Wednesday, September 30, 2009

Sini Sana



Alhamdulillah, saya sudah menyiapkan penulisan yang agak lama terbengkalai. Bukan kerana tak sempat tetapi kerana ingin menumpahkan tumpuan pada bulan Ramadhan yang bertamu sekali setahun. Tarikh akhir pun hari ini...jadi memang kena pulun sakan membaiki di sana sini. Mujurlah kesempatan tinggal sendirian membuatkan saya tidak perlu memikir apa-apa.

Terima kasih juga pada suami yang selalu menjadi teman setia. Dia yang selalu menjadi penyelamat ketika saya sudah bosan dengan Word Office 2007. Sambil menolong mulutnya letih menegur saya yang tidak mahu belajar seluk-belok Words tu.

Ni bukan kes..malas. Kes nak bermanja apa salahnya. Lagipun saya dah tolong masakkan sahur untuk dia berpuasa 6 .Apa salahnya dia membantu  saya di kala memerlukan. Lagi pun merajuk pada yang sayang, meminta sudah pasti pada yang kasih.

Tuesday, September 29, 2009

Aku & Dia


Aku:  Suka ketupat palas
Dia:    Suka ketupat nasi

Aku:  Suka laksa
Dia:    Pun suka laksa

Aku:  Suka biru
Dia:   Suka merah

Aku: Suka buku
Dia:  Pun suka buku

Aku:  Suka  bunga
Dia:   Suka pen & jam

Aku:   Suka tidur awal
Dia:    Suka tidur lewat

Aku:   Suka  jalan-jalan
Dia:    Suka duduk rumah

Aku:   Suka memasak
Dia:    Suka membaiki kereta

Aku:   Suka menonton  TV
Dia:    Suka melayari  internet

Aku:   Suka Traveltimes
Dia:    Suka Computimes

Walau kami ada perbezaan, kami sudah dan akan terus sebaik  mungkin mencari keseimbangan. Alhamdulillah kami sudah berkongsi hidup hampir 30 tahun bermula 10 Syawal 1401. Perbezaan itu akan  menjadikan kami saling lengkap melengkapi.  Kami hanya ingin terus berkongsi suka dan duka sehingga diri dijemput Allah. Marilah saling mendokan agar bahagia itu berkekalan hingga ke alam sana.

Satu Hari Di Hari Raya


Minggu lepas saya ke pasar. Sebaik tiba di rumah terpandang tikar dan carpet berjemur di pagar. "Amboi rajinnya cik abang  nak basuh rumah di hari raya ini" hati saya berdetik . Masuk rumah alahai. satu rumah bagaikan tongkang pecah, rupa-rupanya air dari mesyin basuh melimpah keluar. Bukan salah mesyin tapi salah paipnya tak betul-betul dimasukkan ke lubang air. Human factor. Aduh! terus terbang mood nak memasak, nak menjamu adik-adik ipar bakal berkunjung.Barang lain tak ada lah sangat  di rumah kami , Yang pasti menjadi mangsa sudah pasti buku-buku dan majalah yang ada di mana-mana. Anak saya tolong membawa buku-buku untuk dianginkan dan dijemur di luar rumah. Entah macamana ada juga 1 beg berisi buku-buku dan koleksi kad hari jadi pemberian anak-anak terlepas pandang .Mujur masih belum melekat jadi ada harapan diselamatkan. Bila mengingat balik peristiwa ini saya ingin sangat segera memasukkan semua resepi kesukaan saya dan keluarga ke dalam blog. Agar tidak perlu lagi terkilan kehilangan sumber rujukan bila ingin memasak dan berjamu . Setengah resepi itu saya simpan berpuluh tahun.Malah ada juga penyumbang resepi ini telah kembali mengadap Tuhan. Harapan saya blog ini akan menjadi sumber rujukan anak-anak di masa depan terutama bila saya sudah tiada lagi di dunia ini untuk ditanya dan dirujuk. Kemahiran memasak memang wajar dipupuk, apa lagi yang dikenang bila sudah berjauhan sudah pasti air tangan ibu. Kalau tak percaya cuba baca blog anak saya, kalau diikutkan air dari paip rumah emak pun sedap benar rasanya. Saya paling tak gemar jika ada orang dengan bangganya bagi tahu  dia lebih suka makan lauk kedai alasan dapat jimatkan gas. Hai....! Macamlah berapa juta boleh untung kerana jimatkan setong gas. Sebenarnya itu hanya alasan. Bila dah jauh di luar negara barulah terliur teringatkan masakan kat Malaysia. Nak cari resepi bukan susah pun, cari saja kat internet serba mak nenek ada. Kalau dah kat luar negara pandai-pandailah adjust dan modify bahan-bahannya. Kalau tak jadi 100% jadi 60% pun kira okay lah tu. Bila dah mencuba sudah pasti lama-lama datang keseronokkannya, apatah lagi bila orang yang dijamu tidak segan silu menghabiskan semua yang terhidang di meja.Kita yang berjamu pun senang hati kerana tidak perlu memikir bagaimana hendak menyimpan makanan yang tidak habis.  Sempena bulan raya yang masih bersisa rajin-rajinlah menyalakan gas di dapur .Muga-muga juadah yang kita hasilkan akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim  sesama kita.

Monday, September 28, 2009

Bingkai Kehidupan



Bila datang raya sudah pasti saling menyelak akhbar mencari laman Salam Perantau. Sanak-saudara sudah pasti ingin melihat wajah nak muda di rantauan menitip rindu untuk keluarga di tanahair. Hati mana tidak rindu tetapi pengalaman beraya di luar negara bukan juga peluang yang patut dilepaskan. Jauh berjalan luas pandangan . Allah menjadikan manusia bersuku suku dan berbangsa-bangsa untuk saling kenal dan mengenali.Cuma sedaya yang mungkin teringin juga melihat nak muda di rantau memakai baju raya dan menjamah kuih dari kampong. Pengalaman berjalan dengan memakai pakaian tradisional  kita sudah pasti manis dalam ingatan. Mata-mata orang keliling melihat kita menaiki bas atau tube dengan baju yang nampak pelik di mata mereka. Jika raya datang ketika musim panas memang boleh aja pakai baju kita, tapi kalau musim luruh atau musim sejuk memang tak sesuai langsung. Walau dimana kita berada raya tetap meriah kerana raya itu ada di dalam hati. Jika hati sedih maka sudah pasti akan monyok saja tetapi jika hati ceria dan menerima ini sebagai sebagian bingkai kehidupan sudah pasti kita mampu laluinya dengan cekal dan tabah.

Meraih Cinta Ilahi




Semalam abah ke KMC lagi untuk rutin check upnya. Cuti  raya yang panjang menjadikan mereka terpaksa sabar menunggu. Kesihatan abah makin baik. Ingatan abah makin pulih sedikit demi sedikit. Meskipun pada fizikalnya abah nampak sihat tetapi adakala kami perasan juga betapa abah tertekan. Dia ingin menyampaikan sesuatu tetapi adakala lain yang dikata, lain pula yang dimaksudkan. Kami puas berfikir bagi memahami apa yang ingin diperkatakan. Adakala berjaya dan adakala tidak. Kasihan abah! Saya selalu  merasa sayu bila melihat abah duduk bersendirian. Saya amat berharap ada orang lain yang dapat  meluang lebih masa untuk melayan abah. Meskipun tidak banyak berkata-kata tetapi saya  percaya abah masih memiliki emosi dan perasaan yang perlu dijaga agar tidak terguris dan tercalar. Jika  Syawal dulu abah begitu ceria menyambut  ketibaan tetamu tetapi kali ini abah hanya mampu tersenyum dan adakala menjawab juga soalan yang ditanya. Meskipun kadangkala jawapannya tersasar.




Saya sedih bila ada tetamu yang bertanya samada abah sudah nyanyuk. Memang patut pun kalau abah nyanyuk kerana dia sudah berusia 80+ tetapi saya percaya abah belum nyanyuk kerana dia masih sedar dan tahu rutin hariannya. Yang paling saya kagum bila abah sentiasa menunggu waktu solat. Tepat jam 1.20 petang dia sudah masuk ke bilik mandi untuk berwudu' begitu juga bila jam 6.30 petang dia tetap akan mencari tuala untuk mandi tanpa perlu disuruh-suruh. Semua  bacaan dalam solat dan wirid-wirid selepas solat masih lancar disebutnya. Saya percaya jika kurang iman sudah pasti sukar kita bersabar dengan kerenah orang tua. Saban tahun di TV selalu disiarkan kisah warga emas di pinggir keluarga, sepi menanti kunjungan sanak-saudara di rumah kebajikan bagai menunggu buah tak gugur.Jika bertahun-tahun lalu senario itu hanya  berlaku di kalangan bukan Islam, tetapi hari ini sudah jadi perkara biasa di kalangan orang Islam sendiri.  Kesibukan anak-anak, kesukaran mendapatkan pembantu rumah menjadi antara sebab rumah perlindungan warga emas muncul bagai cendawan selepas hujan.

Kunjungan ke Darul Hidayah dan bertemu warga emas tanpa waris menjadikan hati saya begitu terusik. Ada yang mempunyai anak yang berjawatan tinggi tetapi dipinggirkan selepas kematian isteri. Saya faham siapalah yang sanggup menjaga dan melayan orang tua yang  banyak pula kerenahnya. Makanan perlu dijaga, pantang itu , pantang ini. Kalau dapat yang bising pula mulutnya...alahai memang surrender habis. Belum lagi dikira berak kencingnya. Anak pun tak sanggup apatah lagi menantu.

Bila melihat iklan Petronas dengan lagu "Aku Ingin Pulang" tu...kami semua menatap tanpa bersuara. Bila sudah habis anak saya berkata "Pak cik tu macam kisah wan saja".Saya menambah" Cuma wan tak dapat layanan buruk macam anak pak cik tu buat kat ayah depa". Saya sentiasa berdoa agar Allah terus memberi sebahagian ruang di hati kami untuk terus berbakti kepada abah sehingga ke akhir hayatnya. Sudah pasti sedikit bakti yang mampu kami curahkan masih belum cukup untuk membalas segala jasa abah .

Sunday, September 27, 2009

Jom Puasa 6


Sudah seminggu kita beraya rupanya. Siapa yang sudah berpuasa 6 bermula 2 syawal sudah pasti hari ini sudah berhariraya.Ini baru betul-betul menang. Mana tidaknya ketika juadah raya masih penuh di meja dan aroma rendang serta ketupat masih segar di udara mereka sudah mengenepikan semua itu untuk menyempurnakan satu lagi suruhan agama.Insyallah masih ada 3 minggu lagi. Segeralah berpuasa agar tidak ketinggalan.

Tetamu Senja


Tiada hari yang berlalu tanpa kita merasa kita begitu santai dan bersenang-senang. Ada-ada saja perkara yang perlu diuruskan, diselesaikan dan kadang kita lupa untuk meluang masa untuk diri kita sendiri. Bilakah kita akan memberi perhatian pada diri? Pengalaman menjaga abah banyak mengajar saya.Mulakan amal ketika muda agar kita  akan terus membawa amalan itu ketika kita tua. Ungkapan kata untuk mula beribadat bila sudah pencen amat-amat tidak patut dikeluarkan dari lidah seorang muslim. Jangka hayat kita di dunia ini tidak siapa yang dapat meramalkannya. Ketika tidur mungkin kita diambilNya pergi. Usia muda bukan tiket kita melupakan alam akhirat. Jika tidak biasa bersolat semasa muda usah haraplah dapat peluang itu di usia tua (kecuali dgn izin Allah ). Bukan mudah kita nak belajar menghafal suroh dan doa ketika ingatan makin susut dan penglihatan makin kabur. Janganlah bertangguh-tangguh lagi....mulakan dari sekarang. Muslim yang baik sudah pasti hari ini lebih baik dari semalam.

Saturday, September 26, 2009

Berpesan-pesan

40D_10230 by ammare

Tanpa disedari sudah 3 kali rupanya kami beraya tanpa 'Ammar. Bila melihat photo pra-garaduan yang dihantarnya oh..rupa-rupanya dia sudah hampir menamatkan pengajiannya. Selagi dia mampu kami sebagai ibu bapa kami akan terus menyokong dan memberi dorongan untuk dia meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.  Saya masih ingat betapa  pada satu ketika dahulu kak lang selalu merasa dia tak mampu, tak sanggup untuk  mara ke peringkat lebih tinggi. Berkat doa serta keazaman insyaallah dia sudah pun menamatkan ijazah pertamanya. Sebagai lelaki saya percaya  'Ammar memiliki kekuatan yang lebih untuk bersaing menjadi terbaik di antara yang terbaik. Membesar di asrama  seawal usia 13 tahun sudah pasti banyak membina kekuatan dalamannya. Berada di kalangan teman-teman yang ingin berjaya diharap  akan menyuntik semangat untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan seterusnya di akhirat. Masing-masing saling kuat-menguatkan.  Ini baru satu permulaan.Perjalanan hidup masih jauh lagi untuk ditempuh. Tidak akan berganjak anak Adam sehingga dia disoal tiga perkara. Masa muda bagaimana dihabiskannya?  Islam sangat memuliakan orang muda. Orang muda penuh semangat, oarang muda bertenaga mereka mampu melakukan apa sahaja. Mengikut kata hati atau mengikut nafsu. Bila orang muda meletakkan hidupnya pada landasan Islam maka dia akan jadi anak muda yang membela agamanya. Sebagai ibubapa saya memang tidak ingin melihat anak saya kecundang di dunia apa lagi di akhirat. Setiap kita akan disoal dengan apa yang dipertanggungjawabkannya. Terajuilah hidup dengan  nur Tuhan. Jagalah Allah dan Dia akan menjaga kita.

Sang Setia

Jika tak silap mungkin ini cuti raya yang terpanjang pernah dilalui. Suami mengeluh kerana lepas ini bermakna banyak kelas kena diganti sebelum students mula exam pada hujung bulan depan. Ketika itu pula  insyaallah kami akan ke Dewan Sri Budiman lagi untuk konvo kak lang.Sepanjang cuti kami banyak berada di rumah kerana anak-anak sibuk menyiap kerja sekolah dan kursus. Saya pula tidak kering tangan di dapur menyiap hidangan untuk tetamu. Sambil menerima tetamu kami juga meluangkan masa untuk menghadiri jamuan kesyukuran dan bacaan Yassin untuk anak-anak teman, jiran dan saudara yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Seronoknya melihat ramainya bakal doktor, dentist dan ustaz yang akan menerajui negara di masa depan. Suami sampai berpesan kepada kawan-kawan anak yang datang bertamu "Lepas ni kalau sakit senang lah sikit pak cik cari hampa (kamu) no". Mereka hanya ketawa sambil menyuap kek coklat yang mereka gemari sejak zaman di sekolah asrama dulu. .


(Nostalgia Raya 2005)

Hari ini kami sekeluarga telah meluangkan masa untuk  ke Kulim. Majlis doa selamat dan bacaan Yassin untuk Kak Lah yang akan ke India awal bulan depan. Emak dan abah sudah ke sana sejak malam tadi. Seorang lagi cucu mereka bakal mendalami bidang perubatan seperti dua orang kakaknya. Saya masih sibuk mengurus kain baju anak-anak yang akan pulang ke asrama sambil mengemas pinggan mangkok yang bertoran di dapur. Mulai hari ini bang cu akan balik ke BKH, esuk ngah pula akan balik ke JB, Harith petangnya  dan bang cik Selasa depan. Lepas ni insyaallah barulah saya akan memikirkan untuk berpuasa sunnat. Jika ditangguh-tangguh sudah pasti banyak lagi halangan dan rintangannya. Walaupun kita yang mengatur hidup kita tetapi ada ketika-ketikanya  kena pula dirai jemputan dari sahabat, saudara dan jiran. Muga Allah memberi banyak-banyak kelapangan untuk melakukan kebaikan. Saya berdoa muga tarbiah dari madrasah Ramadhan  tidak berlalu begitu sahaja. Kepada yang akan ke luar negara didoakan semuga tabah menghadapi ujian hidup. Bagai  apa yang selalu dipesankan suami saya kepada anak-anak, students dan anak-anak buahnya "Jika inginkan  sesuatu yang besar kenalah ketepikan banyak yang remah-remeh" Apa tu? Kalau nak kejayaan yang besar kenalah diketepikan perkara kecik-kecik yang kalau tak dak pun tak effect apa-apa. Contohnya banyak tidur, banyak ronda-ronda, hp mahal...etc

Selamat  terbang untuk yang bakal terbang  dan selamat kembali ke asrama bagi yang akan kembali. Dan saya ?  ...Masih tetap di sini bagai pelabuhan yang saban waktu tetap setia menanti datang dan perginya kapal-kapal  kecil dan besar.

Wednesday, September 23, 2009

Angka Dan Angka


Paling gembira pada hari raya lalu sudah pastilah bang cu. Raya tahun ini jatuh pada hari ulang tahun kelahirananya. Saya dan kak lang sudah berpakat menemmpah kek blueberry dari  tempat kerja kak lang. Bang cu yang dilahirkan di Hospital Jitra ketika suami masih bertugas di Polimas. Dia adalah antara anak yang paling mudah dilahirkan. Amalan saya ialah membaca ayat yang dibaca Nabi Yunus ketika dalam perut ikan Nun. Doa ini diajarkan seorang teman, seorang ustazah yang sama menunggu kelahiran anaknya. Saya baru sudah solat zohor bila terasa sangat sakit. Setelah menyimpan telekung saya maklumkan kepada nurse bertugas dan saya terus di arah ke Labour Room. Lebihkurang 4. 15 petang bang cu pun selamat dilahirkan. Suami yang datang melawat petang itu terkejut melihat anaknya nyenyak tidur di kotnya. Barulah anak ini diazan dan diiqamahkan. Zaman ketika hp belum lagi menjadi barang mampu milik mernyukarkan perhubungan.

Ketika dia berusia 6 bulan saya dan suami dijemput menjadi tetamu Allah. Dalam masa seminggu saya mengajar dia meminum susu dari botol .Saya berdoa agar saya dapat menumpukan hati untuk beribadat dan dia yang dititipkan kepada mak toknya tidak pula  banyak  kerenah. Alhamdulillah...Allah memakbulkan doa saya. Hanya bila kami sudah bersiap-siap pulang ketika di Madinah tiba-tiba saya jadi sangat rindukannya. Saya cuba bayangkan wajahnya di dalam minda namun tidak muncul juga wajahnya.

Akhirnya sebaik kami selamat tiba di tanahair selepas memeluk anak-anak  yang lain saya menghulur tangan ingin mengambil bang cu dari mak toknya. Dia enggan dan terpaksa saya serahkan kembali kepada mak toknya.Malamnya saya membawa bang cu tidur bersama tetapi bila terjaga dia merangkak-rangkak sambil menangis.Mungkin mencari mak toknya. Panggilan bang cu diresmikan ketika Harith lahir 2 tahun kemudian .

Kini bang cu sudah di tingkatan empat. Bererti masa untuk dia terus bersama kami semakin singkat. Mendapat suntikan semangat dari kakak 2 dan abang2nya  menjadikan bang cu juga menyimpan hasrat ingin belajar di luar negara seperti mereka. Sebagai ibubapa sudah pasti kami akan merestui segala yang baik-baik untuk kehidupan mereka. Hasrat kami sudah  pasti ingin melihat bang cu  berjaya di dunia juga di akhirat muga dimakbulkan Allah..Ameen.

Tazkirah Syawal


Kesempatan menziarahi Darul Hidayah, rumah yang menempatkan saudara baru dan lelaki warga mas yang tidak berwaris di Permatang Tok Gelam tidak saya lepaskan. Bila menyelami kesengsaraan dan kedukaan mereka hati kita menjadi begitu bersyukur di atas segala yang Allah nikmatkan.  Saban tahun Masjid Bertam mendapat sumbangan yang sangat  besar dari para jamaahnya yang sangat pemurah  untuk tabung anak yatim dan fakir miskin. Sebagai pemegang amanah dana tersebut mestilah segera dikeluarkan sebagai mengambil pahala berganda yang Allah tawarkan. Mereka yang tinggal di sini adalah saudara baru yang telah dipinggirkan keluarga kerana telah bertekad kembali kepada Islam. Sudah sewajarnya kita sebagai saudara seagama menghulurkan tangan membantu mereka selagi daya. Bila dijemput bercakap sudah pasti mereka akan bercakap dicelah sebak dan linangan air mata. Berat bahu memikul sudah pasti tidak sama dengan mata yang memandang. Saya berdoa agar Allah menyiramkan hati mereka dengan kesabaran dan kekuatan azam untuk terus hidup dalam cahaya Islam. Cabaran demi cabaran mereka tempuhi. Namun jika tidak dibantu dan terus diberi motivasi mungkin iman mereka akan bergoyah bila dilanda ujian yang bertimpa-timpa. Saya berazam akan cuba meluangkan sedikit masa untuk bersama mereka di bulan-bulan mendatang.Insyaallah. Menolong saudara di dalam kesusahan semuga Allah  menolong kita di hari kita perlukan pertolonganNya kelak.





Ramadhan sudah pergi. Syawal pun sudah masuk hari ke empat. Jika yang sudah mula berpuasa...alhamdulillah, Jika yang belum jangan lama-lama sangat menangguh takut terleka dan tak sempat. Setelah berakhir Ramadhan saya ingin bertanya kepada diri sendiri sudah berapa kali membuka dan membaca ayat-ayat Allah? Sibuk di dapur , sibuk melayan tetamu dan sibuk ke sana ke mari membuatkan kita suka bertangguh. Untuk berlama-lama di sejadah pun sudah tidak betah. Apatah lagi meluang 10 minit membaca 2 muka ayat Qur'an. Saya ingin mengingatkan diri saya kepada pesanan dari Dr Yusuf Qardawi "jika kamu beribadah di bulan Ramadhan semata-mata maka jadilah kamu hamba Ramadhan, tetapi jika kamu teruskan ibadah selepas Ramadhan maka jadilah kamu hamba Allah". Pilihan di tangan kita maka kitalah yang mengatur urusan hidup kita. Biarlah pilihan kita  selari dengan apa yang disukai Allah.Agar kita diserunya  dengan panggilan ""Wahai jiwa-jiwa yang tenang"

Monday, September 21, 2009

Salam Aidilfitri


Raya sudah pun disambut. Maka kita kini kembali ke fasa lama kehidupan kita. Alangkah banyaknya bekalan jika kita dapat mengekalkan amalan kita sepanjang Ramadhan lalu. Di bulan itu yang tak sempat pun pandai saja kita mengatur agak sempat bertarawih dan bertadarus al qur'an. Kenapa bulan lain susah sangat kita mengajak diri kita meninggalkan tilam yang empuk semata-mata untuk melebihkan ibadah.Kata orang bulan Ramadhan syaitan diikat dan pintu neraka ditutup sebab itu kita mudah buat baik. Alasan....dan alasan. Sedangkan kita tahu tiap detik ada saja orang yang mati dan alangkah malangnya jika pergi tanpa bekalan yang cukup. Kita nak balik raya pun penuh boots kita isi , itu baru untuk sehari dua. Jika difikir kembali  dirasakan cara kita berhariraya macam baru bebas dan merdeka dari azab berlapar dan dahaga, Kita bersukaria dan melakukan amalan yang tidak menunjukkan kita baru lepas dari dilatih Allah dalam madrasah Ramadhannya. Kadang sesetengah kita merasakan puasa itu satu penderaan Allah kepada kita. Sesungguhnya kita perlu banyak menghadiri kuliah agama dan berdoa kepada Allah agar segala ibadah yang dilakukan dapat diresapi hikmahnya.

Maaf zahir dan batin kepada pengunjung blog. Jika terkasar kata dan keterlaluan cara maaf-maafkanlah.Selamat Hari Raya dan janagn lupa ditambahi dengan 6 hari lagi puasa yang sanagt dituntut Islam.

Thursday, September 17, 2009

Dendang Si Perantau

Mulai semalam seorang lagi anak saya pulang ke rumah. Insyaallah, hari ini ada empat orang lagi anak akan kembali untuk meraikan hari-hari terakhir Ramadhan  1431. Seperti biasa masing-masing sudah merangka di fikiran menu apa yang ingin saya sajikan untuk berbuka nanti. Sebagai ibu sudah pasti kita tak sampai hati mennolak permintaan mereka. Sebagai ibu juga kita sudah dapat mencongak apa dalam kepala mereka, maka sejak minggu lepas saya sudah  sedikit demi sedikit mencari bahan-bahan yang diperlukan. Soto ayam, hati masak hitam, nasi tomato, lopes....Hai banyaknya  permintaan. Maklumlah ahli keluarga besar sudah pasti besar juga keraknya. Sebagai suri rumah kita juga yang mengatur perbelanjaan. Kenaikan harga barang telah mengecilkan nilai mata wang. Jika dulu dengan RM50 sudah hampir seminggu barang basah dapat dibeli tetapi hari ini hanya beberapa barang sahaja lagi. Saya yang bersuamikan seorang kakitangan kerajaan pun adakala bersungut apatahlagi mereka yang kais pagi makan pagi. Sudah pasti terasa peritnya menyambut raya. Islam mengajar kita bersederhana tetapi kita perlu ada anjakan paradigma juga. Membuang konsep beraya sakan jauh-jauh dari fikiran kita. Kita hanya digalak beraya pada 1 Syawal dan menyambung puasa sunat 6 hari bagi melengkapkan  tuntutan agama. Namun kita bagai tidak upaya menolak undangan rumah terbuka yang datang sekali setahun itu, sedangkan  sebenarnya  kita digalakkan menjamu seramai mungkin pada bulan Ramadhan dan bukannya pada bulan Syawal. Nampak gayanya kita kena beranjak 360 darjah untuk kembali ke landasan yang diajar Nabi SAW. Bolehkah kita berubah? Mukimin yang baik ialah hari ini lebih baik dari semalam. Esuk pula lebih baik dari hari ini.

Kembara Sufi

Ramadhan menjadikan bulan yang sangat dinanti-nantikan oleh anak-anak yatim dari Rumah Abu Nur, Pengkalan Hulu. Bermula 2004 alhamdulillah saban tahun AJK Qaryah Masjid At Taqwa akan mencari ruang waktu untuk berkunjung dan menyampaikan sedikit cenderamata dan duit raya untuk anak-anak ini. Rumah yang menjadi tempat berlindung seramai 47 orang anak yatim dan miskin sudah mengalami perubahan yang besar. Pertama kali berkunjung sudah pasti berbeda dari apa yang ada hari ini. Rumah ini tidak pernah sunyi dari dikunjungi berbagai pihak. yang prihatin. Mereka tidak kurang keperluan fizikal tetapi mereka perlukan kasih dan perhatian. Mereka perlu banyak  diberi suntikan semangat untuk maju dan berjaya dalam hidup. Mereka tidak harus dipinggirkan dari arus perdana hanya kerana mereka yatim dan miskin. Islam sangat memuliakan anak yatim  dan  kenapa tidak kita luangkan sedikit sudut hati untuk mengasihi dan memikir nasib
 mereka..Kita tidak perlu menunggu datangnya Ramadhan untuk menjadi 'penjaga' mereka.Mereka ada keluarga besar, iaitu kita. Tidak inginkah kita mendampingi golongan yang akan mendampingi Nabi SAW di alam akhirat kelak?
Menyeru yang makruf adalah sangat dianjurkan Islam. Mengajak bukan Islam sama-sama menghayati keindahan Islam. Agama ini bukan hak exclusif  orang Melayu. Sesiapa sahaja boleh kembali kepadanya. Setiap anak dilahirkan Islam ibubapa yang menjadikan mereka Yahudi dan Nasrani. Jika tidak didekati sudah pasti mereka  makin jauh dan segala tanggapan negatif terhadap Islam akan terus berakar umbi dalam pemikiran mereka. Islam itu agama sejahtera sudah pasti ia akan melindungi  manusia dan alam. Sampaikanlah walaupun satu ayat, itulah pesan Ar rasul SAW. Agar kita dapat melepaskan diri di hari perhitungan nanti.  
Mencegah yang mungkar juga merupakan tuntutan Islam. Lawatan ke Hospital Kepala Batas menemukan kami dengan  bayi comel ini. Bayi yang dilahirkan bagai kain puitih dari keturunan Melayu. Anak tidak sah taraf. menanti masa untuik dijadikan anak angkat atau terus dibesarkan di rumah kanak-kanak . Kesalahan  si comel ini dibuang hanya kerana kelahiran yang tidak diperlukan. Dimanakah iman ibu dan bapanya ketika itu? Mereka yang bertanggungjawab membawanya ke dunia ini tetapi tega membiarkan dia terkapai-kapai merenangi lautan kehidupan yang maha dahsyat badainya. Anak ini insyaallah akan menjadi mukmin yang beriman  dan boleh juga menjadi manusia yang  menderhaka kepada Tuhannya. Nauzubillah. 
Wahai jiwa-jiwa yang murni penuhilah dada-dada anak muda kita dengan iman agar kelahiran seperti ini terhenti di sini.
Wahai bayi yang tidak berdosa... dalam Ramadhan mulia ini, saya  berdoa muga Allah menghantar kamu untuk memberi kebahagiaan kepada pasangan  yang sangat mendambakan  kamu sebagai pelengkap kebahagiaan mereka dan dijauhi Allah dari jatuh ke tangan mereka yang tidak membesarkan Allah.Ameen

Titip Rindu

Sudah masuk malam ke 27. Bila melihat kerdipan lampu lip-lap-lip-lap kat anjung dan beranda di rumah sekitar Pekan Kepala Batas tiba-tiba saya jadi sangat rindu pada arwah emak. Sudah hampir sepuluh tahun saya tidak berpeluang beraya di Kg Baru. 

. Suasana malam dengan liukan api dari pelita juga mengingatkan kepada Kg Baru, Dari atas rumah kami memang cantik sungguh suasana itu. Bila hampir raya sudah pasti emaklah yang paling sibuk. Bermula dengan membeli-belah di pasar Chow Kit hinggalah mengisi beras ke dalam sarung ketupat. Pada masa dulu, saya kadang jadi tak suka nak beraya. Saya suka raya yang saya tak suka bila kena buat itu buat ini sebab nak raya. Kini bila saya di tempat emak baru saya faham kenapa emak beriya-iya menyediakan sendiri. Dari merebus ketupat hingga mengacau rendang semua kami buat sendiri. Emak cuma menempah lontong dari jiran emak, orang-orang Jawa kat Kg Baru. Sehari dua ini saya sibuk membelek khazanah resepi tinggalan emak.



Secara tak sedar terbayang kesibukan emak kala menyedia juadah raya hingga dinihari. Pernah saya terlena hampir jam 2 pagi tetapi emak masih gagah berperang dengan kuali dan dapurnya. Bila bangun ketika takbir bergema di awal pagi saya bagaikan berada di dunia lain. Rumah sudah berhias cantik, pinggan-pinggan tersusun di atas meja makan. Aroma lauk-pauk dari dapur memenuhi ruang udara. Bau kuah kacang, bau kuah lodeh, ayam kelia.....oh...emak saya rindu  emak...Rindu sangat-sangat. Rumah yang berkecah macam tongkang pecah sudah berubah wajah. Saya menjenguk ke bilik emak, emak yang tidur lebih lewat sudah bersedia di atas sejadah. Emak memang hebat! Cuma tahun akhir sebelum emak pergi saya mendengar kelohan emak. Emak ingin berpuasa dan beraya di Mekah, emak dah tak kuasa nak sibuk-sibuk pada malam raya. Malam raya patutnya kita banyak bertasbih memuji Allah. Saya mengucap syukur Allah memudahkan banyak  urusan untuk menghantar emak berpuasa di Mekah. Jika ada rezeki emak akan pulang beberapa hari selepas raya. Emak saya titipkan kepada abah dan emak mertua saya. Sepanjang di sana besan-besan itu sama-sama beribadah dan ketika emak jatuh sakit emak mertua saya yang menjaganya. Rupanya takdir Allah sudah menjanjikan begitu, seminggu selepas pulang dari menunaikan umrah pada  14   Syawal. Emak pergi tak kembali lagi.Menyusul pemergian bapa pada tanggal 8 Syawal  berselang 3 tahun.  Hajat hati emak tidak mahu sibuk-sibuk menyambut raya telah diperkenankan. Emak sudah tiada untuk mengerah anak cucu memasuk beras ke dalam sarung ketupat, kami tak perlu lagi mengupas kulit ari kacang tanah sebelum digoreng, kami tak payah lagi memotong daging dan menunggu api rendang dan paling sedih sudah hampir sepuluh tahun saya tak dapat mencium tangan dan memeluk emak di awal pagi Syawal. Kini yang tinggal sudah pasti kenangan dan kenangan. Tiba-tiba saya jadi sangat rindu pada bapa dan emak. Sudah pasti nisan batu di kubur Ampang tetap setia menanti sanak -saudara yang sudi berkunjung. Dari kejauhan ini anakmu titipkan rindu buatmu berdua....muga berbahagia di sana dengan kiriman doa-doa dan huluran pahala-pahala anak-anakmu di Ramadhan ini. Insyaallah ...kami juga tetap pasti akan menyusul..

Saturday, September 12, 2009

ANGKA-ANGKA


SELAMAT ULANG TAHUN ,HARITH. MUGA JADI ANAK SOLEH DAN INSAN YANG DIKASIHI SEMUA, DI LANGIT DAN DI BUMI, AMEEN

Jom Lawat

Balik terawih semalam sementara menunggu waktu tidur sempat juga bina blog yang dijanjikan. Sempena mood raya dan significantnya makanan itu sejak dulu hingga sekarang maka nama itu yang dipilih. Jadi lepas ni rajin-rajinlah berkunjung untuk berkongsi makanan yang kini sudah jadi kegemaran keluarga saya. Untuk yang jauh-jauh tu, lepas ni taklah tertunggu-tunggu nak YM atau SMS yang lambat berbalas. Memasak itu mesti datang dari hati. Kalau hati tengah suka segala yang indah-indah sahaja yang muncul di fikiran. .Bila hati lara yang mudah-mudah dan yang cepat masak saja terlintas di kepala
Bagi anak-anak perempuan dan anak-anak buah saya yang banyak menghabiskan masa remaja mereka di asrama sudah pasti blog ini akan menjadi hits  mereka. Anak bujang saya yang jauh di rantau tetapi sangat rajin berexperimentasi dengan segala rempah dan rencah di dapur comelnya ,blog ini diharap akan membantu menghilangkan sebahagian rindu pada aroma dan enaknya masakan dari dapur keluarga. 
Proses menyiapkan satu-satu hidangan itu adalah antara moment yang manis dalam hidup. Ketika mereka kecil saya memaksa mereka menolong jika ingin makan sedap. Walaupun terpaksa bertolakansur jika mereka ingin berkerja sambil mennonton TV."Mata tengok TV tapi tangan mesti jalan" kata saya. Bila mereka sudah dewasa dan jauh pula  dari rumah keluarga sudah pasti detik-detik ini yang dikenang sehingga mampu menggenang airmata .

 
Atas memori inilah saban tahun kita sanggup berbondong-bondong dan bersesak-sesak di jalan raya mencari rumah-rumah keluarga untuk sama meraikan hari lebaran. Lauk-pauk dan kuih-muih boleh saja di 'tunjuk' tetapi rohnya tidak ada. Rasa enak itu hanya terasa bila dikongsi proses penyediaannya .. Penat-lelah di dapur bagaikan  terhapus bila melihat wajah-wajah yang ceria menyuap 'air tangan' kita.
                                                              Selamat bertamu!

Friday, September 11, 2009

Not For Sale


Saban tahun saya pasti melakukan rutin yang sama. Membongkar khazanah mencari resepi juadah raya untuk sajian keluarga dan tamu pada hari lebaran nannti. Tiba-tiba terlintas difikiran kenapa saya tak ujudkan satu blog lagi untuk mengumpul semua resepi kegemaran keluarga. Bila membuka koleksi  resepi yang entah sudah berapa tahun  bersama saya, macam-macam  catitan yang ditemui. Contohnya sambal ayam mak tok, telur labah Cikgu Norma, biskut susu mak ngah, Choklat chip Jalilah....Hai memang macam-macam versi menu yang ada .Jadi dengan menulis nama sumbernya  maka barulah dapat dikenal pasti resepi mana yang ingin kita pilih.  Jadi insyaallah lepas ni saya akan post ke blog baru agar dapat diakses oleh ahli keluarga saya yang berada  di merata tempat.

Semalam sampai  berapa  kali Ngah menalipon meminta resepi koktel pak cik dan coklat chip Jalilah. Resepi yang dikumpul tu pun bukan ciptaan saya pun...Ada yang diminta dari kawan, keluarga atau jiran bila terasa sedapnya. Ada juga disalin dari segala laman web dan blog yang ada di maya ini. Semuanya sudah dicuba dan dipastikan  betul sukatannya. Mudah-mudahan akan menjadi ilmu yang bermanfaat bagi yang bakal mengambil manfaatnya.

Kikiskanlah sedikit demi sedikit  sifat kedekut, tangkai jering atau gengam tak tiris yang sekian lama berkarat di hati sesetengah kita. Ilmu yang berguna yang akan kita bawa sebagai amalan soleh bila mati nanti bukan semestinya ilmu agama sahaja. Ramai orang ingat nak jadi amal soleh mesti ilmu pasal agama sahaja. Apa-apa ilmu yang baik semuanya akan memberi pahala sedekah buat kita. Zaman sekarang , zaman orang buat duit. Bukan salah buat duit tetapi seimbangkanlah amal untuk akhirat juga. Maklumlah berapa banyak kelas itu dan kelas ini untuk orang belajar masak. Sesekali  asuhlah hati kita melupakan nilai $ $  seketika.

Contoh kata, kita mengajar seorang ibu tunggal cara memasak bengkang. Dan ibu itu menjual bengkang itu untuk membesarkan ank-anaknya insyaallah kita pasti akan menumpang pahalanya. Pahala Allah bukan macam harta manusia makin dikongsi makin susut, tetapi pahala Allah itu  makin dikongsi makin membiak bagai setangkai gandum yang mempunyai tujuh tangkai dan berpecah menjadi seratus biji . Jadi apa tunggu lagi sempena bulan Ramadhan ini marilah mendidik diri kita menjadi orang yang sangat pemurah. Allah tidak akan mensia-siakan amal kita walaupun sebesar biji sawi. Percayalah!

   

Tinta Orang Lama


Sudah dua hari hujan turun lebat kala dinihari. Mata-mata yang berat sudah pasti makin sedap menarik gebar menutup tubuh. Namun hati-hati yang rindukan naungan Allah di hari yang tiada naungan pasti akan mengenepikan semua itu. Hidup di dunia hanya sementara paling lama pun mungkin 90 tahun. Mungkin. Alam akhirat tidak ada kesudahan. Bekalan demi bekalan perlu disiapkan. Pada bulan ini Allah memerintahkan para maalikat yang menanggung arasyNya memohon ampun bagi hambaNya yang beriman. Tidakkah ingin kita merebut peluang ini. Tarikan bazaar Aidilfitri, shopping mall dengan segala jaulan meganya sudah pasti sukar ditepis. Berpada-padalah dalam berbelanja. Kita bukan hidup untuk 1 Syawal sahaja sehingga kita sanggup berhabis-habisan berbelanja wang di tangan dan simpanan. Dalam era ekonomi global yang tidak menentu ini beringat sebelum habis. Gaji yang masuk awal dan imbuhan untuk RM500 untuk kumpulan sokongan bukanlah tiket untuk kita raya sakan. Pelajaran anak-anak, bil-bil yang akan datang saban bulan mesti difikirkan. Jangan nanti kita terpaksa 'meminjam' duit raya anak-anak pula untuk menampong kos hidup sementara gaji masuk pada hujung bulan Oktober nannti. Usahlah sudah terantuk baru terngadah! Memetik kata Perdana Menteri dari NST   10th Sept " My advice to those will be getting the money is that don"t abuse it to buy something like firecrackers. The money is is not meant to purchase those things but it is for your children" (erti kata lain bagi anak lebih sikit duit raya  pun okay kut, dengan syarat dapat duit terus masuk akaun anak)
          

Thursday, September 10, 2009

Sejuta Harapan

Dua hari lagi Harith akan menyambut ulang tahun kelahirannya. Saya perlu menyiapkan entri ini sebelum dia pulang. Sudah pasti saya selalu terlepas peluang berlama-lama di depan  PC bila dia a ada di rumah. Sudah hampir 14 tahun dia bersama kami. Sebagai anak bongsu sudah pasti dia mendapat perhatian istimewa dari abang-abang dan kakak-kakaknya. untuk hari lahirnya ini entah apa yang dikeceknya dari mereka. Yang sudah bekerja sudah pasti akan melayannya. Saya perhatikan Harith bagaikan ada magic touch bila memegang camera. Abunya akan bising kerana entah apa-apa gambar diambilnya. Bila disoal rupanya tengah test feature yang ada katanya. Baru- baru  ini dia teruja habis bila dipilih cikgunya untuk masuk dalam satu Photography Competition. Kalau terlepas saringan dapatlah dia dan teamnya ke Nature Camp pada bulan November ini. Saya selalu menyokongnya kerana saya percaya ini akan menyeimbangkan otak kiri dan otak kanannya. Memang  pun  fitrah manusia suka melihat yang indah-indah.

Fasa 3

Friday, September 4, 2009

Dairi Kehidupan


Di Keheningan Malam


Tanpa disedari dengan melibatkan diri dengan dakwah saya rupanya kena pandai membahagikan masa. Mengurus keluarga, kerjaya dan dakwah. Ketika belajar ilmu teori dulu memang sangat ingin meletakkan tugas dakwah tu no.1 dan yang lain-lain tu ke 2,3 dsbnya. Namun bila berjejak di bumi nyata rupanya sukar menjadikan dakwah tu no 1 kecuali orang-orang yang imannya sekental Abu Bakar dan Abdul Rahman Auf. Dua di antara banyak sahabat Nabi SAW yang bergandingbahu dengan Baginda di zaman awal Islam. Bila dipaksa memilih di antara tugas dan keluarga saya percaya ramai diantara kita yang memilih tugas kepada keluarga mendahului dakwah. Maka jadilah masa untuk dakwah masa serpihan atau masa kecederaan sahaja. Kita lakukan tugas ini ketika seluruh tenaga sudah hampir habis dan badan sudah terlalu penat. Inilah realiti hidup. Namun peluang berkumpul saban minggu membantu menyuntik semangat dan menaikkan iman. Tazkirah dan mendengar pengalaman sahabat-sahabat yang lebih sibuk tetapi masih punya ruang waktu untuk melakukan tugas dakwah membuat kita tersipu malu pada diri sendiri. Ketika iman kita mendadak naik bukan main lagi bersemangatnya kita ingin buat itu dan ini tetapi bila iman menurun terasa sangat lemahnya hati dan kecilnya jiwa. Rohani juga perlukan makanan dan makanan paling baik ialah berjaga di sepertiga malam. Berkata-kata dan merayu kepada Allah Azzawajalla betapa hina dan betapa lemahnya kita. Tugas kita hanyalah menyampaikan dakwah agar hati-hati manusia di sekeliling kita tersentuh untuk kembali mengambil Islam sebagai cara hidup. Kita tidak akan disoal dengan kejayaan kerana itu adalah hak Allah untuk memasukkan hidayah ke hati-hati yang kita sentuh. Tugas kita hanyalah menyentuh seramai mungkin hati-hati yang gersang, resah gelisah kerana tersasar dari nur Tuhan. Demi malam dalam bulan yang penuh barakah ini, saya berdoa dan merayu kepada Allah agar menjadikan saya terus beristiqamah di jalanNya dan menjadikan ahli keluarga saya orang yang membesarkan agama. Dakwah ini perlu sangat segera diwariskan kepada mereka kerana sisa usia yang tinggal sudah terlalu sikit jumlahnya. Obor dakwah itu masih panjang perjalanannya dan masih jauh dari matlamat yang disasarkan. Semuga Allah mendengar permintaan yang sangat besar dari diri yang amat kerdil ini. Ameen.

Thursday, September 3, 2009

Rayuan Ramdhan


Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi MAWD akan diadakan. Saya sudah lama melobi orang-orang muda untuk mengambil beberapa jawatan utama untuk menerajui aktiviti daerah. Tapi biasalah "Ana tak mampu", "Ada orang lain yang lebih baik lagi" dan macam-macam lagi jawapan yang diberikan. Memegang tugas bererti memikul amanah. Setiap kamu akan disoal dengan apa yang dipertanggungjawabkan. Jika difikirkan mampu sampai kiamat pun tiada siapa yang berani mengaku dia mampu. Jika menunggu tidak sibuk, bila yang tidak sibuk. Sudah lama sangat saya memegang jawatan ini, sudah hampir 20 tahun. Saya masih ingat saya terpaksa hadir ke Mesyuarat Agong pertama ketika sedang berpantang anak kelima kerana kekurangan korum. Saya ingin berundur, bukan ingin lari dari tugas tetapi ingin memberi peluang jiwa-jiwa muda menimba pengalaman, belajar ilmu memimpin dan paling utama menghimpun pahala. Bekerja untuk Islam memang tidak glamour, tiada elaun yang dibayar , tiada kedudukan di mata masyarakat tetapi percayalah jika kita benar-benar ikhlas banyak sungguh pahala yang menanti kita di akhirat sana. Percayalah jika kita menolong agama Allah , Allah pasti akan menolong kita

Pengalaman melaksanakan berbagai program untuk masyarakat banyak mengajar saya berbagai skil yang tidak akan saya dapat jika tidak memikul jawatan ini. Bertemu dengan berbagai lapisan masyarakat dan pangkat mengajar saya menjadi berani dan yakin diri. JIM sudah banyak mengubah diri saya dan persepsi hidup saya. Jadi saya sangat berharap dapat berkongsi nikmat ini dengan pucuk-pucuk muda yang bakal mewarisi perjuangan ini. Kita tidak akan berhenti selagi belum mencapai misi dan visinya. Ayuh! jiwa-jiwa muda SPU Wanita JIM perlukan buah fikiran dan semangat orang muda yang akan digandingkan dengan hikmah orang tua untuk terus bersama Islam membina masayarakat. Ada satu perkara lucu yang tak mungkin saya lupa ialah ketika kami menganjur satu program di sebuah komplek. Mungkin kerana kurang tunjuk arah maka ada peserta bertanya seorang mak cik yang bertugas di situ" Kak...kat mana program JIM?".Dia terpinga-pinga lantas menjawab" Tu di sana" Maka bergeraklah mereka ke arah yang ditunjuk. Yang peliknya di dalam tu semua lelaki sasa sedang membina badan. Bila melihat adik-adik tu datang semula , makcik tadi bertanya"Awat tak kena, ka?" Sambil tersenyum mak cik tu berkata " Mana kak tau ..apa dia..Jin ka Jim ? Yang kak tau tu laa gym tempat orang dok pi senaman".

Saya mengimbau kembali ketika pertama kali memegang jawatan sebagai KW. Ketika JIM baru sangat ditubuhkan , 27 Julai, 1990 kami masih tercari-cari bagaimana hendak menggerakkannya. Jika selama ini ketika berusrah hanya ilmu-ilmu teori yang dipelajari tetapi bila terjun ke medan baru kita berdepan dengan realiti kehidupan. Berbagai pengalaman yang telah dilalui semua ini menjadikan kita matang dan kental jiwa. Itu cerita 20 tahun lalu kini JIM sudah mula dikenali . Malah jika anda mencari dalam wikipedia pun sudah ada deskripsinya. Marilah mengenali JIM dengan melayari webnya. Tak kenal maka tak cinta. Wahai adik-adik muda, dengarilah rayuan ini dan demi bulan yang penuh barakah ini bersegeralah menyahut seruan dari hati yang paling dalam ini. Bagi yang belum bersama JIM marilah bersama Islam membina masyarakat. Jika bukan kita siapa lagi?

Wednesday, September 2, 2009

Brooch oh Brooch




Akhirnya impian anak-anak untuk berniaga online sudah terlaksana. Sejak mendapat tahu 'Ammar ditawarkan peluang ke Korea masing-masing sudah teruja dengan brooch Korea yang cantik-cantik. Mereka adik-beradik sepakat untuk mula mengimpot brooch dan menjual secara tunjuk-tunjuk pada kawan-kawan dan sanak-saudara. Seronok juga saya melihat kemaufakatan mereka. Untuk hari raya ini 'Ammar baru sahaja menghantar shipment terbaru. Saya yang mencadangkan supaya dicari butang baju Melayu. Setakad ni not bad lah sale mereka. Saya sekadar membuka mulut tolong promo dan memberi idea untuk mereka. Selamat Maju Jaya. 90% rezeki kan Nabi SAW kata datang dari perniagaan. Ruqayyah yang asyik berkawan dan melihat budaya orang Kelantan ni yang paling kuat mengetengahkan idea. Bagi yang sedang mencari brooch untuk diri dan buah tangan pada yang tersayang segeralah menjejaki blog ini.

Di bawah Langit Biru

Berakit-rakit ke hulu
berenang-renang ke tepian
bersakit-sakit dahulu
bersenang-senang kemudian


Peluang berkumpul beramai-ramai di rumah emak/abah tidak selalu datang. Hujung minggu lepas keluarga dari empat negeri menyusuri Lebuhraya PLUS. Perjalanan yang memakan masa 45-minit menjadi hampir 2 jam. Bayangkanlah betapa kelamkabutnya kerana saya yang membawa menu utama untuk berbuka puasa. Jam sudah hampir 6.o0 petang dan kami masih terperangkap di traffik jam di KM114 . Hampir jam 7 pm baru kami tiba di Km40.4 . Mujur orang Kulim sudah tiba terlebih dahulu. Namun inilah hikmah berpuasa belajar merasai keperitan orang lain. Sesudah berbuka dengan kurma, air dan kuih-muih kami semua bersolat maghrib sementara sup tulang sedang merenih di dapur. Siap solat masing-masing pulun menyuap bihun sup yang masih panas. Ditambah dengan sejuk hujan memang enak sangat jadinya. Malam itu saya meminta suami bertarawih di rumah sahaja. Berdiri di belakang anak-anak lelaki yang semakin mencecah usia dewasa saya dengan penuh sabar mengusir ngantuk yang sesekali datang menganggu. Alangkah ruginya jika kita tidak membesarkan malam -malam Ramadhan yang penuh barakah ini. Biasanya bila pulang berbuka di kampong kami berdua selesa ber tarawih di Masjid Bukhary, Pantai Johor.

Bila anak-anak sudah besar sukar juga mengatur tempat tidur mereka. Akhirnya anak lelaki tidur di ajung atas dan anak perempuan semua di ruang tamu di tingkat bawah. Alasan supaya mudah bangun memasak sahur dan menghalang yang lelaki menonton bola hingga lewat malam. Meskipun keletihan terpancar cahaya kegembiraan di wajah emak dan abah . Hari kedua sesudah subuh emak menyiapkan pulut. Kami pun mula belajar membalut ketupat palas. Emak mengajar ketupat 'jantan' dan 'galas' tapi yang kami buat semuanya ketupat 'betina'. Akhirnya berjaya juga disiapakan 2 kg ketupat palas.

Ini semua gara-gara memenuhi permintaan Ruqayyah yang tidak berpeluang beraya di Kedah pada tahun ini. Kemudian saya mengerah anak-anak buah menyiat ayam untuk sambal ayam mak tok. Selepas itu mereka juga yang memotong daging dan ubi untuk karipap. Lepas satu menu ke satu menu yang dimasak. Semua untuk menyempurnakan permintaan anak-anak yang bakal pulang ke destinasi masing-masing sedikit masa lagi.


Kehadiran Zaffran yang sudah laju berjalan turut menceriakan suasana. Ramai betul inang pengasuhnya. Yang pasti Su Lin tidak pernah jemu mengekori Zaffran yang tak reti duduk diam. Maklumlah rumah Nek tu luas puaslah untuk dia meneroka segala ceruk dan penjuru. Ayam dan kucing sangat menarik perhatiannya.

Waktu berbuka sudah pasti paling kecuh. Bayangkan 33 orang duduk makan serentak. Rumah mak tok pun sudah jadi semakin sempit. Menu utama sudah pasti laksa Teluk Kechai bagi memadam igauan mereka yang jauh-jauh. Ada karipap, ketupat dan sambal ayam dan lasagna. Meskipun letih tetapi memang berbaloi. Mujurlah anak-anak sudah besar dan mereka yang mengambil alih tugas mencuci pinggan mangkok dan mengemas dapur. Bila sesekali berkumpul memang macam kenduri jadinya. Saya faham kini kenapa arwah mak beriya-iya memasak bila anak cucu pulang. Melihat mereka makan dengan penuh selera menjadikan hati kita bagaikan puas. Air tangan ibu juga yang sudah pasti akan dirindui bila sudah berjauhan nanti. Selepas solat tarawih suami saya memberi suntikan semangat kepada anak-anak buah yang akan menghadapi UPSR & PMR . Mereka yang lahir di zaman ibu bapa mampu menunaikan hampir semua permintaan patut difahamkan bahawa kesenangan hari ini adalah di atas keperitan dan semangat juang yang tinggi ibu bapa dan wan serta mak tok mereka satu masa dulu. Mereka bagai tidak percaya duit syiling 5 sen mampu membeli sepinggan mee atau laksa. Mereka hanya mampu ketawa bila diceritakan untuk memanjangkan usia sebatang pensel wan (abah) akan menyambung dengan buluh. Kasut lama abang akan dibungkus kemas untuk kegunaan adik-adik. Bila hujan turun masing-masing akan berlari beralih tempat kerana menghindari titisan hujan dari atap yang bocor. Saya yang tidak pernah mengalami situasi begitu turut teruja mendengar. Zaman gelap sudah lama berlalu .Wawasan emak dan abah sudah membuahkan hasil. Hari ini giliran cucu-cucu menumpang kejayaan anak-anak wan dan mak tok. Alhamdulillah, berkat doa dari wan dan mak tok saban tahun ada sahaja cucu-cucunya yang terbang ke luar negara menimba ilmu. Insyaallah lepas raya nanti Nabilah pula menjadi cucu ke empat terbang ke India untuk mencapai impiannya menjadi seorang doktor. Saban tahun juga ada sahaja cucu-cucu wan dan mak tok yang menduduki peperiksaan . Teruskan usaha dan selamat berjaya untuk Faris (SPM), Fawwaz & Nu'man (PMR), Suhail & Farah (UPSR). Selamat pulang ke Dublin , kak Raihan dan tidak lupa mendoakan kesejahteraan untuk Mak Cik Nad yang sedang bertarung dengan brain tumournya. Marilah menghidupkan malam yang masih berbaki ini dengan memperbaiki amalan kita kerana inilah fasa kedua dimana Allah akan mengampunkan hamba-hambanya. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu sudah pasti adalah dari diri kita sendiri.