Sunday, July 4, 2010

Selamat Ulang Tahun, Zaffran



Hari ini hari ulang tahun cucu sulung kami berdua. Kata orang bila dapat sudah bercucu bererti kita sudah semakin tua. Mata makin kabur, tenaga makin lemah,pendengaran makin kurang tetapi yang pasti kasih sayang tidak pernah susut atau berkurang. Setiap anak lahir dengan rezeki masing-masing. Baik lelaki mahupun perempuan masing-masing  ada habuan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.  Asuhan bermula dari alam rahim. Makan minum siibu, perlakuan siayah dan faktor kestabilan emosi ibu juga mencorakkan tingkah laku anak bila lahir ke dunia nanti. 

Kita selalu merungut bila anak remaja tidak mendengar kata. Kita memanjakan mereka ketika kecil dan tidak berani menegur tingkahlakunya ketika kecil kerana kasih dan sayang kita kepada mereka. Malangnya kasih sayang begini memang tidak berbaloi pun, mereka hanya menjadi penyejuk mata kita ketika kecil tetapi kita menjadi radang dan geram bila melihat tingkah laku mereka bila mulai menjejak usia remaja.

Kata orang melentur buluh biar dari rebung. kata-kata orang lama yang masih relevan lagi. Sayang macamana pun yang buruk tetap dikata buruk dan yang eluk dipuji dan digalakkan. Kita tidak perlu menurut semua kehendak mereka kerana bukan semua yang dituntut mereka baik untuk mereka. Sebagai ibubapa kita yang mencorakkan mereka dan bukan mereka yang mengajar kita.

Hai... bukan mudah rupanya menjadi ibubapa  yang mampu memenuhi apa yang dituntut Islam. Kita tidak pernah belajar menjadi ibubapa tetapi proses pembelajaran itu terus berjalan seiring dengan pembesaran anak itu. Hari ini banyak sumber rujukan, support group dsbnya yang banyak membantu ibubapa muda menunaikan tanggungjawab mereka. Jadilah orang yang sentiasa belajar dan menambah ilmu keran mendidik anak di zaman ini tidakkan sama dengan cara ibubapa kita dahulu mendidik kita. Namun seperkara yang saya ingin sarankan ambillah yang moden dan terkini tetapi jangan diabaikan pengalaman, nasihat dan cara orang dahulu mendepani masalah ini. Pandai-pandailah mengadaptasi apa jua pendekatan keran dihujung sana kita hanya ingin melihat anak-anak kita besar sebagai individu yang beriman, berilmu, beradab dan beramal denagn segala didikan serta ajaran yang kita terapkan selama ini.


free myspace layouts