Wednesday, June 30, 2010

Lensa Kehidupan



Sudah  masuk minggu ke dua sekolah dibuka semula. rumah saya yang riuh-rendah sejak 2-3 minggu lepas kini kembali sunyi, tenang dan damai. Saya juga sudah tidak terkocoh-kocoh lagi masuk ke dapur untuk melayan anak-anak yang pulang. Kini tinggal kami berdua.Opp...lupa bertiga dengan bang cik yang sedang berdebar menanti  result IBnya.

Pengantin baru sudah bermastautin buat sementara waktu di rumah Taman Rakyat. .Insyaallah kak lang pula akan mula bertugas di Kuin. Memang rezeki dia. Jarak dari rumah mertua hanya beberapa Km sahaja.  Kalau sejak awal tahun sibuk menyiap itu dan ini untuk walimatul urus kak lang kini saya sudah kembali ke rutin asal. Tugas di tadika, di rumah dan untuk ummah tetap dilaksanakan. Saya bersyukur diberi kesihatan dan peluang untuk menyumbang apa yang termampu. Sementara masih nyawa dikandung badan dan masih ada kekuatan akal , rohani dan jasmani.





Masa yang dipinjamkan Allah sangat  terhad. Kita tidak tahu berapa lama yang ada untuk kita uruskan dengan baik dan menepati kehendak Peminjamnya. Semalam selepas seharian  menyertai bengkel SWOT untuk IKRAM , P.Pinang saya berpeluang bertemu abang kandung saya di Penang. Sudah dua tahun lebih kami tidak berjumpa. Walaupun JB dan KB bukanlah beribu-ribu Km tetapi kekangan  masa dan tugas sering menjauhkan kami walaupun jauh di sudut hati saya sangat rindukan mereka. Sekali-sekala dapat bersua menjadikan hati kita sangat menghargai kesempatan yang sangat sedikit itu.

Awal bulan ini, ketika sedang kalut bersiap untuk walimah kak lang, kami tiba-tiba di uji Allah.Tanpa sebarang amaran suami disahkan menghadapi masalah jantung. Mulanya dia hanya rasa cepat mengah bila selesai melakukan beberapa kerja yang selalu dilakukannya seperti mengecat, membaiki kereta, dsbnya. Berita yang diterima begitu menguji keimanan kami. Rumah yang sepatutnya riuh kerana bakal menyambut menantu sepi seketika.Bagai negeri dilanggar garuda. Siapa yang tidak kaget. suami yang bukan perokok, begitu berjaga-jaga makanan yang diambil dan sentiasa jarang meninggalkan aktiviti berbasikal tiba-tiba disahkan mempunyai masalah kesihatan yang sangat besar.

Jika tidak dikuatkan semangat dan mengenangkan majlis yang telah dijanjikan  tak tahulah apa yang akan terjadi.  Kad sudah diedarkan, Kadi juga sudah dimaklumkan hanya menunggu beberapa hari sahaja lagi  majlis akan berlangsungkan. Bila dikenang kembali sudah beberapa kali saya diuji dengan kesihatan suami. Namun berkat kesabaran, tawakkal dan doa dari kawan ,jiran dan sanak-saudara kami berjaya mengharungi saat-saat getir itu.

Saya selalu menegur suami  bila  dia berkata "Kesian awak terpaksa menjaga orang sakit". Jawapan saya tidak pernah berubah " Saya berkahwin dengan awak bukan untuk saat-saat manis sahaja. Awak kena kuat untuk terus hidup bersama saya. Anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing. Belajarlah  melepaskan mereka dari fikiran awak agar awak tidak terbeban dengan rasa tanggungjawab yang sungguh tinggi terhadap mereka."



Saya berdoa dan terus berdoa agar Allah memberi kekuatan untuk kami mengharungi saat getir ini sekali lagi. Saya percaya sokongan moral dan pergantungan kuat kepada Allah akan memudahkan kami melaluinya sekali lagi, insyaallah

Marilah berdoa untuk kami. Sesungguhnya doa dari sahabat untuk sahabat yang lain tanpa diketahuinya adalah sebaik-baik doa. Begitulah hidup ada pusingan-pusingannya. Ada masa kita berduka, kita gembira kita kita sedih dan sesungguhnya dgn sentiasa mengingati hadis tentang 5 perkara itu akan menjadikan kita sentiasa bersedia dan bersiap siaga.

Terimakasih, Jzkk untuk sahabat handai, rakan taulan dan sanak saudara yang berziarah dan mendoakan. Sokongan moral dan kata-kata yang baik itu sentiasa  menjadikan kami kuat dan tabah serta reda di atas ujian-ujianNya. Juga tidak lupa kepada semua yang membantu , hadir dan mendoakan agar majlis perkahwinan anak ketiga kami berjalan lancar. Segala salah silap dan kekurangan di mana-mana maka bagi pihak  suami, saya dan seisi keluarga dengan segala  rendah hati memohon berbanyak  maaf.

Tuesday, June 22, 2010

Majlis Sambut Menantu :20 Jun 2010


11.30 pagi: Rombongan pengantin lelaki tiba di Titi Gajah. Hidangan diangkat  menyambut tetamu.
12.00 t/hari: Suami saya mula menyampaikan amanat untuk anak yang akan bakal  berangkat pergi. Meninggalkan rumah dia dibesarkan ke rumah keluarga barunya. Air mata bergenang di tubir mata. Saya tidak dapat menahan sebak, anak yang dibelai penuh kasih akan mula melangkah pergi sambil membawa didikan, asuhan dan nama baik keluarga.



1.15 petang: Tiba di Taman Rakyat. Disambut penuh meriah dan mesra. Kami dan rombongan dirai dengan penuh mesra. Lauk pauk enak-enak belaka. Biru putih dimana-mana. Walaupun hari pertama bersekolah di Kedah, tetamu terus datang merai kedua mempelai.


2.30 petang : Selesai sesi bergambar kami memohon diri kerana perlu menghantar bang cu ke BKH pula.

4.30 petang: Ke BKH. Bang cu  terpaksa ' tuang 'sekolah 1 hari



6.30 petang: Bergerak pulang ke Bertam. Kami hanya berdua kerana anak-anak bersama kakak mereka dalam kereta lain.

7.30 petang : Tiba di rumah. Memasak makan malam ala kadar.

8.45 malam: Kawan kakak datang bertandang dalam perjalanan pulang ke Taiping.

10.30 malam: Masuk tidur. Oh...esuk hari sekolah...saya hampir lupa yang cuti sekolah sudah berakhir. Leganya segala-galanya sudah selesai disempurnakan. Semuga lang dan Zaharan terus bercinta hingga ke syurga. Anyamlah bahagia kerana bahagia hari esuk bermula dari langkah hari ini. Bersusah dahulu senang kemudian. Doa dan doa yang tidak putus-putus dari ummi dan abu. Selamat menempuh hidup baru. Tiada yang mudah dalam hidup ini, dan sesungguhnya isteri yang mentaati suami akan dijemput masuk ke syurga melalui mana-mana pintu sahaja. Namun ia mudah diperkatakan tetapi sukar dilakukan. namun tiada yg mustahil jika hati sudah cekal dan tekad. Insyaallah.

Monday, June 21, 2010

Walimatul Urus:12 Jun 2010

L

Usai solat subuh suami mengambil sarapan pagi yang dipesan. Saya menyiap air dan melihat anak-anak  membersih halaman rumah.

Saya terus menyiap beberapa perkara yang belum selesai. Jiran dan sahabat handai yang tidak dapat merai majlis kenduri kami datang meminta maaf. Saya dan suami berlapang dada kerana majlis kenduri yang sungguh banyak di sana-sini. Terima kasih kerana mereka sudi menziarahi kami dan mendoakan.

11.30 pagi : Tahlil pendek bermula. Adik saya juga tiba dari KL. Tiada kata yang dapat digambarkan bila melihat tetamu yang sudi datang dari jauh.

12.00 t/hari: Jamuan bermula. Saya serta suami sudah tidak menang tangan melayan sahabat handai, rakan taulan, jiran tetangga dan saudara mara yang sudi menerima jemputan kami.
2.30 petang: Rombongan pengantin lelaki tiba dari Alor Setar. Cuaca tiba-tiba gelap bagaikan mahu hujan. Saya pasrah jika hujan turun ketika ini. Makanan terus ditambah ke dalam tray tersedia. Tetamu terus datang dan pergi.

3.00 petang: Pengantin sibuk bergambar setelah selesai makan beradap. Hujan yang ingin turun tadi telah berpindah ke tempat lain. Alhamdulillah.

5.30 petang: Tetamu  terus  datang dan pergi. Pengatin ke PGR untuk outdoor shooting.
6.30 petang:  Masih ada tetamu yang tiba, kali ini sahabat lama kami, bekas jiran dan kini Senator Dewan Negara . Suasana sudah bertukar gelap dan hujan renyai mula turun.

7.00 malam: Saya sibuk membungkus makanan untuk ipar duai dan mertua yang akan bermalam di rumah adik ipar di Kulim.

8.00 malam:  Suasana terus riuh dan meriah. Saya segera mengejarkan solat maghrib yang kian beranjak.

9.00 malam: Adik saya dan suaminya tiba dari Eastin, Penang. Kami berbual panjang sambil melihat pengantin membuka hadiah. Kebetulan menantu saya bekas pelajar adik saya di Uniten dulu. Kecilnya dunia.
10.30 malam: Saya dan ngah mengemas sisa makanan dan memastikan pintu dikunci.

11.00 malam: Bersolat  insya' dan sujud syukur kerana hari yang dinanti telah berjalan lancar dan makanan tidak banyak bersisa.  Anak-anak riuh di bawah bersorakkan pasukan yang mereka minati kerana Pesta Bola Dunia juga telah bermula. Saya meletakkan kepala sambil membanyakkan tasbih.



Tuesday, June 15, 2010

Mengikat Janji



11/6/2010

 4.00  pagi: Sudah bangun, melangsai solat insya' dan terus mengemas dapur yang berantakan kerana jamuan malam tadi.

6.00  pagi:  Lepas solat subuh terus menyiap sarapan untuk semua di rumah. Nasi goreng.

8.00 pagi: Sarapan dan menerus kerja mengemas. Pak cik tiba dari Alor Setar

9.15 pagi : Bertolak ke masjid Bertam dgn PDY. Bertembung dgn rombongan dari sebelah sana.

10.30 pagi: Majlis nikah selamat disempurnakan. Selamat datang orang baru ke dalam keluarga besar kami.

Doa seorang ayah untuk putri tercinta.



Ikan dilaut asam  di darat,
Dalam periuk bertemu jua

Ibu ayah mendoakan agar kasih yang baru terjalin kekal membawa ke syurga. Doa ibu-ibu  di bulan Ramadhan akhinya mengikat dua hati yang tidak pernah mengenali.

Rampai Merampai


Bunga rampai diracik-racik
Makin pandang bertambah cantik
Bunga rampai harum baunya
Kalau dah jodoh bertemu jua

Berdebar rasa hati bercampur dengan rasa suka
Hari yang dinanti sudah sampailah masanya
Gadis dihias rapi dengan inai merah dijari
Sanggul berbagai rupa dihias pula dengan bunga
Baju kebaya panjang bersulam manik nampak bercahaya
Bila dia tersenyum ala sayang sungguh manisnya

Bunga rampai ditabur-tabur
Hati longlai jadi terhibur
Bunga rampai harum berbau
Biar lerai hati yang rindu

Sehari Lagi

Khamis 10/6/2010

7.45 pagi: Saya menghantar Harith ke sekolah.

8.00 pagi: Singgah mengambil pandan di rumah Julia.

8.30 pagi; Membeli bunga di kedai Indai. Seronoknya dapat bunga mawar kampong dan melur.

9.30 pagi:  Mengemas dapur dan menyiap makan t/hari.

12.00   t/hari: Menjamu anak dan suami sebelum naik solat. Mereka juga keletihana kerana bertungkus lumus mengemas di luar rumah.

3.00 petang: Jiran datang membantu memotong pandan untuk dijadikan bunga rampai.

4.00 petang: Mak lang dan anak-anak tiba dari Kulim.

6.00 petang: Mak, abah dan bibiknya tiba dari Alor Setar. T/kasih Nawal t\sudi bantu ambik wan dan mak tok. Orang di atas rumah sibuk dan kalut dgn hantaran dan cenderahati.

8.00 malam: Menyiap makan malam, suami melayan kawan yang datang bertamu.

9.00 malam: Saya melihat semula baju-baju untuk dipakai pagi esuk.

10.00 malam: Lang menempek inai bertemankan aunty Jal dan sepupu-sepupunya.

11.30 malam: Saya sudah terbaring setelah menelan ubat. Di bawah masih riuh.

Imbas Kembali Lagi 2 hari

Entri terakhir saya terhenti di situ. Terlalu banyak perkara yang terjadi membuat saya tidak sempat duduk menenangkan diri. Segalanya telah selesai jadi saya dapatlah duduk sekejab sambil merakam segala peristiwa yang kini tinggal dalam lipatan sejarah.

Rabu: 9/6/10

8.00 pagi: Terus berkemas.

9.00 pagi: Melihat lang, Ngah dan Linda menyiap hantaran.

12.00 t/hari: Suami SMS isteri temannya yang kami zairahi Ahad alu sedang tenat.

2.00 petang: Makan t/hari sekadar apa yang ada.Badan sudah letih, selera sudah tertutup.

3.00 petang: Bersiap ke Hospital Kepala Batas  menziarahi jenazah Sya. Bertarung dengan kanser payudara selama hampir 4 tahun.

6.00 petang: Mengikut jenazah ke Teluk Air Tawar.

7.30 petang: Pulang ke rumah kerana terasa kurang sihat. Menyiap makan malam.

10.30 malam: Makan ubat dan kepala berat sekali. Letak kepala sahaja terus hanyut. Penangan ubat batuk dan ubat tahan gatal saya memang alah.

2.30 pagi: Terjaga dan tidak dapat tidur hingga ke pagi.

Tuesday, June 8, 2010

Soroton Lagi 3 hari

6.45 pagi: Memasak bekal untuk suami. Nasi putih, salad dan kari ikan tanpa santan.

7.45 pagi: Mengampai baju dan mengemas kat belakang rumah.

8.00 pagi: Berjumpa Caterer, finalised jamuan hari nikah & hari langsung

9.30 pagi: Menyuruh bang cik naik ke loteng, mencari pahar & bakul-bakul yang sudah di situ sejak 2007.

11.30 pagi: Ngah ditemani bang cu menghantar lang ke Bayan Lepas. Saya meneruskan tugas menggosok baju dan langsir.

1.00 petang: Bang cik memanas ayam goreng dan kami lunch berdua.

2.00 petang: Bang cik memasang langsir dan saya terus dengan kerja saya

3.00 petang Aunty Jal datang menghantar rambutan sambil bertanya jika saya perlukan bantuan dia.

4.00 petang: Saya meminta bang cu 'vacuum'kan lantai dan tangga. Harith pula tolong pasangkan langsir.

5.50 petang: Suami pulang. Secawan teh dan sebiji bahulu.

6.30 petang: Menyiap makan malam.

8.00 malam: Menghadap rezeki bersama anak-anak & suami. Pekasam goreng/ kobis goreng/papadom/ ikan goreng & nasi putih.

10.00 malam  Masuk tidur selepas mengemas dapur. Insyaallah, ada lagi 2 hari.

Monday, June 7, 2010

Sorotan Lagi 4 HaRI

8.00 pagi: Menyiap sarapan dan hidangan untuk tamu dari Kedah

9.00 pagi: teruskan aktiviti spring clean dan sentuh sana-sani bersama anak-anak.

10.00 pagi : Tetamu 1 dari Taman Rakyat bersama buah mangga yang sedang masak ranum. Saya membalas dengan sos chay kew tew, kicap kew tew, perencah mee rebus dan soto  Tg Kupang. Pendetailan tentang majlis nikah dan hari langsung.

10.15 pagi: Tetamu 2 dari Taman Uda pula tiba. Mereka akan terus ke Kulim untuk  kenduri tapi sempat dijamu spagheti dan sour sos.

11.15 pagi: Kedua tetamu beredar pulang. Hujan turun lebat. Cadangan  untuk ke tempat kenduri ditangguhkan dulu.

12.30  t/hari: Bersama anak-anak lelaki ke kenduri di Lrg Dahlia. Balik dropped  mereka di surau. Balik di ambik abunya.

2.00 petang: Menyiap dekorasi dan make over rumah dengan bantuan teacher dari JB.

5.30 petang: Meluang masa menziarahi isteri teman sepejabat suami yang sedang bertarung dgn kanser. Nafas naik dan nafas turun begitu payah sekali, saya tidak mampu berbicara kerana hati sudah sebak menginsafi sakit yang datang tiba-tiba tetapi nak sembuh bagaikan semut berjalan kata orang.

6.20 petang: Sudah di lif untuk turun bila jiran memberi tahu anak caterer yang juga rakan qaryah baru dimasuki ke wad kerana kemalangan. Anak muda dan motor, mengejar lampu isyarat dan merempuh kereta Polis depan simpang ke Melinium.

8.00  malam: Selepas solat kami makan bermai-ramai. walaupun selalu makan awal tetapi kerana hari   yang penuh aktiviti terpaksa dilewatkan makan malam.



9.00 malam:Sesi Halaqah keluarga. Sudah agak lama kami tak get together begini, talk from heart to heart. Masing-masing berpeluang menyuarakan rasa hati, kecuali kak lang telah melantik ngah sebagai jurucakap. Maklumlah ratu airmata banyak menangis dari bercakap tambahan pula halaqah kali ini ditujukan khas buatnya.


11.30 malam: Kami sama-sama membaca doa kafarah sebelum kembali ke bilik masing-masing. Berbagai aktiviti diteruskan sebelum ngantuk bertamu.

Sunday, June 6, 2010

Dairi 5 Hari

9.00 pagi:  Bang cik membantu abu mengemas luar rumah bersama jiran. Mujur ada lebihan bihun dapat juga    dijamu tetangga yang baik hati menawar diri membantu. Saya sibuk menggosok pakaian untuk kegunaan seminggu dan hari besar nanti. dah tak mampu rasanya nak tidur jauh malam dan awal pagi beratur menunggu giliran menggosok baju di hari kenduri.

11.00 pagi: Menjahit langsir  pintu yang belum siap. Biasalah bila dah demam memang banyak benda tergendala. Tetapi sakit itu adalah cara Allah menghapus dosa kecil kita dan supaya kita tahu bahawa betapa kuat dan gagahnya kita ada satu kuasa besar yang lebih besar dan gagah dari kita. Sakit itu adalah peringatan dari Allah

12.00 t/hari: Membantu kak lang menyiap lunch. Sekarang  perlu merancang menu supaya sihat dan tidak 'capek' di hari kenduri. Singgang bawal putih, sup ayam bersayur, sambal tomato dan ikan jenahak goreng.

2.30 ptg: Tetamu pertama tiba. Berziarah awal kerana tidak dapat hadir kenduri.

3.00 ptg: Tetamu kedua. Barulah dapat kesempatan bertemu mata dan muka dengan orang yang pernah berhajat dengan kami.

4.00 ptg: Tetamu ketiga .Jiran yang akan membawa jamaah umrah malam nanti,Mereka juga tidak dapat hadir.

5.30 ptg: Tetamu keempat. Teman baik suami selama hampir 40 tahun.Mereka dalam perjalanan pulang ke Kedah dan tidak dapat hadir kerana  clash kenduri dengan abang iparnya di KL.

7.30 malam: Rumah sepi kerana yang lelaki ke masjid. Saya membawa gelas kotor ke dapur.

8.00 malam Tetamu kelima. Anak kedua yang bertolak dari JB tiba dengan selamat dan ceria.

9.00 malam: Membantu kak lang menggubah bunga-bunga untuk hiasan segala corner yang diingininya.

10.00 malam:  Saya memgemas dapur dan bersedia untuk tetamu berikutnya pada jam 10 pagi esuk, insyaallah

Friday, June 4, 2010

Ruang Hati

Eh! betulkah dah tak sampai seminggu sahaja lagi sekali lagi kami akan menerima orang baru ke rumah ini. Rupa-rupanya dalam seminggu terakhir ini berbagai ujian datang menyapa. Sebagai orang yang beriman dan bertaqwa sudah semestinya ujian diterima sebagai hikmah dan peringatan dari Allah. Mujurlah segala yang besar-besar sudah dibereskan, jika tidak sudah pasti kelamkabut juga jadinya. 

Hari ini ada students anak saya datang membantu mengisi cenderahati ke dalam kotak-kotaknya. Kenduri zaman ini bukan macam zaman kita kecik-kecik dulu, saudara mara berkampong ,bertunggu tangga berhari bermalam. Bila hari sudah jauh malam, letak aja kepala di mana sahaja insyaallah akan lena sampai ke pagi. Bangun pagi-pagi  masing-masing menolong menyiap sarapan apa yang patut. Walau sekadar tamban kering bergaul pulut tanak bercampur kelapa sedap sahaja jadinya. 
  
Masa sudah berubah, zaman sudah berlalu. Rumah akan meriah hanya pada hari kenduri sahaja. Sanak saudara tidak betah tinggal lama-lama kerana rumah sekarang sudah sempit-sempit walaupun dibeli harga beratus ribu. Jadi sebagai tuan rumah atau tuan kenduri kita sentiasa perlu berlapang dada, menerima siapa sahaja yang sudi membantu sebelum kenduri dan hadir di hari kenduri.

Pengalaman menjemput rakan taulan, sahabat handai dan jiran tetangga dari berbagai negeri memang satu pengalaman yang sungguh bermakna bagi kami. Dijemput awal takut orang lupa dijemput lambat orang sudah ada perancangan  masing-masing. Ada yang akan mengerja umrah, melancong ke luar negara, kenduri yang bertindih tarikh dsbnya. Jadi kami memegang prinsip "Siapa yang Allah telah tetapkan rezekinya di rumah kami nanti, tentu dapat datang. Yang tak dapat datang tu memang sebab bukan rezekinyalah" Dengan berbicara begitu kita tidak perlu risau dan rungsing hingga menjejas kesihatan. 

Namun saya suami isteri sentiasa berdoa agar kenduri nanti mencapai sasaran yang diharapkan kerana kita tidak mampu membiar makanan yang ditempah terbiar terbuang kerana nun jauh di sana aada saudara-saudara kita yang menderita kelaparan kerana bantuan kemanusiaan tidak dapat sampai kepada mereka. Kita yang lemah hanya mampu menadah tangan dan berqunut nazilah bagi menyatakan rasa kebersamaan dengan mereka. Jadi bagi yang sudah menerima undangan kami dipersilakanlah ke rumah kami kerana  kehadiran anda bakal membawa rahmat kepada rumah dan membantu mengeluarkan dosa-dosa  dari rumah ini, insyaallah.