Saya dan suami baru pulang dari satu perjalanan yang sangat indah. Kami bertolak dari Penang dan singgah solat Jumaat di Gunung Semanggol. Pertama kali kami menjejakkan kaki ke situ walaupun sudah begitu lama nama tempat itu dikenali. Bumi dimana bermulanya kebangkitan perjuangan Islam di Tanah Melayu. Ketika menunggu di kereta mata saya sakit memerhati gelagat anak-anak remaja yang melepak dan berbual kosong di atas motor sedangkan khutbah Jumaat sedang dibaca. Masyaallah, saya ingat di tempat saya sahaja begitu. Rupa-rupanya gejala ponteng solat Jumaat sudah merebak hingga ke situ. Saya yang tidak berbuat apa-apa sementara suami selesai solat mencari bahan bacaan di dalam laci kereta. Mujur jumpa Al Mathurat lalu saya membaca surah Yassin dengan diperhatikan anak-anak itu. Ketika itu imam sedang membaca Fatihah rakaat pertama, mereka belum ada tanda mahu bergerak ke masjid. Akhirnya seorang demi seorang berjalan ke kawasan masjid. Namun masih ada dua tiga orang yang eluk berbaju melayu, kain pelekat dan berkopiah masih belum berganjak sehinggalah imam memberi salam. Sebaik imam memberi salam mereka pun bangun dan mencapai motor /basikal berlalu pergi..
Ya Allah! Jauhi anak-anak cucuku dari bersikap demikian. Mereka bukan menipu Allah tetapi mereka menipu diri sendiri. Allah tidak akan luak kekuasaanNya jika kita tidak menyembahNya tetapi kita yang menzalimi diri sendiri. Alangkah sejuknya hati ibu ayah melihat anak-anak berpakaian segak setiap Jumaat tetapi betulkan mereka bersolat Jumaat ? Itu kena selalu diambil pedulikan. Perkara yang buruk ini jika dibiasakan sudah pasti akan menjadi kebiasaan dan sudah hilang rasa malu, takut dan gerunnya. Api yang marak menyala bermula dari ranting-ranting yang halus juga. Sekali sekala kita perlu juga ada rasa tidak percaya kepada anak-anak. Jika terlalu percaya sangat pun akan merosakkan mereka begitu juga sebaliknya. Besar sungguh cabaran mendidik anak menjadi manusia di kala ini. Tiada yang dapat membantu kita melainkan Dia yang maha kuasa.
No comments:
Post a Comment