Wednesday, March 31, 2010

Perahu Sudah Di Air

Saya juga baru pulang dari Majlis Restu KMB. Debar di hati anak sudah pasti turut dirasai walaupun berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Rata-rata wajah anak-anak muda di Year 2 itu membayangkan harapan yang tinggi. Ingin meraih kejayaan seperti mereka yang terdahulu. Saya juga teringatkan blog abang senior mereka . Blog ini sering saya lawati ketika membnatu bang cik mencari-cari info untuk temuduga Mara pada tahun 2008. Sudah pasti pengalaman  orang terdahulu mampu memberi sedikit sebanyak panduan untuk mereka yang sedang bersedia untuk bertemu IB Final awal Mei nanti.Jika kelapangan silalah menjenguk laman ini.Muga dapat dimanfaatkan.http://www.norshah.com/. Sila merujuk Warkah Untuk Pejuang.

Monday, March 29, 2010

Pewaris Zaman

Saya dan suami baru pulang dari satu perjalanan yang sangat indah. Kami bertolak dari Penang dan singgah solat Jumaat di Gunung Semanggol. Pertama kali kami menjejakkan kaki ke situ walaupun sudah begitu lama nama tempat itu dikenali. Bumi dimana bermulanya kebangkitan perjuangan Islam di Tanah Melayu. Ketika menunggu di kereta mata saya sakit memerhati gelagat anak-anak remaja yang melepak dan berbual kosong di atas motor sedangkan khutbah Jumaat sedang dibaca. Masyaallah, saya ingat di tempat saya sahaja begitu. Rupa-rupanya gejala ponteng solat Jumaat sudah merebak hingga ke situ. Saya yang tidak berbuat apa-apa sementara suami selesai solat mencari bahan bacaan di dalam laci kereta. Mujur jumpa Al Mathurat lalu saya membaca surah Yassin dengan diperhatikan anak-anak itu. Ketika itu imam sedang membaca Fatihah rakaat pertama, mereka belum ada tanda mahu bergerak ke masjid. Akhirnya  seorang demi seorang berjalan ke kawasan masjid. Namun masih ada dua tiga orang yang eluk berbaju melayu, kain pelekat dan berkopiah masih belum berganjak sehinggalah imam memberi salam. Sebaik imam memberi salam mereka pun bangun dan mencapai motor /basikal berlalu pergi..

Ya Allah! Jauhi anak-anak cucuku dari bersikap demikian. Mereka bukan menipu Allah tetapi mereka menipu diri sendiri. Allah tidak akan luak kekuasaanNya jika kita tidak menyembahNya tetapi kita yang menzalimi diri sendiri. Alangkah sejuknya hati ibu ayah melihat anak-anak berpakaian segak setiap Jumaat tetapi betulkan mereka bersolat Jumaat ? Itu kena selalu diambil pedulikan. Perkara yang buruk ini jika dibiasakan sudah pasti akan menjadi kebiasaan dan sudah hilang rasa malu, takut dan gerunnya. Api yang marak menyala  bermula dari ranting-ranting yang halus juga. Sekali sekala kita perlu juga ada rasa tidak percaya kepada anak-anak. Jika terlalu percaya  sangat pun akan merosakkan mereka begitu juga sebaliknya. Besar sungguh cabaran mendidik anak menjadi manusia di kala ini. Tiada yang dapat membantu kita melainkan Dia yang maha kuasa.

Terima Kasih



hadiah dari   http://peekingdafuture.blogspot.com/. Terima kasih kerana memilih blog saya.

Sunday, March 21, 2010

Di Hari Ini



"Sana helwa ya ummi, barakallhufi walakum" SMS dari kakak merupakan doa ketiga yang saya terima . Semalam sebelum melangkah naik ke bilik lang dan bang cik sudah mendoakan yang sama dan pagi tadi bang cu juga sudah menalipon. Bila sudah beranjak usia sudah pasti saya tidaklah teruja sangat menyambut ulang tahun kelahiran. Sisa usia yang tinggal entah berapa tahun, bulan atau hari hanya Allah yang tahu. Apa yang bermain di fikiran sudah pasti amalan dan bekalan untuk dibawa  mati. Sudah cukup atau masih jauh dari mencukup hanya Allah dan saya sahaja yang tahu.
Untuk urusan dunia saya bersyukur dapat menyempurnakan tugas mendidik anak-anak. Walaupun masih ada lompong di sana sini tetapi insyaallah hari demi hari saya dan suami sentiasa menegur dan membaiki apa yang kurang. Saya bukanlah ibu yang terbaik. Banyak kelemahan ketika membesarkan mereka. Ada yang saya tidak mampu sempurnakan dan penuhi kemahuan mereka. Namun sedaya mungkin mereka adalah top priority dalam hidup saya. Segala keperluan belajar sedaya mungkin akan dicukupkan. Maklumlah seorang sahaja yang membawa duit pulang ke rumah ini saban bulan. Tambahan pula bila anak-anak di asrama perlu juga diagihkan belanja untuk melawat dan memberi sokongan moral bila mereka akan menduduki peperiksaan besar. Apa yang sering saya ulang-ulangkan kepada mereka ialah kita tidak pasti dapat semua benda yang kita inginkan dalam hidup ini.


 Ketika saya melepas tugas di Malayan Banking dulu saya sudah menanam azam agar tindakan saya itu tidak sia-sia . Mungkin ada kekangan kewangan sekali sekala tetapi alhamdulillah anak-anak tetap mendapat peluang pendidikan yang baik dan mereka juga diajar hidup sederhana. Bila sampai ketika dan perlu mereka akan dibelikan komputer dan handfon.Memang benar kata kakak jika ditukar buku-buku yang ada di rumah ini menjadi bungkal emas sudah pasti lenguh tangan saya dan leher membawa emas yang bermayam-mayam . 
 Saya percaya mereka tidaklah kurang dari segi material dari rakan-rakan mereka dan mungkin ada ketikanya
lebih baik dari setengah-setengah orang


.
Saya juga berada bersama kawan rakan yang ingin menjadikan Islam satu cara hidup. Bertolong-tolongan dalam melakukan perkara yang baik dan mencegah yang mungkar. Indahnya hidup bersyariat menjadikan kita orang yang sentiasa menyandarkan apa sahaja kepada Allah. Bersyukur bila diberi nikmat dan bersabar bila ditimpa musibah dan ujian yang datang dalam berbagai bentuk.


Alhamdulillah, saya juga memiliki pasangan hidup yang sangat saya cintai. Sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri. Ada kala kami berselisih pendapat tetapi dalam kebanyakan masa kami sentiasa bersendapat. Dia adalah pakaian saya, yang saya dambakan kasih hingga ke syurga. Menerimanya sebagai suami adalah satu keputusan besar yang pernah saya buat. 



Bukan mudah saya melepaskan banyak perkara ketika itu bila bersetuju berkahwin dan mengikutnya ke UK. Hari ini saya bersyukur meraih segala pengorbanan yang pernah saya lakukan dulu. Kehidupan yang sederhana tetapi penuh dengan kebahagian yang melimpah-limpah. Apa lagi yang saya harapkan pada hari ulang tahun ini? Saya mendoakan negara saya ditadbir oleh orang-orang yang beriman yang tahu bahawa mereka memikul amanah dan akan disoal Allah kelak. Saya juga mendoakan anak cucu saya menjadi orang yang matang berfikir, berakhlaq mulia dan sentiasa mendahului tuntutan Allah dan Rasul dalam bertindak. 
Terima kasih, Allah kerana terlalu banyak nikmatMu dan ampuni aku jika terlalu sedikit aku bersyukur.Berkatilah usiaku ini dengan amal-amal yang baik  dan bantuilah aku untuk menjauhi laranganMu, Ameen"

"Terima kasih juga untuk ucapan, doa dan hadiah-hadiah dari suami dan anak-anak tercinta. Tidak sempurna hidup ini tanpa kasih sayang kalian. Ummi sungguh terharu!!"

English Camp

Kebetulan ngah pulang bercuti, jadi kami merancang mengadakan English Camp untuk anak-anak . Pada mulanya ramai yang mendaftar tetapi pada saat akhir ada yang terpaksa menarik diri kerana kenduri dsbnya. Namun persiapan tetap dibuat seperti biasa. Berbagai aktiviti pengukuhan bahasa Inggeris telah dijalankan. Yang penting anak-anak yang berusia dari 6 tahun ke 10 tahun semuanya gembira dan seronok melakukan aktiviti yang telah dirancang oleh Teacher Tasneem.

Lihatlah wajah gembira adn ceria mereka. Meskipun sekadar dua hari tetapi diakhir camp mereka dapat mempelajari grammar dan cara yang betul membina ayat. Perkara asas yang kini kurang dititik beratkan. Mungkin kerana kita menekankan keupayaan berkomunikasi sedangkan nahu dan yang asas bagaikan kurang diberi perhatian. Saya terkejut juga bila anak-anak yang berusia 9 tahun masih belum faham bila patut guna has, have, will, shall. Mungkin nampak macam remeh tetapi jika nahu diabaikan , kita boleh bercakap tetapi sudah pasti keindahan bahasa itu sudah cacat dan tidak lagi nampak indah.

Nisa Zulaika tersenyum manis bila mendapat hadiah. Harapan saya semuga pendedahan awal tentang keperluan belajar grammar di camp ini akan memberi banyak manfaat kepada anak-anak ini. Saya sangat ingin melihat anak-anak pandai bertutur bahasa Inggeris dan dimasa yang sama menjaga nahu-nahunya. Kita memang boleh bercakap tetapi jika sudah biasa dengan yang salah sudah pasti bila menulis nanti akan berlaku kesalahan di sana sini juga. Jika ingin melentur buluh sudah pasti dari rebungnya.Ilmu dapat dan masa cuti juga terisi .

Saturday, March 20, 2010

Doa Untuk Semua Pengantin



* Doa untuk semua pasangan yang baru melayari alam rumahtangga sepanjang cuti ini.

We're here on this special day
Our hearts are full of pleasure
A day that brings the two of you
Close together
We're gathered here to celebrate
A moment you'll always treasure
We ask Allah to make your love
Last forever

Let's raise our hands and make Do'a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let's all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
From now you'll share all your chores
Through heart-ship to support each other
Together worshipping Allah
Seeking His pleasure

We pray that He will fill your life
With happiness and blessings
And grants your kids who make your home
Filled with laughter

Let's raise our hands and make Do'a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let's all say, say, say

ا
وجمع بينكما في خير

بارك الله
بارك الله لكم ولنا

الله بارك لهما
الله أدم حبهما
الله صلّي وسلّم على رسول الله

الله تب علينا
الله ارض عنا
الله اهد خطانا
على سنة نبينا

Let's raise our hands and make Do'a
Like the Prophet taught us
And with one voice
Let's all say, say, say

بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خي

Perjalanan Yang Indah




Minggu makan-makan. Itulah yang dapat dikatakan bila ahli keluarga berkumpul. Hujung minggu lepas kami semua pulang ke rumah mak. Bila sudah berkumpul apalagi tugas utama orang dapur, sudah pasti memikir dan merancang menu. Maklumlah bila kami berkumpul macam kenduri kecillah juga jadinya. Anak-anak saudara pula sudah remaja belaka jadi bila makan sudah pasti mengalahkan emak-emak dan ayah-ayah yang sudah makan tidak serancak dulu. Lagipun bila mereka sudah bersila memang tak cukup ruang untuk kami tumpang sekaki. Jadi biasanya biar mereka makan dahulu dan kami akan beransur-ansur makan kemudian. Bila pulang ke rumah mak, kami memang tak kurang idea. Terasa nak makan kerabu mangga  ada pulak tenaga yang rajin mengait dan memarutnya .Maka saya tinggal mengarah itu dan ini. Akhirnya siaplah kerabu mangga untuk makan tengahari itu. Gulai rebung madu, ayam masak kicap, sayur campur dan panas-panaskan semula lauk kenduri yang diberi orang kepada emak.


Bila pulang ke Bertam, anak-anak sudah menuntut janji mahu ke Nasi Sila. Jadi sebaik solat maghrib kami sudah bergegas ke Lahar Kepar. Tiba di sana lima minit pukul 8 malam. Sudah ada 5 orang yang beratur. Periuk lauk pauk baru diatur di atas meja, jadi hampir 20 minit juga beratur sebelum saya dapat memilih menu. Di belakang saya barisan makin panjang, macam nak beli tiket bola Kedah lawan Kelantan. Harith tukang membawa hidangan  ke meja, kak lang menunggu meja supaya tidak diambil orang. Maklumlah ahli keluarga kami ramai. Sementara menanti suami saya tiba dengan anak-anak yang lain, kami meratah ayam goreng yang menimbun. Walaupun lauknya kena sangat dengan selera kami tetapi saya kurang selesa kerana kelkatu yang merayap di dalam baju. Sambil makan sambil membuang kelkatu. Apa-apa pun memang best dan memang berbaloi. Al maklumlah sekali sekala makan besar gitu. Yang lucunya bila anak saudara saya yang agak kuat makan pun menolak untuk menghabiskan saki baki lauk kerana kekenyangan. Ada komen dari jiran saya" Tak sunnah betul makan kat sini.  Kita sepatutnya berenti sebelum kenyang ni dah jadi macam pacat baru nak berenti" Sesekali puaskan hati anak-anak dan gembirakan hati kita melihat mereka makan di depan kita apa salahnya kan.Insyaallah, bulan 6 nanti kita datang lagi bersama ahli keluarga yang lain pula!


Pagi Jumaat kami sudah bersiap untuk mandi-manda di Anand Love Bara. Batu Feringgi. Balik tu cadang nak makan mee Sifu Omar. Sayangnya dah habis bila kami ke situ. Jadi selepas anak-anak solat Jumaat di Masjid Terapung kami ke Seberang Jaya sahaja untuk makan char koey tew Ki. Malangnya mungkin dia sudah bertukar tempat dan GPS pun asyik suruh pergi ke tempat  lama yang kini sudah berganti tuan. Akhirnya kami memutuskan makan di Sunway sahaja dan ngah yang belanja. Mula-mula ke Nando's kemudian ke Pizza Hut dan akhirnya ke Nando's semula kerana tempatnya lebih tenang berbanding kat Pizza Hut yang muziknya bagaikan blasting gitu. Saya segera menalipon suami yang masih di  Uitm.  Sementara menanti suami datang , anak-anak merayau ke Al Ikhsan dan Bread History. Saya pula menunggu meja dan segala electronic gadgets mereka.. Mujur tak ramai pelanggan di situ jika tidak tentu terganggu dengan telatah anak-anak saya. Bila ke mana-mana agenda utama mereka sudah pasti bergambar dan berposing. Sampaikan suami saya siap bising suruh segera makan sebelum makanan sejuk. Saya tersedak dua-tiga kali. Anak-anak mengusik "Ni mesti kakak sebut.." Rupanya mereka nakal mengirim MMS kepada orang yang jauh di mata tetapi dekat di hati itu. Sudah pasti dia segera membalas  "Eeei...jelesnyer....." Dan hari ini dua orang anak saya akan kembali ke sempadan negara. Seorang ke Johor dan sorang ke Bukit Kayu Hitam. Sudah pasti jauh di sudut hati masing-masing terasa malas dan berat untuk meninggalkan rumah. Begitulah kehidupan, ketika kecil ditimang ibu, bila besar ditimang ombak. Apa-apa pun kesempatan yang sekejap ini sangat membahagiakan hati kami berdua. Pelabuhan sepi yang sentiasa sabar menanti kapal dan kolek datang berlabuh.Terima kasih Allah dan terima kasih untuk anak-anak yang tahu erti kasih dan sayang.Ras bersyukur kerana nun di bumi Palastine catuan makanan sedang berlangsung. Marilah meringankan tangan menghulur sumbangan untuk mereka , saudara seagama yang sedang menderita.Bukan dari kalanganku orang yang tidur kekenyangan sedangkan jirannya kelaparan.Secebis hadis yang sentiasa mengingatkan kita.

Tuesday, March 16, 2010

Cuti Datang Lagi!


Bila cuti pasti rasa macam nak pi Kelantan saja. Betullah kata orang bila dah ada cucu sayangnya lain macam lah. Tambah pula bila duduk berjauhan dan dia pula dalam proses pembesaran. Masa saya pi kursus dulu-dulu katanya pada umur ini otak anak kecil akan menyerap sebanyak mungkin apa yang dia dapat dari alam sekeliling. Sebab itulah saya sangat rindu ingin melihat tingkah laku dan butir kata yang keluar dari bibirnya.

Namun itu adalah harapan dan impian sahaja. Di rumah keempat-empat anak yang ada di rumah sedang menghitung hari 'besar' masing-masing. Bang cik forever bergelut dengan assigments, revision dsbnya. Bang cu pun begitu dan Harith juga tak jemu-jemu berulang-alik untuk kelas tambahan di sekolah. Kak lang pula sudah pasti sibuk dengan segala caca marba, manik marjan dsbnya. Dan saya sudah pasti sentiasa sibuk. Tugas resmi, yang tak resmi dan segala macam kategori yang susah diklasifiedkan.

Esuk akan bermula English Camp yang dirancang sempena cuti sekolah bersama teacher Tazzy. Sudah pasti saya akan sentiasa sibuk sampai hujung minggu ini. Cuti sekolah pula akan berakhir pada hari ulang tahun saya, insyaallah. Nampak gayanya kena di awalkan makan -makan special sebelum  anak-anak anak berangkat pulang ke port masing-masing.

Tuesday, March 9, 2010

Pada Detik Itu





6 Mac, 2010 saya berada di bumi Klang. Setelah berbelas tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke situ tanpa di duga saya dapat melihat Klang yang sudah berubah wajah. Hari ini pula hari ulang tahun kelahiran anak sulung saya. Ketika meninjau panorama dari tingkap hotel sudah pasti saya tidak akan  pernah lupa satu masa dulu. Saat-saat  payah mengajar anak membuat keputusan. Antara pilihannya dan kehendak hati kita. 

Keputusan meneruskan pengajian di KISAS adalah saya rasakan satu keputusan besar yang pernah di buatnya. Kini saya pasti dia bersyukur dan berbangga diberi peluang belajar dan menimba pengalaman hidup di bumi wakafan.itu. Walau dimana kita berada sudah pasti akan ada saat manis dan saat pahitnya. Itulah warna kehidupan. Sudah pasti segala warna itu akan mematangkan fikiran dan menjadikan kita orang yang lebih baik dari hari semalam.

Saya hanya sempat mengirim SMS pada hari itu kerana jadual yang padat. . Kami menyambut hari lahir dalam bulan yang sama. Sebagai anak sulung sudah pasti dia mendapat perhatian yang lebih dari kami. Dia dilahirkan di Royal Sussex Hospital  ketika suami saya sedang bergelut dengan ijazah pertamanya. Melalui hari-hari awal hidupnya  di Park Village, Falmer bersama kami berdua. Hanya gambar yang dapat dikirimkan kepada wan , atuk dan kedua mak toknya di Malaysia. Ketika itu mana ada webcam dsbnya. Jika ingin menunggu berita terpaksa menulis di aerogram kerana jauh lebih murah dan mencetak gambar hanya melalui pos sahaja. Kakak juga dibesarkan di banyak tempat. Dari Brighton kami berpindah ke P. Pinang kemudian ke Kuantan, Liverpool, Alor Setar dan Bertam sebelum dia  menetap di Kota Bharu.

Sudah jauh rupanya anak saya ini berada di lorong kehidupan. Dari seorang sudah berdua dan kini bertiga. Sudah pasti sebagai ibu bapa kami hanya mendoakan yang baik-baik sahaja.Perahu sudah di air, dayung sudah di tangan maka berkayuhlah menuju pulau harapan bersama jurumudi yang diharap dapat membawa kolek selamat di dunia dan di akhirat. Harapan bercinta sudah pasti ingin sehingga ke syurga. sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Berbincang dan sentiasa mengamalkan musyawarah adalah sebaik-baik pegangan. Sebagai ibu bapa kami sudah menyelesaikan sebahagian tugas sebagai ibu bapa dan kini tugas itu sudah diserahkan kepada suaminya. Jika ingin menaikkan ikan ke darat jangan sampai pancing patah atau kita jatuh ke air. Wanita dijadikan Allah untuk dilindungi dan disayangi. Dibetulkan mana yang silap dan ditambah mana yang kurang. Semuga perjalanan yang masih jauh itu akan dibekali dengan iman dan taqwa selaras dengan usia yang bertambah dan fikiran yang makin matang. Jika ingin melihat generasi masa depan lihatlah wanitanya hari ini. Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia. Didiklah anakmu agar dia cinta kepada Allah Dan Rasulnya. Hidup bersyariat adalah sebaik-baik anugerah dari Allah kepada kita.

"Selamat Ulang Tahun...kakak. Tambah usia tambah iman dan tambah matang dalam berfikir dan bertindak."






Thursday, March 4, 2010

Sekali-Sekala


Dah lama sangat dengar tentang Nasi Sila Lahar Kepar. Mungkin belum rezeki tak pernah cuba walaupun dah agak lama menetap di Kepala Batas.. Malam tadi jiran saya sudah menempah saya dan kak lang menemaninya anak beranak makan di situ. Kami pergi sebaik solat magrib. Bila tiba jiran saya, cepat-cepat beratur. Kami segera mencari tempat duduk. Mungkin kerana masih awal orang belum begitu ramai. Hampir 15 minit kemudian hidangan kami sudah tiba. Lauknya biasa sahaja. makan cara kampong. Tapi yang sedap sangat sudah pasti gulai ikannya dan ayam goreng yang panas-panas.Menu malam tadi ulam-ulaman, sambal belacan, kerabu perut dan sambal sotong. Mungkin kerana ikan segar dan cara orang lama memasak , dipuput pula bayu malam memang tidak sedar nasi sudah habis di pinggan. Pedas cili padi membuatkan saya segera membasuh tangan.Harganya untuk 3 orang dewasa dan 2 kanak-kanak termasuk air tidak sampai pun RM 40.00.Memang berbaloi!

Tempat baru memang selesa dan dapat menampong pengunjung yang ramai sekaligus. Setelah menjamu selera kami segera pulang. Memang betul. sekali pergi memang tak puas. Teringat juga nak tapau pada cik abang di rumah. Tetapi bila melihat bilangan  yang beratur ...nampak gayanya lain kali lah mai dengan cik abang. Bagi yang ingin menjamu selera, lokasinya memang tidak susah. Jika datang dari arah Kepala Batas menghala ke Penaga, kedai tersebut terletak di seberang sungai, sebelah kanan jalan. Bertentang dengan SK Lahar Kepar. Kedai dibuka pada waktu malam sahaja. Jika ingin mencuba pastikan datang sebaik solat maghrib. Jika lambat anda sudah pasti  terpaksa beratur lama sebelum dapat bersila.

http://nasisila.blogspot.com/

Monday, March 1, 2010

Dari Tadika ke Sungkyungkwan


Kata orang  a picture speaks a thousand words.  Bila merenung koleksi lama yang ada di dalam hard disk terbayang kembali saat membesarkan anak-anak. Berbagai kerenah, tingkah laku dan cabaran yang telah dihadapi sepanjang memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan Allah.

'Ammar adalah anak lelaki sulung kami. Pengalaman mengandung dan sakit bersalin selama tiga hari ketika jauh di Liverpool  tetap segar dalam ingatan. Suami pula  sedang bergelut dengan projek untuk  Mastersnya dan perlu pula melayan tiga orang anak dara kami. Ketika saya dalam pantang pula suami pula terpaksa mengagihkan masa melayan isteri dalam pantang, anak-anak dara yang sudah bersekolah dan nota serta projek di labnya.

Ketika kami pulang dan dihantar bertugas di Jitra , 'Ammar baru berusia 8 bulan. Masa kecilnya banyak dihabiskan di Jitra. Bermula dari Taman Pasu dan berakhir di Taman Cahaya. Ketika berusia 1 1/2 tahun saya mula berulang-alik ke tadika Al Azhar di Kg. Pulau Nyior, Jitra. Dia yang sentiasa bersama saya banyak menghabiskan masa di sekitar tadika. Melompat, naik dan turun tangga surau, mengejar ayam dan bergaduh dengan budak-budak tadika.

Malulah juga bila ada ibubapa merepotkan "Anak saya tak mau mai tadika , takut kat anak cikgu" Ketika itu terasa  kalau boleh mahu menyorokkan muka di bawah meja tapi mujurlah mulut ini pandai menjawab , "Minta maaf banyak-banyaklah kak, anak saya ni lahir di negeri orang putih  agaknya terkenan perangai orang putih masa mengandung kat dia dulu. Tu yang kasar dan lasak tu" Mujurlah makcik & pakcik tu ketawa mendengar jawapan saya dan kira kes itu selesai di situ. Kira oraitlah kan buat lawak bodoh macam tu sekali sekala.

'Ammar juga pelajar tadika paling lama. Umur 3 tahun baru officially masuk tadika. Cakap pun masih belum terus (betul) . Satu hari dia saya suruh ke tadika meminta barang dari cikgu di situ. "Cikgu, ummi minta selai" Terpinga-pinga cikgu-cikgu tu, apa yang selainya. Sehelai kertas? kain? Akhirnya mereka menalipon saya kerana 'Ammar sudah hampir menangis kerana cakapnya tidak difahami. Rupanya "ummi nak serai..s..e..r..a..i " Guru tadi mengajar 'Ammar menyebut.

Masuk tahun satu. 'Ammar belum boleh membaca . Saya terasa juga bila suami mengomen" Hai...tak kan ajar anak orang sampai anak sendiri pun tak reti baca" Ketika itu saya mengajar mereka membaca mengguna buku Isahak Haron . Taklah pulak ingat tajuknya. Tapi buku itu masih ada untuk saya serahkan kepada cucu saya nanti. Walaupun berbagai kaedah ada tetapi saya lebih sukakan buku tadi. Semua anak-anak saya kecuali Harith belajar membaca menggunakan buku tersebut.

Kata orang anak lelaki late bloomers. Hujung tahun 'Ammar naik pentas di SK Sultan Ahmad Tajudin kerana mendapat nombor satu. Suami saya hadir kerana saya sedang berpantang melahirkan bang cik. Jiran-jiran saya tolong bertepuk kuat untuk 'Ammar kerana  saya tidak dapat hadir.

Tahun 2 dan seterusnya ke tahun 6 dia bersekolah di SK Taman Uda, Alor Setar. Seterusnya tingkatan satu di SMAP Kajang sehinggalah INTEC dan ke Dongyang. Sudah 10 tahun rupanya 'Ammar meninggalkan rumah. Meskipun begitu  ikatan kekeluargaan di antara dia dan adik beradiknya tidak pernah luntur. Teknologi nmasa kini turut mendekatkan kami. Sesekali saya akan melihat kembali koleksi gambar 'Ammar di dalam hard disk, Flikr, FB, blog dan apa sahaja yang akan merungkailan rasa rindu saya  kepadanya.





Meskipun jauh di mata, namun sudah pasti tetap dekat di hati. Anak adalah ujian Allah kepada kita. Adakala kita gembira kerana mereka dan ada juga kala kita menangis kerana  tingkah laku dan tuturkata mereka. Namun walauapapun yang anak lakukan satu perkara yang saya tetap pegang sehingga hari ini ialah tidak pernah menyumpah, memaki hamun dan mendoakan yang buruk-buruk untuk mereka. Doa yang baik-baik dan solat hajat yang tidak henti untuk setiap anak agar Allah melimpahkan mereka kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Yang paling penting Allah menjadikan mereka orang yang membantu menegakkkan agama Allah walau di mana mereka berada.

Hari ini, 'Ammar sudah melangkah setapak lagi menjadi siswa di Sungkyungkwan University. Langkah hari ini adalah perjalanan yang jauh dan lama. Bermula dengan mengenal  ka, ki, ku di tadika sehinggalah hari ini. Bila merenung bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi. Perpatah lama yang mengajar anak-anak kita supaya tidak lupa diri dan sentiasa mengenal di mana kita bermula. Selamat maju jaya dan insyaallah ummi dan abu jika dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki akan hadir di hari konvo, 2012 nanti.  Countdown  widget akan diaktifkan selepas tamat countdown SPM nanti. insyaallah.