Satu Rejab datang lagi, sudah pasti tarikh ini sangat diingati. Hari lahir cucu pertama kami. Betapa saya tidak senang duduk bila mendapat kabar ibunya masih belum melahirkan. Bayi masih belum diizinkan menjengah dunia. Saya tak henti-henti berdoa agar kelahiran ini dipermudahkan. Kasih ibu sepanjang hayat. Cubit peha kiri, pasti terasa peha kanan. Jika dekat mungkin saya sudah berkejar ke sana.
Muhammad Zaffran Rizqi memang sangat istimewa. Cucu pertama dan anak saudara pertama mak dan pak saudaranya. Sejak kelahirannya, kami semua sentiasa teruja dengan perkembangannya. Tiap detik ada-ada sahaja akalnya dan kerenahnya. Semuanya mengujakan.
Awal tahun ini, MZR mendapat seorang adik lelaki, yang kami gelar MZR2. Sepanjang ibunya berpantang saya yang banyak mengurus keperluannya. Sejak itu kami menjadi semakin rapat. Satu hari 'Ammar membawa dia berjalan-jalan. Di hujung taman saya sebuah bulldozer sedang bekerja menolak tanah. Bila pulang dia sibuk bercerita "Sian...kokok nih.....apa dozer nih...." Saya yang tak faham apa-apa hanya melayan dia bercerita sehinggalah pak njangnya menjelaskan. Rupanya dia marahkan bulldozer yang menolak dan menumbangkan pokok-pokok di hutan kecil itu. Esoknya saya membawanya melihat bulldozer yang sedang diparkir di depan rumah jiran. Dia segera berlari dan memukul bulldozer tersebut sambil berkata "Apa dozer nih...' marah tak habis lagi gamaknya. Kalau besar jadi pencinta alam.
Setiap malam ada mamak roti yang akan lalu di depan rumah kami. Bila mendengar bunyi ' pet-pet' dia pasti sibuk mencari duit. Sehiungga kini kata ibunya bila terjumpa duit pasti dia sibuk mengajak ibunya membeli roti pet-pet. Apa yang saya ingin tekankan ialah tentang memori ketika zaman kanak-kanak. Yang baik , yang buruk semua akan diserap seperti sponge. Anak ibarat kain putih. Dan kita yang mencorakkannya. Jika mereka dibiasakan dengan perkara yang baik-baik sudah pasti dia akan membesar dan terbiasa dengan yang baik-baik itu. Begitulah sebaliknya. Janganlah kita sering menyejukkan hati kita dengan berkata "Depa kecik lagi..." bila melihat tingkah laku mereka yang tidak berkenan di hati kita. Takut-takut sedar tak sedar tengok-tengok mereka sudah besar dan sudah menjadi buluh yang sudah payah dilentur. Siapkan diri dengan membaca bahan-bahan yang membantu kita mendidik mereka.
" Zaffran, selamat ulang tahun semuga Allah merahmati hidupmu dan menjadikannya penuh kebaikan dan keberkatan...ameen"
No comments:
Post a Comment