Monday, June 20, 2011

Dari Suwon KuKirim Rindu

Ni pula segala macam makanan depa ..siap susun punya meriah
 Memang tak pernah bercita-cita dan bermimpi akan sampai ke Korea. Walaupun kawan-kawan dan saudara mara asyik bertanya bila mahu ke Korea. Saya hanya tersenyum dan menjawab insyaallah. Jika saya bekerja dan punya pendapatan sendiri mungkin sudah lama kami ke sini tetapi dengan kekangan kewangan sudah pasti hasrat itu tidak pernah disimpan di sudut hati. Namun siapalah kita yang mampu meneka apa yang telah Allah sediakan untuk kita. Cuma kita saja yang sering tidak sabar dan tidak bersangka baik dengan Allah. 

Saya terkenang ketika di tingkatan 5  saya selalu bercita-cita ingin melanjut pelajaran ke England. Walaupun ada banyak lagi negara di dunia tetapi entah kenapa suka sangat nak ke England. Mungkin kerana kerap sangat baca buku sejarah dan macam kenal sangat Frank Sweatenham, Hugh Low, Francis Light sampai teringin sangat nak ke negeri mereka. Ketika itu memang saya tak suka pada Tok Janggut, Datuk Bahaman.Oh! Rupa-rupanya  teks buku sejarah yang ditulis ketika itu berjaya mencuci otak saya dan mungkin ramai lagi rakyat Malaysia. Cuma bila saya semakin dewasa , mula meminati politik, mula faham saya perlu melakukan sesuatu untuk masa depan yang lebih baik untuk masa depan barulah saya rasa terhutang budi pada  Datok Bahaman, Datok Maharaja Lela, Sultan Abdullah, Tok Janggut dan lain-lain. 

Keputusan MCE diumumkan saya mampu ke ITM dan bukan ke England. Adik saya yang tahu saya bersahabat dengan seseorang  sering mengusik. "Tak pa kak Ti nanti sure boleh punya pergi England". Mengarutlah...saya dan dia kawan saja, mana ada apa-apa pun. Tapi kuasa Tuhan siapa yang tahu, dia yang saya sangka tak ada apa-apa tu akhirnya bertanya jika saya sudi berkahwin dan mengikutnya ke England. Oh Tuhan! Saya terkesima. Mahu belajar sampai tamat. Mahu mak, bapa dan wan bangga dengan kejayaan saya atau berkahwin muda. Memang sukar membuat pilihan. Jalan terbaik yang disaran mak ialah buat solat istikharah. Berkali-kali saya bangun malam ketika adik beradik yang lain enak tidur saya solat dan merintih.Meminta Allah memberi petunjuk dan pilihan terbaik untuk saya dan masa depan anak cucu saya nanti.

Dan akhirnya kami bernikah dalam satu majlis sederhana seminggu selepas raya puasa. 6 bulan kemudian saya berangkat ke England dan tinggal di sana selama 18 bulan. Dan kemudian pergi semula selama 12 bulan lagi. Tahun 1994 kami berjaya menunaikan fardhu haji ketika anak keenam saya baru berusia 6 bulan. Saya tidak pernah lagi bekerja sepenuh masa. Sebahagian besar usia dan tenaga saya ditumpukan kepada usaha dakwah dan mendidik anak-anak . Seorang demi seorang melangkah meninggalkan rumah. Anak keempat saya paling awal keluar. Dari usia 12+ tahun. Sehingga kini sudah 11 tahun rupanya.Namun kecanggihan teknologi sentiasa mendekatkan kami. Berhubung bila dan dimana saja. Terima kasih kerana Allah memudahkan saya melempiaskan rasa rindu pada anak-anak. 

tiap rumah mesti ada pintu gerbang cantik berukir pulak tu..unik kan?

Ketika anak ke dua di Australia  kami tidak berpeluang menziarahinya kerana sibuk merancang dan bersiap untuk majlis perkahwinan anak sulung.Dan kunjungan ke Korea ini adalah anugerah Allah untuk kami setelah sekian lama dalam keadaan yang agak tertekan. Begitulah cara Allah menguji hambaNya . Berbagai ujian yang menanti dan dengan kesabaran serta ketajaman akal semua itu dapat dilalui. Dia yang menguji dan Dia juga yang menunjuk jalan keluar. Persiapan untuk perjalanan ini telah dibuat sejak November lalu. Saya pasti jika baru ini kami merancang untuk datang ke sini sudah tentu itu  akan tinggal angan-angan sahaja. Maklumlah bermula bulan Februari sehingga Mei tak henti-henti ujian kesihatan diberi Allah. 

Alhamdulillah, selama beberapa hari di sini kesihatan suami ditahap yang memerangsangkan. Kami yang biasa hidup di rantau tidak cerewet mencuba makanan. Jika di Malaysia sentiasa manjakan diri dengan berkereta dan bermotor .Di sini kami banyak berjalan, naik bukit turun bukut, naik train turun train. Pada mula memang terasa penat dan sakit perut betis tetapi apa yang dalam fikiran itu rupanya mampu mengubah persepsi kita. Bila kita kuatkan semangat semuannya menjadi mudah rupanya. Segala ubat dibawa sebagai persediaan tetapi setakad ini alhamdulillah masih belum disentuh.

Esok kami akan ke Jeju. Kami berdua tidak teruja sangat untuk membeli-belah .Walaupun pramugari siap berpesan "Happy shopping". Kami lebih suka berjalan, mengambil gambar dan melihat cara hidup orang di sini. Semalam saya sudah berbaik-baik dengan jiran anak saya. Seorang nenek tua tetapi masih rajin mencari kertas-kertas kotak yang dibuang orang untuk dijual. Tanah sekangkang kera di tepi rumah ini penuh dengan salad dan labu. Rajin sungguh mereka. Belum lagi dihitung kekuatan fizikal mereka.Mendaki bukit bagaikan berlari di padang datar.Naik tangga macam melunsur dari gelungsur. Uis...malunya kami.

Walaupun nampak mereka macam tidak peramah tetapi bila kita sudah menegur mereka akan menjadi sanagt ramah. Semalam saya menghulur sebungkus Orea dan pulangan seberkas daun salad segar untuk makan malam kami.Salad yang saya selalu dapatkan di Tesco SP  dengan harga RM4 hanya saya bayar dengan senyuman manis di sini. Orang berbudi kita berbahasa. Fanzuru.....berjalanlah melihat kebesaran Allah dan Dialah menjadikan kita bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Tiadalah antara kita siapa yang lebih mulia kecuali mereka yang beriman dan tinggi taqwanya. S

maklumlah tanah berbukit rumah pun dibina bercerun-cerun..puas kami mengurut betis
Sehingga salam dari Jeju.Cukuplah dulu....saya sudah berjanjji mahu jalan-jalan sekitar rumah sahaja kerana anak sudah ke SKK untuk final papernya. Kita kan boleh survive dah tau jalan walaupun tak faham bahasa depa. Tu la hari tu nak bawa buku translation beg dah ngam-ngam 20kg. Jika tak bolehlah faham lain dari anyeo sayyeo tu....hm...kena mai lagi nih!!!!

Tuesday, June 7, 2011

Seminggu Berlalu

Cuti sekolah sudah masuk minggu kedua. Uitm juga sudah memulakan kuliah untuk pelajar asasi dan diploma.  Cuti yang tidak sama . Nampak gayanya anak-anak terpaksa memerap di rumah mengadap TV atau komputer.Ibubapa pula bertugas dan tidak boleh bercuti. Mujur anak saya sudah penuh jadualnya sepanjang masa cuti ini. Menjadi urusetia untuk Ekspo Pendidikan Islam yang diadakan di sekolahnya dan selepas itu ke Rantau Abang menyertai program LEADERS anjuran IKRAMteens di sana.
Program LEADERS bertujuan melatih remaja menjadi pemimpin yang seimbang fizikal, mental dan spiritual, memandu remaja untuk membentuk matlamat hidup yang jelas, mempraktiskan konsep berpasukan dalam bekerja dan mempraktikkan asas asas dakwah. Program LEADERS 2011 kali ini turut dibantu oleh barisan fasilitator yang terdiri dari pelajar IPT yang sedang bercuti dari pelbagai latarbelakang bidang pengajian.


Aktiviti aktiviti menarik yang dijalankan ialah taaruf al-ankabut, sambutan karnival Palestin-Kami Bersamamu, trekking de Rantau, kenali penyu, seruanku dan banyak lagi. Semua aktiviti adalah bercorak kerja berpasukan dan melatih peserta menonjolkan kepemimpinan secara individu dan berkumpulan. Peserta juga dilatih untuk solat wajib dan sunat di tepi pantai diatas pasir bertemakan alunan ombak dan berlangitkan bintang bintang. Kata  anak saya  "3 hari yang sangat besssttt...."
Saya sudah agak 'lapang' sekarang. Dua bulan lepas yang cukup padat. Abah jatuh sakit, pembedahan suami, kelahiran  cucu dan kematian abah.  Rintitan  peristiwa besar yang memerlukan kami  semua mengatur sebaik mungkin  jadual hidup masing-masing. Jumaat lepas  Lutfil Haziq sudah pulang ke rumahnya. Insyaallah, seminggu  lagi mamanya akan kembali bertugas . Jadi dia perlu dibiasakan dengan mak toknya. Segala persiapan telah disediakan. Tempat tidur dan stok susu ibu yang memenuhi peti sejuk insyaalllah cukup untuk menampong keperluannya.Terasa juga sunyi bila mereka berangkat pergi.Tapi apakan daya bertemu dan berpisah itukan lumrah  hidup.




 Hujung minggu lalu kami berdua pulang menziarahi mak .Masyaallah, jalan sesak teruk. Bermula dari tol Bertam hingga ke SP Selatan. Kami mengambil masa dua jam untuk sampai ke AS(U). Bila memikirkan keadaan jalanraya pada musim cuti dan perayaan saya bersyukur tidak tinggal jauh dari kampong. Nikmat berjalan-jalan dalam suasana tenang sudah ditarik Allah. Kenderaan juga bersesak teruk untuk membayar tol. Ketika ini  kami sangat bersyukur kerana ada Smart taq. Segera singgah untuk solat asar yang telah terlewat di Masjid Sultanah. Dalam perjalanan ke rumah mak kami singgah sebentar menziarahi pusara abah. Hujan renyai-renyai dan harum kemboja  bersama  bayu petang menyapa kami. Rasa sebak dan sayu masih kuat terasa..  Abah tetap di hati.

Rintik hujan dan harum kemboja  menemani abah

Setiba di rumah mak sedang berehat  sambil jarinya membilang buah tasbih. Sudah sebulan abah pergi meninggalkan kami. Airmuka mak masih mempamerkan kesedihan yang masih berbekas. Minggu lepas adik ipar saya pulang bersama anak-anaknya.Sekurang-kurangnya mak tidaklah terlalu sunyi. Dulu rumah mak sering jadi tempat cicit -cicit saudara mak  bermain tetapi  sejak kebelakangan ini  tidak lagi. Mungkin kerana ingin memberi ketenangan kepada mak yang masih dalam tempoh berkabungnya.Suara dari TV Hijrah mengisi kesepian senja . Suasana sudah tidak serupa dulu. Abah pergi dan membawa bersamanya segala keceriaan dan kegembiraan dari rumah ini. Saya bagaikan ternampak-nampak abah di sana dan di sini. Saya percaya mak pun demikian juga. Sudah pasti lebih mendalam lagi. Perkongsian hidup yang cukup lama sudah pasti tetap akan meninggalkan kesan yang cukup berat di jiwa mak. Bila melihat mak saya selalu membuat refleksi diri. Mampukah saya melakukan apa yang telah mak lakukan dan bersediakah saya jika tiba-tiba suami dipanggil Tuhan? 

Friday, June 3, 2011

Selagi Rebung


Satu Rejab datang lagi, sudah pasti tarikh ini sangat diingati. Hari lahir cucu pertama kami. Betapa saya tidak senang duduk bila mendapat kabar ibunya masih belum melahirkan. Bayi masih belum diizinkan menjengah dunia. Saya tak henti-henti berdoa agar kelahiran ini dipermudahkan. Kasih ibu sepanjang hayat. Cubit peha kiri, pasti terasa peha kanan. Jika dekat mungkin saya sudah berkejar ke sana.


  Akhirnya bayi yang ditunggu lahir juga lebih kurang  jam 6 petang. Tak sabar ingin menatap wajah mulus itu. Anugerah serta amanah Allah pada kami semua. Sudah pasti kelahiran ini dinanti dengan persiapan yang sempurna. Fizikal, mental dan harapan-harapan yang besar di jiwa ibu/abahnya. Sudah pasti semua orang impikan anak dikandung menjadi anak yang soleh .Yang menjaga ibu/abah ketika sudah tua, juga mendoakan ibu/abah bila mereka sudah tiada. Juga pejuang dan penegak agama Allah di bumi ini.
 Muhammad Zaffran Rizqi memang sangat  istimewa. Cucu pertama dan anak saudara pertama mak dan  pak saudaranya. Sejak kelahirannya, kami semua sentiasa teruja dengan perkembangannya. Tiap detik ada-ada sahaja akalnya dan kerenahnya. Semuanya mengujakan.

Awal tahun ini, MZR mendapat seorang adik lelaki, yang kami gelar MZR2. Sepanjang ibunya berpantang saya yang banyak mengurus keperluannya. Sejak itu kami menjadi semakin rapat. Satu hari 'Ammar membawa dia berjalan-jalan. Di hujung taman saya sebuah bulldozer sedang bekerja menolak tanah. Bila pulang dia sibuk bercerita "Sian...kokok nih.....apa dozer nih...." Saya yang tak faham apa-apa hanya melayan dia bercerita sehinggalah pak njangnya menjelaskan. Rupanya dia marahkan bulldozer yang menolak dan menumbangkan  pokok-pokok di hutan kecil itu. Esoknya saya membawanya melihat bulldozer yang sedang diparkir di depan rumah jiran. Dia segera berlari dan memukul bulldozer tersebut sambil berkata "Apa dozer nih...' marah tak habis lagi gamaknya. Kalau besar jadi pencinta alam.

Setiap malam ada  mamak roti yang akan lalu di depan rumah kami. Bila mendengar bunyi ' pet-pet' dia  pasti sibuk mencari duit. Sehiungga kini  kata ibunya bila terjumpa duit pasti dia sibuk mengajak ibunya membeli roti pet-pet. Apa yang saya ingin tekankan  ialah tentang memori ketika zaman kanak-kanak. Yang baik , yang buruk semua akan diserap seperti sponge. Anak ibarat kain putih. Dan kita yang mencorakkannya. Jika mereka dibiasakan dengan perkara yang baik-baik sudah pasti dia akan membesar dan terbiasa dengan yang baik-baik itu. Begitulah sebaliknya. Janganlah kita sering menyejukkan hati kita dengan berkata "Depa kecik lagi..." bila melihat tingkah laku mereka yang tidak berkenan di hati kita. Takut-takut sedar tak sedar tengok-tengok mereka sudah besar dan sudah menjadi buluh yang sudah payah dilentur. Siapkan diri dengan  membaca bahan-bahan yang membantu kita mendidik mereka.

" Zaffran, selamat ulang tahun semuga Allah merahmati hidupmu dan menjadikannya  penuh kebaikan dan keberkatan...ameen"