Friday, January 21, 2011

Asyik Tak Dan Ja...

Sudah hampir 2 minggu  keluarga kami menyambut 'orang baru'. Dan baru minggu ini saya  pulang ke rumah. Kini saya sepenuh masa mengurus ibu dan cucu-cucu. Oh! Masa beranjak sudah pasti lensa kehidupan kita juga berubah. Jika dulu saya hanya melihat arwah mak dan mak mengurus ibu-ibu dalam pantang dan cucu-cucu yang ramai kini tiba pula giliran saya. Pada hari pertama tiba bayangkan sambil menyiang ikan yang berjam-jam terbengkalai di dalam sinki saya boleh terlelap. Manakan tidaknya, perjalanan jauh dan memakan masa berjam-jam itu memang amat meletihkan. Tiba di rumah sudah tentu bukan sempat untuk duduk-duduk lagi. Terus memegang periuk menanak nasi untuk orang dalam pantang  dan untuk bekalan suami ke tempat kerja. Mujur teknologi masa kini membantu saya meminta pertolongan jiran terhampir mencari sejenis -dua ikan dan sayur untuk dimasak.

Ketika ibunya makan saya memandikan MZRSenior sambil  memerhati MZR Junior yang sedang tidur. Beg-beg dialih ke bilik dan  ke tingkat atas. Saya menyediakan tempat untuk ibu & anak berbaring di siang hari. Mudah saya menghantar tungku, menukar lampin dsbnya. MZR Sr yang puas tidur di dalam kereta asyik explore isi bakul mainanya. Saya cuba juga meletakkan kepala sambil lena-lena ayam. Maklumlah budak kecil yang sedang belajar tentu ada-ada sahaja yang dilakukan .Takut-takut ada yang merbahaya pulak.



Saya naik ke atas untuk solat dan dia pun ikut naik. Dia tahu bila masuk ke bilik saya ada satu benda yang dicarinya. Walaupun dia masih pelat-pelat bercakap saya tahu bila dia asyik menjengok ke sana sini sambil berkata "mana ya...mana ya.."Mencari  lampu  suloh kegemarannaya. Dan kami berdua sudah siang-siang menyorok lampu itu darinya.Dah lama juga rumah kami tak jadi child prone area.

Dulu saya merancang bila  anak saya balik berpantang bolehlah ayah  cu yang sedang menunggu keputusan SPM menjaga dan mengawasi MZR  Sr. Tapi Allah juga sebaik-baik perencana. Jadi nampak gayanya saya kena gunakan kembali segala skil semasa menjadi guru pra sekolah dulu. Bukan senang melayan kerenah budak dua tahun yang selalu disebut terrible two. Mood nya pula cepat berubah. Sekejap nak main kereta lepas tu terus bangun nak tengok Youtube dengan segala trucks and sewaktu dengannya. Hai...sorang lagi ke nak jadi engineer ni ? Mujurlah saya sudah biasa melayan 7 anak dan beratus-ratus anak seusia dengannya . jadi mudahlah sikit tugas .

Cucu baru alhamdulillah.Memang tak banyak sangat kerenah. Tapi nama pun budak kecik berjaga malam tu memang sudah lumrah. Patutlah saya pernah membaca sebuah tulisan yang berbunyi. Anak kecil itu ibarat raja dan ibunya seperti hamba. Dia yang menentukan waktu bangun dan tidur ibunya di malam hari. Siibu akan bangun di tengah malam untuk menyusu dan menukar lampin walaupun matanya kelat kerana mengantuk dan paginya akan bangun sebelum anaknya bangun untk menyiap keperluan untuk esok hari.
Muhammad Zariff Rayyan  sudah hampir dua minggu bersama kami.
Putaran hidup yang meminta demikian. Selagi daya dan upaya sudah pasti saya dengan rela hati akan melakukan tanggugjawab tersebut. Menu harian juga sudah jauh berubah. Waktu makan kami sudah tidak seperti dulu. Suami saya juga tidak banyak soal.Apa yang saya jamu itulah yang dimakan walaupun sekadar satu lauk dan satu sayur. Cuma saya sendiri sudah hilang selera untuk makan. Terlalu letih atau kerana lauk yang tidak kena dengan selera. Tapi pada siapa lagi  yang nak diharapkan. Sendiri mau makan sudah pasti sendiri kena masak. Tapi bila sudah  badan sudah letih main makan ajalah apa yang ada di depan mata walaupun sekadar  masak  pindang dan sayur air. Menunggu chef Insaniah pulang memasak dia pun asyik merap mengidam itu dan ini. Jadi nampak gayanya saya masih belum boleh mengantung apron dan mengelap tangan kering-kering. Entah mimpi apa  kelmarin ketika saya keluar mencari barang rumah saya merayu pada suami "Boleh tak saya nak beli Mc D burger satu?" Sambil menghulur duit dia berkata "Makan makanan  tak sihat. Pergilah..."Saya dengan sukacita menghala ke kaunter meninggalkan dia  melayan MZR Sr. Saya makan dengan penuh selera tanpa sedikit pun mempelawa mereka. Sebagai balasan sebaik tiba di rumah saya segera mencapai periuk dan pisau. Bila makanan siap dimasak saya segera menghidang dan menyuruh suami dan anak saya makan. "Tak makan sama?" suami menyoal. "Dak kot..masih kenyang..."balas saya. "Hm..makan makanan tak sihat "omelnya lagi sambil menyudu sup  bawal putih ke nasinya. Saya segera mengemas sinki sebelum duduk menemannya  makan. Belum pun sempat meneguk air kurma di depan si MZR Jr sudah berbunyi.  "Nampaknya wan  kena belajarlah makan tanpa teman " Saya berkata . "Hm..."suami membalas pendek sambil melihat saya bangun . "Tak minum?" soalnya. "Hm...tak dan...dah"balas saya .



Friday, January 14, 2011

Jom Beli Buku

Sudah dua hari saya di KB. Perjalanan pagi itu lancar sahaja. Penumpang pun tidak ramai dan kenderaan juga tak banyak di jalanraya. Bas pun sampai awal dan saya terus ke rumah besan. Anak , mennatu dan cucu-cucu ada di situ Sejak pulang dari hospital mereka berkampong di rumah opah. Selepas solat dan makan kami berkemas-kemas untuk balik ke PT.

Rutin harian menjaga orang bersalin memang padat.Mujur juga ada buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu dapat juga jadi rujukan . Maklumlah bukan mudah menjaga orang dalam pantang. Jika tidak dibukukan banyak petua dan tatacMengikut pendapat pakar perubatan Barat semasa melahirkan siibua kana mendapat luka atau kecederaan ringan, antaranya terkoyak otot di lantai punggong.Banyak jahitan perlu dilakukan. Siibu juga terdedah kepad komplikasi serius ketika melahirkan.seperti pendarahan, tersangkut uri, bayi sonsang, sakit bersalin berpanjangan dsbnya.

Melahirkan juga adalah tugas suci yang diamanahkan Allah kepada wanita. Ia tugas untuk memperbanyak dan memperkembangkan bangsa manusia. Untuk tugas ini Allah sediakan ganjaran, pahala dan keampunan bagi para ibu . Sebagai manusia Islam kita dituntut banyak berdoa agar dipermudahkan segala urusan.

Buku yang ada di tangan saya ini sangat berguna . Walaupun harganya agak tinggi RM145 tapi anggaplah ini sebagai pelaburan yang akan digunakan untuk kesejahteraan rumah tangga.  Kata orang jika ingin melihat generasi akan datang lihatlah wanita hari ini. Jika si ibu sentiasa sihat insyaallah urusan rumah tangga dan kehidupan seharian akan menjadi ceria tapi jika si ibu sakit atau sedikit tidak sihat sudah pasti segala urusan harian akan terjejas.

Kesihatan adalah anugerah Allah yang sangat berharga. Saya terkilan bila ada wanita yang mengabaikan penjagaan diri ketika berpantang. Ketika tubuh masih muda memang kita rasa sihat dan cergas tetapi penyakit di hari tua  adalah berpunca dari timbunan toksik bertahun-tahun lamanya. Juga sebuah buku yang baik untuk dibaca dan dimiliki ialah buku Mengapa Rasulullah Tidak Pernah  Sakit. Buku ini ditulis oleh seorang doktor perubatan. Harganya RM19.90 Juga tidak rugi untuk dimiliki kerana buku ini sedang diulang cetak kerana cetakan pertamanya telah habis dalam masa dua minggu sahaja. Membaca akan membuka minda kita.

Sunday, January 9, 2011

Yang Di Tunggu

Mungkin terlalu letih hingga saya tidak perasankan mesej yang masuk pada jam 2.54 pagi. Maklumlah sepanjang hari asyik berjalan. Awal pagi sibuk memasak untuk dibawa bertemu bang cu di Sik. Perjalanan hampir satu jam jarak 79km dari rumah. Kami tiba di kem tersebut hampir jam 10.30 pagi. Nombor badan Wira 565 dengan wajah selamba datang bertemu kami. Di masa yang sama ibubapa lain juga mula tiba dan sedang bertanya kabar pengalaman seminggu anak-anak mereka di kem tersebut.

Dari Sik kami terus ke AS. Singgah makan tengahari dan melihat persiapan orang masuk rumah di Taman Uda. Selesai solat asar kami ke Mergong mencari tok saudara. Nampak gayanya hajat ingin meminta tok njang mengurut anak saya selepas bersalin tak kesampaian. Dia baru menjalani pembedahan mata menukar kanta. Jadi  kena mula mencari tukang urut lain pula.

Malam tadi kami tidur di rumah mak-abah. Agak lama juga tidak tidur di situ kerana mengurus rumah Taman Uda. Pagi ini ketika bersarapan menantu saya menelifon. Yang ditunggu sudah selamat zahir ke dunia. Hm... bertambahlah lagi seorang lagi anak lelaki dalam keluarga kami.

Alhamdulillah...syukur kepada Allah yang memudahkan ibunya melahirkan kali ini. Mula sakit pada jam 3 pagi dan pagi selepas menghantar Zaffran ke nursery baru mereka ke HUSM. Proses kelahiran yang panjang biasanya jadi igauan ngeri bakal-bakal ibu. Ketika saya melihat SMS jam sudah menunjuk 7.15 pagi. Saya segera menelifon.Anak saya dalam perjalanan ke bilik bersalin. Sudah pasti jantung saya berdegup kencang. Ya Allah...mudahkanlah...mudahkanlah....itulah yang saya bisikkan saya berdoa seikhlas hati berulang-kali.
bayi lahir 7.59 pagi 9/1/11
Rasa hati bagai tidak sabar ingin segera bersamanya. Namun ada  beberapa perkara besar terpaksa dilakukan minggu ini. Ada dua temujanji penting untuk suami saya di Hospital Seberang Jaya minggu ini. Walaupun kasih ibu sepanjang hayat namun saya pasti suami saya tentu ingin saya di sisinya ketika saat sukar ini.

Allah saja tahu perasaan kami bila pertama kali menatap wajah cucu sulung hampir 3 tahun lalu
Jika diizin Allah, jika kesihatan suami okay dan banjir di Kelantan pulih dapatlah kami menjengok anak, menantu dan cucu-cucu hujung minggu ini. Buat masa ini saya menitipkan anak saya untuk dijaga oleh ibu mertuanya. Muga Allah mempermudahkan segala urusan...ameen. Ya Rabbal Alamin

Friday, January 7, 2011

Kala Hujung Minggu

Hujung minggu bakal datang. Di masjid A Taqwa sudah tersedia program hujung minggu .Derma darah, akikah, pemeriksaan kesihatan bersam ACMS Jadual IKRAM juga penuh. Selagi bernafas kita tak  akan berhenti merancang dan merencana. Hujung minggu juga hari ibu bapa pergi melawat atau mengambil anak-anak dari asrama. Juga hujung minggu hari untuk anak-anak yang sudah  dewasa kembali menziarahi ibu ayah di kampong. Cukupkan keperluan mereka.  Kita akan belikan stok makanan basah dan kering  atau bawakan ke klinik  jika tidak sihat. Kadang kita lupa keperluan rohani dan emosi mereka. Apa salahnya jika kita luangkan sedikit masa untuk membawa mereka berziarah ahli keluarga atau rakan taulan mereka. Kita selalu merasakan masa kita sangat berharga. Tapi jika kita niatkan sedikit bakti kita untuk mengembirakan hati ibu bapa tentu besar pahalanya. Kalaulah kita tahu banyak mana besarnya pahala itu tentu kita akan saling berebut untuk berbakti kepada ibu bapa.


 Di barat bukan mustahil orang tua mati sendirian terutama pada musim sejuk


Saya pernah bertemu seorang anak muda yang sedang mencari jodoh. Dia seorang jurutera . Syaratnya mudah sahaja. Dia mahukan bakal isteri yang tidak bekerja dan sanggup bawa ibunya pergi belajar agama di mana-mana  masjid/surau atau tempat yang diingininya. Subhanallah....kata orang dulu-dulu sejuk perut ibu yang mengandong. Bila usia sudah beranjak, badan pun sudah mula sakit di sana sini sudah pasti hati ibunya hanya duduk mengira berapa lama lagi umurnya di dunia ini? Sudah pasti dengan ruang masa yang ada si ibu hanya  ingin melakukan segala amalan baik untuk bekalan  berjumpa Allah.Semuga Allah menemukan jodoh yang baik untuk anak muda ini.

Dan alangkah beruntungnya jika kita juga mampu meluang masa membawa ibu ayah kita yang telah tua berjamaah dan mendengar pengajian di mana-mana masjid/ surau. Kenapa kita  jarang memasukkan ibu/bapa kita dalam agenda hidup kita? Sedangkan mereka sanggup hidup susah ketika muda  semata-mata  untuk melihat kita hidup bahagia hari ini.Ketika muda mereka mungkin bangga bila anak-anak berjaya dalam akademik dan menjawat jawatan yang tinggi-tinggi di dalam kerajaan atau swasta .Tetapi bila sudah lanjut usia mereka hanya ingin melihat anak cucu mereka orang-orang yang mendirikan solat, orang yang banyak berdoa, melakukan kebaikan dan meninggalkan larangannya.

Kebetulan ada pula orang yang mengutus e mail ini kepada saya.Muga dapat dimanfaatkannya.

 Jika anda ingin jadi orang yang rajin mengerjakan Solat, amalkanlah doa ini.

Bacalah selalu Surah Ibrahim: Ayat 40

Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."

Surah Ibrahim: Ayat 40-43
[40] Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.
 
[41] Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.
 
[42] Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).
 
[43] (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas). 

Picture : Muslim Prayer pose old

Malang sekali bila  berlaku kecil hati dan salah faham di antara ibu dan anak sehingga ibu merajuk hati dan pergi membawa diri.Ini bukan cerita sinetron tetapi realiti hidup masa kini. Semakin tinggi pangkat dan banyaknya harta kita , masa senggang kita menjadi sangat pendek dan sangat berharga. Kita juga yang menentukan agihan masa kita. Kenapa menunggu waktu petang jika kita mampu melakukan kebaikan itu di waktu pagi? Itu adalah kata-kata hikmat yang sering digunakan bagi mengajak kita bersegera melakukan kebaikan. Reda ibu bapa adalah reda Allah. Usah pandang remeh kuasa doa yang ada pada ibu bapa . Mereka mampu mengubah hidup kita  hanya dengan menadah dua tangan ke langit. Dan jangan tunggu sehingga pintu rahmah dan kasih sayang mereka sudah tertutup baru kita teresak-esak mencari mereka. Cukuplah kisah Hingga Hujung Nyawa kekal sebagai  cerita dalam filem yang tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang telah mati.

Thursday, January 6, 2011

Mencegah Itu Lebih Baik

Sudah beberapa hari masuk tahun baru. Kami sudah kembali berdua setelah menghantar Harith balik ke asrama dan bang cunya ke Kem PLKN. Cucu yang dinanti belum lagi mahu meninggalkan zon selesanya. (Agaknya kalaulah  kita semua tahu betapa hidup ini penuh dengan ujian demi ujian dan diberi pula pilihan sudah pasti kita sendiri tidak mahu keluar dari rahim ibu selama-lamanya.) . Kita merancang Allah juga yang menentukan. Pada minggu terakhir tahun 2010 kami bercadang membawa anak-anak ke Kuala Gula tetapi rupanya Allah telah menyediakan perancangan yang lebih baik untuk kami. Suami saya tiba-tiba  mengalami perut memulas yang sangat kronik pada jam 2 pagi  26hb Disember 2010.

29 Disember,2010 jam 3 petang:

Saya di rumah bersama anak-anak. Sambil memaksa mereka melipat pakaian untuk dibawa ke asrama/kem kami menonton  3 Idiots. Saya yang jarang sangat menonton cerita Hindi akhirnya terpaku bersama mereka. Harith komen " Abu patut tengok cerita ni"  Bangcu menyampok "At least abu well prepared  kalau ada students macam depa tu ".Tiba-tiba suami menelefon dari tempat kerja .Perut memulas lagi. Saya segera mencari minyak angin dan memanaskan heating pad. Suami sedang memandu pulang dan hati saya berdegup kencang. Mata asyik melihat jarum jam yang dilihabergerak terlalu lambat.

Suami selamat tiba  dan terus berbaring. Setelah meletak minyak angin dsbnya saya segera ke dapur. Menu petang ini ialah bubur nasi atau moi.untuknya. Untuk anak-anak masih ada lauk lebihan  tengahari. saya segera menyiapkan makan malam dan menyuruh mereka makan kerana selepas maghrib ada ceramah isu Palestine oleh bekas Imam Masjid Al Aqsa di Masjid At taqwa. Selesai masak saya berbincang dengan suami. Dia mesti dibawa ke klinik. Mujur klinik berhampiran rumah dibuka hingga jam 11 malam. Menanti doktor tiba suami saya berbaring di kereta kerana di ruang menunggu klinik riuh pelanggan 'pesakit' sibuk menyokong perlawanan bola Malaysia-Indon. Doktor datang dan dia meminta suami saya membuat ujian batu karang dan ECG. Setelah diberi satu suntikan kami pulang. Katanya 'nothing serious...just wind"

Walaupun anak-anak teruja kerana Malaysia menang tetapi kami  tidak ceria langsung. Ubat tahan sakit yang dibekal doktor tidak mampu menahan sakit di perutnya. Semalam-malaman dia tidak dapat tidur. Saya membantu menyapu segala bam panas untuk meredakan kesakitan. Pagi-pagi selepas subuh jiran kami datang melawat. Doktor S menyuruh kami bertemu pakar Radiologi di Pusat Diagnostik Anda. Selepas sarapan kami segera ke sana. Bila di scan rupanya ada batu di pundi hempedu. Jadi bila suami saya mengambil makanan berlemak dan berminyak hempedu terpaksa berkerja keras untuk  menghadam makanan tersebut. Kami teringat pada cuti Krismas lalu kami telah menghadiri dua kenduri. Malamnya kami keluar makan kerana anak dan menantu  saya ingin meraikan kejayaan PMR Harith. Mungkin kerana terlebih makan makanan berlemak menyebabkan perut suami senak dan memulas  pada jam 2 pagi  (26/12/10). Itu serangan dan petanda pertama bahawa ada penyakit lain yang lebih kronik sedang menanti. Hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja.Banyak sangat silence killer sekarang ni !

Jadi bila ada yang mengadu banyak  angin dalam badan eloklah berjaga-jaga. Dapatkanlah pemeriksaan kesihatan untuk mengelak sesuatu yang sudah sampai ke tahap yang tidak dapat diubati. Suami, saya dan anak-anak menyiap minda dengan mencari segala yang berkaitan dengan pembedahan yang mungkin terpaksa dilakukan. Anak-anak dari dalam/luar negara tak henti-henti telefon bertanya kabar. Begitu juga kawan rakan, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan sekerja. Saya bersyukur dikelilingi mereka yang begitu prihatin. Sokongan moral amat diperlukan dalam saat kita ditimpa ujian. Meskipun hati dan pergantungan kita tetap kepada yang memberi ujian tetapi sedikit kata nasihat dan saling bertanya kabar sebenarnya mampu mereda resah dan gundah di jiwa. Sekali sekala sakit adalah cara untuk Allah mengampun dosa -dosa kita.Makin banyak ujian yang datang makin Allah sayangkan kita. Insyaallah, Allah menguji kita dengan apa yang mampu kita tanggung. Dan saya terus-terusan menghitung hari.