Benarlah kata pujangga hidup ini ibarat roda. Sehari di atas ,sehari di bawah. Adakala kita berduka, ada masa kita gembira, ada masa bertemu, dan ada masa berpisah .Begitu juga masa kita sihat dan jangan terperanjat bila tiba-tiba kita jatuh sakit. Ketika sihat kita bersyukur dan berterima kasih di atas kurniaan dan nikmat yang Allah berikan kepada kita. Bila sakit juga kita bersyukur kerana diberi ruang untuk kita menginsafi diri, mengakui kelemahan dan bergantung penuh bukan pada para doktor dan rawatan termoden tetapi kepada Dia yang menguji kita. Kita perlu belajar menjaga hati supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah. Keluhan dan rungutan tidak akan mampu mengangkat rasa sakit itu tetapi dengan berzikir dan mengingati Nya hati dan jiwa kita akan menjadi tenang.Janganlah sekali-kali lidah menyebut" Kenapa Allah menimpa musibah ini , kenapa bukan si polan, si polan?"Itu hanyalah jalan syaitan masuk ke dalam dada kita.
Allah juga memberi kita senjata yang sangat digeruni orang kafir. Keupayaan berdoa dan meminta tolong kepada Allah. Berdoa dan bertawakkal adalah sebaik-baik bekalan yang boleh kita bawa ketika tubuh disorong ke bilik pembedahan. Berdoa dan berdoa agar kita selamat dan tidak menghadapi masalah kesihatan yang lebih kronik. Ketika itu walaupun ramai doktor dan jururawat dikeliling kita. Mereka hanya ingin membantu tetapi mereka tidak kenal kita.Tapi Dia...Dia yang kenal kita dan sentiasa bersama kita walau di mana kita berada. Jadi mengapa kita tidak menepis rasa gusar kita dengan bersolat hajat, berzikir dan berdoa agar Allah memudahkan urusan kita di dunia ini.Selagi ada ruang marilah meminta agar Allah meminimakan rasa sakit kita, menyembuh yang sakit ,diberi rasa tenang dan redha di atas ujian-uijianNya.
Firman Allah:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 155-157)
No comments:
Post a Comment