Mereka akan bercerita apa yang mereka lihat atau dengar. Adakala apa yang diceritakan amat mengejutkan dan mengaibkan.

Mungkin ada ibu bapa yang merasa anak mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Tetapi mereka juga ada minda yang merakamkan. Mata yang melihat  dan mulut yang boleh bertanya itu dan ini. Jika  orang yang ditanya mampu membentuk dan mendidik mereka  supaya berakhlaq mulia  beruntunglah ibu bapa itu. Jika sebaliknya akan memberi satu gangguan emosi yang hanya akan terpamer bila anak-anak ini dewasa kelak.

Kajian menunjukkan gejala sosial remaja hari ini adalah kesan gangguan emosi masa kecil mereka. Siapakah yang dulu  mendidik mereka  ? Memberi perhatian bila mereka bertanya.? Memeluk bila mereka merasa tidak selamat ? Pendidik dan pengasuh hanya beberapa jam sahaja bersama mereka dan  selebihnya mereka bersama ibu ayah . Mereka hanya membantu menyediakan ruang untuk ibu-ibu keluar bekerja. Sebaik tamat waktu kerja tanggungjawab mendidik, mengasuh segala yang baik-baik itu kembali ke bahu ibu ayah.

Jika ingin anak jadi baik.Ibu ayah perlu menunjuk contoh yang baik. Tentulah tidak adil jika ibu ayah mahu anak-anak menjadi baik sedangkan mereka sendiri tidak mahu mendidik diri mereka menjadi baik. Semuanya bermula dalam diri sendiri dan dari dalam keluarga  itu sendiri. Setiap kita akan disoal di atas apa yang dipertanggungjawabkan. Wang seratus dua yang dibayar kepada pengasuh bukan bererti tanggungjawab  itu beralih ke bahu mereka. Ia sekadar bayaran perkhidmatan sementara menanti dijemput pulang oleh ibu ayah kanak-kanak ini.Jadi di pemilihan orang yang mengasuh dan mendidik mereka sangat dipandang berat oleh Islam. Bukan mahal atau murahnya bayaran.Jangan terpukau dengan keadaan fizikal sesuatu pusat. Adakala  ia sekadar menarik minat kanak-kanak untuk berada di situ sedangkan apa yang diterap di situ akan mencorak pemikiran dan pribadi anak-anak . Luangkan sedikit masa untuk menyiasat tempat asuhan. Jangan sampai salah pilih.Ini adalah masa depan anak-anak kita.


Friday, February 10, 2012

Namamu Terukir Di Hatiku

Bila datang bulan Februari, sana-sini sibuk menjaja lagu dan movie  bertema cinta. Kedai-kedai bukan main lagi menjual bunga mawar merah menyala. Yang berduit tentu sudah mengangan-angan hadiah terbaik ,termahal untuk sijantung hati. Yang kurang berduit pun tentu tidak kurang juga persiapan. Maklumlah bukan setiap hari ada sambutan Hari Kekasih. Saya teringat satu artikel saya yang pernah tersiar pada tahun 2003 dalam Berita Harian .Usah terperangkap jerat cinta Valentine. Masa dulu-dulu tak pernah dengar pun Valentine. Cuma bila pertama kali ke UK barulah saya belajar apa kah benda Valentine tu.Tentulah tertanya-tanya bila merata kedai menjual belon merah berbentuk hati. Nak jugak tahu,kan.  Tapi hari ini anak-anak kecil pun dah pandai menyebut Valentine. Kalau dah hari-hari dia lihat dan dengar tentulah itu yang terasak dalam minda mereka.


Sempena sambutan yang dah mula dirai pasangan kekasih di Malaysia  saya diberi kesempatan oleh Allah untuk terlibat dalam satu kempen yang akan dilancarkan secara resmi pada 14 februari nanti. Kempen Menutup Aurat Antarabangsa. Bermula  sabtu ini kami telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk bertemu dan memberi kesedaran kepada remaja/wanita muslim yang belum bertudung. Sumbangan  tudung telah diterima. Berkotak-kotak. Begitu juga kain rentang semua telah   dicetak dan direntang di berpuluh lokasi seluruh negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Insyaallah, satu sidang akhbar akan diadakan pada petang 14 Februari itu .Dan sebuah stesyen TV sudah bersetuju untuk hadir.Usaha kerdil ini adalah gabungan beberapa NGO yang prihatin dengan gejala sosial yang berlaku sempena tarikh ini. Apa yang saya harapkan ialah doa dan penerusan usaha di lokaliti masing-masing. Kempen ini sudah berjalan selama 4 tahun dan dipelopori Pak Herdi dari teacher working grup , Indonesia. Pernah dijalankan di London, Macau, Hongkong dan Malaysia turut sama secara aktif tahun ini.

Untuk membantu meneruskan usaha ini tidak payah. Sikit gabungan tenaga, masa dan rasa prihatin. Kita tentu tidak mahu rasa cinta sesama manusia itu sampai mendatang murka Allah. Sedangkan allah telah menyediakan cara untuk manusia menyalur rasa cinta itu dengan cara yang diredaiNya.  Tahun lepas sekelompok manusia sanggup melancar No Pants Day. Tiada apa yang didambakan  sekadar rasa suka yang sekejap dan sementara. Dan kitalah  yang bertanggungjawab melindungi anak-anak muslim .Usah  terjebak jerat cinta Valentine.
moimoisam:  (via paulamvd, betsyyrawr)