Wednesday, September 2, 2009

Di bawah Langit Biru

Berakit-rakit ke hulu
berenang-renang ke tepian
bersakit-sakit dahulu
bersenang-senang kemudian


Peluang berkumpul beramai-ramai di rumah emak/abah tidak selalu datang. Hujung minggu lepas keluarga dari empat negeri menyusuri Lebuhraya PLUS. Perjalanan yang memakan masa 45-minit menjadi hampir 2 jam. Bayangkanlah betapa kelamkabutnya kerana saya yang membawa menu utama untuk berbuka puasa. Jam sudah hampir 6.o0 petang dan kami masih terperangkap di traffik jam di KM114 . Hampir jam 7 pm baru kami tiba di Km40.4 . Mujur orang Kulim sudah tiba terlebih dahulu. Namun inilah hikmah berpuasa belajar merasai keperitan orang lain. Sesudah berbuka dengan kurma, air dan kuih-muih kami semua bersolat maghrib sementara sup tulang sedang merenih di dapur. Siap solat masing-masing pulun menyuap bihun sup yang masih panas. Ditambah dengan sejuk hujan memang enak sangat jadinya. Malam itu saya meminta suami bertarawih di rumah sahaja. Berdiri di belakang anak-anak lelaki yang semakin mencecah usia dewasa saya dengan penuh sabar mengusir ngantuk yang sesekali datang menganggu. Alangkah ruginya jika kita tidak membesarkan malam -malam Ramadhan yang penuh barakah ini. Biasanya bila pulang berbuka di kampong kami berdua selesa ber tarawih di Masjid Bukhary, Pantai Johor.

Bila anak-anak sudah besar sukar juga mengatur tempat tidur mereka. Akhirnya anak lelaki tidur di ajung atas dan anak perempuan semua di ruang tamu di tingkat bawah. Alasan supaya mudah bangun memasak sahur dan menghalang yang lelaki menonton bola hingga lewat malam. Meskipun keletihan terpancar cahaya kegembiraan di wajah emak dan abah . Hari kedua sesudah subuh emak menyiapkan pulut. Kami pun mula belajar membalut ketupat palas. Emak mengajar ketupat 'jantan' dan 'galas' tapi yang kami buat semuanya ketupat 'betina'. Akhirnya berjaya juga disiapakan 2 kg ketupat palas.

Ini semua gara-gara memenuhi permintaan Ruqayyah yang tidak berpeluang beraya di Kedah pada tahun ini. Kemudian saya mengerah anak-anak buah menyiat ayam untuk sambal ayam mak tok. Selepas itu mereka juga yang memotong daging dan ubi untuk karipap. Lepas satu menu ke satu menu yang dimasak. Semua untuk menyempurnakan permintaan anak-anak yang bakal pulang ke destinasi masing-masing sedikit masa lagi.


Kehadiran Zaffran yang sudah laju berjalan turut menceriakan suasana. Ramai betul inang pengasuhnya. Yang pasti Su Lin tidak pernah jemu mengekori Zaffran yang tak reti duduk diam. Maklumlah rumah Nek tu luas puaslah untuk dia meneroka segala ceruk dan penjuru. Ayam dan kucing sangat menarik perhatiannya.

Waktu berbuka sudah pasti paling kecuh. Bayangkan 33 orang duduk makan serentak. Rumah mak tok pun sudah jadi semakin sempit. Menu utama sudah pasti laksa Teluk Kechai bagi memadam igauan mereka yang jauh-jauh. Ada karipap, ketupat dan sambal ayam dan lasagna. Meskipun letih tetapi memang berbaloi. Mujurlah anak-anak sudah besar dan mereka yang mengambil alih tugas mencuci pinggan mangkok dan mengemas dapur. Bila sesekali berkumpul memang macam kenduri jadinya. Saya faham kini kenapa arwah mak beriya-iya memasak bila anak cucu pulang. Melihat mereka makan dengan penuh selera menjadikan hati kita bagaikan puas. Air tangan ibu juga yang sudah pasti akan dirindui bila sudah berjauhan nanti. Selepas solat tarawih suami saya memberi suntikan semangat kepada anak-anak buah yang akan menghadapi UPSR & PMR . Mereka yang lahir di zaman ibu bapa mampu menunaikan hampir semua permintaan patut difahamkan bahawa kesenangan hari ini adalah di atas keperitan dan semangat juang yang tinggi ibu bapa dan wan serta mak tok mereka satu masa dulu. Mereka bagai tidak percaya duit syiling 5 sen mampu membeli sepinggan mee atau laksa. Mereka hanya mampu ketawa bila diceritakan untuk memanjangkan usia sebatang pensel wan (abah) akan menyambung dengan buluh. Kasut lama abang akan dibungkus kemas untuk kegunaan adik-adik. Bila hujan turun masing-masing akan berlari beralih tempat kerana menghindari titisan hujan dari atap yang bocor. Saya yang tidak pernah mengalami situasi begitu turut teruja mendengar. Zaman gelap sudah lama berlalu .Wawasan emak dan abah sudah membuahkan hasil. Hari ini giliran cucu-cucu menumpang kejayaan anak-anak wan dan mak tok. Alhamdulillah, berkat doa dari wan dan mak tok saban tahun ada sahaja cucu-cucunya yang terbang ke luar negara menimba ilmu. Insyaallah lepas raya nanti Nabilah pula menjadi cucu ke empat terbang ke India untuk mencapai impiannya menjadi seorang doktor. Saban tahun juga ada sahaja cucu-cucu wan dan mak tok yang menduduki peperiksaan . Teruskan usaha dan selamat berjaya untuk Faris (SPM), Fawwaz & Nu'man (PMR), Suhail & Farah (UPSR). Selamat pulang ke Dublin , kak Raihan dan tidak lupa mendoakan kesejahteraan untuk Mak Cik Nad yang sedang bertarung dengan brain tumournya. Marilah menghidupkan malam yang masih berbaki ini dengan memperbaiki amalan kita kerana inilah fasa kedua dimana Allah akan mengampunkan hamba-hambanya. Segala yang baik itu dari Allah dan yang lemah itu sudah pasti adalah dari diri kita sendiri.

No comments: