Thursday, September 17, 2009

Titip Rindu

Sudah masuk malam ke 27. Bila melihat kerdipan lampu lip-lap-lip-lap kat anjung dan beranda di rumah sekitar Pekan Kepala Batas tiba-tiba saya jadi sangat rindu pada arwah emak. Sudah hampir sepuluh tahun saya tidak berpeluang beraya di Kg Baru. 

. Suasana malam dengan liukan api dari pelita juga mengingatkan kepada Kg Baru, Dari atas rumah kami memang cantik sungguh suasana itu. Bila hampir raya sudah pasti emaklah yang paling sibuk. Bermula dengan membeli-belah di pasar Chow Kit hinggalah mengisi beras ke dalam sarung ketupat. Pada masa dulu, saya kadang jadi tak suka nak beraya. Saya suka raya yang saya tak suka bila kena buat itu buat ini sebab nak raya. Kini bila saya di tempat emak baru saya faham kenapa emak beriya-iya menyediakan sendiri. Dari merebus ketupat hingga mengacau rendang semua kami buat sendiri. Emak cuma menempah lontong dari jiran emak, orang-orang Jawa kat Kg Baru. Sehari dua ini saya sibuk membelek khazanah resepi tinggalan emak.



Secara tak sedar terbayang kesibukan emak kala menyedia juadah raya hingga dinihari. Pernah saya terlena hampir jam 2 pagi tetapi emak masih gagah berperang dengan kuali dan dapurnya. Bila bangun ketika takbir bergema di awal pagi saya bagaikan berada di dunia lain. Rumah sudah berhias cantik, pinggan-pinggan tersusun di atas meja makan. Aroma lauk-pauk dari dapur memenuhi ruang udara. Bau kuah kacang, bau kuah lodeh, ayam kelia.....oh...emak saya rindu  emak...Rindu sangat-sangat. Rumah yang berkecah macam tongkang pecah sudah berubah wajah. Saya menjenguk ke bilik emak, emak yang tidur lebih lewat sudah bersedia di atas sejadah. Emak memang hebat! Cuma tahun akhir sebelum emak pergi saya mendengar kelohan emak. Emak ingin berpuasa dan beraya di Mekah, emak dah tak kuasa nak sibuk-sibuk pada malam raya. Malam raya patutnya kita banyak bertasbih memuji Allah. Saya mengucap syukur Allah memudahkan banyak  urusan untuk menghantar emak berpuasa di Mekah. Jika ada rezeki emak akan pulang beberapa hari selepas raya. Emak saya titipkan kepada abah dan emak mertua saya. Sepanjang di sana besan-besan itu sama-sama beribadah dan ketika emak jatuh sakit emak mertua saya yang menjaganya. Rupanya takdir Allah sudah menjanjikan begitu, seminggu selepas pulang dari menunaikan umrah pada  14   Syawal. Emak pergi tak kembali lagi.Menyusul pemergian bapa pada tanggal 8 Syawal  berselang 3 tahun.  Hajat hati emak tidak mahu sibuk-sibuk menyambut raya telah diperkenankan. Emak sudah tiada untuk mengerah anak cucu memasuk beras ke dalam sarung ketupat, kami tak perlu lagi mengupas kulit ari kacang tanah sebelum digoreng, kami tak payah lagi memotong daging dan menunggu api rendang dan paling sedih sudah hampir sepuluh tahun saya tak dapat mencium tangan dan memeluk emak di awal pagi Syawal. Kini yang tinggal sudah pasti kenangan dan kenangan. Tiba-tiba saya jadi sangat rindu pada bapa dan emak. Sudah pasti nisan batu di kubur Ampang tetap setia menanti sanak -saudara yang sudi berkunjung. Dari kejauhan ini anakmu titipkan rindu buatmu berdua....muga berbahagia di sana dengan kiriman doa-doa dan huluran pahala-pahala anak-anakmu di Ramadhan ini. Insyaallah ...kami juga tetap pasti akan menyusul..

2 comments:

Aina Emir said...

Salam...

Sedihnya saya baca entri ini. Saya masih ada lagi emak saya yang tinggal dengan saya. Abah sahaja yang dah lama tak ada. Tiga puluh tahun. Memang setiap bulan Ramadhan, kita sering mengimbau semula kenangan lama. Itulah indahnya hidup ini kerana masih berupaya untuk mengingati perkara lalu, termasuk orang-orang yang kita sayangi.
Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin.

ummiyati said...

Waalaikum mussalam, Kak Aina, Terima kasih kerana memahami. tidak muadah kita melupakan yang silam walaupun para motivator menyuruh kita meneruskan perjalanan. Kita perlu menoleh ke belakang untuk menghargai apa yang ada pada kita hari ini. Muga dapat terus berbakti sementara ibu kak Aina masih ada. Selamat Hari Raya, muga Ramadahan yang bakal pergi berjaya mentarbiahkan kita.