Sudah masuk minggu ke dua sekolah dibuka semula. rumah saya yang riuh-rendah sejak 2-3 minggu lepas kini kembali sunyi, tenang dan damai. Saya juga sudah tidak terkocoh-kocoh lagi masuk ke dapur untuk melayan anak-anak yang pulang. Kini tinggal kami berdua.Opp...lupa bertiga dengan bang cik yang sedang berdebar menanti result IBnya.
Pengantin baru sudah bermastautin buat sementara waktu di rumah Taman Rakyat. .Insyaallah kak lang pula akan mula bertugas di Kuin. Memang rezeki dia. Jarak dari rumah mertua hanya beberapa Km sahaja. Kalau sejak awal tahun sibuk menyiap itu dan ini untuk walimatul urus kak lang kini saya sudah kembali ke rutin asal. Tugas di tadika, di rumah dan untuk ummah tetap dilaksanakan. Saya bersyukur diberi kesihatan dan peluang untuk menyumbang apa yang termampu. Sementara masih nyawa dikandung badan dan masih ada kekuatan akal , rohani dan jasmani.
Masa yang dipinjamkan Allah sangat terhad. Kita tidak tahu berapa lama yang ada untuk kita uruskan dengan baik dan menepati kehendak Peminjamnya. Semalam selepas seharian menyertai bengkel SWOT untuk IKRAM , P.Pinang saya berpeluang bertemu abang kandung saya di Penang. Sudah dua tahun lebih kami tidak berjumpa. Walaupun JB dan KB bukanlah beribu-ribu Km tetapi kekangan masa dan tugas sering menjauhkan kami walaupun jauh di sudut hati saya sangat rindukan mereka. Sekali-sekala dapat bersua menjadikan hati kita sangat menghargai kesempatan yang sangat sedikit itu.
Awal bulan ini, ketika sedang kalut bersiap untuk walimah kak lang, kami tiba-tiba di uji Allah.Tanpa sebarang amaran suami disahkan menghadapi masalah jantung. Mulanya dia hanya rasa cepat mengah bila selesai melakukan beberapa kerja yang selalu dilakukannya seperti mengecat, membaiki kereta, dsbnya. Berita yang diterima begitu menguji keimanan kami. Rumah yang sepatutnya riuh kerana bakal menyambut menantu sepi seketika.Bagai negeri dilanggar garuda. Siapa yang tidak kaget. suami yang bukan perokok, begitu berjaga-jaga makanan yang diambil dan sentiasa jarang meninggalkan aktiviti berbasikal tiba-tiba disahkan mempunyai masalah kesihatan yang sangat besar.
Jika tidak dikuatkan semangat dan mengenangkan majlis yang telah dijanjikan tak tahulah apa yang akan terjadi. Kad sudah diedarkan, Kadi juga sudah dimaklumkan hanya menunggu beberapa hari sahaja lagi majlis akan berlangsungkan. Bila dikenang kembali sudah beberapa kali saya diuji dengan kesihatan suami. Namun berkat kesabaran, tawakkal dan doa dari kawan ,jiran dan sanak-saudara kami berjaya mengharungi saat-saat getir itu.
Saya selalu menegur suami bila dia berkata "Kesian awak terpaksa menjaga orang sakit". Jawapan saya tidak pernah berubah " Saya berkahwin dengan awak bukan untuk saat-saat manis sahaja. Awak kena kuat untuk terus hidup bersama saya. Anak-anak sudah ada kehidupan masing-masing. Belajarlah melepaskan mereka dari fikiran awak agar awak tidak terbeban dengan rasa tanggungjawab yang sungguh tinggi terhadap mereka."
Saya berdoa dan terus berdoa agar Allah memberi kekuatan untuk kami mengharungi saat getir ini sekali lagi. Saya percaya sokongan moral dan pergantungan kuat kepada Allah akan memudahkan kami melaluinya sekali lagi, insyaallah
Marilah berdoa untuk kami. Sesungguhnya doa dari sahabat untuk sahabat yang lain tanpa diketahuinya adalah sebaik-baik doa. Begitulah hidup ada pusingan-pusingannya. Ada masa kita berduka, kita gembira kita kita sedih dan sesungguhnya dgn sentiasa mengingati hadis tentang 5 perkara itu akan menjadikan kita sentiasa bersedia dan bersiap siaga.
Terimakasih, Jzkk untuk sahabat handai, rakan taulan dan sanak saudara yang berziarah dan mendoakan. Sokongan moral dan kata-kata yang baik itu sentiasa menjadikan kami kuat dan tabah serta reda di atas ujian-ujianNya. Juga tidak lupa kepada semua yang membantu , hadir dan mendoakan agar majlis perkahwinan anak ketiga kami berjalan lancar. Segala salah silap dan kekurangan di mana-mana maka bagi pihak suami, saya dan seisi keluarga dengan segala rendah hati memohon berbanyak maaf.
No comments:
Post a Comment