Hampir 2 tahun saya dan suami tidak jemu-jemu memberi sokongan dalam apa jua bentuk kepada bang cik. Seperti yang saya pernah tulis dalam beberapa entry lalu program International Baccalaurate (IB) pada pengamatan saya amatlah mencabar. Yang belajar dan yang melihat. Saya selalu rimas ketika mengejutkan bang cik di pagi hari.Rimas kerana dia tidur dengan kertas dan segala sumber rujukan di kelilingnya. Puas saya bisingkan namun akhirnya saya pun sudah lali dan dia pun sudah mangli. Inilah yang berlaku sepanjang 2 tahun dia di KMB. Walaupun dia selalu menampakkan keresahannya setiap kali akan masuk ke semester baru, kami berdua sedaya upaya terus meyakinkannya. Usaha dan doa mesti berjalan seiring. Belum lagi segala kismis minda, Jus Tok Guru, air Yassin dan seumpamanya.
Meniti hari dan detik ke jam 13:15:00 GMT pada 6/7/10 lalu adalah satu jangkamasa yang sangat meresahkan. Petang itu saya masuk ke dapur lebih awal. Supaya kami dapat makan malam lebih cepat dan bang cik dapat segera solat maghrib sambil menunggu jam terus berdetik. Orang yang menunggu result sudah tertidur ketika saya mengajaknya makan. Maklumlah sudah beberapa hari pelajar baru masuk ke Uitm, sudah pasti tugasnya di kedai buku itu sangat meletihkan. Kebolehan mengguna calculator canggih juga menjadikan dia salesman tidak bertauliah di situ. Pengalaman mencari sedikit wang saku sambil mengisi masa yang terluang sudah pasti akan menjadi satu pelajaran hidup yang saya sendiri tak mampu ajarkan.
Ketika bang cik menunggu di depan Dellnya, saya sudah ke Seri Malaysia untuk satu pertemuan yang saya tidak upaya elakkan. Namun saya berterima kasih kerana suami sudah bersetuju menguzurkan diri dari kuliah Hadis malam itu semata-mata untuk menemani bang cik. Sudah menjadi budaya kami akan cuba untuk bersama-sama anak-anak ketika mereka mengetahui keputusan peperiksaan penting mereka.
9.19 malam saya segera menghubungi suami. Alhamdulillah....itulah kalimah yang diajar Ar Rasul bila kita menerima apa yang kita hajati. Di sebelah sana saya mendengar suara sebak bang cik. Saya tahu dia sendiri tidak percaya dengan beberapa mata yang diperolehinya. Tinta sudah diangakat .Sebelum mematikan phone saya mengingatkan dia supaya tidak lupa sujud syukur bila solat insya nanti.
Hampir jam 12 malam, baru saya sampai ke rumah. "Tahniah bang cik..." ucap saya dan dia membalas dengan pelukan dan airmata sudah bergenang di mata saya dan dia. Jauh di dasar hati saya sudah mula menyediakan diri saya supaya terus tabah untuk menghadapi satu lagi perpisahan. Alhamdulillah....itu sahaja kalimah yang terus bergetar di hati. Setelah sekian lama menunggu apa yang dinanti-nantikan kini telah diketahui. Tahniah untuk anak-anak KMB yang mampu mencapai mata penaja masing-masing. Saya tumpang bersedih dengan kawan-kawannya yang tidak dapat mencapai mata yang mereka impikan.Namun saya pasti dunia masih belum kiamat buat mereka. Insyaallah akan ada peluang dan kesempatan untuk mereka terus melangkah .Saya rasa belajar di dalam atau luar negara sudah pasti bukan lagi perkiraan.Yang penting pencarian ilmu itu perlu diteruskan.
Mulai minggu depan hari-hari saya akan mulai sibuk kembali. Tempuh bertenang hanyalah 3 minggu Suami saya sedang menghampiri tarikh temujanjinya di Hospital P.Pinang dan urusan -urusan bang cik juga akan bermula dan dalam kekalutan ini Allah telah mengizinkan 'Ammar berada di sisi kami. Jika dulu kak lang yang sering menemani saya insyaallah sehingga hujung Ogos saya boleh bergantung harap kepada anak keempat saya ini pula menggantikan kakaknya yang telah bertukar status.
Hari ini cuaca cerah dan bang cik bersama kawan-kawannya akan bertolak ke Langkawi untuk menyelesaikan tugas terakhir CAS mereka. Sebagai sokongan moral saya dan suami telah meminjamkan Charade kami untuk memudahkan anak-anak muda itu bergerak ke Kuala Perlis. Semuga sedikit bakti yang dicurahkan untuk anak-anak nelayan nun jauh di pulau itu mampu menyuntik sedikit semangat dan melonjakkan keinginan untuk berjaya seperti abang-abang dan kakak-kakak dari KMB.
1 comment:
dunia ini sebenarnya luas bagi yang mahu berfikir dan tenang dalam segala dugaan...
Post a Comment